Thursday, July 8, 2010

Bukan Cinta Biasa - 10

"Nak pergi dengan Rina ker?"Mak Ungku tarik nafas.
"Ala...ramai-ramai Ma. Bukan pergi berdua je. Kawan-kawan Rina pun
ikut sekali...."Wari bangun mendapatkan wanita yang dipanggil Rina itu.
"You tunggu sekejap ye. I nak pack baju...2 minutes!"Rina senyum
manja. Didi dan Fifi sudah duduk di sebelah
Siti. Wajah kedua-dua mereka masam. Siti usap kepala kedua-dua
kanak-kanak itu. Dia tidak tahu kenapa mereka tiba-tiba senyap padahal
sebentar tadi kelihatan begitu girang bila Acik mereka balik.

Siti rasa tiba-tiba suasana menjadi sepi seketika. Mak Ungku hanya
berdiam dan Siti sendiri tidak tahu apa yang boleh dijadikan modal
untuk berbicara. Wanita bernama Rina itu pula masih berdiri di tepi
pintu. Nampak keresahan. Agaknya dia rimas menunggu Wari. Padahal Siti
rasa, tidaklah begitu lama mereka baru sampai di situ.

"Kak...duduklah dulu.."Terpacul ayat itu dari bibir Siti tiba-tiba.
Rina menoleh.
"Apa?"Dia angkat kening.
"Duduklah dulu...."Pelawa Siti sekali lagi.
"Emm..no thanks.."Balas Rina sambil tersenyum nipis. Siti rasakan
betapa cantiknya wanita bernama Rina itu. Cantik dan bergaya.
"Didi....kenapa senyap ni. Kata nak buat homework?"Siti cuit hidung
Didi. Didi muncung.
"Tak ada keja sekolah!"Balasnya pendek.
"Betul? Takkan cikgu tak ada bagi langsung?"Siti cuba menduga.
"Betul....."Balasnya lambat-lambat.
"Ok, kalau betul....tak apa. Tapi kalau ada nanti...Kak Siti tak nak
tolong..."
"Alaa..Kak Siti ni...sama macam Acik!"Didi merengus lalu turun dari
sofa.
"Didi....nak pergi mana tu?"Mak Ungku bersuara.
"Nak amik buku....nak wat kerja sekolah...."Siti tersenyum gelihati.
"Pegi buat kat bilik komputer sana...."
"Tak nak....Didi nak buat kat sini aje....."Didi berlari-lari anak
mencapai beg sekolahnya. "Dengan Kak Siti"Beg diletakkan atas meja.
Beberapa buah buku dikeluarkan..
"Ishh...budak ni....macamana nak belajar...tv depan mata..."Mak Ungku
mengeluh. Siti ketawa kecil.

Siti pandang ke anak tangga. Wari kelihatan tergesa-gesa menuruni
tangga. Dua buah helmet ber'visor' gelap tersangkut di lengannya.
Berjaket hitam dan berkaca mata juga hitam, Siti akui anak lelaki Mak
Ungku itu punya wajah yang menarik. Walaupun ada sedikit garis-garis
kesombongan pada riak wajahnya. Tapi Siti akui, tidak patut dia
menyimpan tanggapan yang bukan-bukan dengan hanya sekali memandang.
Wari duduk di sebelah Mak Ungku lalu menyarung stoking kakinya.
Mak Ungku pandang Wari tunak.

"Nak pergi juga ke Wari?"Tanya Mak Ungku perlahan. Wari mengangguk.
Dipandangnya Siti yang bertinggung tepi meja, sebelah Didi.
"A'ha...Ma...."Balas Wari. "Ma jaga diri baik-baik ye..kalau ada
apa-apa hal suruh Lisa call handphone Ri..."Dikucupnya dahi ibunya
lama. Siti hanya memerhati.
"Jangan bawa motor laju-laju Ri...."
"Mama janganlah risau. Bukannya baru ni Ri pergi konvoi macam
ni..."Wari bangun. Dia hulurkan helmet pada Rina.
"Emm....Ma, kereta Ri tinggalkan kat rumah. Jangan beri Lisa guna.."
"Didi...Fifi..Acik nak sayang sikit..."Wari dukung Fifi lalu diciumnya
pipi anak kecil itu lama. Meronta-ronta Fifi kelemasan.
"Nanti Acik balik, bawak kapal terbang ye....."
"Acik ni..asyik nak jalannnnnn.....ajelah..."Didi tiba-tiba menjerit.
Wari ketawa. Dia cuba memeluk Didi tapi Didi meronta-ronta minta
dilepaskan.
"Acik nak sayang sikit le...."Pujuk Wari.
"Tak nak la....tak nak kawan dengan Acik..."Didi tolak dada Wari. Wari
hampir-hampir tersungkur ke belakang.
"Ooh.....tak nak kasi Acik sayang dia.....tak pe...Acik sayang orang
lain le...."Wari bangun. Dia mendapatkan Rina yang sudah tarik muka
masam kerana lama menunggu.
"Acik asyik sayang Kak Rina ajer...."Didi bersuara perlahan sebaik
Wari dan Rina beredar. Siti tarik nafas panjang.
Direnungnya wajah Didi lama. Kesian Didi. Patutlah dia mencuka. Siti
jenguk kepala ke luar. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana Rina
boleh menunggang motor dengan skirt pendek begitu.

Selepas mengemas pakaiannya di dalam almari, Siti membersihkan dirinya
dan mengambil wuduk. Dia ingin solat Isyak awal-awal kerana bimbang
akan tertidur nanti. Biasanya bila sudah terlelap, dia rasa liat benar
hendak bangun semula. Sebentar tadi dia sempat menjenguk Mak Ungku di
biliknya dan menyemak buku sekolah Didi. Fifi sudah terlena di sofa,
hanya Didi saja yang tekun menonton siri kegemarannya. Siti hanya
membiarkan kerana dia tahu Didi sudah menyiapkan kerja sekolahnya dan
jam pun baru pukul 9 malam. Pukul 10 nanti dia akan suruh Didi masuk
tidur. Itu yang Mak Ungku pesan pada dia tadi.
Kartini jam 7 lagi sudah pulang. Makan malam terpaksalah Siti yang
menghidangkan. Tapi kerjanya tidaklah susah sangat kerana semua lauk
pauk sudah disiapkan Kartini. Siti hanya memanaskan dan membancuh
minuman. Biasanya sebelah malam, hanya Didi dan Fifi saja yang makan.
Mak Ungku hanya minum milo panas dan roti bakar di biliknya.
Terkocoh-kocoh Siti menyiapkan roti bakar tadi. Dia tidak berapa mahir
menggunakan alat pembakar roti itu. Dikampungnya tidak ada. Nasib baik
Didi membantu menunjukkan cara-caranya. Bila diingat-ingat Siti rasa
gelihati pula. Anak sekecil Didi pun tahu menggunakannya, tapi dia yang
dah besar panjang masih terkial-kial. Tak moden langsung!

Selesai solat, Siti ke ruang tamu lalu duduk di sisi Didi. Didi angkat
kepala dan tersenyum. Dia berganjak rapat kepada Siti lalu direbahkan
kepalanya di ribaan Siti. Siti usap kepala anak kecil itu. Dia dapat
rasakan sentuhan itu membangkitkan satu perasaan halus dalam dirinya.
Dia tidak punya adik. Dan dia tidak pernah memanjai seorang adik.
Terasa seperti satu pengalaman baru dalam hidupnya. Dia dapat rasakan
betapa Didi mungkin merindui belaian ibunya. Mungkin tiada sesiapa yang
boleh diharapkan buat masa ini untuk menggantikan kasih seorang ibu.
Mak Ungku memang amat menyayangi cucu-cucunya ini tapi dia sendiri
tidak begitu sihat untuk melayan karenah mereka. Kartini pula hanya
menyiapkan urusan di dapur. Sebelah malam dia tidak ada untuk menemani.
Wari pula, seperti kata Mak Ungku, jarang benar lekat di rumah. Ada-ada
saja aktiviti luarannya. Kadang-kadang sampai 2-3 hari tidak balik ke
rumah. Dan Mak Ungku sudah faham benar dengan perangai anak bujangnya
itu. Lisa pula menurut Mak Ungku, agak panas baran dan gemar
menghabiskan masa di luar. Tapi satu yang bagusnya tentang anak
gadisnya itu ialah dia rajin dan bagus dalam pelajaran. Siti ingin
sekali melihat Lisa kerana sejak pagi tadi gadis itu tidak
pulang-pulang lagi.

"Didi, nak minum susu ke?"Tanya Siti tiba-tiba. Didi mendongak lalu
mengangguk.
"Lepas minum susu, masuk tidur ye!"
"Tapi cerita ni belum habis lagi.."Dia bangun.
"Okay..okay....lepas habis cerita ni, baru masuk tidur...."Didi
tersengih lebar.

Siti ke dapur menyiapkan segelas susu. Diletakkan susu di atas meja
depan tv. Kemudian dia naik ke atas. Niat di hati untuk melihat Mak
Ungku kalau-kalau dia perlukan sesuatu. Dia mengetuk pintu tapi tiada
sahutan. Perlahan-lahan tombol pintu di tarik. Cahaya lampu agak samar.
Mak Ungku sedang bersandar di kepala katil dengan mata terpejam.
Nafasnya turun naik.

"Mak Ungku..."Siti menyentuh bahu orang tua itu. Mak Ungku buka mata.
"Mak Ungku tak apa-apa?"Takut juga Siti kalau-kalau dia mengganggu
lena Mak Ungku.
"Didi dah tidur?"Tanya Mak Ungku perlahan.
"Belum, dia tengah tengok tv kat bawah.."Balas Siti.
"Lisa?"
"Emmm...Lisa belum balik lagi..."Siti gigit bibir. Mak Ungku tarik
nafas panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan.
"Lisa selalu sangat balik malam. Sekolah habis pukul 2, tapi tak
pernah nak sampai rumah awal..."Keluh Mak Ungku tiba-tiba.
"Wari pun bukannya nak ambik tahu hal adiknya. Asyik-asyik nak
merayap......risau Mak Ungku..."Siti diam.Dia tidak tahu apa yang
hendak diperkata.
"Nasib baik ada Siti sekarang ni. Kalau tak kesian budak-budak tu, tak
ada sapa nak tengokkan..."Mak Ungku usap rambut Siti. Renungannya
lembut masuk ke hati.
"Emm...kenapa Kartini tak tinggal terus di sini, Mak Ungku?"Tanya Siti.
Mak Ungku diam seketika.
"Kalau dia tinggal di sini, boleh dia jaga budak-budak tu.."Sambung
Siti lagi.
"Lisa dan Wari tak mahu Kartini tinggal di rumah ni. Sejak arwah ayah
mereka meninggal, memang kami tak ada pembantu rumah tetap. Kalau ada
pun, cuma untuk masakkan makanan makcik dan kemas rumah. Diorang tu
bukannya selalu makan kat rumah. Tapi sekarang ni, bila anak makcik
Maria pindah ke sini, makcik kenalah cari orang untuk jaga anak-anak
dia tu..."
Siti angguk.
"Kak Maria tu kerja apa, Mak Ungku?"
"Anak makcik tu pengurus di syarikat arwah ayahnya. Bahagian kewangan.
Makcik pun tak tahu sangat. Suami makcik ada dua syarikat. Satu tu,
suami Maria yang uruskan. Lagi satu tu, adik ipar makcik tolong uruskan
sebab si Wari tak nak jaga. Wari tu pandai. Belajar sampai ke luar
negara, tapi bila balik bukannya nak kerja. Merayap saja yang dia
tahu..."Mak Ungku geleng kepala. Siti terbayangkan wajah Wari.

"Makcik harapkan dia untuk uruskan syarikat ayahnya tu.Itu sajalah
warisan keluarga makcik. Tapi dah dekat 3 tahun dia habis belajar,
kerja pun tak.....Nak harapkan Maria, dia pula sakit..."Siti tarik
nafas panjang. Sedih pula dia mendengar rintihan hati orang tua itu.
Tapi apa yang boleh dia lakukan? Paling tidak, hanya mendengar.

"Mak Ungku sabar je lah ye....kak Maria pasti sembuh...Siti dengar kat
negeri omputih sana, ramai doktor yang hebat-hebat..."Mak Ungku senyum.
"Pasal Didi dan Fifi, Mak Ungku janganlah risau. Siti boleh jaga
mereka."
Mak Ungku genggam jemari Siti.
"Mak Ungku nak minum?"
"Tak apalah Siti. Perut makcik ni rasa penuh."Dia tepuk-tepuk perutnya
yang buncit. Siti ketawa.
"Kalau gitu, Siti turun dulu la ye."Siti bangun, menuju ke tingkap
yang terdedah. Patutlah sejuk! bisik hatinya. Langsir tebal yang
beropol-ropol itu ditarik ke dalam. Dia menjenguk keluar. Dari tingkap
boleh menghala terus ke pintu pagar. Pandangan Siti seketika tertancap
ke pintu pagar. Ada bayang-bayang di situ. Bayangan dua susuk tubuh
yang sedang berdiri. Lama Siti perhatikan. Dari cahaya samar-samar
kelihatan seorang gadis sedang berbual dengan seorang lelaki yang
bertenggek di atas motor. Lisa agaknya. Siti tutup kembali tingkap.

Selepas menyelimutkan Mak Ungku, Siti turun ke bawah mendapatkan Didi
yang masih belum tidur. Air susu masih tidak terusik. Siti menggeleng.
"Didi, kenapa tak minum susu tu, kan dah sejuk.."
"Oppsss"Didi tutup mulut."Lupalah Kak Siti...."Dia bergegas
mendapatkan susu lalu meneguknya laju. Gelihati Siti memerhatikannya.
"Jom masuk bilik. Akak nak angkat Fifi ni..."Siti membongkokkan
badannya untuk memangku Fifi. Sebaik Fifi berada dipangkuannya, pintu
depan terbuka. Seorang gadis terpacul di muka pintu. Siti terhenti.
Pandangannya mereka bertembung.
Berdebar juga hatinya melihat reaksi gadis itu.

"Dik Su.."Didi menjerit keriangan. Gadis itu masuk lalu mencium Didi.
"Didi tak tidur lagi?"
"Didi nak tidur la ni. Tunggu Kak Siti..."
"Awak ni siapa?"Lisa kembali memandang Siti. Wajahnya berkerut.
"Errr...Siti.."
"Siti Nurhaliza?"
"Err..bukan...Siti Nuranis..."Balas Siti perlahan.
"Apa awak buat kat sini?"
"Apalah Dik Su ni....Kak Siti jaga Didi dan Fifi laa...."Didi tarik
tangan Lisa.
"Didi diam"Suara Lisa meninggi. Didi terdiam serta merta. Tangannya
jatuh melorot dari pegangan.
"Apa awak buat kat sini?"Sekali lagi dia bertanya.
"Ehhmm....saya datang untuk jaga Didi dan Fifi.....Mak Ungku yang..."
"Ohh.....nilah babysitter yang Mama cakap ari tu?"Lisa tersengih.
Direbahkan tubuhnya di atas sofa. Susuk tubuh Siti diperhatikan dari
atas ke bawah.
"Bila awak datang?"
"Pagi tadi."
"Dari kampung?"Siti angguk. Dia berdiri tegak sambil memangku Fifi.
Terasa lenguh tangannya menampung tubuh anak kecil itu.
"Boleh ke awak jaga budak dua orang ni?"Lisa besarkan mata. Siti diam.
"Saya tanya, boleh ker awak jaga diorang ni?"
"InsyaAllah..boleh.."Balas Siti perlahan. Lisa bangun lalu ketawa
tiba-tiba.
"Suka hati awak lah..."Dia capai kembali beg sandangnya yang dicampak
atas sofa tadi. "Saya nak masuk tidur. Awak layanlah diaorang ni. Didi,
pegi masuk bilik.."

Lisa bergegas naik ke atas sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Siti hanya
memerhatikan lagak gadis itu. Debar hatinya semakin menurun. Lisa,
walaupun usianya lebih muda darinya, tapi gayanya lebih dari itu. Tiada
rasa hormat, bisik hati Siti. Tapi ini kali pertama aku bertemunya. Tak
patut aku anggap yang bukan-bukan tentang dirinya. Siti tarik nafas
panjang. Dia mula mendaki tangga. Didi disebelah mengekori sambil
jarinya mengenggam hujung baju Siti. Kesian anak kecil itu. Patutlah
selalu kesunyian. Lisa sendiri jarang menghabiskan masa dengan mereka.

No comments:

Post a Comment