Monday, May 24, 2010

Badai Pasti Berlalu - 17

Tersisih. Kini sekali lagi keadaan itu melanda Iman. Semenjak pertengkaran kecil itu, Ibu, Kak Ain dan Irma tidak lagi menghiraukan kewujudannya di rumah peninggalan arwah abah ini. Gelak ketawa mereka akan segera terhenti di saat kelibat Iman melintasi, bicara bertukar sindiran sinis yang mengguris tangkai hati. Sungguh! Iman sudah tidak tertahan lagi menghadapi dugaan ini. Hatinya pilu, bibirnya kelu untuk mengadu, jasadnya lemah untuk bangkit apatah lagi membela diri. Hanya airmata yang mengalir lesu, menzahirkan kesedihan hatinya tatkala tersentuh dengan kerlingan tajam ibu. Dia rela di sisih oleh masyarakat, dia sanggup menerima cercaan dan hinaan mereka tapi dia tidak rela di sisihkan oleh keluarga terutama ibunya sendiri, satu-satunya wanita yang Iman agungkan di dunia ini.



Iman gelisah. Hatinya tidak tenang. Segala yang dilakukan bagaikan ada yang tidak kena. Semuanya kerana kebisuan ibu. Wanita itu masih tidak bertegur sapa dengan dirinya, bercakap hanya sepatah dua, wajahnya di pandang sekilas cuma. Kewujudan dirinya di rumah di pandang sepi. Sungguh! Iman tidak boleh berterusan menghadapi situasi yang sebegini, dia rasa tertekan sekali. Dulu, walaupun tidak mesra, ibu masih mahu bercakap dan menegur dirinya, sedikit sebanyak Iman rasa kehadiran dirinya di sedari dalam kelompok keluarga kecil ini. Perlukah dia berbicara dari hati ke hati dengan ibunya? Adakah itu satu tindakan yang paling sesuai bagi merungkai masalah ini? Iman perlu mencuba. Mungkin esok dia akan cuba berbicara dari hati ke hati dengan wanita itu.



Iman bangkit dari pembaringan, kini, hampir setiap malam dia tidak dapat melelapkan mata. Kalaupun terlena, hanya sekejap cuma, sekadar merehatkan minda dan meredakan ketegangan tubuh badannya. Selepas berwuduk dan bersolat tahajud, Iman berteleku lama di atas sejadah. Itulah kebiasaan dirinya jika tersedar di tengah malam. Hanya pada ilahi dia berserah takdir hidupnya, memohon perlindungan juga mendapatkan petunjuk bagi setiap masalah yang melanda. Dia tidak mempunyai tempat mengadu untuk mencurahkan segala isi hati mahupun merungkai masalah yang membelenggu dirinya. Iman sedar, tidak boleh selamanya dia mengharapkan Fatin untuk mendengar setiap rintihan hati juga kesedihan hidupnya. Dia tidak akan sesekali mengganggu lena sahabatnya itu di saat dia kesedihan di tengah malam apatah lagi melambakkan gadis itu dengan masalah yang di hadapi dengan ibunya. Biarlah, selagi terdaya dia akan cuba mengatasi segalanya dengan keupayaan kudrat yang di anugerahkan ilahi ini.



Iman mencapai album gambar lama dari dalam laci meja soleknya. Satu-persatu helaian album di selak. Bibirnya mengukir senyuman manis di saat terpapar gambar mereka sekeluarga. Jemarinya mengusap wajah arwah abah yang tersenyum gembira, ibu di sebelah manis berkebaya pendek. Kak Ain, dia dan Irma pula berdiri sebaris di depan arwah abah dan ibu, berbaju kurung sedondon berwarna merah jambu berbunga putih. Masing-masing tersenyum menampakkan barisan gigi yang tersusun cantik. Iman rindukan kehadiran sebentuk senyuman indah yang terukir di wajahnya ketika itu. Manis dengan lekuk di pipi kirinya. Alangkah bahagianya saat itu. Andainya masa boleh di ulang kembali ingin sekali Iman mengembalikan detik penuh kemanisan itu.



“Abah, kenapa begitu cepat abah pergi meninggalkan Iman? Iman rindu, hati Iman sedih abah…” Rintih Iman sayu sekali. Gambar arwah abahnya di cium penuh syahdu, airmata membasahi sekeping photo yang kian usang itu.

“Apa salah Iman sehingga begini sekali nasib yang menimpa Iman. Sungguh! Iman sudah tidak kuat menghadapi dugaan ini, bantu Iman abah, bantu Iman…” Dalam esakan Iman terus meluahkan rasa hatinya. Iman terduduk lemah, masih di atas sejadah yang terbentang. Wajahnya di sembunyikan di kepala lutut, cuba meredakan tangisan, mengusir kesedihan yang bertamu.



Sesaat kemudian, Iman hilang di bawa ke alam yang sungguh indah, kakinya melangkah tanpa arah bagaikan mencari seseorang yang di dambakan. Dalam suasana yang damai, pandangannya tiba-tiba tertancap kepada sesusuk tubuh yang sangat di kenali, perlahan dia bangkit menghampiri namun jasad itu semakin menjauh. Iman mengecilkan anak matanya, cuba mengamati seraut wajah itu. Seketika, bibirnya mengukir senyuman, wajahnya berseri, indah sekali.



“Abah…..” Suara Iman mendesah perlahan, seakan melepaskan sebuah keluhan. Hatinya tiba-tiba jadi lega, gembira menemui sebutir permata yang hilang. Permata yang sangat di dambakannya.

“Bawalah Iman pergi bersama abah, Iman rindukan abah, Iman….”

“Iman sayang….jangan bersedih, bersabarlah anakku. Mungkin ada hikmah di sebalik dugaan ini nak. Banyakkan berdoa, bersabar ya sayang…” Suara abah menyapa perlahan di pendengaran Iman. Iman mengangguk perlahan, hanya sebuah senyuman yang mampu di hadiahkan kepada lelaki itu. Selebihnya dia lebih senang menatap seraut wajah yang di rindui itu.

“Bangkitlah anakku….” Pesan abah dengan sebuah senyuman. Perlahan-lahan Iman mendongak dan bertepatan itu juga kedengaran azan subuh berkumandang dari masjid yang berhampiran.

“Ya Allah aku bermimpi rupanya…” Desis Iman.



Selepas menunaikan solat subuh Iman kembali berbaring di atas katil. Badannya terasa lemah sekali. sudah agak lama selera makannya hilang, badannya kian susut. Memang dari segi zahir dia nampak bertenaga, wajahnya ceria tapi apa yang di paparkan sama sekali tidak sama dengan hakikat sebenar yang ada di hatinya, jiwanya sedih, hampa sekali dengan nasib yang melanda dirinya. Dia sengaja menunjukkan kekuatan dan ketabahan menempuhi dugaan hidup kerana tidak mahu meraih simpati orang lain. Dia tidak mahu kelihatan lemah di mata ibu dan adik-beradiknya.



Kadangkala, Iman berasa bersalah dengan dirinya sendiri, dia lebih mementingkan perasaan orang lain daripada memikirkan keadaan dirinya. Kesihatan dirinya di abaikan. Dulu, dia tidak sebegini lemah. Iman Nuraina yang kini suka sangat melayan perasaan, mengikut kata hati. Dia kini lebih sensitif, mudah sangat tersentuh dan menangis hiba, entah dari mana punca airmatanya, laju bak air sungai yang mengalir. Pertambahan usia seakan tidak mematangkan dirinya. Iman merenung siling putih yang terbentang, cuba mencari diri juga melakar perjalanan hidupnya. Pelbagai corak dan warna terlayar di ruangan matanya membuatkan Iman leka sekali. Kedinginan bayu pagi menyapa kulit mulusnya, memberi sedikit kesegaran pada sebatang tubuh yang lesu. Perlahan-perlahan Iman bangkit, tidak mahu terusan bermalasan melayan perasaan di tilam empuk itu

No comments:

Post a Comment