Sunday, July 25, 2010

Badai Pasti Berlalu - 31

Iman berbaring mengiring di atas katil. Matanya memerhatikan ke arah Fatin di sebelahnya, enak melayan mimpi. Tapi, benarkah gadis itu sudah ketiduran, ataupun sekadar berpura-pura. Baru sebentar tadi mereka berborak, rancak bercerita itu dan ini sekembalinya Iman dari berjumpa Ismail Syafiq. Mungkinkah gadis itu memasang telinga mendengari perbualannya dengan Ismail? Sekali lagi wajah Fatin di belek, ada mimik nakal yang terukir, bibir itu seakan menahan senyuman. Benar telahannya, serentak kemudian ketawa Fatin meledak memecah keheningan malam.



“Fatinnnn……” Sebuah cubitan hinggap di lengan gadis yang masih lagi terkekeh-kekeh ketawa.

“Rindu… Sayang…” Fatin mengajuk cakap Iman sebentar tadi.

"Fatinnn.... kau ni memang tau!" Marah Iman bila Fatin terusan mengusik dirinya. Fatin ketawa kuat kerana tidak dapat menahan rasa gelihati melihat rona di wajah Iman.



Malu. Iman menekup mukanya dengan bantal, cuba menyembunyikan rona dan riak yang terukir di wajahnya saat itu. Fatin di sebelah terusan mengusiknya membuatkan Iman tidak keruan. Seketika, apabila keadaan kembali reda Iman bingkas bangun, memetik suis lampu lalu duduk bersila di atas katil. Ada sesuatu yang ingin di bicarakan dengan sahabatnya itu.



“Fatin, menurut kau betul ke apa yang aku buat ni ek? Err… maksud aku hubungan aku dengan Ismail, salah tak kalau aku jadi teman istimewa dia?” Tanya Iman meminta pendapat gadis itu mengenai hubungannya dengan Ismail.

“Eh betullah, apa pulak salahnya? Perasaan kau pada dia macam mana? Kau sayangkan dia? Cinta?” Balas Fatin pantas.

“Erm… sayang tu mungkin, tapi cinta tu… aku sendiri tak pasti. Kami baru saja berkenalan, bertemu pun baru beberapa kali so, tak banyak yang aku tahu mengenai dirinya. Aku kelirulah Fatin. Tapikan… aku senang sekali dengan dirinya. Serasi barangkali.” Luah Iman.

“Erm, macam tu ke? Dia handsome tak? Baik tak? Penyayang tak?” Tanya Fatin penuh minat.

“Entah, nak kata handsome, biasa saja, nak kata tak, boleh tahanlah jugak. Tapi, aku tak kisah, bukan itu ukurannya. Baik? Kalau yang itu aku tak pasti lagi tapi… di mata aku dia kelihatan ikhlas, jujur melahirkan perasaannya terhadap aku. Sayang? Erm… yang itu aku tak tahu, masih terlalu awal untuk aku menilainya.”

“Oh… like that ke? Erm, kau suka dia tak?” Ujar Fatin dengan riak nakal.

“Entah, suka jugaklah kot. Mulanya aku curiga dengan kelakuannya tapi, entahlah… tiba-tiba aku rasa macam menyesal pulak, memberi harapan pada dia sedangkan hati sendiri tidak pasti dengan perasaan aku padanya.” Terang Iman panjang, dia mengeluh perlahan.

"Tapi, kau sudah mula merindui dia kan?" Tanya Fatin lagi. Iman tidak menjawab, wajah Ismail yang terlayar di pandang penuh asyik. Ya, dia sudah berubah, berubah menjadi seekor burung pungguk, pungguk yang merindui kemunculan sang bulan.



Iman duduk memeluk lutut. Fatin di depannya terkebil-kebil memandang wajah muram Iman. Seketika, keadaan kembali senyap, seorang sedang melayan perasaan manakala seorang lagi sedang mundar-mandir, berfikir-fikir mencari ilham. Fatin menggaru-garu dagunya dengan senyuman nakal lalu duduk bersimpuh rapat di depan Iman.



“Iman, aku yakin Ismail seorang lelaki yang baik, sesuai untuk kau. Lagipun, aku rasa memang dia ikhlas menyayangi diri kau. Kalau tidak takkanlah dia beriya-iya mengekori kau sejak dulu, kan? Kau pergi tengok wayang dia jaga kaunter masuk, kau beli baju dia jadi salesman. Kau duduk kat Stulang dia jadi pemerhati. Hah, takkanlah kau masih tak percaya kat dia lagi? Atau, kau saja yang buat-buat tak faham!” Iman tersenyum kecil mendengar kata-kata Fatin yang berbaur gurauan itu.

“Lagipun pada akulah kan, biarlah kita menerima orang yang betul-betul menyintai diri kita, tak ada ruginyalah! Hati orang perempuan ni lembut Iman... senang aje nak tangkap cintan kat laki dia…”

“Erm… iyerlah, mana kau tahu senang? Kau bukan tahu perasaan aku. Lagipun, Ismail tu bukan laki aku, ada faham?” Potong Iman. Fatin tersengih manja.

“Alah… tentang perasaan kau pada dia tu, aku rasa mudah saja. Perasaan sayang itu sudah ada dalam hati kau cuma kau keliru, itu saja. Cinta boleh di pupuk Iman. Lagipun dia lelaki pertama yang hadir dalam hidup kau, kan? So, apa masalahnya?” Iman mengangguk, menerima apa yang di katakan oleh sahabatnya itu.

“Betul apa yang kau katakan Fatin, mungkin aku perlu memberikan dia peluang, memberi ruang untuk kami saling mengenali. Dan, aku sendiri akan cuba belajar untuk menerima Ismail dalam hidup aku. Tentang hubungan yang seterusnya aku serahkan kepada takdir. Aku redha jika memang jodoh aku dengan dia. Kalau tak pun, aku terima segala ketentuanNya.” Ungkap Iman penuh yakin.

“Hah, macam tulah baru Iman Nuraina, sahabat yang aku kenali. Hidup manusia ni perlu bertolak ansur, saling memberi dan menerima, barulah jodoh berkekalan. Betul tak?” Iman tersenyum mengiyakan kata-kata Fatin itu.

“Terima kasih Fatin, kaulah sahabat aku dunia akhirat.” Lirih saja bicara Iman.



Mereka berdua berpelukan erat. Buat pertama kalinya Iman menangis di bahu Fatin. Hatinya tersentuh dengan kebaikan gadis itu kepadanya semenjak sekian lama. Susah senang hidupnya sering di kongsi bersama Fatin. Suka duka dirinya juga di rasakan bersama-sama sahabatnya yang satu itu. Alangkah bertuah dirinya kerana mempunyai sahabat yang sebaik gadis itu. Dia amat menghargai setiap kasih sayang yang tercurah di dalam hidupnya. Sungguh! Iman bersyukur dengan anugerah yang satu ini.



“Err... emosinya aku.” Bisik Iman tiba-tiba, dia tersenyum malu.

“Tak apa, bukan senang aku nak tengok kau menangis begini. Sekurang-kurangnya aku terasa berguna sikit jadi kawan kau, Iman. Lagi satu, tolong jangan pendamkan apa jua masalah yang kau hadapi. Aku sedia menjadi pendengar setia kau. Aku tak nak kau sakit lagi macam hari tu. Aku takut kau tahu tak?” Pesan Fatin.

“Erm, insyaallah. Fatin, esok aku kenalkan kau dengan Ismail ya. Aku nak kau jadi orang pertama yang mengenali dirinya.” Balas Iman sedikit ceria.

“Ok, aku pun tak sabar nak berjumpa dengan lelaki yang bertuah tu. Mesti korang berdua ni secocok kan? Eee... tak sabarnya aku...” Sambut Fatin ceria.

“Entahkan bertuah, entahkan malang Fatin…” Balas Iman perlahan.

“Eh bertuahlah, apa pulak malangnya. Kau kan cantik, baik hati lagi. Dan yang paling bertuah sebab kau tu kawan aku. Sungguh, aku tumpang gembira Iman.” Fatin mencapai tangan Iman dan di genggam erat.

“Fatin, hubungan kau dengan Fikri macam mana? Semuanya baik-baik saja kan?” Tiba-tiba saja Iman teringat untuk bertanya mengenai hal itu.

“Erm, semuanya ok. Kami rancang nak bertunang dalam masa terdekat ni. Nanti aku beritahu kau ya. Kau orang yang pertama yang akan aku jemput nanti.” Iman mengangguk, sekali lagi mereka berpelukan mesra.

Sungguh! Iman turut tumpang gembira dengan kebahagiaan hidup sahabatnya itu. Dia sayangkan Fatin sebagaimana dia menyayangi ibu dan keluarganya. Kebahagian Fatin adalah kebahagian hidupnya, keceriaan Fatin adalah kegembiraan hatinya, kasih sayang Fatin memancar sinar kehidupannya. Antara mereka berdua tersimpul silaturrahim yang erat. Iman sentiasa berdoa semoga ikatan suci ini tersimpul selamanya.


No comments:

Post a Comment