Monday, June 28, 2010

badai Pasti Berlalu - 21

Sudah hampir seminggu Iman keluar dari hospital. Kesihatannya sudah hampir pulih sepenuhnya. Minggu depan dia akan mula bekerja kembali. Tidak sabar hendak bertemu dengan warga Seri’s Bakery N CafĂ© walaupun sewaktu dia terlantar di hospital mereka semua ada datang melawat dirinya. Amira, hampir setiap hari gadis itu akan datang menjenguknya, ada-ada saja buah tangan yang di bawanya. Coklat dan bunga silih berganti. Fatin, sahabatnya juga ada mengunjungi dirinya bersama-sama ibu dan bapanya. Ismail Syafiq, selepas kunjungan pertama, lelaki itu langsung tidak menunjukkan muka seperti yang di janjikan. Mungkin ‘kawan terpaksa’ Iman itu sibuk, mempunyai urusan yang lebih penting dari melawat dirinya. Hanya pesanan SMS dari lelaki itu yang setia di hantar. Sesekali ada juga panggilan darinya tetapi Iman tidak menjawab. Fikirannya menghalang sedangkan hati…



Saat Iman melangkah keluar pintu rumah, matanya tertancap ke arah seorang lelaki yang bersandar di pintu kereta di depan pagar rumahnya. Bakul baju yang di tangannya sebentar tadi di letakkan di beranda sebelum pergi ke arah lelaki itu. Kunjungan yang tiba-tiba dari lelaki itu amat menggelisahkan hati Iman. Iman tahu, ibu mungkin tidak akan marah kerana wanita itu sedang berusaha membaiki hubungan mereka. Iman juga berusaha untuk merapatkan jurang di antara mereka walaupun di rasakan agak sukar untuk ke arah itu. Dia berjanji akan cuba sedaya upaya memujuk hatinya kerana itu adalah impiannya sedikit waktu dulu. Biarlah waktu yang menentukan. Namun, hati Iman tetap tidak senang dengan kunjungan lelaki yang satu ini. Seakan ada rajuk di hatinya saat terpandang wajah bersih milik Ismail Syafiq.



“Hai…” Ucap Ismail ceria seraya merapati pintu pagar rumah Iman.

“Ismail! Kenapa awak datang sini? Apa yang awak nak?” Iman bertanya sedikit gelisah. Dia masih tidak membuka pintu pagar.

“Nak jumpa awaklah, nak apa lagi. So, macam mana dah sihat?” Tanya Ismail. Gadis itu di perhati atas bawah, T-shirt dan berkain batik, gaya klasik seorang gadis zaman moden, manis sekali. Terukir senyuman di bibir Ismail.

“Perlu apa? Saya tengah sibuk sangat sekarang ni.” Lantang Iman membalas.

“Tak mengapa, saya boleh tunggu sampai awak tak sibuk. Teruskanlah sidai baju tu. Saya duduk kat sini, atau awak nak saya tolong, hmm?" Tutur Ismail lalu duduk di atas tembok luar pagar.

“Ismail….. hishhh awak ni memang tau! Please… awak baliklah, Lain kali kita jumpa, ok?” Iman cuba memujuk supaya lelaki itu beredar.

“Saya tak percayakan awak! Dah banyak kali saya ajak awak keluar, semuanya awak tolak. Saya called awak tak jawab, SMS langsung tak pernah reply. Awak berjanji tapi satu pun awak tak kotakan lagi.” Ismail menjawab, mendatar saja suaranya. Iman terdiam, memikirkan sesuatu. Dia berjanji? Janji apa? Oh….rupa-rupanya lelaki ini tidak bermain dengan kata-katanya tempoh hari. Iman mengeluh perlahan, apa yang harus dia lakukan?

“Maaf, saya tak senang hari ni.” Iman beralsan seraya berpaling, langkah kakinya kaku di saat terpandang wajah ibu di muka pintu. Wanita itu memandang ke arah Iman dan Ismail silih berganti.



“Assalamualaikum makcik. Saya Ismail Syafiq, kawan Iman. Makcik apa khabar?” Terdengar suara Ismail dari belakang, ramah sekali. Ibu mengangguk perlahan.

“Aina, buka pagar, jemput budak tu masuk. Tak elok kalau jiran nampak.” Iman bagaikan orang bodoh, hanya menurut perintah ibunya. Hatinya di landa kebimbangan, apakah yang bakal ibu lakukan nanti?

“Hah! Kalau tak malu silalah masuk En. Ismail....” Perli Iman selamba.

“Saya tak malu pun kerana awak Cik Iman. Comel hari ni ek, ayu gitu…” Jawab Ismail seraya mendahului Iman masuk ke dalam rumah. Iman hanya mampu mendengus geram melihat sesusuk tubuh Ismail di depannya.



Ismail mengambil tempat duduk di sofa selepas menyalami tangan Ibu Iman. Ibu sudah sedia menanti di ruang tamu. Wajah wanita tua itu tenang sekali menerima kunjungan ‘kawan terpaksa’ nya itu. Iman berlalu ke dapur, menyediakan minuman untuk tetamu tidak di undang itu. Dari ruangan dapur dia cuba mencuri dengar perbualan di antara ibu dan Ismail Syafiq namun tidak banyak yang dapat di dengarnya lantaran bunyi lagu yang sedang ke udara dari radio yang terpasang. Entah apa yang mereka bualkan, entah-entah ibu memarahi lelaki itu. Padan muka! Desis Iman dalam hati.



“Aina, pergi bersiap. Ismail nak ajak kamu keluar ke bandar.” Arah ibu sebaik Iman meletakkan air minuman di atas meja. Sempat dia menjeling tajam ke arah lelaki yang berwajah selamba itu.

“Tapi bu… Aina ada kerja nak buat. Baju pun Aina tak habis sidai lagi.” Sedaya upaya Iman beralasan.

“Tak mengapa, nanti ibu sudahkan. Pergilah ibu izinkan tapi, jangan balik lewat sangat.” Tenang ibu berkata. Iman merasa pelik dengan sikap ibunya itu. Entah apa yang di gula-gulakan oleh Ismail pada ibunya sebentar tadi.

“Baik makcik, saya janji sebelum pukul 6pm saya hantar Aina balik.” Balas Ismail yakin sekali. Iman mencebikkan bibirnya ke arah Ismail sebelum berlalu ke dalam bilik.



Dalam keadaan terpaksa, Iman akhirnya menurut perintah ibunya, bagaikan orang bodoh Iman hanya mengikut ke mana saja di bawa oleh lelaki itu. Dari rumah Iman Ismail memandu ke arah Stulang dan mereka singgah menikmati hidangan mee rebus Johor di situ, salah satu daya tarikan utama kepada mereka yang berkunjung ke Johor Bahru. Menurut Ismail, itu adalah tempat kunjungannya setiap kali datang ke Johor Bahru kerana dia amat menggemari masakan tradisi seorang lelaki yang di gelar Pak Wahid itu. Sebenarnya, menu itu juga adalah kegemaran Iman sendiri namun sudah agak lama dia tidak menikmatinya.


Secara kebetulan, Kak Seri sekeluarga juga sedang menikmati juadah yang sama pada hari itu. Dan apa yang yang mengejutkan Iman, Kak Seri kenal agak rapat dengan Ismail Syafiq. Rupa-rupanya, Ismail merupakan adik kepada teman rapatnya sewaktu menuntut dahulu. Kak Seri selalu berkunjung ke rumah keluarga Ismail semasa menuntut di KL. Didi anak Kak Seri yang manja itu terus duduk di ribaan Iman sementara umi dan walidnya pergi membuat bayaran manakala Fifi dan abangnya Mimi melihat anak-anak ikan peliharaan di sudut gerai makan itu.



“Acik Aina, uncle tu pakwe acik Aina ek?” Bisik anak kecil itu di telinga Iman. Ismail di depan Iman di pandang penuh minat oleh anak kecil itu. Iman pantas menggeleng kepala.

“Bukanlah, kawan acik aje, kenapa?” Bisik Iman perlahan.

“Handsome…” Komen Didi. Iman mencebik bibir.

“Taklah, handsome lagi walid Didi tau.” Bisik Iman. Didi tergelak kuat.

“Hei… apa yang kelakar sangat ni Didi? Didi dengan Acik Aina mengata uncle ya...hmm?” Ismail yang sedari tadi memerhati gelagat mereka mencelah.

“Taklah, mana ada. Kan Didi kan?” Balas Iman. Didi mengangguk laju.

“Oh… berpakat ya. Naughty boy!” Ismail mencubit perlahan pipi tembam Didi. Anak kecil itu mangaduh sakit. Iman memberikan ciuman lembut di pipi Didi yang berbekas di cubit oleh Ismail itu. Ismail terpana dengan tindakan spontan Iman itu. Seketika mereka berbalas pandangan. Ada debar di hati masing-masing saat itu.

“Didi, cepat sayang Acik Aina. Umi dah nak balik tu.” Tutur Iman sekalian cuba menghilang rasa gugup di hati. Anak kecil itu pantas menciumi pipi Iman bertalu-talu.

“Untuk uncle tak ada?” Usik Ismail. Didi mendapatkan Ismail seraya mendekatkan mulutnya di telinga lelaki itu.

“Tadikan… Acik Aina cakap… uncle tak handsome!” Bisik Didi kuat sebelum berlari mendapatkan umi dan walidnya yang sedia menanti di hujung tangga. Iman tersentak namun dia hanya membuat riak wajah selamba apabila di renung geram oleh Ismail di depannya.



“Iman, kenapa awak suka ke tempat ini? Ada apa-apa yang istimewa ke?” Tanya Ismail sewaktu mereka berada di Pantai Stulang. Iman sendiri yang meminta Ismail membawanya ke pantai itu. Dia rindukan panorama indah yang tercipta di situ.

“Saja. Saya sukakan kedamaian yang tercipta di sini. Hati saya tenang, fikiran saya lapang. Lautan menyimpan sejuta rahsia, awak tahu itu?” Terang Iman, matanya khusyuk memandang ke tengah lautan, menikmati keindahan yang terbentang.

“Ya tahu, tapi kenapa mesti di pantai ini? Hampir setiap petang pulak tu. Pelik betul.” Komen Ismail.



Wajah Iman di sisi di perhati penuh minat. Pipi yang seminggu lalu cengkuk sudah mula berisi, mata itu juga sudah mula bersinar. Ismail merasa senang sekali dengan perubahan itu. Setidak-tidaknya dia tahu gadis itu sudah beransur sihat walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang ada di dalam hati seorang yang bernama Iman Nuraina itu. Masih berdukakah Iman? Bersedih? Atau barangkali, sekeping hati itu mula mencorakkan warna-warna ceria? Gembira? Ah, kalaulah dia dapat menyelongkar sejuta rahsia yang terdampar di dasar hati gadis itu, alangkah bertuahnya. Sungguh! Ingin sekali Ismail mengetahui apa yang ada di hati Iman Nuraina saat ini.

“Pelik? Tapi, saya tak menyusahkan awak kan. So, biarlah…” Iman menjawab sinis setelah agak lama membisukan diri.

“Hei, siapa kata awak tak menyusahkan saya. Jasad awak kat sini menyebabkan saya tak boleh nak buat kerja kat sana tu. Mata saya asyik nak pandang ke sini saja, awak tahu tak?” Laju Ismail berkata. Mata Iman mengekori jari telunjuk lelaki itu yang menghala ke arah projek gerbang perdana.

“Saya peduli apa! Awak yang tak pandai nak control mata nak salahkan saya pulak. Tak patut betul!” Balas Iman geram. Wajah Ismail di jeling tajam.

“Saya dah cuba control tapi tak boleh jugak. Mata ni gatal jer nak pandang ke sini, macam ada magnet. Entah-entah awak ni ada guna-guna tak…?” Ujar Ismail dengan senyuman nakal.

“Tak ada pasal saya nak guna-gunakan orang macam awak! Jomlah balik, saya boring.” Selamba Iman menutur kata.

“Iman, awak boring keluar dengan saya? Awak tak suka berkawan dengan saya?” Tanya Ismail seakan merajuk.
“Awak rasa bagaimana?” Tanya Iman sinis. Ismail Syafiq diam tidak menjawab. Wajahnya berubah muram, tersinggung agaknya. Tiba-tiba hati Iman di serang rasa bersalah. Hanya kesepian yang melanda mereka selepas itu...

1 comment: