Tuesday, July 6, 2010

Badai Pasti Berlalu - 24

Iman Nuraina…



Berhati batukah dia selama ini? Lalu bagaimana dengan hatinya hari ini? Saat ini? Ya, mungkin sesetengah orang mengangapnya berhati batu sebagaimana Fatin. Bukan dia sengaja menutup pintu hatinya untuk menyayangi orang lain. Tidak sesekali. Hati perempuannya lembut, dia mudah sekali jatuh sayang dengan orang yang berada rapatnya. Dia menyayangi sahabatnya Fatin sebagaimana dia menyayangi ibu dan Kak Ain juga Irma. Dia sayangkan rakan-rakan sekerja, juga anak-anak kecil, anak-anak Kak Seri mahupun yang di jumpai mengemis di tengah bandar. Dia cuba untuk menyayangi semua yang ada di sekelilingnya. Dia ikhlas setiap kali menyatakan perasaan kasih dan sayangnya. Dan, dia selalu berdoa agar sayangnya juga di terima dengan hati yang tulus sekalian membina rasa bahagia di hati masing-masing. Itu sudah cukup memadai bagi dirinya. Dia tidak mahu tamak dalam mengaut untungnya kasih sayang.



Tapi cuma satu, sayangnya bukan untuk seorang lelaki. Entah mengapa dia takut untuk menyayangi seseorang insan yang bergelar lelaki. Dia bimbang dirinya akan di tinggalkan setelah kasihnya tercurah, sayangnya bersambut lalu, sekali lagi membuatkan dirinya di benci, terpinggir di atas pemergian insan yang dia sendiri sayangi. Sungguh! Cukuplah sekali dulu dia di sisihkan setelah abah, lelaki yang sangat di sayangi pergi meninggalkan dirinya. Dia tidak mahu meragut kebahagiaan yang di milik insan lain. Dia tidak mahu dirinya di persalahkan sekalian menjadi punca derita mereka. Dia tidak mahu sejarah lama berulang kembali, janganlah sampai pisang berbuah dua kali. Dia tidak mahu keajaiban itu terjadi.



Namun kini, perasaannya sedikit berubah. Salju yang sekian lama membeku di hatinya mula mencair, mengalir perlahan-lahan melimpahi segenap ceruk hatinya, menjalar di segenap urat sarafnya. Dia ingin sekali merasa nikmatnya diri di sayangi juga ertinya menyayangi insan yang bergelar lelaki. Dia sudah puas menelan pahitnya derita. Kini, dia mendambakan manisnya seteguk bahagia. Tapi, akan adakah lelaki yang sudi menyambut huluran kasih sayangnya dengan tulus? Ikhlas membahagiakan sekeping hati miliknya? Dan kalaulah ada, siapakah lelaki itu? Adakah Ismail Syafiq? Adakah lelaki itu yang akan melengkapkan putaran hidupnya?


Sungguh! Dia tidak dapat mencari jawapan untuk soalan yang satu itu. Dan, untuk sekian kalinya dia berbalik kepada ketentuan takdir ilahi. Bukan kuasanya menentukan jodoh hidupnya sendiri. Dia pasrah...



Ismail Syafiq…



Dia masih lagi setia di baluti dinginnya embun pagi, masih lagi duduk termenung di balkoni merenung gelapnya malam yang tidak berbintang. Dia tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya tidak membenarkan dirinya untuk lena walau untuk sepicing cuma. Ada sesuatu yang membelenggu hatinya saat ini. Perasaan asing itu. Ingin sekali dia meluahkan rasa aneh yang terbuku di hatinya sejak sekian lama. Perasaannya itu membuak-buak. Namun, dia masih mampu bersabar kerana dia tidak mahu terburu-buru untuk hal yang satu ini. Dia tidak mahu gagal untuk sekian kalinya, dia mahu kasihnya bersambut, cintanya bertaut. Dan, dia akan mencari suatu masa yang sesuai untuk menzahirkan perasaannya, rasa hatinya yang tulus untuk seorang perempuan.



Dia melepaskan keluhan panjang. Di matanya hanya ada seraut wajah menawan milik gadis itu, mindanya memikirkan apa yang sedang di lakukan oleh gadis itu, hati lelakinya merasakan setiap degup jantung milik gadis itu. Lalu, apa yang harus dia lakukan, semua jasad miliknya kini hanya tertumpu kepada gadis itu. Dan, gadis itu adalah Iman Nuraina, satu-satunya gadis yang ingin sekali di tawannya. Tetapi, mengapakah di rasakan begitu sukar sekali untuk meluahkan perasaannya kepada gadis itu? Tidak pernah sepanjang hidupnya dia mengalami keadaan yang sesukar ini. Kini, baru dia mengerti betapa getir perjalanan hidupnya, sesak dan sakitnya hati yang memendam perasaan sayang terhadap seseorang yang di cintai.



Semenjak kejadian di pantai Stulang 2 minggu lalu, dia tidak lagi menelepon mahupun mengirimkan pesanan SMS kepada gadis itu. Bukan merajuk, tetapi entah mengapa dia terasa hati dengan sindiran sinis Iman. Selepas hari itu, dia mula menjauhkan diri. Dia ikhlas menjalinkan perhubungan sedangkan Iman, gadis itu seakan memperlekehkan hubungan mereka. Dia tahu, Iman terpaksa menyambut salam perkenalan mereka setelah dia sendiri yang memaksa gadis itu. Sememangnya, hanya dia yang terhegeh-hegeh untuk mendekati hati gadis itu. Hanya dia yang mengejar-ngejar bayangan gadis itu dan hanya dia yang mendamba-dambakan gemersiknya suara gadis itu. Ya, hanya dia dan dia adalah Ismail Syafiq. Ismail Syafiq yang sanggup mengenepikan ego seorang lelaki hanya kerana seorang gadis.



Hatinya seringkali tercuit dengan kenangan di hospital, Iman melayannya agak mesra walau pada awal kunjungan, dirinya di sambut dingin sekali. Dia senang sekali dengan ketawa riang yang tercetus di bibir Iman hari itu. Senyuman manis yang terukir di wajah polos Iman saat itu mendebarkan hatinya. Mereka bergurau dan bergelak tawa bagaikan sudah lama saling mengenali. Sungguh! Dia sukakan saat-saat indah seperti itu. Berada dekat dengan Iman membuatkan hatinya tenang, riang sekali. Dia bagaikan baru menemui semula sisa sebahagian dari hatinya yang hilang sejak sekian lama. Atau, mungkinkah selama ini, sememangnya sebahagian dari hati dan jiwanya adalah milik gadis itu?



Iman Nuraina, gadis itu bak seekor burung merpati, jinak tapi akan terbang tinggi bila saja di dekati. Kadangkala, dia merasakan mereka berdua di landa rasa yang sama, saling meminati, dia memikat, Iman terpikat. Tapi, di saat lain pula, dia hanya bertepuk sebelah tangan manakala Iman selamba membuang pandangan, langsung tidak terbias rasa sayang. Dia tidak pernah ragu dengan perasaannya terhadap gadis itu, hatinya jitu mengatakan Iman adalah cintanya. Tapi, bagaimana dengan hati Iman sendiri? Dia tidak dapat mencari walau sekuman bukti yang menunjukkan gadis itu juga menyimpan perasaan yang sama dengannya. Hanya dia yang meneka-neka sendiri perasaan gadis itu terhadapnya lewat pesanan SMS di antara mereka. Gadis itu pula lebih senang mendiamkan diri dari menjawab setiap pertanyaannya. Tapi, satu yang dia pasti kini, Iman juga merasa sunyi, rasa kehilangan sepanjang tempoh dia mendiamkan diri. Mungkinkah gadis itu mula merindui dirinya? Memikirkan kemungkinan itu, hatinya sedikit berbunga.



Dia mula menanam tekad. Dia mesti menawan sekeping milik gadis itu. Akan di tempuhi walau apa jua rintangan yang mendatang mahupun halangan yang terbentang. Dia tidak akan pernah mengalah. Iman Nuraina hanya untuk Ismail Syafiq. Itu janjinya!

No comments:

Post a Comment