Thursday, April 22, 2010

Empat Sahabat Peah

KIAH, Semek, Bedah dan Limah berkumpul untuk berbincang sesuatu yang agak aneh untuk orang lain fikirkan. Kiah, Semek, Bedah dan Limah semuanya sudah bersuami dan mempunyai anak. Kiah ada empat orang anak dan yang sulung tingkatan lima. Semek juga ada anak lima orang, yang bongsu tingkatan satu. Demikian juga Bedah dan Limah masing-masing punya anak.
Anak Bedah tiga orang, yang sulung masuk universiti tahun dua dan Limah juga punyai anak seramai tiga orang dan
yang bongsu tingkatan empat.

Yang tidak ada suami dan tidak ada anak adalah Peah.Umur mereka sebaya, lingkungan empat puluh ke atas.
Kelima-limanya adalah rakan, kawan dan sahabat. Mereka keluar sekolah setakat tingkatan lima dari sekolah yang sama malah belajar dalam darjah yang
sama. Kedudukan rumah mereka dalam satu kampung yang sama, kampung yang bernama Kampung Bumbung Raja.

Kiah, Semek, Bedah dan Limah kahwin dalam tahun yang sama, hanya berlainan masa, hari dan bulan sahaja, kecuali Peah yang tidak kahwin-kahwin. Bukan Peah tidak mahu kahwin tetapi yang kahwin lebih dulu adalah sahabatnya yang bernama Kiah, Semek, Bedah dan Limah itu.

Kiah kahwin dengan seorang tukang kebun. Tukang kebun sebuah sekolah. Jodohnya dengan tukang kebun tetapi
suaminya tidak lagi menjadi tukang kebun selepas itu. Suaminya sudah menjadi seorang ahli perniagaan menjual
peralatan perkebunan yang amat berjaya.

Semek pula berkahwin dengan seorang tukang gunting.Tukang gunting persendirian, yang membuka kedai
gunting rambut di kampungnya itu. Suami Semek itu sahabat suami Kiah yang juga gagal masuk universiti. Dengan
kemahiran bergunting sambil di sekolah dan waktu lapang selepas balik sekolah, dia terfikir untuk membuka kedai gunting, langsung itu, dia menjadi tukang gunting
sepenuh masa dengan menerima upahan lima ringgit setiap kepala untuk dewasa dan tiga ringgit untuk setiap kepala budak-budak.

Lumayan juga pendapatannya. Akhirnya suami Semek membuka kedai gunting secara besar-besaran dengan enam
buah kerusi dengan enam orang tukang gunting di sebuah kedai gunting miliknya. Suami Semek menjadi tauke tukang gunting di samping dia sendiri terus
menjadi tukang gunting kedainya, sebagai ketua tukang gunting.

Suami Bedah pula adalah seorang tukang paip.Sememangnya suami Bedah pandai membaiki paip air.Kepandaiannya yang tidak disangka-sangka itu menjelma apabila guru sekolah tempat dia belajar waktu itu
meminta suami Bedah ketika itu yang masih budak sekolah menengah memperbetul dan memperbaiki paip
bocor bilik air sekolahnya.

Proses membaikinya menjadi dan selepas itu dia diminta tolong oleh orang lain di kampungnya untuk melakukan perkara yang sama, juga menjadi. Kerana menjadinya itu maka suami Bedah ketika belum menjadi suami Bedah memikirkan untuk meneruskan kerja-kerjanya itu sebagai satu kerja yang utama dengan membeli dan menyediakan peralatan pembaikan paip. Langsung itu suami Bedah yang tercicir pelajarannya seperti juga suami Kiah dan suami Semek membuka kedai membaiki dan menjual peralatan paip air.

Manakala suami Limah adalah seorang tukang rumah.Sewaktu sekolah dulu, iaitu sekolah yang sama dengan suami Kiah, Semek, Bedah, suami Limah selalu membantu ayahnya menukang, membuat dan membaiki rumah. Ayahnya
mendapat sedikit kontrak membuat rumah PRT, rumah rakyat termiskin.

Kerana selalu membantu dan menjalankan urusan membuat rumah itu dia akhirnya mendapat kemahiran dan
kepandaian membuat rumah. Akhirnya suami Limah menjadi kontraktor membina rumah kayu dan rumah batu. Banyak jugalah projek rumah yang diusahakannya.

Tetapi bagi Peah dia tiada siapa, tiada suami. Peah tidak ada suami yang menjadi tukang, tukang-tukang seperti suami Kiah, Semek, Bedah dan Limah itu. Semua suami sahabat Peah itu tukang-tukang belaka. Tukang sapu,
tukang paip, tukang rumah dan tukang gunting. Peah yang tukang tunggu. Menunggu jika ada lelaki masuk meminangnya atau menunggu sampai dia mati dan tidak punyai suami dan terus hidup membujang.

``Jadi kita kena cari laki untuk Peah!'' sebut Semek dalam perbualan itu.

``Ya! Kita kena tolong Peah cari laki!'' sambut Limah.

Peah jadi tukang jahit. Dia buka kedai jahit di kampungnya itu. Masa umurnya muda sedikit daripada umurnya sekarang yang sudah melebihi empat puluh tahun
dia membuat kerja jahit-menjahit dan mengambil upah menjahit di rumahnya. Kini Peah sudah ada kedai menjahit. Dia ada enam mesin jahit dan lima orang
pekerja tukang jahit.

Sewaktu Peah berada di rumah mereka, berulang-alik ke rumah mereka dan bermain-main dengan anak-anak mereka,
sewaktu muda dara Peah itu, Kiah, Semek, Bedah dan Limah tidak pernah rasa cemburu, rasa bimbang atau
rasa curiga terhadap Peah itu.

Mereka tahu Peah tidak akan memikat suami-suami mereka dan suami-suami mereka pula tidak akan terpikat dengan
Peah yang cantik lawa itu. Memangpun Peah cantik, lawa dan menawan. Kadangkala sesekali pandang lebih cantik daripada Kiah, Bedah, Semek dan Limah itu sendiri. Tetapi mereka tidak bimbang dan tidak menaruh perasaan curiga dengan kehadiran Peah itu.Malah mereka amat gembira apabila melihat Peah gembira.

``Ah! Siapa hendak kita jodohkan?'' tanya Semek.

``Iyalah! Dengan siapa, ada cadangan?'' tanya pula Kiah.

``Ah! kita yang bersungguh-sungguh nak berlakikan Peah ni, ada ke orangnya yang kamu semua nampak?'' Limah pula mengemukakan persoalan yang sama.

Mereka terdiam seketika, mencari jalan, mencari idea dan mencari senarai lelaki di kampungnya yang mereka tahu, yang mereka kenal untuk dirisik, ditemui,
dibincang dan dipadan serta dijodohkan untuk Peah itu. Yang bujang-bujang dan yang duda-duda dan yang menjadi
suami orang tidak akan mereka senaraikan, bahaya kerana mereka semuanya ada suami juga, kalau tiba-tiba suami mereka menyatakan hasrat yang sesungguhnya untuk menjadikan Peah sebagai isteri, nahas jadinya.

``Bagaimana kalau aku cadangkan si Ghani tu,'' suara Kiah.

``Ghani yang mana?'' tanya Semek penuh ragu kerana ada beberapa orang yang bernama Ghani tinggal di kampung
mereka.

``Alah! Ghani anak Dol, Dol tukang mengecat, tukang cat, anak Jaiton tu,'' terang Kiah sambil diakui kenal oleh Bedah dan Limah itu.

``Oh! oiii, Ghani itu, mana dia mahu, dia muda lagi, Peah dah tua, baik kita padankan dengan Said yang kematian isteri itu, isterinya sudah meninggal lama,
hampir lima tahun Said menduda,'' akui Semek dengan menidakkan cadangan Kiah itu sambil mencadangkan nama Said yang duda itu.

``Kamu, Semek! Nak padankan Said dengan Peah, jangan! jangan! jangan sekali, jangan sekali. Kamu tahukan
semua kita tahu Said itu ada anak dara, ada anak teruna. Malu anak daranya, anak teruna yang dah besar itu mahu
memanggil Peah mak, ibu, mama atau bonda ke, baik awak batalkan cadangan itu. Cadangkan yang lain, aku tidak setuju dan tentunya Peah juga tidak setuju,''celah Bedah penuh sangsi dan ragu dengan cadangan Semek itu.

``Habis kalau cadangan aku, cadangan Semek tidak bagus, tidak baik, tidak masuk akal, siapa! siapa! siapa yang hendak kita cadangkan untuk Peah yang aku rasa masih ada keinginan untuk berlaki itu?'' rungut Kiah kerana cadangan eloknya itu juga tidak mendapat restu sahabat-sahabatnya itu kerana baginya anak jantan Dol yang
bernama Ghani itu pada pandangannya suka akan Peah kerana Ghani itu didapatinya suka mengusik Peah
sewaktu sering-sering singgah di kedai jahit Peah.

``Begini saja, bagaimana kalau aku cadangkan dia dikahwinkan dengan Malik yang bekerja sebagai kerani di pejabat daerah tu. Aku rasa umur Malik sama tua
dengan umur kita semua, umur Peah. Malik masih bujang, bujang tua. Tidak kahwin-kahwin selepas kekasihnya disambar orang. Disambar oleh anak orang kaya, orang berpangkat,'' aju Limah yang sejak tadi asyik mendengar sahabat-sahabatnya mencadangkan orang itu
dan orang ini sehingga menimbulkan sedikit ketegangan yang nyata.

``Malik itu? Malik! Bagus juga, kalau Malik tidak mahu, kalau Peah tidak mahu ada seorang lagi macam Malik itu,'' sampuk Bedah yang menyokong cadangan Limah itu kerana baginya Malik amat sesuai dengan Peah kerana
Malik masih bujang, tidak muda, tidak tua dan bukan duda mahupun suami orang.

Yang susahnya, setahu mereka, Malik tak mahu lagi berkahwin setelah kehilangan cinta sejatinya terhadap Latifah yang diambil, direbut oleh seorang anak Datuk
yang akhirnya menjadi isteri anak Datuk itu.

Anak Datuk itu seorang pegawai tinggi kerajaan,Latifah pula amat cantik dan lebih cantik daripada Peah, Kiah, Limah, Bedah dan Semek itu sendiri. Memang
ramai orang lelaki hendakkan Latifah.

Latifah juga berkehendakkan Malik tetapi atas paksaan ayah dan ibunya Latifah yang cantik ayu dan manis itu tidak dapat berbuat apa-apa.

``Kalau ditakdirkan bukan Malik, siapa yang hendak kamu cadangkan itu, Bedah?'' tanya Kiah, Limah, Semek
mengangguk-angguk kepala mereka seperti bersama mahukan nama lelaki yang dicadangkan sebagaimana pertanyaan Kiah itu.

``Ramli!'' ringkas jawab Bedah.

``Ramli! Ramli mana satu?'' tanya Kiah.

``Ha! Ramli mana, P. Ramlee ke. A. Ramlie ke, L. Ramli ke atau Ramli Gong ke, Ramli Konor ke, Ramli Jambul
ke, Ramli mana ni, sebutlah betul-betul, Bedah, aku juga nak tahu latar belakangnya, jangan cadangkan yang kaki
merapu, kaki joli, kaki kebas duit bini, kaki mabuk,kaki judi sudahlah,'' desak Limah dengan huraian yang lebih lanjut.

``Ramli anak Salleh, Salleh tukang urut tu,'' jelas Bedah. Kiah, Limah dan Semek terkejut dan mengeluh panjang. Bedah naik hairan apabila cadangannya itu
seperti tidak mendapat respons yang baik daripada sahabat-sahabatnya itu.

``Ramli itu! jangan!'' pinta Limah.

``Jangan cuba kau cadangkan budak itu, walaupun bujang!'' tegas Kiah.

``Betul kata Limah dan Kiah, baik kau lupakan saja cadangan buruk kau itu, lupakan menamakan Ramli itu,''
Semek mengingatkan Bedah.

``Kenapa! Hodoh sangat ke Ramli itu, buruk sangat ke dia?'' tanya Bedah seperti tidak percaya akan penentangan sahabat-sahabatnya di atas cadangan baiknya itu
untuk memberikan Peah seorang suami.

``Bukan kerana rupa tetapi perangainya,'' jelas Limah.

``Kenapa pula dengan perangai Ramli itu?'' tanya Bedah seperti tidak berpuas hati apabila cadangannya itu seperti ditolak.

``Apa kau tidak pernah dengar ke cerita yang Ramli itu sering memanjat rumah orang, mengintai anak dara orang
mandi, tebuk rumah orang semata-mata nak tengok anak dara orang, kacau anak dara orang, kacau isteri orang,'' cerita Kiah panjang lebar.

``Bukan itu sahaja, kadangkala tipu perempuan, bila bawa perempuan jalan-jalan apabila dapat memancing perempuan yang digodanya, bukan duit dia habis, duit perempuan yang terkena goda itu habis dikebas Ramli.
Buruk sungguh perangai Ramli itu, hodoh sungguh tabiat Ramli itu, hai tak kuasa aku, kalau dialah nak jadi anak
menantu aku,'' Semek menambah cerita Kiah dan Limah itu. Bedah diam seketika.

``Jadi, keputusannya?'' tanya Limah.

``Keputusan apa lagi, kita jumpa Peah dan cadangkan supaya dia berkahwin, jadi seorang isteri!'' tambah Semek.

``Dengan siapa hendak dipadankan?'' tanya Bedah yang sudah memahami keadaan diri Ramli.

``Lah dengan siapa lagi dengan maliklah!'' sampuk Kiah dengan secepat kilat dengan harapan tidak ada nama
lain yang akan disebut oleh sahabat-sahabatnya itu.

``Mahu ke Peah dengan Malik, atau mahukah Malik akan Peah?'' tanya Bedah yang masih ragu. Mereka belum lagi
bertanya akan batang tubuh Peah dan Malik sendiri.

``Yang penting, Peah jadi isteri Malik dan Malik jadi suami Peah, kitalah yang menjadi orang yang mengaturnya. Kita akan pastikan mereka jadi suami isteri,'' tegas Limah dalam nada yang penuh semangat.

``Dengan menggunakan jalan buruk sekalipun?'' Bedah terus bersuara dalam keadaan yang tidak meyakinkan
kerana dia tahu Malik telah berikrar untuk tidak berkahwin lagi sampai bila-bila setelah kehilangan Latifah. Perkara ini pernah disuarakan Malik kepada suaminya
dan suaminya pernah memberitahunya tentang perkara yang amat sedih dan memilukan itu.

``Tidaklah sampai mahukan merosakkan hidup orang,tidaklah sampai hendak mengunakan bomoh pula, apalah
kau ni Bedah, tidak ada jiwa langsung,'' marah Kiah yang amat mengerti akan pertanyaan Bedah yang tahu banyak tentang Malik itu.

``Tidaklah sampai ke tahap itu maksud aku, cuma yang aku tahu Malik tidak mahu berkahwin lagi setelah kehilangan Latifah itu,'' jelas Bedah.

``Alah kata-kata manusia, manusia akan berubah, semua ada kehendak dan nafsu, aku percaya kalau kena caranya tentu Malik mahu berkahwin seperti juga Peah. Yang penting sekarang, kita mahukan Peah kahwin dengan Malik dan Malik jadi suami Peah, itulah yang sedang kita fikirkan dan bukan dengan orang lain,'' tambah Limah untuk meyakinkan semua sahabatnya itu kerana bagi mereka Malik itu sama juga seperti suami-suami mereka.

Limah tahu, Kiah tahu dan Semek tahu yang Peah pernah kecewa terhadap Malik. Sememangnya dari dulu lagi,
Peah mahukan Malik. Malik adalah satu-satunya lelaki yang diharapkan akan menjadi suaminya tetapi kerana
Latifah yang lebih cantik daripadanya dan amat dicintai Malik maka dia berundur diri dan tidak mahu lagi
melahirkan perasaan kasih, sayang dan cintanya terhadap Malik.

Peah pernah membayangkan cerita cintanya itu kepada Limah, kepada Kiah dan kepada Semek dan tidak kepada
Bedah. Limah, Kiah dan Semek faham akan perasaan Peah itu tetapi mereka tidak dapat membantu dan tidak dapat berbuat apa-apa sehinggalah timbul
untuk membantu menyemarakkan kembali perasaan cinta Peah itu untuk disatukan dengan Malik itu. Tiba-tiba
saja cerita itu datang dalam pertemuan yang tidak disengajakan itu. Dalam satu perbualan yang akhirnya menjadi begitu hangat dan memanaskan waktu itu.

``Jadi keputusannya kita temui Peah, bagaimana?'' Kiah
mencadangkan.

``Jadi! bersetuju!'' laung semua.

Mereka meninggalkan tempat perbincangan itu untuk menuju ke rumah Peah.

Dalam perjalanan menuju ke rumah Peah itu mereka bertemu Peah yang dalam keadaan tergesa-gesa seperti
orang kehilangan sesuatu yang berharga. Peah segera mendapatkan sahabat-sahabatnya yang setia itu.Tiba-tiba saja Peah memeluk semua sahabatnya itu.
Semuanya menjadi hairan penuh terkejut.

``Ada apa Peah?'' tanya Bedah.

``Iya Peah! Ada apa, seperti orang kehilangan sesuatu!'' tanya pula Limah.

``Iyalah, kenapa sedih saja ni, kenapa Peah,'' Kiah pula mengemukakan pertanyaan. Peah masih terdiam diri.
Tidak ada sesuatu perkataan pun terkeluar dari mulutnya.

``Ah! ceritalah, supaya kami dapat berkongsi kesedihan kamu itu,'' pinta Semek seperti mendesak. Peah terus
juga diam. Yang lain tidak bertanya lagi. Mereka membiarkan Peah menenangkan keadaan yang sugul itu yang tidak tahu apa cerita di sebalik kesugulan.

Akhirnya Peah bersuara,

``Kiah, Semek, Bedah, Limah....''

``Ya, Peah,'' mereka berempat menjawab serentak. Mata masing-masing memanah mata Peah. Berjuta tanda-tanda.

``Laki kau, laki kau berempat accident!

``Accident!'' sekali lagi suara mereka serentak.

``Mereka tumpang kereta Malik. Berlanggar dengan lori pasir.'' Peah terus memeluk sahabat-sahabatnya.
``Hanya Malik yang hidup.''

~TAMAT~

1 comment:

  1. hohohoho...
    apa ni???
    kcian lak shbt2 peah..
    dorg nak crikan peah laki..
    last2 kwn2 peah jd janda...

    ReplyDelete