Monday, July 12, 2010

Badai pasti berlalu - 27

Iman leka memerhati keindahan tasik buatan yang terbentang di depan matanya saat itu. Mata bundarnya menikmati setiap pemandangan cantik yang terlayar di sekeliling tasik itu. Masjid Putra dan bangunan Jabatan Perdana Menteri yang tersergam megah di tepi tasik itu menggamit ramai pengunjung dari pelbagai rakyat dan bangsa. Di seberang tasik terbina deretan teguh bangunan dan kompleks kerajaan yang tersusun cantik dengan seni binaan yang memukau setiap mata yang memandang. Terdapat juga deretan rumah-rumah banglo dan teres yang di bina khas untuk kakitangan kerajaan di kawasan itu. Seketika, Iman merasa kagum dengan pembangunan yang sangat hebat oleh kerajaan Malaysia ini, menakjubkan.



Keasyikan Iman untuk terus menilai setiap objek binaan di depan matanya terganggu dengan deringan telepon dari dalam beg tangannya. Melihat nama pemanggil yang tertera di skrin dia menghela nafas perlahan. Ada rindu jauh di sudut sanubarinya namun entah mengapa dia berasa agak gentar untuk mendengar alunan suara itu, lambat-lambat baru panggilan itu di jawab.



“Hello, assalamualaikum…” Ucap Iman dengan suara yang sedikit bergetar. Entah apa perasaannya saat itu, dia kurang pasti.

“Iman awak tengah bercuti sekarang ni kan? Awak di mana sekarang ni?” Laju suara Ismail di hujung talian. Salam Iman langsung tidak di jawab.

“Ya, err… saya, saya dekat Putrajaya sekarang ni. Kenapa?” Tergagap-gagap Iman menjawab. Ingin menipu, bukan sifatnya.

“Oh, jadi betullah awak di KL sekarang ni ya. Buat apa? Dengan siapa?” Tanya Ismail lagi.

“Saja, jalan-jalan dengan kawan saya. Kenapa, salah?” Balas Iman tegang. Dia bengang di serang melulu oleh lelaki itu.

“Kawan awak, siapa? Awek minah salleh tu ke? Kenapa tak inform saya?” Iman mengeluh. Bila masanya dia kena membuat report kepada lelaki itu ke mana arah dan tujuan dirinya.

“Bukan, kawan lama saya En. Ismail! Kenapa pulak nak kena bagitahu awak ni, hmm?” Iman menjawab geram.



Sungguh! Dia tidak pernah terikat dengan lelaki itu. Mereka berdua bebas melakukan aktiviti masing-masing. Tidak perlu mengongkong atau di kongkong. Kehilangan lelaki itu seminggu dua kebelakangan ini pun tidak pernah di persoalkan. Dia mampu menyimpan segala persoalan, hatinya yang meronta untuk sebuah jawapan langsung tidak di hiraukan. Tapi, mengapa Ismail Syafiq…



“Lelaki?” Tanya Ismail seakan tidak puas hati. Ada keluhan panjang di hujung pertanyaannya. Iman menghela nafas perlahan, cuba menenangkan ombak di dada.

“Erm… kenapa? Ismail, dia kawan saya masa ke…”

“Ok then, have fun!” Ujar Ismail sinis sekali di pendengaran Iman. Talian segera di matikan sebelum Iman sempat berkata lanjut.

“Ismail…” Iman mengeluh perlahan. Marahkah lelaki itu? Terasa hati? Ah, peduli apa! desis Iman seraya mendapatkan Haziq yang telah pun selesai menunaikan solat zuhur di Masjid Putra. Entah sudah berapa lama lelaki itu duduk memerhatikannya.



Hari ini dia menerima perlawaan Haziq untuk meronda sekitar Putrajaya. Kebetulan Fatin juga mempunyai urusan untuk di selesaikan di tempat kerjanya. Sebentar tadi dia ke rumah ibu bapa Haziq di Ampang Jaya. Benar seperti tekaan Haziq kelmarin, kedua ibu dan ayahnya tidak mengenali dirinya. Setelah Iman memperkenalkan diri barulah kedua-dua mereka dapat mengecam wajahnya. Selepas itu barulah kemesraan yang telah lama hilang berputik kembali. Keramahan orang tua Haziq masih seperti dulu, cukup menghiburkan hati Iman, sedikit pun dia tidak merasa janggal walaupun telah lama tidak bersua muka. Intan Hazira, adik perempuan Haziq yang seusianya juga sudah banyak berubah, gadis itu semakin manis dan sudah pun bertunang dengan jejaka dari Kedah. Beberapa bulan lagi mereka akan di ijab kabulkan dan Iman turut diundang untuk menghadiri majlis mereka itu.



“Siapa yang called tadi? Buah hati?” Tanya Haziq. Iman menggeleng seraya mengambil tempat duduk di sisi lelaki itu.

“Fatin?” Duga Haziq lagi.

“Bukanlah, kawan aku. Hazira dah nak kawin, kau bila lagi Ziq? Tak elok melangkah bendul tau, nanti jadi bujang terlajak.” Gurau Iman sekalian mengalih topik perbualan.

“Erm… tentu kawan lelaki istimewa, kan Iman?” Duga Haziq lagi, wajahnya sedikit berubah, suram. Iman diam tidak menjawab. Kenapa dengan lelaki ini? Apa maksudnya?

“Aku kahwin? Lambat lagi kot Iman… tengah mencari. Tanya aku, kau pulak bila? Dah ada calon apa tunggu lagi.” Tiba-tiba Haziq bertukar ceria. Lenyap wajahnya yang seketika tadi jelas terukir riak suram.



Calon? Pertanyaan Haziq membawa fikiran Iman melayang kepada Ismail Syafiq. Apa perasaannya pada lelaki itu? Kenapa mesti seraut wajah itu yang tergambar di fikirannya saat terlontarnya soalan dari bibir Haziq tadi? Adakah hatinya sudah terpaut dengan seraut wajah milik lelaki itu? Sungguh! Dia tidak dapat mentafsirkan perasaannya saat ini. Iman menghela nafas perlahan, mencari jawapan yang sesuai namun hampa.



“Tak tahu lagilah Ziq, kalau sampai jodoh nanti aku jemputlah kau, ok. Buat masa ni aku tak fikirkan itu semua. Banyak benda lain yang aku fikirkan Ziq.” Terang Iman. Matanya merenung dalam ke tengah tasik.



Ya, perjalanan hidupnya masih jauh. Dia seorang anak yang mempunyai tanggungjawab terhadap ibu, dia memikul amanah arwah abah. Namun, Iman tidak pernah menganggap amanah itu sebagai sebuah beban, selagi terdaya akan terus di pikul. Iman bertekad membahagiakan sekeping hati milik ibunya. Tambahan pula, hubungan mereka berdua semakin membaik. Dia juga memasang pelbagai impian, dia masih mempunyai cita-cita yang masih belum lagi tercapai. Kalau di izinkan, dia ingin menyambung pelajarannya sebelum mengakhiri zaman bujang. Namun, jika sudah tersurat jodohnya sebelum itu, dia redha.



“So, aku masih ada peluanglah ni eh.” Haziq melemparkan jelingan sekilas. Ada senyuman nakal di bibir lelaki itu. Iman terkesima, diam tidak menjawab gurauan Haziq itu.

“Ziq, jom kita balik, dah lama sangat kat sini. Esok aku dah nak balik JB.” Tutur Iman. Dia mula melangkah meninggalkan Haziq termagu di situ.



“Kau sudah banyak berubah Iman. Totally different dari Iman yang aku kenal dulu.” Komen Haziq setelah beberapa minit Iman menunggunya di tepi kereta milik lelaki itu.

“Setiap orang mengalami perubahan Ziq, begitu juga dengan aku. Dulu dan sekarang banyak perbezaannya. Cakap aku, kau tu pun apa kurangnya.” Haziq tergelak mendengar kenyataan Iman itu. Lelaki itu sekarang merupakan seorang ketua jurutera di Petronas, punya segalanya, wajahnya juga bertambah kacak.

“Dulu kau kasar, lasak, hitam, rambut pun pendek…”

“Oh, sedapnya kau kutuk aku ek, tak sayang mulut betul!” Pintas Iman. Haziq tergelak besar.

“Tapi itu dulu Iman. Now, you look so beautiful Iman, cantik, manis, tergoda aku tau. Kalaulah…” Kata-kata Haziq terhenti di situ. Iman tersenyum pahit, semuanya itu tidak menjanjikan bahagia. Siapalah dirinya, dulu dan sekarang keadaan dirinya tetap sama, tiada perbezaannya.

"Jomlah kita balik." Kata Iman memintas percakapan Haziq.
"Tapi, aku masih ada peluang kan?" Tutur Haziq selamba sekali. Iman hanya mampu menjungkit bahunya seraya segera meloloskan diri ke dalam kereta.



‘Iman, someday u’ll 4get about me… my name… my voice… who I am… & who I am 2 U… but knowing U in my lifetime is already a gift….;)’


Seriuskah Haziq? Atau lelaki itu sememangnya hanya bergurau dengan dirinya. Tapi, Iman dapat merasakan ada makna yang tersirat di sebalik setiap kata yang dituturkan lelaki itu. Renungan mata coklat lelaki itu menjadikan Iman resah, serba salah, dia tidak mahu persahabatan mereka berdua yang baru tersimpul kembali terlerai. Namun, dia sudah cukup dewasa untuk mentafsirkan sebuah renungan milik lelaki itu. Haziq hanyalah kawannya, dia tidak mahu perhubungan yang lebih daripada ikatan itu. Hatinya sudah cukup gembira dapat bertemu kembali dengan rakan sepermainannya itu

1 comment: