Thursday, July 8, 2010

Badai Pasti Berlalu - 26

Sudah agak lama Ismail tidak berkunjung ke Johor Bahru. Jadual kerjanya yang padat menghalang dirinya untuk meluangkan masa bersama keluarga mahupun keluar bersosial bersama teman-teman. Uminya seringkali merungut semenjak dia kerap berulang-alik ke Vietnam. Dalam sebulan sekurang-kurangnya 2 kali pasti dia akan terbang ke sana sehinggalah projek itu siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini. Bukan kemahuannya tetapi dia melakukannya kerana tugasan yang di amanahkan oleh syarikat. Jika di turutkan hati mahu saja Ismail menolak tapi itu bukan sikapnya. Ismail tidak akan sesekali mencampur-adukkan urusan peribadi dan tugasan kerjanya, dia perlu dedikasi untuk masa depannya sendiri.



Tidak sabar rasanya ingin menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Hati lelakinya di desak hebat, Ismail ingin menghubungi Amira. Dia ingin sekali mengetahui perkembangan buah hatinya melalui anak sedaranya yang satu itu. Ismail tidak mahu memperbesarkan masalah yang hanya sebesar sekuman itu. Dia tahu, gadis itu tidak akan datang memujuk hatinya yang terguris luka. Mungkin, gurisan itu tidak membawa sebarang makna pada hati gadis seperti Iman Nuraina. Di antara mereka belum terjalin sebarang ikatan yang istimewa. Lalu, biarlah dia yang mengalah. Hatinya sudah terpujuk, rajuknya tidak perlu di turut. Ismail bimbang dirinya sendiri pula yang terjerut jika rasa hatinya di turut.



Ismail mengeluarkan handphone dari saku seluarnya sebaik melepasi balai ketibaan. Seketika tadi bibirnya tersenyum puas sebaik pesawat Malaysia Airlines selamat mendarat di KLIA. Dia kini telah pun berada di bumi bertuah yang sangat dia sayangi. Walau tidak di lahirkan di negara ini, dia tetap berbangga kerana dirinya di besarkan di sini, apatah lagi dia adalah warganegara. Kesemua adik-beradiknya di lahirkan di Jakarta. Ibunya berasal dari Yogyakarta manakala bapanya anak jati Kuala Lumpur. Mereka sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur setelah bapanya memindahkan ibu pejabat perniagaan yang di tubuhkan di Indonesia ke Malaysia.



“Hello Amir, papa Is ni.” Ucap Ismail sebaik Amira menjawab panggilannya.

“Ya tahu. Assalamualaikum papa Is ku sayang… Sejak bila papa Is dah tak tahu bagi salam ni, hmm?” Ismail ketawa besar mendengar balasan Amira di hujung talian. Dia tahu gadis itu memerli dirinya.

“Papa Is kat mana ni? Ada apa hal call orang pagi-pagi buta ni?” Sambung Amira.

“Woit! Pagi buta apanya? Dah pukul 10am ni tahu tak? Papa Is kat KLIA baru sampai dari Vietnam." Jawab Ismail. Terdengar gelakan halus Amira di hujung talian.

"Mir, mama Iman apa khabar? Dia sihat tak? Amir pulak kat mana ni?” Laju Ismail bertanya.

“La… papa Is tak tahu ke? Kan mama Iman…”

“Tahu apa? Amir, kenapa dengan mama Iman?” Pintas Ismail cemas sekali. Dadanya berdebar. Fikirannya di serang pelbagai perkara buruk. Bagasi kecil di tangan segera di lepaskan ke lantai.



Sejurus mendengar penjelasan daripada Amira, Ismail bergegas mendapatkan limosin yang tersedia menunggu penumpang di luar. Dia harus segera pulang ke rumah. Pasti uminya sedang menunggu kepulangannya. Wanita tua itu pasti kesunyian di banglo sederhana besar milik keluarganya. Walaupun Kak Ngah dan Kak Lang yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur selalu datang menjenguk tapi Ismail tahu uminya masih kesunyian. Tambahan pula, semenjak akhir-akhir ini abahnya juga agak sibuk dengan urusan perniagaannya. Setiap kali dia menelepon uminya, pasti soalan yang sama di tanya, bila dia akan pulang? Kadangkala, Ismail pelik dengan sikap uminya, dirinya di layan bagaikan anak kecil padahal umurnya sudah hampir menjangkau angka 30. Pemergiannya di rindui, kepulangannya sentiasa di nanti. Namun, Ismail senang sekali dengan pehatian dari uminya itu.



Dalam perjalanan hanya wajah Iman Nuraina di matanya. Di toleh kekanan gadis itu merenung tajam, bagai ada sesuatu yang ingin di katakan. Ismail menunggu namun hampa. Lantas dia menoleh ke kiri, nalurinya bergetar, gadis itu melirik mesra, sinar tajamnya menggambarkan rasa. Ismail terkesima, menggosok-gosok matanya lalu memandang ke depan. Hilang. Hanya seketika, bayang itu kembali terlayar di cermin pandang belakang teksi itu pula. Ismail membesarkan anak matanya, seakan tidak percaya. Kini, gadis itu merenung lembut kepadanya, tersenyum manis, rona yang terukir di wajah itu di rasakan indah sekali. Tanpa menunggu sesaat Ismail membalas, dia merenung dalam sepasang mata bundar milik gadis itu. Bibirnya mengukir senyuman…



“Anak, kenapa tiba-tiba tersenyum ni? Ada apa-apa yang kelakar ke?” Tegur pemandu limosin tiba-tiba. Ismail terkejut. Senyuman yang baru terukir termati tiba-tiba.

“Errr… tak ada apa-apa pakcik.” Jawab Ismail sedikit malu. Wajahnya di larikan dari pandangan mata lelaki sebaruh abad itu, membuang pandang ke luar tingkap. Tiba-tiba dia ketawa kecil, gelihati dengan keadaan dirinya sebentar tadi. Nampak sangat dia sudah benar-benar di landa penyakit angau.

“Oh… ya ke ni? Dari tadi pakcik perhatikan, macam ada sesuatu yang mengganggu fikiran anak ni. Sesuatu yang istimewa barangkali ya?” Teka pakcik itu pula. Ismail hanya tersenyum kecil, tidak tahu apa yang perlu di jawab.

“Anak ni sudah berkahwin?” Tanya pakcik itu.

“Belum pakcik. Belum ada jodoh.” Jawab Ismail jujur. Calonnya sudah ada, sambung Ismail dalam hati,yakin sekali! Entah mengapa hatinya begitu berat menyatakan bahawa Iman Nuraina adalah jodohnya.

“Oh… sekarang pakcik fahamlah kenapa encik tersenyum-senyum tadi. Mesti dah tak sabar-sabar nak jumpa makwe ya? Pakcik faham...” Selamba pakcik itu berkata. Spontan Ismail tergelak.

“Hish… pakcik ni ada-ada saja. Ok, pakcik berhenti kat depan rumah warna krim depan simpang tu ya. Rasanya makwe saya rindu dan dah tak sabar-sabar tunggu saya balik ni.” Balas Ismail mesra. Entah mengapa dia senang sekali berbual dengan pemandu limosin yang di rasakan baik hati itu.



Selepas membuat bayaran Ismail segera melangkah masuk. Seperti biasa, rumah milik keluarganya ini akan kelihatan sunyi di awal pagi begini. Abahnya pasti sudah ke pejabat. Ismail meninjau-ninjau mencari kelibat penghuni rumah, umi mahupun Mak Yam tidak kelihatan. Di mana agaknya wanita berdua itu?



“Assalamualaikum… Umi… Umi… Ismail dah balik ni. Umi…” Panggil Ismail agak kuat dari luar pagar.

“Umi…” Panggil Ismail lebih kuat. Senyap, langsung tiada balasan. Kunci rumah di dalam beg di ambil.



Bagasi dan beg bimbitnya di letakkan di ruang tamu. Ismail mula melangkah ke bahagian dapur, pasti uminya dan Mak Yam sedang sibuk berkebun di belakang rumah saat ini. Ismail sudah masak dengan hobi uminya yang satu itu. Bermacam-macam pokok herba dan sayuran di tanam uminya di bahagian tanah yang sekangkang kera itu. Perlahan-lahan, terhendap-hendap dia mengatur langkah supaya kehadirannya tidak di sedari oleh mereka berdua. Ismail ingin membuat kejutan.



“Umi!!!” Jerit Ismail kuat. Kedua tangannya memeluk erat pinggang wanita tua itu.

“Oh, mak kau habis mati pokok lada aku… mati, eh lada aku mati.” Uminya melatah. Ismail tergelak kuat di ikuti oleh Mak Yam yang berada di dapur.

“Ismail! Bertuah punya anak. Bila kamu sampai?” Ujar Pn. Dewi Fauziah sambil mengurut dadanya. Lengan Ismail di tampar agak kuat.

“Baru jer sekejap tadi. Umi tu kalau dah berkebun semuanya lupa eh. Sampai Ismail balik pun umi tak sedar ek. Umi tak rindu kat Ismail ya?” Jawab Ismail seakan merajuk. Uminya tersenyum kecil, pipi anak teruna kesayangannya di usap mesra.

“Rindunya Ismail kat umi…” Pipi tua uminya di cium.

“Rindu kat umi jer. Kat ehem-ehem tak rindu?” Usik Pn. Dewi Fauziah.

“Oh, kat ehem-ehem? Yang itu la…gi Ismail rindu tau umi. Umi tak marah kalau Ismail rindu kat ehem-ehem lebih dari rindu kat umi?” Tanya Ismail sengaja menguji hati uminya. Pn. Dewi Fauziah pantas menggeleng, dia senang sebenarnya dengan kata-kata Ismail itu.

“Jom umi.” Ajak Ismail, melepaskan rangkulan lalu memimpin lengan uminya. Mereka beriringan menuju ke bangku batu yang ada di sudut dapur menyertai Mak Yam yang sudah siap menghidangkan minuman sejuk untuk mereka bertiga.

No comments:

Post a Comment