Wednesday, July 28, 2010

Badai Pasti berlalu - 32

Hiruk-pikuk manusia yang ramai memenuhi Hentian Puduraya. Iman dan Fatin saling berpimpinan tangan menuju ke ruang platform. Ismail pula mengekori mereka berdua dari arah belakang sambil menjinjing bagasi kecil milik Iman. Sesekali lelaki itu cuba untuk memimpin tangan Iman tetapi Iman lebih pantas menepis, dia segan dengan Fatin sebenarnya. Sedari tadi sahabatnya itu lebih senang memerhatikan dirinya dengan Ismail. Menurut Fatin, dia suka sekali melihat aku bergandingan dengan lelaki itu, bagaikan ada keserasian dan persamaan di antara seorang Iman Nuraina dan Ismail Syafiq.



Iman membiarkan sahabatnya itu berbual mesra dengan Ismail lantaran dia sendiri ketiadaan idea untuk berbicara. Dia masih kaku, tidak biasa sebenarnya dengan ikatan yang baru terjalin ini. Sudahnya, dia hanya menjadi pendengar dan hanya sesekali mencelah perbualan antara Ismail dan Fatin yang sememangnya peramah orangnya itu. Sahabatnya itu tidak pernah penat bertanya itu dan ini pada Ismail, lagaknya bagaikan seorang inspektor polis, menyiasat dan terus menyiasat. Kadangkala, ada di antara soalan-soalannya yang turut menjerat Iman dan Ismail sendiri. Tapi, Iman tidak pernah marah, sememangnya itulah diri Fatin Najwa yang sebenarnya, telus dan berterus terang orangnya.



Bas ke Johor Bahru hanya akan bertolak dalam masa kurang sejam. Fatin sudah pun meminta diri untuk pulang. Kini, hanya dia dan Ismail di situ. Iman berfikir-fikir, cuba menyusun kata.



“Iman.” Panggil Ismail sepatah. Belum sempat Iman menjawab telepon di genggamannya berbunyi.



“Hello… Waalaikumsalam. Erm… ya aku still kat Pudu lagi ni. Kenapa?” Iman menjawab seraya berdiri dan berjalan beberapa langkah ke depan. Ismail hanya memerhati dan cuba mencuri dengar perbualan Iman dengan pemanggil di hujung talian.

“Apa? Kau nak jumpa aku? Dah ada kat sini? Erm… ok, ok, aku ada kat platform 13 ni. Ok, baiklah aku tunggu. Erm… ok, bye, waalaikumsalam.” Iman mematikan talian.

“Siapa called?” Tanya Ismail pantas. Sekali lagi, belum sempat Iman kembali duduk dan menjawab pertanyaan Ismail, Haziq sudah pun berada di depannya.



“Hai.” Sapa Haziq dengan wajah ceria. Iman hanya membalas dengan senyuman kecil.

“Nasib baik aku tak terlambat ek. Aku terlupa yang kau balik hari ni, nasib baik ibu aku ingatkan. Kalau tidak mesti tak dapat jumpa kau, kan.” Ujar Haziq, mengesat peluh di dahi.

“Alah… engkau memang Ziq, selalu aje lupakan aku, dari dulu lagi macam tu.” Komen Iman.

“Sorry lah bukan aku sengaja. Lagipun, dulu lain, sekarang lain, zaman lagikan berubah, inikan pula manusia Cik Iman… lagi pulak orang bujang macam aku ni, semuanya nak di ingatkan.” Haziq menjawab dalam nada bergurau.

“Erm… iyelah tu. Tapi kan, aku rasa kau ni dari dulu sampailah sekarang, macam tu jugak, selalu ajer terlupa ek. Orang tua pun ingatan diorang kuat tau Ziq. Agaknya, engkau ni banyak termakan semut kot Ziq.” Balas Iman dalam gelak tawa mesra.



Iman sudah biasa dengan suasana yang begitu apabila bertemu Haziq, saling bergurau dan ketawa mesra. Perpisahan waktu yang lama tidak menjejaskan kemesraan mereka berdua. Seketika dia jadi terlupa dengan kewujudan insan ketiga di situ. Wajah Haziq di perhati dengan senyuman yang tidak lekang di bibirnya.



“Hish… kau ni Iman, ada ke kata aku macam tu pulak. Anyway, ni ada ole-ole dari ibu aku untuk kau.” Haziq menghulurkan bungkusan beg plastik yang di jinjitnya sedari tadi.

“Sorrylah, aku bergurau jer tadi. Erm, apa-apa pun terima kasih ya, buat susah-susah aje ibu kau ni.” Balas Iman.

“Alah, bukan susah mana pun. Dan, yang satu lagi ni khas dari aku untuk kau.” Balas Haziq seraya menghulurkan sejambak bungan ros berwarna merah jambu. Senyuman manis tidak lekang dari wajah kacak itu. Iman terpana, wajahnya sedikit merona.



Iman mengalih pandangan ke kanan, cuba menyembunyikan rona di wajahnya. Tiba-tiba hatinya tersentap, dua pasang mata bertentangan hebat. Ya Allah, bagaimana dia boleh terlupa akan kewujudan lelaki yang satu lagi itu. Wajah itu tegang, telinganya memerah. Marahkah Ismail? Mata hitam itu menjeling tajam ke arahnya sekilas sebelum menumpukan kepada pembacaan di akhbar. Helaian akhbar berita minggu di selak agak kasar, menunjuk rasa hati yang marah barangkali. Iman menelan liur, cuba berlagak seperti biasa.



“Err… Haziq lupa pulak aku nak kenalkan dengan kau. Ini, kenalkan kawan aku Ismail Syafiq.” Tutur Iman. Wajah Haziq yang sebentar tadi penuh dengan riak ceria kembali normal, tiada lagi tawa mesra dari lelaki itu.

“Ismail, kenalkan ini kawan lama saya, Imran Haziq.” Sambung Iman. Dia memandang kedua wajah di sisi kiri dan kanannya silih berganti. Sebuah senyuman kecil terukir manis di bibir merahnya.



Haziq merapatkan langkah manakala Ismail masih lagi bungkam di kedudukannya. Iman memandang anak mata Ismail, memohon pengertian dan kerjasama dari lelaki itu. Lambat-lambat baru Ismail bingkas dan menyambut huluran salam dari Haziq. Iman menghela nafas lega. Dia maklum, Ismail pasti sedang marah dan Iman mengakui kesilapan dirinya. Tapi, dia tidak mahu Ismail bersikap dingin begitu. Dia mahu setiap temannya menjadi teman Ismail juga.



“Hai, saya Ismail Syafiq.” Hanya sebaris ayat itu yang keluar dari bibir Ismail.



Ismail tiada mood untuk berbicara lanjut apatah lagi beramah mesra dengan kawan Iman itu. Hatinya sakit, perasaan cemburunya membuak-buak, sukar untuk di bendung lalu lebih baik dia berdiam diri. Pada hakikatnya, dia seorang yang agak peramah, dia suka berkawan dan berbual mesra dengan sesiapa saja. Ismail tidak pernah membataskan had dalam pergaulan, miskin ataupun kaya kalau bersesuaian akan menjadi kenalannya. Tapi, untuk hari ini dia tidak peduli, biarlah apa jua tanggapan buruk lelaki di depannya itu.



“Erm, saya Imran Haziq.” Balas Haziq. Kedua lelaki itu ternyata agak kaku pada pandangan mata Iman.

“Oklah Iman, aku tak boleh lama-lama. Kereta aku parking kat tepi jalan aje. Nanti tak pasal-pasal kena saman pulak.” Haziq memberi alasan untuk segera pulang. Entah mengapa dia rasa tidak sedap hati. Dia dapat merasakan kelainan pada pandangan mata lelaki di sisi Iman itu. Adakah itu teman lelaki Iman? Ada sedikit kesalan di hatinya.

“Erm… ok, kirim salam kat ibu dan ayah kau ya Ziq. Cakap kat mereka, terima kasih banyak-banyak. Ada masa nanti kita jumpa lagi ya.” Balas Iman.

“Ok, take care ya.” Pesan Haziq seraya meminta diri untuk beredar.



Suasana kembali sepi di antara mereka. Iman menilik jam di tangan. Kurang setengah jam lagi dia akan bertolak. Di kerling ke arah Ismail, lelaki itu masih menatap akhbar, khusyuk sekali. Entah apa yang di beleknya sedari tadi, takkanlah setiap butir iklan pun hendak di baca. Ataupun, lelaki itu sengaja ingin mendera dirinya pula. Kebisuan Ismail menjadikan Iman tidak keruan. Iman mengeluh perlahan, menenangkan hati, dia perlu mengatakan sesuatu sebelum bertolak balik.



“Ismail…” Panggil Iman namun tiada tindak balas.

“Ismail Syafiq…” Ulang Iman. Dia merenung tajam wajah yang selamba itu, masih tiada jawapan.

“Ismail!!!” Jerit Iman agak kuat. Kali ini barulah lelaki itu menoleh ke arah wajahnya yang pasti kelihatan merah menahan marah.

“Ada apa?” Soal Ismail dengan kerutan di dahi.

“Ismail, awak marahkan saya, hmm?” Tanya Iman geram.

“Awak rasa bagaimana? Saya suka, gembira, begitu?” Sinis sekali suara Ismail. Iman menghela nafas perlahan.

“Baiklah, saya mengaku saya bersalah, saya betul-betul terlupa tadi. Maafkan saya. Ok, saya turun bawah dulu ya, assalamualaikum.” Balas Iman. Dia malas hendak memanjangkan sengketa. Ismail menyambar pantas pergelangan tangan Iman membuatkan gadis itu kembali terduduk.

“Begitu mudah? Sudahlah masa saya berbual dengan Fatin tadi awak membisukan diri tapi, bila jumpa dengan kawan awak, siapa nama dia tadi? Ziq? Haziq? Hah, rancaklah pulak berbual, ketawa riang sampai lupakan saya. Sekarang, awak nak balik macam tu aje, hmm?” Ujar Ismail geram melepaskan bahang di hatinya.

“Dah tu awak nak apa, hah? Lepaskan tangan saya!” Jawab Iman geram. Dia malu di perlakukan begitu di tempat awam yang di penuhi manusia yang tidak lepas memerhati ke arah mereta berdua.

“Bagi sini tiket awak pada saya.” Minta Ismail serius.

“Awak nak buat apa?” Pertanyaan Iman tidak di pedulikan. Tiket di tangan Iman di rampas sedikit kasar, Iman tersentak.



Iman hanya mampu ternganga melihat kelibat Ismail Syafiq hilang di celah-celah orang ramai. Dari jauh dia cuba meninjau-ninjau apa yang akan di buat oleh lelaki itu. Ismail mencari-cari nama kuanter yang tertera seperti di tiket itu. Seketika langkah Ismail berhenti di depan Kaunter Johora Ekspress. Setelah selesai urusan urusniaga dia kembali mendapatkan Iman yang pasti sedang resah menanti dirinya.



“Jom, bawa beg awak tu sekali.” Arah Ismail mencapai tangan Iman. Dia menoleh setelah di dapati Iman bungkam di kerusi.

“Iman… cepatlah.” Wajah kelat itu di renung geram. Tangan Iman di tarik supaya bingkas bangun.

“Ismail, apa awak nak buat ni? Kita nak ke mana?” Tanya Iman dengan nada yang bergetar. Dia rasa seperti mahu menangis di paksa sebegitu oleh Ismail.

“Hei… Cik Iman sayang… saya cuma tukar tiket bas awak ajerlah, bukan buat apa-apa pun. Bas awak pukul 4.30pm nanti, jadi nak buat apa tunggu lama-lama dekat sini. Faham sayang…?” Terang Ismail. Hatinya yang seketika tadi masih membara cair melihat rona keruh di wajah Iman.



Iman hanya menuruti langkah Ismail Syafiq. Bagasi kecilnya di letakkan di kaunter simpanan beg bersama-sama ole-ole pemberian Haziq. Iman masih bengang dengan tindakan Ismail yang sesuka hati menukar waktu bertolak dirinya ke Johor Bahru. Lelaki itu pula tanpa rasa bersalah memimpin Iman terus, puas dia meronta namun, sedikit pun tidak mahu di lepaskan, bimbang Iman akan berpaling barangkali. Kini, mereka berdua berada di luar Hentian Puduraya. Iman menghela nafas lega, dia sebenarnya rimas berada di dalam hentian yang ternyata sesak itu.



Ismail memaut erat pinggang ramping milik Iman. Sekilas dia menjeling wajah Iman di sisinya, dia menahan ketawa melihat muka monyok gadis itu. Rona merah jelas kelihatan, pasti Iman tidak suka di perlakukan begitu. Namun, Ismail tidak mahu ambil peduli, dengan selamba dia mendororong gadis itu mengikuti langkahnya. Ismail hanya ingin memanfaatkan waktu yang singkat ini untuk bersama-sama gadis itu. Dia hanya ingin matanya menatap wajah itu, berbual mesra sebelum Iman bertolak balik ke Johor Bahru. Kalau di ikutkan hati, mahu saja Ismail sendiri yang menghantar gadis itu pulang tapi, mengenangkan tuntutan kerja dia melupakan hasratnya itu.



Iman tidak keruan. Sebenarnya, dia masih tidak biasa dengan keadaan yang baru ini. Lidahnya kelu, tingkahnya kaku, mindanya membeku. Serbanya bagaikan tidak kena. Mungkin juga, ini adalah ‘first date’ mereka secara rasmi. Semalam dan hari ini jauh bezanya, ternyata kawan dan kekasih itu dua dunia yang berbeza. Ismail pula sudah mula menunjukkan belangnya, mula menguasai dirinya sesuka hati. Sudahnya, dia hanya mengikut langkah Ismail, sepatah yang di tanya oleh Ismail sepatah juga yang di jawabnya. Namun, dia sebenarnya senang sekali dengan layanan Ismail untuk dirinya. Setiap detik dirinya di berikan perhatian dan perlindungan, entah mengapa dia berasa selesa dan selamat berada di samping jejaka itu.

1 comment: