Tuesday, June 29, 2010

bukan cinta biasa - 5

"Pegi buat air Siti.."Mak Jah cuit bahu Siti. Siti hampir-hampir mengeluh. Tapi
cepat-cepat dia bangun dari kerusi takut didengar emaknya. Silap-silap berbekas
pehanya dikutil emak.Sambil membancuh minuman, sesekali dia memanjangkan
lehernya, cuba mendengar perbualan mereka. Kalau-kalau mereka bercerita tentang
dirinya. Tapi, Kak Melah tidak pula menyentuh hal peminangan tersebut. Siti
menunggu-nunggu juga kalau Kak Melah bercerita tentang kerja kosong yang
dimintanya. Siti kembali ke meja makan lalu mengatur gelas minuman satu
persatu. Abang Jais terus mengambil dan meneguknya laju. Siti tersengih. Dia
kembali duduk di sebelah Mak Jah.

"Esok Siti ikut Kak La balik KL "Tiba-tiba terpacul kata-kata dari Melah. Siti
gamam.

Lama Siti menanti. Sudah lenguh lututnya berdiri di bawah
pokok jambu batu tepi sungai itu.Sekejap dia menyandar, sekejap dia
bertinggung. Sesekali dia memandang ke langit. Mencongak-congak sudah
jam berapakah waktu itu.

Seingat dia selepas Asar tadi dia terus bergegas ke situ.
Sebelum itu dia sudah ingatkan Huzair melalui telefon. Dia ingat lagi
suara ceria Huzair sebaik mendengar dia ingin berjumpa. Agaknya dia
ingat aku nak terima dia. Ahh....kesiannya....tapi!

Dia memandang ke bawah. Sekejap-sekejap ke arah anak-anak
ikan yang berenang di takungan jernih celah-celah batu. Sekejap-
sekejap ke deretan semut-semut hitam yang susup sasap bawah daun-daun
kering. Sudah dua tiga kali juga kakinya pedih digigit semut-semut
hitam itu. Tergaru-garu dia menahan gatal sambil mulutnya mula
membebel. Ahh..lain kali aku suruh bapak buat bangku
kat sini. Senang aku nak dating! Getus Siti.

"Si Huzair ni pun satu. Aku nak jumpa dia buat-buat lambat
pulak. Kang aku pegi tak cakap ngan dia, merana pulak!"Siti toleh ke
hujung jalan.Menanti kelibat Huzair.

Malam tadi, sewaktu menonton tv, setelah puas dipujuk Siti
dan panjang lebar diterangkan Kak Melah, akhirnya emak bersetuju juga
melepaskan dia ke KL. Itupun dengan berbakul pesanan yang Siti
sendiri tidak berapa ingat. Yang dia ingat, emak bagi tempoh sebulan
dua saja bekerja di rumah orang kaya itu. Bila mereka pulang dari
luar negara, Siti harus berhenti kerja. Cari kerja
lain atau pulang saja ke kampung. Siti tersengih mendengarnya. Dia
tahu dia akan pilih yang pertama dari yang kedua. Dia akan cari kerja
sampai dapat. Untuk balik ke kampung dan bersetuju untuk berkahwin
dengan Huzair, adalah mustahil!

Walaupun Siti sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana dia
boleh menerima kerja tersebut, tapi setelah difikir dalam-dalam, dia
rasa itu adalah jalan yang paling baik buat masa sekarang. Paling
baik kerana dia sendiri tiada pilihan lain. Daripada duduk rumah dan
menanti hari-hari untuk bergelar seorang isteri, lebih baik dia
mengadap budak-budak tu. Lagipun tempohnya
bukanlah lama sangat. Kak Melah kata, pasangan tersebut ke luar
negara untuk berubat mungkin mengambil masa sebulan saja. Paling lama
pun dua bulan. Dalam tempoh itu dia perlu menjaga dan menguruskan
anak-anak mereka. Sambil menjaga mereka, bolehlah dia memohon apa-
apa kerja lain di bandar KL itu. Dalam masa sebulan tentu boleh
dapat. Kak Melah dan Abang Jais pun
boleh tolong carikan.

Lagipun, apalah susah sangat jaga budak-budak tu......bisik
hati Siti. Walaupun aku tak ada adik, tak pernah jaga budak kecil,
itu bukan bermakna aku tak boleh buat. Setakat tengok-tengok aje,
kemaskan pakaian diorang, buatkan bekalan diorang, rasanya mudah
saja!.Siti tersengih lagi.Dia pandang ke belakang sekali lagi.
Isssh.....bencinya aku! Siti hentak kaki. Tak guna punya lelaki.Aku
tunggu bagai nak gila, dia tak datang jugak. Tak apa, lepas ni kau
tak dapat jumpa aku lagi!

Siti beredar dari bawah pokok jambu batu itu. Dia berjalan
laju. Baju kurungnya berkibar-kibar diterpa angin. Tangannya menyeluk
kocek di tepi baju. Mengeluarkan sekeping kertas putih yang dilipat.
Kertas itu disiapkannya malam tadi. Untuk diberikan kepada Huzair.

Siti berlari-lari anak. Dia ingin ke rumah Shidah yang
jauhnya hanya beberapa batang tiang lampu dari situ. Dia tahu Shidah
ada dirumah kerana mereka tidak berjanji untuk keluar ke padang hari
ini. Lainlah kalau Shidah ke bandar, menjaga kedai pengantin emaknya.

"Assalamualaikum...Shidah..."Siti mencungap sebaik tiba di
laman rumah Shidah. Dia pandang ke arah tingkap yang terbuka.
"Shidahh!!"Siti memanggil lagi. Pintu terbuka dan Shidah
terjengul dengan wajah mengantuk.
"Kau ni mesti tengah tido!"Siti menapak ke depan pintu.
Shidah tersengih.
"Rumah aku tak ada orang lah....mak bapak aku pergi jemputan
kawin kat kampung. Adik-adik aku semua gi main tak ingat nak balik
rumah."Dia bertinggung depan pintu. "Habis tu, aku nak buat apa. Nak
tengok tv tak ada cerita best. Baik aku tido....."Dia menguap lagi.
"Aku datang ni nak ucapkan selamat tinggal kat kau...."Siti
bersuara perlahan. Shidah mendongak,memandang Siti tanpa reaksi.
"Aku nak pegi KL.."
"Ada apa kau gi KL, kau gi dengan sapa?"Shidah bertanya malas.
"Pegi dengan akak aku..."Balas Siti.
"Emm....kau nak tanya aku nak kirim apa eh?"Shidah angkat
kening."Emmm....nak kirim apa ek....."
"Wei...tak payah nak kirim-kirim. Aku bukannya nak pegi makan
angin. Aku nak duduk rumah akak aku. Nak kerja kat sana..."
"Haa?"Mata Shidah membulat. Dia bingkas bangun.
"Kau nak duduk sana?"
"Ha'ah....tu sebab aku jumpa kau ni. Kejap lagi aku nak
bertolak dengan akak aku."
"Tiba-tiba je kau nak ke sana, kenapa? Kau dah dapat kerja
ke?"
Siti terdiam sejenak. Lama kemudian baru dia mengangguk.
'Eh...kerja apa ha?"Shidah tampak teruja. Siti mendengus.
"Kerja apa?"Shidah goncang bahu Siti. Siti serba salah.
"Emm...kerja kat...ofis mana ntah. "Siti senyum tawar.
"Bestnya!"Shidah terlonjak."Dapat jugak kau kerja ye.....:
"Alah.....akak aku yang carikan...."Balas Siti perlahan.
"Kau nak pergi hari ni ker?"Shidah muram."Kenapa cepat
sangat.....nanti tak dapat jumpa kau lagi.."
"Alah..bukannya aku tak balik lagi. Nanti kau kirim salam kat
Murni ye. Aku tak sempat nak jumpa dia."Siti hulurkan kertas putih
tadi."Emm...yang ni, kau tolong bagi pada Huzair..."
"Wow..surat apa ni?surat cinta eh?"Shidah cepat-cepat sambar
kertas tersebut.
"Surat cerai!"Siti ketawa."Kau jangan baca
pulak....Okaylah..aku nak
balik dulu.."Siti depangkan tangannya. Shidah pantas memeluk erat
temannya itu. Airmatanya hampir menitis. Tak dapatlah lagi mereka
lepak-lepak dan bersembang seperti biasa.

"Jangan lupa tepon eh!"Laung Shidah sebaik Siti mula beredar.
Siti angkat tangannya sebelum hilang dibalik rimbunan lalang.

*****************************
"Kenapa lambat sangat ni?"Mak Jah menegur Siti sebaik melihat
anaknya itu terkocoh-kocoh memunggah beg.
"Jumpa buah hati mak...."Sahut Melah bersahaja.
"Mana ada. Orang pegi jumpa Shidah lah!"Siti tarik muka.
Melah ketawa. Dia mendukung anak kecilnya, Fariana yang terlena.
"Dah cepat masukkan beg tu. Kita nak singgah Melaka ni. Takut
terlepas kenduri tu nanti.."
Melah buka pintu kereta lalu membaringkan anaknya di kerusi belakang.
Abang Jais sudah menanti
di dalam kereta.
"Melah balik dulu, mak..."Melah mencium tangan Mak Jah. Mak
Jah mengangguk. Tiba giliran Siti, dia mula mengesat mata.
"Mak janganlah nangis. Siti pergi tak lama."Siti terharu. Dia
menyeka air mata yang tidak dapat ditahan lagi. Tubuh Mak Jah dirakul
erat. Mak Jah mengusap rambut Siti.
"Kat tempat orang nanti, perangai tu jaga elok-elok. Jangan
melawan cakap..."Mak Jah mengingatkan."Sembahyang jangan tinggal..."
Siti terangguk-angguk. Dia menyeka air mata lalu mencium pipi
kedut Mak Jah. Sayu hatinya bila mengenangkan selepas ini hanya emak
dan bapanya saja yang tinggal dirumah. Pasti emaknya kesunyian. Tapi
apa boleh buat. Dia harus menurut kata hati. Dia juga ada kehendak
sendiri. Yang pasti kehendaknya itu bukanlah untuk menerima sesiapa
buat masa ini.

Siti masuk ke dalam kereta. Sebaik kereta mula bergerak, dia
melambai ke arah Mak Jah yang tegak berdiri di tepi pintu. Dalam
hati, dia sedikit terkilan kerana tidak sempat bertemu bapanya.
Bapanya mengikut jiran sebelah ke bandar atas sedikit urusan. Tapi
bapanya awal-awal sudah memberi keizinan untuk dia bekerja. Kerana
itu walaupun dengan berat hati, Siti tetap berasa lega kerana
hasratnya tidak dihalang.

Kereta mula meluncur laju. Semakin lama kampungnya
ditinggalkan, semakin berdebar perasaan di hati. Berdebar kerana dia
sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dia nanti.
Bagaimana dia akan hidup dalam sebuah rumah yang asing, dan
dikelilingi manusia-manusia asing. Betahkah dia?
Walaupun hanya untuk tempoh yang singkat, tapi semua itu tetap
memerlukan penyesuaian. Bagaimana kalau dia tidak betah tinggal di
situ. Atau dia tidak mampu membuat kerja yang diamanahkan dengan baik?
Walaupun menjaga budak-budak itu seperti satu kerja yang enteng, tapi
pasti menggugat kesabaran. Pasti mencabar dirinya yang langsung tidak
punya pengalaman. Ahh...kenapalah kerja sebegini yang aku inginkan!

"Kalau ngantuk, tidurlah Siti. Jauh lagi ni.."Melah bersuara,
memecah kesunyian. Siti mengalih pandangan. Menatap wajah Fariana
yang lena disebelahnya. Matanya juga sudah semakin layu. Dia malas
lagi hendak memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan dihadapi
nanti.Biarlah.Biarlah masa yang menentukan.

Siti terlena seketika. Sehinggalah dia tersedar semula, hari
sudah menggelap. Fariana sudah berada dipangkuan ibunya. Abang Jais
pula masih tekun memandu. Siti menggosok mata lalu memandang
sekeliling. Deretan kereta di kiri kanan jalan menyaingi perjalanan
mereka. Siti tersenyum.Sudah lama dia tidak berjalan jauh seperti ini.

"Dah sampai mana ni, kak?"Tanya Siti.
"Pagoh. Kejap lagi sampai la ni..."Siti pandang jam pada
dashboard. Sudah jam 8.15. Dia kembali menyandar sambil mata
tertancap pada lampu di kiri kanan jalan. Semakin lama semakin layu.
Akhirnya dia kembali terlelap.

Sedar-sedar mereka sudah sampai di rumah kakak Abang Jais.
Kenduri sudah pun bermula. Oleh kerana orang sudah ramai di ruang
tengah, Siti mengekori kakaknya masuk melalui dapur. Di dapur juga
sudah ramai orang. Siti bersalaman dengan beberapa orang makcik di
situ walaupun dia sedikit
segan dan tidak mengenali mereka. Selepas meletakkan beg di dalam
bilik, dia duduk bersama-sama tetamu lain yang sedang membaca surah
Yassin. Kak Melah sudah hilang dari pandangan. Tapi Siti sudah tidak
mahu memikirkan. Dia cuma ingin cepat-cepat menyambung tidur dan
tidak sabar untuk menanti perjalanan ke Kuala Lumpur esok.

No comments:

Post a Comment