Sunday, May 30, 2010

Bukan Cinta Biasa - 1

Pagi-pagi lagi Siti sudah menjerang air dalam periuk besar.
Sambil-sambil itu, tangannya pantas mengupas kulit pisang nipah yang
sudah masak ranum. Isinya kuning, kalau digoreng garing memang
membangkit selera. Lebih-lebih lagi dimakan waktu pagi-pagi begini.Kena
dengan air kopi. Uhhh….Siti menelan liur.

Dia membancuh tepung gandum. Dicampur sedikit dengan tepung beras.
Kemudian, telur dipecahkan. Bubuh sedikit garam. Kemudian gaul
rata-rata. Siti senyum puas. Dimasukkan satu persatu pisang yang telah
dikupas kulitnya. Isinya elok, dan tidak bonyok. Biasanya pisang yang
masak dipokok lebih manis rasanya dibandingkan dengan yang diperam
dengan kobalt. Sebab itu dia tidak suka kalau emaknya beli pisang di
luar. Kalau nak makan, tunggulah pisang-pisang keliling rumah masak.
Kadang-kadang dalam satu masa, 2-3 tandan pisang masak serentak .
Jenuh pula hendak dimakan. Kalau Kak Melah atau Abang Mohsin balik,
mereka memang angkut ke bandar. Siti tahu, anak-anak mereka memang suka
makan pisang goreng.
Dulu, ada juga peraih datang naik lori, untuk bawa semua pisang-pisang
ke bandar. Tapi, sejak kejadian banjir setahun lepas, banyak
pokok-pokok pisang yang mati. Kalau ada pun sepokok dua yang hidup
subur tepi parit.Setelah minyak panas, Siti masukkan dua-tiga ketul
pisang ke dalam kuali. Dia mejenguk seketika periuk besar yang berasap.
Sekejap lagi, bila air masak, dia ingin membancuh kopi pula. Lepas
bancuh kopi, dia perlu menyidai kain di ampaian depan rumah.. Biasanya
pagi-pagi begini, emak yang menyidai kain. Tapi hari itu, pagi lagi
emaknya sudah turun ke bawah. Ke kebun kelapa untuk memetik pucuk ubi.
Entah apa angin emak, tiba-tiba teringin nak masak pucuk ubi. Siti
bukannya suka sangat.

Siti menjenguk ke luar. Kelibat emak tidak kelihatan. Siti perhatikan
saja ke arah kebun kelapa tidak jauh dari rumahnya. Kelapa-kelapa di
situ semua nya sudah tua-tua belaka. Sudah tidak banyak hasilnya. Tapi
di hujung kebun, ada sungai kecil yang airnya jernih tapi cetek. 2-3
ekor lembu bapa ditambat di situ.
Siti cepat-cepat beralih ke dapur semula untuk mengangkat pisangnya.
Dia membancuh kopi, dan meletakkannya di atas meja. Terlihat bapanya
sedang mengelap topi keledar.

“Bapak nak kemana ni. Tak menoreh ke hari ni?”Siti bersuara. Dilihat
bapanya berpakaian kemas pagi itu. Biasanya kalau ke kebun getah, bapa
pakai baju kemeja pendek yang sudah capuk-capuk di seluruh bahagian.
Seluar kain khaki pula sudah keras, berbintik-bintik hitam kesan susu
getah yang melekat. Baunya tengik. Selalu bapa sangkutkan di dinding
luar supaya kering di sapa angin.
“Bapak nak ke bandar kejap. Mak kau mana?”
“Mak cari pucuk ubi.”Balas Siti pendek.Dituangnya air kopi ke dalam
cawan. Asap berlegar-legar di permukaan cawan sebelum pecah dibawa angin pagi.
“Pergi teriak mak kau..”Bapanya tarik kerusi lalu duduk menyandar.
“Mak kat bawah sana…..”Siti rasa malas sangat hendak turun ke bawah.
Malam tadi hujan lebat. Tanah tepi sungai mesti becak dan selut.
“Pergi panggil mak kau…”
“Iyerlah..iyerlah…..”Siti cepat-cepat beredar. Menyarung selipar jepun
yang sudah haus tapaknya. Tapi baru beberapa langkah di atur, Siti
tersenyum lebar bila melihat emak berjalan ke arahnya.
“Kau dah buat air Siti?”Plastik berisi pucuk ubi di sangkut atas paku
tepi pintu.
“Dah….”
“Sidai kain?”
“Belum…”
“Pergi bukak reban ayam. Tu…hampas kelapa tu pi bagi ayam makan….”Siti
cepat-cepat masuk ke rumah, mencapai mangkuk plastik berisi hampas kelapa.
“Conit dengan Lonjang jangan kasi keluar. Nanti berak depan rumah.
Busuk. Musim hujan ni tanah lembab….”Mak Jah mengibas muka dengan tuala kecil.
“Bapak panggil mak…”Siti bersuara sebaik selipar disarung semula.
Mak Jah tidak menyahut. Tapi Siti tahu, emaknya pasti bersarapan
dengan bapa. Bapa memang tak suka sarapan atau makan sorang-sorang.
Walau jauhnya emak waktu itu, bapa akan suruh jugak Siti pergi mencari.
Siti sudah faham benar.

Siti berjalan ke arah reban ayam yang diperbuat dari papan dan jaring
dawai. Sekali ditarik, pintu dawai terbuka. Bercempera haiwan-haiwan
tersebut melepaskan diri. Suara riuh rendah memecah hening pagi. Siti
berundur ke belakang takut ayam-ayam itu menerpa ke arahnya. Hampas
kelapa ditabur di sekeliling reban. Berceratuk ayam-ayam itu memagut
hampas. Berebut sesama sendiri.

Selesai semua hampas ditabur, Siti ke reban kecil di bawah pokok
nangka. Dia membongkokkan badan. Conit dan Lonjang, dua ekor angsa
kesayangannya menjulurkan kepala.Siti menghulurkan tangannya
dicelah-celah jaring. Dia tidak pernah rasa takut kalau-kalau
angsa-angsa itu memagut jemarinya.

Rasa simpati melihat kedua-dua ekor angsanya. Siti berhasrat hendak
membuka saja pintu reban tersebut. Dia lebih suka kalau Conit dan
Lonjang dapat berjalan-jalan mencari makan sendiri sekeliling rumah.
Tapi emak tidak benarkan. Emak marah kalau Conit dan Lonjang berak
depan pintu. Busuk. Hari-hari emak terpaksa kambus tahi Conit dan
Lonjang yang berlonggok depan pintu dapur. Conit dan Lonjang angsa
manja. Walau dihalau pergi, tetap berkeliaran di sekitar depan dapur
rumah. Menunggu-nunggu kalau dicampakkan nasi sejuk.
Akhirnya pintu reban di buka. Conit dan Lonjang terkedek-kedek keluar
sambil leher panjangnya teroleng-oleng. Sekejap menjulur tinggi,
sekejap menyudu-nyudu di tanah basah. Siti tersenyum lagi. Kalau emak
marah, Siti janji akan kambus tahi angsa-angsa itu. Walaupun Siti
sendiri tidak suka dengan kerja itu.

Siti kembali ke dapur. Dilihatnya bapa dan emaknya masih belum habis
bersarapan. Siti menghampiri emaknya.
“Dah bagi ayam makan?” Siti angguk perlahan.
“Dua ekor ayam yang dalam sangkar tu jangan dilepaskan pulak. Itu bapak
kau nak sembelih nanti”Sambung Mak Jah lagi.
“Mak nak masak ayam ke hari ni?”Tanya Siti lalu menarik kerusi.
“Mak nak buat rendang….nanti Siti tolong perah santan ye…”Siti angguk,
tapi dia pelik.
“Kak Melah nak balik ke mak?”Tanya Siti lagi.
“Tak lah….”
“Habis tu?” Air kopi dituang dalam cawan.
“Kawan bapak nak datang….Siti bukannye kenal pun…”Balas Mak Jah.
“Emmm…..patutlah bapak nak ke bandar. Bapak nak beli buah ye?” Pak
Seman tersengih mendengar pertanyaan anaknya itu. Dia mengangguk-angguk.
“Nanti Siti tolong sapu sikit depan rumah. Mak nak masak. Lepas tu
Siti mandi, pakai baju cantik-cantik ye…”Siti renung mata Mak Jah.
Pakai baju cantik-cantik? Siti semakin pelik. Kenapa mesti pakai baju
cantik-cantik. Emak dan bapak nak berjalan jauhkah?

Siti tinggalkan kedua orang tuanya menyambung bual. Dia tidak mahu
masuk campur. Ada banyak kerja yang harus dia lakukan. Sejak Kak Melah
berkahwin dan mengikut suaminya ke Melaka, Sitilah yang diharapkan
untuk menolong emaknya. Kalau emak dan bapanya pergi menoreh, sehari
suntuk Siti di dapur. Kadang-kadang sampai emak dan bapanya balik pun,
dia belum sempat memasak. Pagi, dia membasuh kain, bagi ayam makan,
mengemas rumah. Petang, dia melipat kain. Kalau banyak sangat daun
nangka yang gugur depan rumah, dia akan sapu sampai bersih.
Kadang-kadang dia akan ikut emaknya ke kebun ubi tidak jauh depan
rumah. Tapi biasanya dia akan curi-curi keluar waktu petang. Pergi ke
padang bola sebelah Balai Raya. Di sana, ada ramai kawan-kawan
sekolahnya yang suka berkumpul bersama.Di situ dia akan bertukar-tukar
cerita terutamanya dengan kawan baiknya Murni dan Shidah. Murni dah
Shidah sama nasib dengannya. Sehingga sekarang masih belum mendapat
kerja. Untuk menyambung pelajaran, rasanya mustahil. Siti sudah putus
asa setelah 4 kali permohonannya tidak ada sebarang jawapan. Siti
tidak mahu menunggu lagi. Dia yakin permohonannya itu gagal.
Siti bergegas ke depan rumah menyidai kain. Sambil itu dicapainya
penyapu lidi di bawah kolong rumah. Disapunya daun-daun nangka yang
gugur di laman. Terasa berat tangannya menolak penyapu lidi itu. Tanah
yang lembab menyalut helaian-helaian daun. Dia mengaut dedaun dengan
pongkis rotan, lalu melonggokkannya di perdu pokok kelapa yang tinggal
tunggul. Esok kalau hari cerah, dia akan bakar-bakar sampah-sampah itu.
Waktu hujan-hujan begini, jirus sebotol minyak tanah pun, tak akan
hidup api pada longgokan sampah tersebut.
Selesai semuanya, Siti masuk ke rumah semula. Diseka peluh didahi.
Terasa melengas badannya. Sekejap lagi dia ingin mencurahkan tubuhnya
dengan air kolah yang dingin. Pagi itu pasti bertambah dingin dek hujan
yang turun malam tadi.

No comments:

Post a Comment