Tuesday, June 29, 2010

Tiada Nok tah Cinta - 102

Mentari petang terus bersembunyi diufuk timur. Senja akan menyingkap tirainya menantikan hadirnya malam yang akan membawa seribu kenangan hari ini dan siang akan menjelma esok harinya membawa seribu harapan semua insan.

Hari bertukar hari. Masa terus berlari meninggalkan kita tanpa menunggu sesaat yang akan datang walau ada yang menantinya. Kini genap sembilan bulan kandungan Sara. Hanya menunggu saat dan detik untuk menyambut insan baru yang akan menyinari lagi kehidupan mereka.

Dua bulan sebelum ini, rumah ini riuh rendah dengan gelak tawa apabila majlis perkahwinan Johari dan Julia diadakan. Walaupun dalam keadaan sarat, Sara tetap gagahkan diri. Dia begitu teruja dengan majlis ini kerana disamping majlis ini mamanya membuat majlis melenggang perut. Walaupun sedikit pelik dengan adat itu tapi dia turutkan juga kemahuan mama dan ibunya. Kata mereka ini sekadar adat untuk mendoakan agar segalanya selamat.




Johari dan Julia tidak dapat menyembunyikan lagi berita perkahwinan mereka seperti yang mereka rancangkan apabila Haikal dengan ‘berbesar hati’ mengumumkan bagi pihak mereka berdua sebaik sahaja ianya sudah tidak menjadi rahsia bagi mereka sekeluarga.

Merah padam muka Julia menahan rasa malu yang bertandang. Johari pula mengelabah. Tidak keruan apabila teman-teman sekerja mengucapkan tahniah. Walaupun mereka asyik berselindung tetapi ada seorang dua teman mereka yang dapat menghidu perhubungan itu. Apatah lagi Rita pernah terserempak beberapa kali dengan mereka.

Berita baik terus menjamah kehidupan mereka. Kini Sara tidak akan cemburu lagi. Mungkin sudah suratan dalam kehidupan. Jodoh, pertemuan dan kematian adalah janji insan dengan PENCIPTANYA. Dua minggu lepas, Sara dan Haikal menerima satu lagi jemputan perkahwinan. Sara terkejut apabila membaca nama pengantinnya. Haikal hanya tersenyum. Oleh kerana terlalu teruja dengan berita perkahwinan Johari, dia terlupa untuk memberitahu pada Sara bahawa Sherry akan berkahwin dengan Benjamin. Dalam hati Sara tetap mendoakan kebahagiaan mereka berdua walaupun sebelum ini ada dendam yang terpendam. Dendam itu terlerai sudah. Kini pasangan pengantin baru itu sedang berbulan madu dikota cinta, Paris.

Sara merasakan sentakan kecil dibawah perutnya. Dia merasa sedikit sakit tetapi membiarkannya. Haikal masih lagi dibilik bacaan kerana ada kerja yang ingin diselesaikan. Sara terbaring diatas katil. Dia menggosok-gosok perutnya yang kadangkala perit. Tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu yang sedang mengalir dan tilamnya basah. Dalam kepayahan dia cuba bangun. YA ALLAH, darah. Jerit hatinya. Digagahnya bangun menuju keluar bilik. Dipertengahan jalan dia merasakan kesakitan yang amat sangat. Dia menjerit.

Seisi rumah terkejut dan masing-masing keluar bilik. Sara sudah terbaring diruang tamu sambil menangis kesakitan. Haikal panik. Datuk Hisham segera menyuruh Haikal membawa Sara kehospital segera.

Datin Halimah tidak putus-putus menyuruhnya mengucap dan sentiasa ingatkan ALLAH.

“ALLAH............ sakitnya mama. Tak tahan Sara macam ni. Sakit sangat.” Sara mengaduh apabila sakitnya datang menyerang.

“Sabarlah. Bawa mengucap. Ingatkan ALLAH. Mama ada ni. Sara jangan takut. Bertenang,” pujuk Datin Halimah menenangkan perasaan Sara.

YA ALLAH, rupanya sebegini sakit bila mahu melahirkan anak. Dalam kesakitan yang amat sangat, Sara insaf. Segera dia ingatkan ibunya.

“Ibu, ampunkan Sara, bu. Sara minta maaf. Mama, Sara minta maaf. Ampunkan Sara,” tangis Sara tiba-tiba.

“Kenapa cakap macam tu. Sara tak buat salah. Sudah, jangan menangis. Jangan ingatkan benda lain. Sekarang ni Sara perlu kuat. Sentiasa mengucap dan ingatkan ALLAH. Minta pertolongan dari DIA,” nasihat Datin Halimah meredakan kegusaran hati Sara. Dia faham ketakutan Sara. Dia juga pernah melalui saat-saat seperti itu.

“YA ALLAH........ sakitnya” rintih Sara lagi.

Peluh memercik didahi Haikal. Dia cuba bertenang tapi dalam hati ALLAH saja yang mengetahuinya. Seakan mahu pecah dadanya kebimbangan. Dalam waktu itu dia tidak putus-putus berdoa agar semuanya selamat.

Sesampainya dihospital, Sara segera dimasukkan kedalam ‘labour room’. Pakaiannya ditukar.

“Suami pesakit boleh menemaninya ya,” beritahu jururawat yang bernama Hanum. Haikal segera mendapatkan Sara. Dia tidak mahu terlepas dengan pengalaman yang baru ini. Dia mahu bersama-sama mengecapi saat ini bersama Sara.

“Jangan takut Sara. Abang akan sentiasa ada dengan Sara. I love you so much,” ucap Haikal memberi perangsang.

Tatkala sakit kembali menyerang, Sara menggenggam sekuat hati tangan Haikal.
“Baik puan. Segalanya sudah sedia. Pintu rahim juga telah terbuka. Puan ‘push’ kuat-kuat bila sakit datang. Tarik nafas panjang-panjang,” ajar doktor Ain kepada Sara.

Apabila sakitnya kembali menyerang, Sara meneran sekuat hati. Haikal mengusap kepala isterinya. Dia merasa kasihan melihat keadaan Sara yang sedang berperang dengan nyawanya untuk melahirkan zuriatnya. Dia insaf dengan kejadian ALLAH.

“Okey, kepala dia dah nampak. Lepas ni push kuat lagi,” arah Doktor Ain lagi. Tidak sampai satu minit kemudian, kedengaran tangisan bayi. Gelap seketika dunia Sara.

Sara menarik nafas panjang. Terasa keletihan sebentar tadi hilang bila bayi yang baru dilahirkan itu diletakkan diatas dadanya. Airmata terharu mengalir lesu.

“Anak Ummi,” bisiknya perlahan. Dia masih lemah. Dia memandang Haikal yang tergamam.

“Tahniah. Encik berdua baru mendapat bayi lelaki,” ucap Doktor Ain dan beberapa jururawat yang membantu.

Sara tertidur kerana terlalu penat. Terasa seluruh tubuhnya sakit seolah-olah tenaganya baru sahaja disedut untuk digunakan untuk kerja yang terlalu berat. Apabila tersedar dia melihat Haikal terlentok disisinya sambil beralaskan lengannya.

“Kasihan suamiku,” ujar Sara perlahan. Dia menggoyangkan tangan Haikal perlahan. Haikal tersedar.

“Hai sayang. Dah bangun? Lapar?” soal Haikal sambil memandang wajah pucat Sara.

“Kenapa abang tidur macam tu? Kan sakit leher tu,” tegur Sara.

“Sakit leher abang ni tak sama dengan sakitnya yang Sara tanggung masa dekat ‘labour room’ tadi. Abang bangga dengan Sara. Bukan semua orang boleh lalui macam tu. Terus terang abang katakan, kalau abang ditempat Sara, belum tentu abang akan sekuat itu. Terima kasih sayang. Cinta abang pada Sara tetap utuh,” ucap Haikal perlahan. Menusuk kedasar hati Sara. Dia terharu.

“Terima kasih juga pada abang kerana sentiasa berada dekat dengan Sara masa tu. Kalau abang tak ada, Sara juga tak kuat macam tu. Anak yang lahir tu tanda cinta Sara untuk abang,” balas Sara. Hati Haikal terusik dengan ketulusan isterinya.

Keesokkan harinya barulah Sara segar sedikit dan mampu menjamah sedikit makanan. Ibunya telah sampai dari kampung. Ibu dan keluarga mentua mengunjunginya awal pagi itu. Sara juga baru berkesempatan menemui bayinya. Anak itu disusukan. Dia menangis gembira apabila melihat wajah mungil itu.

Sara tahu kelahiran anak itu membawa sinar bahagia bagi kedua keluarga mereka yang terlalu mengharapkan kehadiran sikecil. Semoga kehadiran insan baru ini akan terus menyinari hidup mereka sekeluarga.
Kota cinta, Paris mengabadikan kenangan indah antara Benjamin dan Sherry.

“Haikal dapat anak lelaki, sayang,” beritahu Benjamin sebaik sahaja mendapat sms dari Haikal pagi itu. Sherry yang baru bangun dari tidurnya, terus membuka matanya sambil memandang wajah suaminya. Dia sedikit terkejut namun hatinya tetap mengucapkan rasa syukur kehadrat ILAHI.

Dia terharu dengan penerimaan Sara sewaktu mereka menghadiri majlis perkahwinannya. Dia dapat merasakan keikhlasan Sara menerima apa yang berlaku antara mereka sebagai ujian dari ALLAH. Walaupun Sara dalam keadaan sarat tetapi tetap gagah menghadirkan diri memeriahkan majlis tersebut. Dia bersyukur tiada dendam lagi antara mereka.





“Alhamdulillah. Semuanya selamat ke? Balik nanti kita pergi ziarah mereka, okey tak? Mesti comel macam ibu diakan? Sarakan cantik,” serak suara Sherry kerana baru bangun dari tidur. Benjamin berterusan meneliti wajah mulus milik isterinya itu. Sungguh ayu. Dibelai wajah itu dengan lembut.

“You tahu tak, you lagi cantik bila baru bangun tidur. Rasanya I malas nak bangun dari katil ni. Asyik nak pandang muka you aje,” ucap Benjamin tiba-tiba dan penuh romantis. Sherry tersenyum dan saat itu dia teringat kembali kejadian diBurger King beberapa bulan yang lalu hinggalah terjadinya ikatan perkahwinan ini. Sherry kehilangan kata-kata. Terasa dunianya sungguh indah tatkala itu.

“Terima kasih kerana memberi I peluang melihat wajah you bila you baru bangun dari tidur. I takkan sia-siakan saat ini. I janji dengan nyawa I, Sherry. I akan bahagiakan you sepanjang hayat I,” janji Benjamin sambil memeluk tubuh langsing itu. Sherry membalasnya perlahan. Terasa kehangatan menjalar disetiap urat sendinya.

YA ALLAH, semoga kebahagian ini terus menjadi milikku. Aku terlalu mencintainya. Doa Sherry.

Musim sejuk dikota cinta itu melakarkan satu kebahagiaan yang tiada penghujungnya. Matahari dibumi Malaysia terus menyinar tanpa jemu memberi harapan untuk meneruskan kehidupan baru.

Walaupun malam akan menjelmakan diri dan siang melabuhkan tirainya, namun kebahagiaan itu tetap menjadi milik mereka yang tahu menghargai setiap kurniaan ALLAH. Wallahualam..........

3 comments:

  1. hohohho...
    dah abs ke???
    best sngt crta ni...
    thniah kpd pnulis....

    ReplyDelete
  2. yup. mmg best pun. thanks writer. :)

    ReplyDelete
  3. ada kuar dlm versi cetak .. penulis shazy hana kalau tak silap.. keluaran cesb..

    ReplyDelete