Sunday, July 18, 2010

Bukan Cinta Biasa - 14

Perjalanan pagi itu agak lancar. Selepas Subuh tadi, Siti sempat
menggoreng cucur bilis untuk dibuat bekalan. Selepas menyiapkan Didi
dan Fifi dia membancuh kopi panas pula untuk disimpan dalam termos.
Boleh diminum bila-bila masa dalam perjalanan nanti. Beg pakaiannya
awal-awal sudah dimasukkan ke dalam Pajero milik Maria yang
ditinggalkan di situ. Menurut Mak Ungku, kalau bertolak pagi, mereka
akan sampai di Perak sebelah tengahari. Jauh juga perjalanannya itu.
Siti risau kalau-kalau dia mabuk nanti. Sebab itu dia sanggup sediakan
bekalan untuk mengisi perut nanti.
Di luar, Wari sudah menunggu di tepi kereta. Lisa sudah terlentok di
dalam Pajero. Pagi tadi dia merungut-rungut kerana terpaksa bangun
awal. Hari minggu, biasanya tengahari baru nampak batang hidungnya.
Didi dan Fifi kelihatan riang dan tak sabar-sabar hendak memulakan
perjalanan. Mak Ungku ceria melihat telatah cucu-cucunya itu. Dia rasa
lega kerana Wari bersetuju untuk ikut sama. Tinggallah Pak Amin seorang
di rumah. Pak Amin tidak boleh ikut sama kerana perlu menjaga rumah
selama 2 hari itu. Kartini pula tidak mahu ikut serta walaupun sudah
dipelawa Mak Ungku. Ingin istirehat, katanya. Untunglah Kartini kerana
minggu ini dia dapat cuti percuma.

Selepas menelefon Kak Melah dan emak di kampung, memaklumkan
pemergiannya ke Perak, Siti masuk ke dalam Pajero dan duduk di sebelah
Mak Ungku. Mak Ungku menggenggam jemari Siti. Siti rasa hiba tiba-tiba.

"Minggu depan, Makcik izinkan Siti balik kampung...."Mak Ungku
bersuara perlahan.Siti tersenyum kembali. Hampir sebulan dia menetap di
rumah itu, rasa rindu pada kampung dan orang tuanya semakin membuak.
Dia tidak betah tinggal lama-lama di situ. Tapi apakan daya,
mengenangkan Mak Ungku yang baik hati, tak sampai hati dia nak mintak
cuti balik kampung.

"Mak cik tahu....Siti dah rindu kat mak dan ayah Siti, kan?"Siti
tersipu. Dia melemparkan pandangan ke luar. Pagi yang hening. Masih
belum banyak kenderaan yang lalu lalang.
"Rindu jugak Mak Ungku....saya mana pernah berjauhan lama macam
ni..."Balas Siti kemudian. Wari di depan memanjangkan lehernya. Dari
cermin pandang, dia dapat melihat wajah Siti. Sesekali dia mencuri
pandang.
"Habis tu, dah bagitahu Kak Melah nak balik minggu depan?
"Belum lagi Mak Ungku. Tak tahulah Kak Melah nak balik sekali atau
tak. Kalau Kak Melah tak balik pun, Siti boleh naik bas"
"Ish....buat apa naik bas. Jauh tu. Nanti Pak Amin boleh hantarkan.
Tak pun Si Wari ni pun boleh hantar kejap...."Siti terdiam seketika.
Dia menyandarkan badan. Sesekali matanya terpandang cermin, hatinya
berdebar tiba-tiba. Renungan Wari tertangkap oleh matanya. Siti
cepat-cepat alih pandangan.

Dalam perjalanan Siti terlelap seketika. Dia tersedar bila Pajero
berhenti di satu kawasan perhentian yang terdapat banyak kenderaan lain
singgah di situ. Siti mengeliat. Dia memerhatikan sekeliling. Wari
tiada di dalam kereta. Lisa di luar melayan Didi dan Fifi. Mak Ungku
juga tidak kelihatan.

"Mana Mak Ungku, Lisa?"Tanya Siti sebaik turun dari Pajero.
"Mama ke tandas.."Balas Lisa perlahan. Lemah saja suaranya. Mungkin
masih mengantuk.
"Didi dan Fifi lapar tak?"Kedua-dua anak kecil itu menerpa ke arah
Siti.
"Lapar!"Jawab mereka serentak. Siti mengerling jam di tangan. Hampir
pukul 10. Dia mengeluarkan air kopi dan cucur bilis yang di simpan
dalam bakul.
"Meh la makan jemput-jemput ni, Lisa...."Siti gamit Lisa yang
bersandar pada pintu Pajero. Mulanya Lisa seperti keberatan, tetapi dia
melangkah juga.
"Dah sejuk sikit...tapi boleh la buat alas perut..."Siti hulurkan
bekas tupperware tersebut. Lisa ambil sebiji lalu mengunyahnya
perlahan. Dahinya berkerut-kerut.
"Fifi nak minum susu tak?"Fifi angguk kepala. Leka dia menikmati cucur
bilis. Siti membancuh susu perasa coklat kegemaran Fifi. Semua
keperluan mereka telah Siti siapkan awal-awal tadi termasuk air panas
untuk membancuh susu.
"Kak Siti....."Siti toleh ke arah Lisa. Gadis itu tampak ragu-ragu.
"Lisa nak air kopi ni?"Siti hulurkan cawan plastik berisi kopi.
"Lisa minta maaf ye...kalau selama ni Lisa cakap kasar-kasar dengan
kak Siti."Lisa telan liur sambil memandang Siti sungguh-sungguh. Siti
tersenyum.
"Mana ada Lisa cakap kasar dengan Kak Siti..."
"Selalu......"Balas Lisa perlahan. "Kak Siti mesti kecik hati..."
"Tak lah....kalau Kak Siti kecik hati, mesti Kak Siti tak tegur Lisa,
kan?"Lisa senyum nipis.
"Tapi.....peel Lisa memang macam ni.....kasar sikit. Kak Siti jangan
ambil hati ye?"Siti angguk sambil tersenyum sama.
"Cucur kak Siti ni dah sejuk....tapi sedap!"Siti ketawa.
"Kalau sedap, makanlah lagi..."
"Memanglah nak makan, tapi...Lisa malu...Lisa selalu marah-marah Kak
Siti...tapi bab makan....Lisa balun pulak..."Lisa senyum malu. Dicapai
sebiji cucur lagi.

"Itu nenek!"Didi menjerit tiba-tiba.Mereka sama-sama menoleh. Mak
Ungku berjalan terdengkot-dengkot sambil dipimpin oleh Wari. Wajahnya
kelihatan segar dipanah matahari pagi.
"Ma....minum dulu Ma..."Lisa hulurkan kopi kepada Mamanya."Ada
cucur....Kak Siti buat.."Wari tersengih.Dia ambil juga sebiji sebaik
Lisa hulurkan ke arahnya. Wajah Siti dipandang sekilas. Entah kenapa
sejak pagi tadi, berlainan sungguh perasaannya setiap kali memandang
wajah gadis itu.
"Nak gerak sekarang ke, Ma?"Wari bersuara tiba-tiba.
"Tunggulah budak-budak ni habis minum dulu.."Mak Ungku usap kepala
Didi dan Fifi."Dah tak jauh sangat ni. Pukul 11.30 boleh sampai
ni..."Wari angguk.

Siti simpan kembali bakul ke dalam Pajero. Dia mendukung Fifi masuk ke
dalam. Tak lama kemudian, Pajero mula bergerak meninggalkan kawasan
rehat tersebut. Siti rasa lega kerana dia tidak berasa pening sepanjang
perjalanan itu. Dapatlah dia menikmati perjalanan walaupun hanya
pemandangan yang sama sejak tadi. Sesekali mereka melewati kawasan
perkampungan, Siti berasa seronok sekali. Melihat rumah-rumah kayu di
kiri kanan jalan, ingatannya segera ke kampung yang telah sebulan dia
tinggalkan. Minggu depan dia akan pulang juga walaupun Kak Melah tidak
ikut sama. Dia sanggup naik bas walaupun memakan masa yang lama. Dia
sudah begitu rindu. Pada emak dan abah, pada Murni dan Shidah. Juga
pada Lonjang dan Conit! Siti tersengih sendiri. Seketika, wajah Huzair
pula menerpa. Menyapu semua wajah-wajah yang dia kenang tadi.
Ishh!...Siti muncung.

Wari di depan menggeleng. Apa kena Siti ni? Sekejap tersenyum, sekejap
muncung! Dia membetulkan cermin pandang. Rimas dia asyik nak memandang
ke belakang. Nanti mata ke mana, kereta ke mana!

*********************************

Sebuah rumah kayu tersergam indah di laman rumput yang luas. Rumput
yang menghijau dihiasi pokok-pokok kertas bermacam warna. Di kiri kanan
laman ada pokok-pokok rambutan yang sedang berbunga lebat. Ada juga
rimbunan pandan dan serai yang tumbuh subur. Di sebelah belakang pula
banyak pokok-pokok pisang yang berbuah lebat. Besar-besar tandannya
seakan ingin menyembah bumi. Tunggu masa saja untuk ditebang. Tak ubah
macam kebun di belakang rumahnya.

"Cantik rumah ni, macam ada orang yang jaga..."Siti bersuara sewaktu
menaiki tangga batu.Kolongnya juga bersih, seolah disapu setiap hari.
"Memang ada yang jaga pun...."Balas Wari tanpa di duga. Mak Ungku
tersenyum.
"Mak cik upah orang jaga rumah ni. Tu yang bersih je. Kalau tak
dijaga, memang dah jadi hutan belukar rumah ni, Siti.."Sambung Mak
Ungku pula. "Mana pulak Pak Din ni? Mama dah bagitahu kita sampai
tengahari..."Mata Mak Ungku melilau ke sekeliling.
"Kat kebun lagi tak, Ma.."Balas Wari, memanjangkan leher.
"Agaknya laa...ni Wari cuba bukak pintu ni....."Mak Ungku serahkan
kunci pada Wari. Nasib baik pintu boleh dibuka. Mereka masuk ke dalam
rumah yang nampak kelam kerana semua tingkat bertutup. Bahang panas
mula terasa. Siti buka tingkat satu persatu. Udara mula masuk,
menjadikan suasana dingin sedikit. Siti duduk di kerusi rotan yang
masih elok. Kemas tidak berhabuk walau sudah ditinggal bertahun
lamanya. Mungkin setiap hari Pak Din membersihkannya. Cuma sebahagian
perabut ditutup dengan kain putih.
"Tak berubah macam dulu jugak...."Mak Ungku berdiri tepi tingkap.
Wajahnya bertukar menjadi hiba. Mungkin dia terkenang kembali suatu
ketika dahulu sewaktu mereka suami isteri masih menetap di sini.
"Pokok rambutan yang Papa kamu tanam, dah berbunga pun...dulu masa
kami tinggalkan rumah ni, baru tumbuh tunas..."Mak Ungku mengesat
pelupuk mata. Sedih pula Siti melihatnya. Wari dan Lisa hanya diam
mendengar keluhan Mama mereka.
"Kalau tak Pak Din yang jaga.....takkan menjadi jugak pokok-pokok
tu...."Sambungnya lagi.
"Ma...jangan diri lama-lama sangat...."Lisa sorongkan kerusi roda yang
baru dibawa turun oleh Wari. Mak Ungku melabuhkan punggungnya. Wajahnya
masih sayu.
"Bawa Mama masuk bilik, Lisa...."Lisa cepat-cepat sorong kerusi. Masuk
ke bilik besar yang langsir pintunya berwarna biru. Tinggal Siti dan
Wari saja di ruang tamu itu. Didi dan Fifi masih di laman, mungkin
sedang seronok bermain di bawah pokok rambutan yang redup. Siti rasa
janggal dengan keadaan itu. Dia bergegas bangun, mencapai bakul dan beg
besar lalu di bawa ke dapur. Ruang dapur kecil, agak curam. Ngeri
rasanya menuruni tangga kayu yang tinggi itu. Tapi periuk dan kuali
masih bersusun kemas. Juga tidak berhabuk. Tong gas juga ada. Mungkin
Pak Din sudah siapkan semuanya sejurus mengetahui kepulangan Mak Ungku
sekeluarga.

Siti buka pintu dapur yang dibuat dari zink. Berkeriut bunyinya. Dia
melebarkan pandangan ke kebun pisang di belakang rumah. Geram dia
melihat tandan pisang yang besar-besar melayut di perdunya.
Hampir-hampir menyembah bumi. Kalau di kampung mesti dah lama dicantas
bapa. Pisang nipah kuning yang besar-besar begitu kalau dibuat kerepek
memang manis rasanya.

Siti berhasrat untuk meninjau-ninjau sekeliling kebun tersebut.
Kebetulan ada selipar jepun lusuh ditepi pintu. Segera disarungnya. Dia
berjalan perlahan-lahan sambil memerhatikan sekeliling. Terhibur
hatinya melihat pokok-pokok cili, pokok kacang botol yang subur dan
gemuk-gemuk buahnya. Subur benar tanah di kawasan tersebut. Sesuai
dibuat bercucuk tanam. Tentu Pak Din seorang yang rajin berkebun. Kalau
tidak, masakan pokok-pokok sayur tersebut boleh membesar dan berbuah
lebat. Siti belek-belek cili api yang memerah. Ada yang sudah kuning
dan busuk tidak dipetik. Dan banyak pula yang gugur ke bumi. Agaknya
Pak Din tidak sempat mengutipnya. Mungkin dia sendiri punya kebun yang
perlu diuruskan. Petang nanti, kalau sempat, dia ingin minta izin Pak
Din untuk petik cili-cili tersebut. Ada lebih boleh dibawa balik ke KL.
Sayang kalau dibiar layu begitu saja.

Siti terbongkok-bongkok di bawah pokok pisang yang menyenget itu.
Sambil diperhatikan daun pisang muda, kalau-kalau ada gulungan daun di
celah-celah pelepahnya. Kalau dulu, masa kecil-kecil suka benar dia
mencari ulat daun pisang yang terdapat pada celah-celah daunnya yang
bergulung. Pantang nampak, dia akan cantas pelepah pisang. Koyakkan
daun yang bergulung. Dikumpul banyak-banyak sebelum di bawa ke belakang
rumah Shidah. Disitulah ulat-ulat itu dikeluarkan dan disusun banyak.
Melentik-melentik ulat hijau berkepala hitam itu. Badannya yang
bersalut bebenang warna putih menguit-menguit bila dicuit. Di situlah
mereka bina rumah tanah, jambatan batang pisang dan lubang-lubang kecil
tempat laluan ulat-ulat tersebut.

Mereka gembira melihat ulat-ulat itu menguit-nguit bila terkena
panahan matahari. Suka melihat cairan hijau yang keluar dari badannya
yang penyek dipijak. Issh....jahat betul aku masa tu! Siti tersenyum
sendiri. Macamana aku boleh berani sangat main ulat-ulat tu? Kalau
sekarang ni campak kat aku agaknya, pecut 100 meter le gamaknya. Siti
terhenti seketika. Di hujung kakinya ada longkang kecil yang mengalir
air jernih. Merenek-renek airnya terkena sinaran mentari.

No comments:

Post a Comment