Monday, July 12, 2010

Bukan cinta biasa - 11

Siti membaringkan Fifi di atas katilnya. Kemudian dia memadamkan lampu
besar. Menghidupkan lampu kecil yang samar-samar. Jam loceng diletakkan
bersebelahan katil Didi. Didi sudah boleh diharap untuk bangun pagi,
tetapi masih memerlukan bantuan jam loceng. Setelah mempastikan
semuanya berkeadaan baik, Siti keluar dari bilik. Dia juga ingin tidur
cepat malam itu. Niat untuk menonton televisyen dilupakan. Tiba-tiba
dia berasa begitu sunyi berada di dalam rumah mewah itu. Tidak seronok
rasanya menonton seorang diri. Kalau di kampung, ada emaknya yang
sama-sama menonton. Sementara menunggu bapa pulang dari kedai, emak
akan bersembang-sembang dengannya. Kadang-kadang dia akan buatkan
jemput-jemput ikan bilis dengan air kopi untuk mereka makan bersama.
Walaupun hanya jemput-jemput, nikmatnya lebih terasa dari makan
sedap-sedap seorang diri dirumah besar ini.

Siti sedang menuruni tangga bila ada satu suara menegurnya. Dia
berpaling. Lisa sudah siap dengan baju tidurnya yang tipis. Terkejut
Siti memandangnya.

"Tolong buatkan aku air."Lisa bersuara.
"Err....."Siti gamam.
"Buatkan aku air...."Lisa mendengus.
"Air apa, Lisa?"
"Neslo panas. Kau tahu tak buatnya macamana. Milo campur nescaffe.
"Siti angguk.
"Tak payah bawak naik atas. Awak letak je kat depan tv tu...."Dia
berpaling untuk masuk ke bilik semula.

Siti berjalan lambat-lambat. Tiba-tiba dia berasa sedih dengan apa
yang dia alami untuk satu hari itu. Manusia-manusia yang ditemuinya
aneh-aneh sekali. Bersifat yang tidak dijangkakan. Kenapalah dia harus
berhadapan dengan situasi sebegitu.
Kalaulah bukan kerana Huzair, rasanya dia tidak akan sampai di situ.
Kalau bukan kerana Huzair, tidak mungkin dia dengan senang hati
menghambakan diri pada dunia yang asing ini.

Sudah seminggu Siti menjadi penghuni baru di rumah besar itu. Setiap
pagi dia bangun awal untuk siapkan bekalan Didi dan Fifi. Dia tidak
harapkan Kartini untuk menyiapkannya kerana kadang-kadang Kartini juga
lewat datang ke rumah. Pukul 7.30, Pak Amin akan menghantar Didi dan
Fifi ke sekolah. Waktu pagi, tidak banyak kerja yang boleh Siti
lakukan. Selain dari mengemas bilik, dia akan mencuci pakaiannya
sendiri walaupun Kartini setiap pagi akan mengutip pakaian dari setiap
bilik. Dia tidak mahu meminta Kartini melakukannya kerana wanita
seberang itu nampaknya tidaklah terlalu peramah. Jarang benar mereka
berbual walaupun kadang-kadang Siti sengaja menyibukkan dirinya di
dapur. Ingin juga dia menolong atau melihat-lihat cara Kartini memasak.
Boleh juga dia belajar serba sedikit. Tetapi sudah 2-3 hari Siti hampa.
Kartini bagai tidak mengendahkannya. Terasa dirinya bagai dibenci pula.
Paling tidak dia akan memerapkan diri di bilik, ataupun main air di
kolam. Hampir tengahari barulah dia menjenguk Mak Ungku, kerana Kartini
sudah mengingatkan dia awal-awal supaya tidak mengganggu Mak Ungku
pagi-pagi hari. Mak Ungku perlu waktu tidur yang panjang.
Pagi itu, Siti bercadang untuk menyiram pokok bunga di laman. Semalam,
dia ada melihat Pak Amin menyimpan penyodok tanah dan paip getah di
belakang rumah. Sudah lama rasanya Siti tidak bermain dengan
bunga-bunga, Kalau di kampung, setiap hari dia akan menyiram
bunga-bunga yang ditanam emak. Sebelah pagi dan petang. Kadang-kadang
dia suka-suka mencantas daun-daun yang kering sampai naik togel
bunga-bunga emak dibuatnya. Bising mulut emak bila melihat pokok-pokok
bunganya sudah tak merimbun.

Oleh kerana hari masih pagi lagi, Siti hanya mengikat sehelai 'key' di
kepalanya bagi melindungi cahaya. Tambahan, keadaan di taman depan
kolam itu tidaklah terlalu panas kerana banyak pokok-pokok yang
merimbun. Siti bertinggung di depan pasu bunga untuk menggembur tanah.
Agak keras. Mungkin Pak Amin tidak banyak masa untuk menggemburnya.

"Apa awak buat tu?"Satu suara kedengaran dibelakangnya. Siti sangkakan
Pak Amin sudah pulang dari menghantar Didi ke sekolah. Dia menoleh
sekilas. Darahnya tersirap.
"Awak buat apa?"Sekali lagi dia bertanya. Siti gigit bibir.
Dipandangnya Wari yang tercegat di depannya. Apa dia buat kat sini?
Bila masa dia balik?
"Err.....tak buat apa...tengok-tengokkan pokok-pokok ni aje..."Balas
Siti lambat-lambat. Berpeluh tangannya menggenggam penyodok tanah itu.
"Emm....ni kan kerja Pak Amin...biarlah dia yang buat..."Wari duduk di
kerusi batu sambil berpeluk tubuh. Dia masih berjaket tebal. Agaknya
baru sampai, bisik hati Siti.
"Tak apalah....."Siti berganjak ke pasu lain yang lebih jauh. Dia
tidak mahu Wari memerhatikannya. Kekok rasanya.
"Pagi-pagi macam ni, tak tahu nak buat apa..."

Wari mengeluarkan sebatang rokok lalu disepit ke dua bibir. Matanya
agak mengantuk, tetapi dia bercadang untuk menghabiskan sebatang dua
rokok dulu. Lepas ini dia ingin tidur sepuas-puasnya. Letih memandu,
ditambah dengan sakit hatinya sejak semalam. Kalaulah tidak kerana
kejadian itu, rasanya dia masih bersuka ria di Langkawi. Menghabiskan
masa dengan bermandi manda, barbeku, berpesta bersama yang lain-lain.
Bukan mudah untuk mereka berkumpul beramai-ramai begitu. Dengan
gadis-gadisnya yang peramah-peramah belaka. Sudah lama dia tidak enjoy
begitu.

Tapi semalam, dia bertekad untuk pulang saja. Walaupun ramai
kawan-kawannya yang terkejut dengan keputusannya, tapi dia malas hendak
memanjangkan cerita. Lebih baik dia diam, dan cabut. Masalah
peribadinya, tak perlu dihebahkan kepada semua. Walau sedih pun,
biarlah dia yang menanggungnya sendiri. Dan semalam, dia nekad memandu
seorang. Rina dibiarkan tinggal di sana menghabiskan masa suka rianya.
Balik nanti pandai-pandailah dia tumpang sesiapa.

Pelik Siti melihat Wari yang asyik termenung sejak tadi.Sambil asap
tidak henti-henti keluar dari mulut dan hidungnya. Asyik benar
nampaknya anak muda itu melayan rokok tersebut. Nikmat sangat agaknya!
gerutu Siti. Dia mengemas perkakasnya. Malas dia hendak berlama-lama di
situ. Kekok dan segan. Dia tidak suka membuat kerja sambil diperhatikan
begitu. Walaupun dia tahu Wari tampak seperti mengelamun jauh, tapi
kehadiran dia di situ pagi itu, mematikan semangat Siti untuk
meneruskan kerja. Biarlah Pak Amin saja yang buat kerja ni, Siti
tergesa-gesa bangun.

Dia membuka ikatan 'key' nya lalu ditutup seluruh kepala. Dia
sebenarnya segan juga kerana tidak bertudung di rumah itu. Cepat-cepat
dia masukkan perkakas dalam baldi kecil kemudian menggulung kembali
paip getah.

"Dah siap ke?"Wari tersedar dari lamunan bila Siti lalu di sebelahnya.
"Dah....."Balas Siti., terhenti langkahnya. Wari tersenyum sambil
matanya memerhati sekeliling. Tak berubah apa pun!
"Tak siram pun pokok bunga ni?"
"Kejap lagi Pak Amin akan siram..."Siti pandang ke pintu pagar. Pak
Amin pun tak balik lagi. Hati Siti gundah gulana berhadapan dengan
lelaki ini. Dia malu dengan keadaan dirinya. Apalah anggapan Wari
terhadapku, bisik hati Siti.
"Emm.....siapa nama awak ek?"Siti agak terkejut dengan pertanyaan itu.
"Err...Siti..."
"Siti?"
"Siti Nuranis.."
"Awak datang sini untuk jaga Didi dan Fifi ye?"Siti angguk.
"Emm...mama ada cakap dulu. Baguslah....boleh awak tengok-tengokkan
anak sedara saya tu. Tolong sekali tengokkan mama saya....dia tak
berapa sihat..."Wari bersuara lagi. Suaranya lemah saja pada
pendengaran Siti. Macam orang tak bermaya. Siti mengangguk. Dia
melangkah semula bila merasakan tiada lagi kata-kata yang akan keluar
dari mulut lelaki itu.
Sampai di dalam rumah, dia menarik nafas lega. Niatnya untuk berkebun
pagi itu, nampaknya terpaksa ditangguhkan. Entah kenapa lelaki itu
tiba-tiba muncul di laman. Padahal baru 2-3 hari lepas dia bertolak.
Agaknya dia risaukan Mak Ungku.

Siti mencuci mukanya yang sedikit berpeluh. Dia menjenguk sebentar ke
dapur, tetapi Kartini tidak kelihatan. Mungkin menyidai kain di
belakang. Siti bercadang untuk naik bilik Mak Ungku. Teringin pula dia
hendak berbual-bual dengan orang tua itu. Seronok mendengar cerita
tentang zaman mudanya, tentang anak-anaknya, tentang arwah suaminya
yang tak pernah lekang dari bibirnya. Setiap cerita yang disampaikan
pasti terselit nama arwah suaminya. Siti dapat rasakan betapa Mak Ungku
amat menyanjungi arwah suaminya itu. Siti juga diperlihatkan
gambar-gambar peribadi Mak Ungku sekeluarga. Sewaktu Lisa dan Wari
kecil-kecil dulu. Memang mereka comel-comel belaka. Banyak mewarisi
ketampanan ayah mereka.

Dari cerita Mak Ungku, tahulah Siti serba sedikit salasiah keluarga
itu. Mak Ungku asalnya orang kaya keturunan kerabat dari negeri Perak,
yang berkahwin dengan orang biasa, iaitu arwah Haji Zainudin. Tapi kata
Mak Ungku, cinta mereka begitu sukar untuk disatukan kerana perbezaan
taraf. Bertahun-tahun jugalah mereka mempertahankan cinta suci itu.
Sampai Mak Ungku hampir putus asa dan ingin berpisah saja. Tapi
suaminya seorang yang cekal dan kuat semangat. Rajin bekerja dan
bercita-cita untuk memajukan diri. Walaupun pada peringkat awal hanya
bekerja makan gaji, akhirnya dengan bantuan Mak Ungku, mereka mula
berniaga kecil-kecilan. Melihatkan keadaan itu, Mak Ungku nekad
berkahwin dengan Haji Zainudin. Memang agak susah kehidupan awalnya.
Apalagi sejak kelahiran Maria, pada waktu ekonomi rumahtangga mereka
tidaklah begitu stabil. Tapi kelahiran anak membawa rezeki. Haji
Zainudin terpaksa berpisah sementara dengan Mak Ungku kerana berhijrah
ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaannya. 3 tahun selepas itu
barulah mereka berasa senang sedikit. Mak Ungku membawa Maria ke Kuala
Lumpur dan tinggal bahagia sehinggalah lahir Wari dan Lisa.

Perniagaan yang semakin berkembang membuatkan Haji Zainudin selalu
keluar ke merata tempat. Itulah yang terjadi sewaktu mereka kemalangan
8 tahun yang lalu. Perjalanan ke Pahang pada suatu pagi yang indah
berakhir dengan keperitan yang meninggalkan kesan selamanya pada Mak
Ungku. Kebetulan pula Mak Ungku ikut sama pada ketika itu, sedangkan
pada hari-hari lain Mak Ungku jarang menemani suaminya. Mungkin sudah
ajal suaminya mati di ribaan. Apalah yang lebih memberi trauma kepada
seorang isteri sebaik mata dibuka, melihat kepala suami terlentok di
kaki dalam keadaan berlumuran darah begitu. Dan kaki yang menjadi saksi
itulah yang dengkot sehingga kini.

Kesian Mak Ungku, bisik hati Siti. Bukan mudah untuk melupakan
kengerian itu. Bertahun-tahun dia menjadi murung dan menyepikan diri.
Cadangan kaum keluarga agar dia menikah lagi, tidak pernah diambil
pusing. Bagaimana dia boleh melupakan suaminya? 10 tahun mereka
mempertahan cinta sebelum mendapat restu. 21 tahun menyulam bahagia
seorang isteri, kemudian terpisah kerana tragedi. Dalam masa setahun
dia mahu berkahwin lagi? Mustahil, kata Mak Ungku. Dia tidak mahu
berkahwin sampai bila-bila. Bukan kerana kecacatan kakinya itu. Walau
ditakdirkan dia sihat selepas kemalangan itu pun, dia tidak akan
menerima yang lain. Cinta pada arwah suaminya begitu utuh dan tak
mungkin dia lupakan sampai bila-bila.

Hai....bagaimana agaknya kisah cintaku nanti? Adakah seutuh cinta Mak
Ungku pada suaminya? Siti tersenyum sendiri. Dia tidak pernah bercinta
dan tak pernah berniat untuk merasai kemanisan bercinta. Entah. Hatinya
tidak pernah terfikir untuk melalui itu. Perasaannya pada Huzair juga
tidak pernah wujud. Dia tidak pernah memuja atau mengkagumi lelaki itu.
Cinta itu tak akan wujud. Dia yakin.


No comments:

Post a Comment