Thursday, July 15, 2010

Badai Pasti Berlalu - 29

Iman semakin gelisah. Hampir satu jam namun dia masih tidak tahu arah tujuan Ismail. Dan kini, mereka berada pula jauh di dalam hutan, menyelusuri rimba yang gelap. Kepekatan malam menambah ketakutan Iman. Kereta Ismail berhenti di depan sebuah rumah kayu yang di terangi cahaya suram. Iman terasa seperti berada di sebuah desa yang permai, sunyi, namun begitu indah di iringi bunyian cengkerik juga unggas-unggas malam. Dekorasi rumah itu seperti rumah melayu lama, di jaga rapi dengan dekorasi rimbanya, cantik dan tampak begitu unik sekali. Persekitarannya juga begitu bersih, udara nyaman, nyamuk juga tidak kelihatan.



Sarang Murai. Restoran Masakan Kampung. Iman menghela nafas lega. Setidak-tidaknya dia tahu yang Ismail tidak akan berbuat sesuatu yang tidak elok kepada dirinya. Sebaik melangkah masuk, mereka di iringi ke satu sudut yang agak privasi, hanya ada satu meja kecil yang memuatkan satu pasangan di sudut itu. Ismail hanya diam memerhati ke arahnya setelah membuat pesanan untuk mereka berdua. Iman merasa bagaikan ada sesuatu yang tidak kena di wajahnya. Jelik sangatkah dia ketika ini? Dia memang tidak bersolek, hanya secalit gincu yang di kenakan bersama rona pemerah pipi yang agak lembut warnanya. Rambutnya pula di lepaskan bebas, pakaiannya juga ringkas saja. Iman jadi gelabah tiba-tiba, malu di renung Ismail begitu. Hati wanitanya terusik.



“Ismail, kita dekat area mana ni?” Tanya Iman gusar, cuba mengalih tumpuan Ismail sebenarnya.

“Takkan tak tahu kot. Tak nampak signboard kat depan tadi tu? kenapa pula nak tahu?” Ismail masih lagi merenung Iman. Terselit senyuman nakal di bibirnya. Dia suka melihat Iman gelabah begitu, tampak lebih comel!

“Tak mengapalah kalau awak tak mahu bagi tahu. Saya tak kisah, itu hak awak.” Balas Iman mendatar.



Lelaki itu sengaja membuat dia rasa seperti orang bodoh, tertanya-tanya sendiri. Dia rasa jauh hati, sedar dirinya ketinggalan zaman, kuno berbanding dengan Ismail Syafiq yang kelihatan ‘educated’ itu. Matanya kini terarah ke kaca TV. Lebih baik menonton Norzie Pa’ Wan Chik daripada mengadap wajah Ismail Syafiq yang masih lagi tidak lepas merenungnya itu.



“Iman, awak marah? Merajuk?” Tanya Ismail. Iman diam tidak menjawab, seolah-olah sedang khusyuk menonton Majalah 3.

“Iman… sorry ok, saya bergurau aje tadi. Kita dekat Jalan Pangsun, area Hulu Langat. Kalau awak nak tahu, inilah tempat favourite saya. Masakan kampung kat sini sedap tau. Mesti awak pun suka nanti.” Terang Ismail.

“Awak bawa saya ke tempat jauh-jauh macam ni, tengah hutan rimba, malam-malam pulak tu, awak ingat saya ada selera nak makan?” Tanya Iman mendatar, dia masih tersinggung namun dia juga sukakan tempat ini. Kedamaian di sini telah pun berjaya menambat hatinya.

“Iman please… Memanglah jauh tapi sedap tau. Awak cubalah dulu, ok? Iman… sekarang makanlah.” Pujuk Ismail. Lelaki itu sudah mula menyuap makanan.



Asam pedas ikan pari, kacang panjang masala, ayam goreng cili, ulam raja, tempe dan ikan bilis. Nampaknya, hidangan kampung yang terhidang begitu menarik selera lelaki itu. Laju saja tangan Ismail menyuap makanan tanpa menyedari yang dirinya sedang di perhatikan oleh Iman, lama! Entah mengapa Iman jadi ralit dengan perbuatannya itu. Setiap tingkah dan gaya Ismail di perhatikan satu persatu. Telinga dan hidung lelaki itu mula merona merah menahan pedas, terbit senyuman kecil di bibir Iman. Ismail nampak kelakar di matanya.

“Iman… please… janganlah tengok saya macam tu, malulah…” Ismail seakan merayu, sepontan Iman tergelak.

“Oh, tahu malu ya. Habis awak ingat saya tak malu kalau awak renung saya macam tu, hmm? Dia tenung orang boleh, orang tenung dia tak boleh…” Komen Iman, tangannya menghulurkan segelas jus limau kepada lelaki itu.

“Bila masa saya tenung awak ni? Hmm? So, apa yang awak rasa?” Tutur Ismail romantis. Jus limau di teguk habis untuk menghilangkan rasa pedas di mulutnya.

“Tak ada apa pun, biasa saja.” Iman mengelak. Wajahnya mula merona merah.

“Iya ke ni? Bukan ke… awak rasa apa yang saya rasa? Kita merasa rasa yang sama. So, bagaimana rasanya?” Tanya Ismail. Iman tersenyum gelihati mendengar sebaris pertanyaan lelaki itu.

“Ermm… sekejap ya, bagi saya rasa dulu kuah asam pedas ni. Sedap ke tak ek? Agak-agak awaklah, saya akan rasa sedap ke tidak?” balas Iman selamba.

“Imannnnnn… nakal ya!” Jeritan Ismail tidak di hiraukan. Iman selamba menikmati hidangan di depannya. Ismail juga turut meneruskan suapannya yang tergendala tadi.


Selera Iman yang hampir hilang sebentar tadi kembali terbuka di saat aroma asam pedas melintasi deria baunya apatah lagi mengenangkan keenakan pucuk ulam raja yang sememangnya menjadi kegemarannya itu. Benar seperti apa yang di katakan oleh Ismail, Iman tidak dapat menafikan keenakan hidangan yang di nikmatinya kini. Namun dia hanya mampu memakan satu pinggan nasi sahaja berbanding Ismail yang sudah beberapakali menambah nasi. Lelaki itu sememangnya menggemari masakan kampung yang di katakan mempunyai keunikan rasa yang tersendiri. Hidangan pencuci mulut yang enak mengakhiri juadah hidangan mereka berdua malam itu.



“Hei… apa ni ambil orang punya puding!” Sepontan Iman menjerit bila tiba-tiba Ismail mengambil piring puding roti yang sedang di makannya.

“Saya pun nak rasa jugak apa yang awak rasa.” Jawab Ismail. Selamba dia menyuap puding roti milik Iman itu. Terukir beberapa reaksi di wajahnya setiap kali potongan puding di kunyah. Iman tersenyum gelihati melihat wajah milik lelaki itu.

“So?” Tanya Iman, menjungkitkan kedua-dua keningnya.

“Ermm… betullah Iman, confirmed kita berkongsi rasa yang sama.” Jawab Ismail setelah merasa beberapa sudu potongan puding itu.

“Rasa apa? Manis? Lemak berkrim? Yang mana satu ek?” Iman bertanya pelik.

“Alah rasa yang tu lah… rasa yang awak rasa tu. Rasa…”

“Rasa apa?” Iman bertanya lagi.

“Rasa… rasa… rasa cin… ta!” Balas Ismail teragak-agak.

“What??? rasa cinta? Merepeklah awak ni. Kalau rasa manis ke, lemak ke saya tahulah.” Balas Iman pantas. Dia masih tidak dapat menangkap apa yang di maksudkan oleh Ismail.

“Apa pulak merepeknya. Betullah apa yang saya rasa. Iman… saya rasa saya cintakan awak, saya sayangkan awak Iman Nuraina. Iman, tolong jangan nafikan yang awak pun mempunyai perasaan yang sama dengan saya.” Luah Ismail.



Fuhhh… lega. Akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hatinya. Ismail merenung mata bundar Iman, cuba mendapatkan jawapan dari sebalik sinar itu. Iman terpana, dia mula mengerti. Tidak di sangka Ismail seberani itu mencurahkan perasaannya. Seminit dua, mereka hanya berbalas pandangan.



“Tapi, kitakan hanya kawan. Awak tak sepatutnya menyimpan perasaan itu pada saya Ismail…” Tutur Iman gusar. Tiba-tiba dia jadi tidak sedap hati. Tapi, mengapa jauh di lubuk hatinya dia merasa sedikit lega?

“Siapa cakap kita kawan? Saya tak rasa awak sesuai jadi kawan saya! Siapa yang nak jadi kawan awak. Saya tak mahu! Awak tahu tak?” Balas Ismail angkuh, wajah Iman di tenung tajam sekali. Sebenarnya, Ismail geram dengan persepsi Iman dalam hubungan mereka selama ini. Apakah seorang kawan tidak boleh bertukar menjadi seorang kekasih?



Iman pantas mendongak menentang tajam anak mata Ismail. Dia benar-benar tersinggung. Dadanya tiba-tiba berombak kencang, dia perlu melakukan sesuatu untuk mempertahankan harga dirinya. Dia tidak rela di persenda dengan sesuka hati oleh lelaki di depannya itu. Nampaknya Ismail masih belum mengenali dirinya yang sebenar. Renungan tajamnya di balas selamba oleh lelaki itu, langsung tiada riak orang yang tersalah kata.



“Hei Ismail… awak dah lupa ya? Awak yang cakap, awak sendiri yang nak saya jadi kawan awak. Awak paksa saya! Awak desak saya! Awak ingat saya nak sangat ke jadi kawan awak, saya pun tak ingin, awak tahu tak!!!” Tingkah Iman agak kuat. Mujur juga meja tempat mereka duduk agak tersorok dan jauh dari pelanggan-pelanggan lain.



Lega sedikit hatinya yang hangat membara. Dia geram Ismail memperlakukan dirinya begitu, bagaikan dirinya pula yang terhegeh-hegeh hendak berkawan dengan lelaki itu. Iman bungkam, sakit hatinya di perlakukan begitu. Ismail di depannya agak terperanjat, tidak menduga Iman akan seberang itu barangkali.



“Hantarkan saya balik sekarang juga!” Ujar Iman seraya bingkas bangun.



Iman melangkah pantas menghampiri kereta Ismail di tempat parkir. Panggilan Ismail langsung tidak di pedulikan. Kalau pun lelaki itu tidak mahu menghantarnya balik, dia rela mendapatkan bantuan Fatin atau sesiapa saja yang sudi membantunya.


Iman segera menghempaskan diri di atas katil sebaik sampai di rumah. Dia perlu menenangkan dirinya. Hati dan perasaannya tidak menentu. Fikirannya keliru tapi, dalam masa yang sama dia seakan pasti dengan naluri hatinya. Mindanya melayang mengingati pertemuan yang baru berlalu. Mengapa semenjak akhir-akhir ini dia mudah saja melenting, emosinya tidak dapat di kawal sedangkan dia bukan seorang pemarah. Selama ini Iman lebih tega berdiam diri, amarahnya di pendam, sakit hatinya di abaikan. Telinganya terngiang-ngiang memainkan kembali bicara akhir di antara dia dan lelaki itu. Dia jadi malu mengingatkan keadaan dirinya yang terburu-buru memarahi Ismail sebentar tadi.



“Hei, jangan emosi, marah saja kerjanya.” Tegur Ismail. Pergelangan tangan Iman di cengkam lembut, segera mematikan langkah Iman.

“Awak yang buat saya rasa marah begini. Awak mempermainkan saya. Dah tu, awak ingat saya nak bertepuk tangan, bersorak gembira, begitu? Saya geram awak tahu tak!” Gumam Iman geram. Wajah lembut Ismail di pandang tajam.

“Mari ikut saya.” Ajak Ismail, memimpin tangan Iman menuju ke kolam Ikan Koi.



Seketika mereka hanya duduk menyepi di situ. Masing-masing bagaikan cuba menenangkan perasaan sendiri. Ismail mundar-mandir manakala Iman duduk bungkam di kerusi. Sesekali mata Iman mengikuti pergerakkan Ismail yang kelihatan gelisah sekali. Ismail di lihat menarik nafas beberapa kali, cuba mencari kekuatan untuk berbicara barangkali.



“Iman… ok listen here, dengar apa yang saya nak cakapkan ni. Lepas tu kalau awak rasa nak marah saya, marahlah, saya terima, nak pukul pun tak apa, saya rela kalau itu yang dapat memuaskan hati awak.” Ujar Ismail memulakan bicara.

“Begini, memang saya tak mahu jadi kawan awak, ok? Tapi, sebenarnya maksud saya… saya mahukan awak lebih daripada seorang kawan Iman. Saya mahu menjadi sebahagian daripada hidup awak. Saya mahukan tempat di hati awak, berkongsi suka dan duka. I want to be with you, Iman. Selamanya kalau di izinkan Allah.” Luah Ismail penuh perasaan. Iman kehilangan kata, terpaku dengan luahan romantis lelaki yang kini berdiri tegak di depannya itu.

“Iman… Saya tak tahu nak bermadah-madah, berpuisi romantis atau memujuk rayu awak… tapi, itulah yang ada di hati saya selama ini, pada saat pertama kali kita bertemu sehinggalah saat ini. Perasaan itu semakin hari semakin berkembang mekar. Iman, saya sayangkan awak, saya cintakan awak. Dada saya sesak, hati memberontak, sungguh, saya sudah tidak mampu untuk memendamkannya lagi…” Sambung Ismail dalam keluhan yang berat.



Lega! Lapang dada Ismail tatkala segala yang terpendam di dalam hatinya terluah. Sememangnya dia sudah tidak mampu lagi untuk bertahan, dia takut kehilangan gadis itu lalu, malam itu dia bertekad untuk membuat perhitungan. Sekarang, semuanya terserah kepada Iman samada mahu menerima atau menolak cintanya. Kalau kecundang sekalipun Ismail tidak akan menyesal kerana setidak-tidaknya dia telah mencuba. Tapi, dia perlukan jawapan yang jujur, yang ikhlas lahir dari hati kecil Iman Nuraina sendiri.



“Iman?” Tekan Ismail setelah mendapati Iman masih membisu, langsung tidak memberi sebarang respon semenjak tadi.

“Sa… saya… saya tak pasti Ismail. Saya tak tahu. Kita baru beberapa kali bertemu, mengenali awak sepenuhnya jauh sekali, masakan secepat ini! Saya tak tahu, saya tak tahu Ismail...” Jawab Iman teragak-agak, wajah mulusnya di sembunyikan dari pandangan Ismail.

“Iman, please… say something, give me your answer, jangan buat saya terseksa begini. Iman… ” Ismail seakan merayu, dia jadi tidak sabar menanti bibir mungil itu mengeluarkan bicara.



Seketika kemudian Iman memberanikan diri, dia mendongak mencari sebentuk wajah milik Ismail di dalam kelam malam. Raut itu di belek, di perhati lama. Riak itu terukir ikhlas, jujur seiring luahannya sebentar tadi. Sinar mata memancar indah, membiaskan tulus rasa hati lelaki itu kepadanya. Iman mengerdip mata beberapa kali. Ah! Dia kalah dengan renungan penuh mengharap dari lelaki itu. Kawan atau kekasih? Tiba-tiba fikirannya bercelaru.



“Ismail…!” Jerit Iman perlahan, geram melihat Ismail di depan yang masih terusan merenungnya. Rona wajahnya bertambah pekat.

“Blushing… malu ya, hmm? Iman… bagaimana kalau kita cuba dulu? Kalau serasi kita teruskan, jika tidak, saya rela mengundurkan diri. Mahu?” Dagu Iman di tolak supaya memandang dirinya. Gadis itu masih membisu. Ismail pasti kini apa yang ada di lubuk hati gadis itu. Sinar mata Iman meluahkan segalanya. Ismail yakin sekali!

“Iman… pandang saya, look at me sayang. Will you be my sweetheart, hmm?” Tanya Ismail romantis. Dia kini duduk bersebelahan Iman. Ismail tersenyum manis, mendapatkan jemari Iman dan di ramas perlahan.

“Erm… kita cuba.” Ungkap Iman malu-malu, kembali menundukkan wajahnya.

“Hei… mana boleh cuba-cuba. Saya tak mahu. Kita serius lah, ok?” Tegur Ismail.

“La... tadikan awak yang nak kita cuba dulu. Oh, awak perangkap saya ya?” Iman menarik jemarinya dari genggaman Ismail.

“Alah… tadi tu taktik jer. Kalau tidak mesti tahun depan awak bagi saya jawapan. Betul tak?” Balas Ismail seraya mencuit hidung Iman.



Iman mengukir sebuah senyuman manis buat Ismail Syafiq, ikhlas dari hatinya yang tulus. Tidak salah untuknya mencuba sekalian memberi peluang kepada Ismail mendiami hatinya. Jika benar hakikat jodohnya sememangnya dengan lelaki itu, dia redha. Dan, jika sekalipun kasih mereka terputus di tengah jalan, dia pasrah. Iman hanya mampu berdoa supaya ianya berkekalan, selebihnya adalah kehendak ilahi. Setiap kejadian di muka bumi ini pasti akan ada hikmahnya yang tersendiri. Iman percaya akan hakikat hidup yang satu itu.



Mata hitam Ismail di pandang asyik sekali. Sinar saling memancar, hati saling berdetik. Benarlah kata pujangga, dari mata turun ke hati. Ingin di selami sekeping hati milik Ismail Syafiq itu sehingga ke dasarnya. Benarkah mereka berkongsi rasa yang sama? Iman terkesima. Ya, ada suatu keanehan di penjuru itu, sama seperti yang ada di hatinya. Kini, perasaan aneh itu bersatu indah, meresap jauh ke sanubari, menjalari urat saraf hingga ke setiap punca nadinya. Seketika, Iman merasa teruja, asyik menikmati rasa indah yang kini memenuhi segenap inci tubuhnya.



“Iman, tak sudah lagi ke?” Tanya Ismail. Iman tersentak.

“Tak sudah apanya?” Tanya Iman kembali. Dahinya berkerut memandang Ismail.

“Hati saya dah tak tahan ni, jauh sangat awak menyelam. Apa lagi yang awak cari tak jumpa ni? Syok sangat ke, hmm?” Usik Ismail dengan riak nakal. Iman tersenyum malu, wajahnya kembali merona.

“Tulah, dulu saya mengurat, tenung-tenung awak, kenyit-kenyit mata, semua tak jalan. Awak buat tak tahu aje, jual mahal konon. Tengok, sekarang terus tak nak lepas tengok muka saya, nak jugak tenung lama-lama. Tahulah saya ni handsome, kacak, menawan, kan?” Ujar Ismail sedikit riak.

“Eleh! Perasanlah pulak, menyampah!” Iman mencebik-cebikkan bibirnya.

“Bukan perasan tapi kenyataan Cik Iman sayang…” Balas Ismail di iringi ketawa yang agak kuat. Iman menyiku perut lelaki itu lantaran ada beberapa pasang mata yang sesekali memerhatikan ke arah mereka berdua sedari tadi.



“Ismail, kenapa awak proposed saya kat tengah hutan rimba begini? Tak romantis langsung! Lagipun, tak pernah di buat orang, awak menakutkan saya, awak tahu tak?” Soal Iman bersahaja setelah keadaan kembali reda.

“Hei, siapa kata tak romantis? Kalau awak nak tahu, inilah saat paling romantis bagi saya. Di tengah hutan rimba, di temani unggas malam, bersama gadis idaman pulak tu, romantis apa? Lagi satu, yang tak pernah di buat orang tulah yang saya nak buat, awak tahu tak? Jom.” Ujar Ismail, tangan Iman di pimpin.

“Nak ke mana?” Tanya Iman, lengan Ismail di paut manja.
“Baliklah, tadi bentak-bentak, nak sangat balik! Atau, awak nak tidur dalam hutan rimba ni dengan saya? Kalau yang itu memang saya nak buat sangat, lebih romantis dari tadi pun boleh.” Jawab Ismail selamba sekali, dia melirik nakal ke wajah Iman di sisi. Spontan Iman mencubit lengan Ismail. Lelaki itu mengaduh kecil sebelum tertawa gembira.

No comments:

Post a Comment