Wednesday, April 7, 2010

Calon Pilihan Abah - 11

Aku termenung seorang diri di bilikku, sambil memandang ke luar tingkap. Matahari hebat memancarkan surianya di kala musim panas begini. Bumi Ireland ini akan aku tinggalkan dalam masa seminggu sahaja lagi. Pelbagai kenangan suka duka telah kulalui di sini. Sesungguhnya lima tahun bukanlah satu masa yang singkat untuk aku mengumpul segala memori itu..

Aku beralih ke cermin panjang yang kuletakkan di tepi pintu. Aku seorang yang menjaga penampilan diri. Wajahku kutatap lama di cermin itu. Aku bersyukur dengan kurniaan Allah yang memberikan aku wajah yang cantik. Kulitku hitam manis, tidak begitu cerah, tidak begitu gelap, persis kulit ibuku. Mataku juga bulat mewarisi ibuku. Selebihnya kuwarisi dari abahku. Hidungku kecil dan molek terletak. Wajahku bujur, saling tak tumpah wajah abah. Senyumanku dihiasi lesung pipit di pipi sebelah kananku.

Namun kecantikan itu kini kurasakan hambar. Aku tidak punya abah lagi. Aku kehilangan kasih sayangnya. Aku juga tidak sihat seperti sebelum-sebelum ini. Impianku bagai terbantut seketika menunggu masa untuk aku membinanya semula. Aku menarik nafas panjang sambil memejamkan mataku. Inilah dugaan hidup. Begini rupanya merasa duri-duri kehidupan ini. Aku akui kehidupanku selama ini dipenuhi dengan kegembiraan dan kejayaan yang mengelilingiku. Kesusahan yang aku rasakan Cuma ketika aku berusaha untuk mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaanku. Aku punya bakat-bakat tersendiri yang menyababkan aku menjadi tumpuan ketika di sekolah dahulu.

Namun kini, sudah tiba masanya diriku diuji. Aku harus menerima segalanya dengan jiwa yang kental. Aku percaya Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan yang mampu dihadapi mereka. Aku juga hamba Allah yang lemah. Namun ujian-ujian ini pasti dalam kemampuanku untuk menghadapinya. Aku pasti.

Aku mengisi sehari dua ini dengan berjalan-jalan di sekitar daerah Cork. Izzah menemaniku sebaik sahaja dia selesai dengan kerja sambilannya di asrama Castle White itu. Kalaulah Hisham ada, dialah yang akan menjadi pemandu kami berjalan-jalan ke pantai Dingle dengan keretanya. Sesungguhnya, aku amat merindui Hisham. Aku sendiri keliru dengan sikap Hisham meninggalkan aku tanpa sebarang kata. Mungkinkah dia kecewa kerana aku tidak memakai cincin pemberiannya? Tapi, aku sudah menunjukkan riak-riak yang aku juga menyukainya. Takkan Hisham tak dapat melihatnya? Aku sudah berkawan dengannya selama 5 tahun. Mustahil dia tidak dapat membezakan senyuman yang aku berikan padanya.

Sudah hampir seminggu. Hisham masih tidak muncul. Aku mula menangis semula. Izzah nampak risau melihatku. Aku rindukan Hisham. Kenapa satu berita pun tidak dihantarnya padaku. Sudahlah pergi tanpa memberitahuku. Kenapa dengan Hisham?? Adakah aku melakukan apa-apa kesilapan ketika bercakap dengan mama dan papanya?

Dua hari sebelum kepulangan kami, Izzah mula bersuara tentang Hisham.

“Kak..Izzah risau tengok akak..Janganlah sedih sangat kak..Akak..akak lupakan aje la Hisham tu..Lupakan aje..Izzah rasa Azmi tu baik lah akak..Hisham tu…”

“Kenapa dengan Hisham?”

“Tak ada laa…macam tak ambil berat langsung tentang akak je..Lupakan aje lah dia kak..” Aku terdiam. Ada betulnya kata-kata Izzah itu. Tapi..bukan mudah untuk aku lupakan perasaan yang sudah bertapak sejak 5 tahun lalu ini. Bukan sesuatu yang mudah bagiku.

Esoknya, Izzah bersuara lagi..

“Kak..lupakan aje Hisham tu..” Aku mula mengesyaki sesuatu.

“Izzah ada tau apa-apa ke tentang Hisham? Janganlah berahsia dengan akak..Cakap aje lah Zah..Kenapa? Hisham dah tawar hati dengan akak? Hisham sengaja lari dari akak?”

Izzah diam.

“Ish akak ni..Ni Cuma pandangan Izzah je..Izzah rasa Hisham tu pentingkan diri la akak..Akak accident, dia buleh lagi pegi holiday..Izzah rasa macam tak suka kalau akak ngan Hisham tu. Dulu mungkin dia nampak beria sukakan akak..Tapi sekarang?? Di mana dia kak?? Akak tak terasa apa-apa ke?” ujar Izzah dengan panjang lebar.

Aku mengetap bibir menahan sedih. Entah kenapa Hisham buat aku begini. Aku mengeluh panjang. Izzah memandang sahaja mukaku. Lama kami sama-sama diam.

“Izzah..Akak sebenarnya terasa sangat dengan apa yang Hisham buat ni..Dia pergi mana pun tak cakap dengan akak..Sampai hati dia..Tawar hati akak jadinya Zah..” Aku memecahkan kesepian dengan tangisan.

“Kak..akak balik lah pada Azmi..”pujuk Izzah. Aku menggeleng-gelengkan kepala laju.

“Izzah, akak dah tolak dia mentah-mentah Izzah..Semuanya kerana cinta akak pada Hisham..Bukan mudah akak nak lupakan Hisham..”

Izzah memelukku sambil menepuk-nepuk belakangku. Di bahu Izzah itulah aku selalu mencurahkan air mataku. Dialah insan yang paling memahami diriku. Alangkah rumit dan sukarnya kehidupanku kini.

Sehabis mana pun Izzah cuba menyembunyikan sebarang rahsia daripadaku, paling lama pun seminggu sahaja dia mampu bertahan untuk mendiamkan diri daripada memberitahuku. Hari ini, Izzah menceritakan segala-gala rahsia yang diketahui daripada Hanif tentang Hisham padaku.

“Kak, Izzah tak mampu berahsia lagi kak..Izzah harap akak sabar lah ye..” Mulutku ternganga menunggu-nunggu kata-kata Izzah seterusnya dengan penuh debaran. Rahsia??

“Kak..Akak lupakanlah Hisham..Izzah tak percaya Hisham boleh jadi suami yang baik untuk akak..” Aku diam dan memandang Izzah tak berkelip. Izzah meneruskan kata-kata yang ingin disampaikannya.

Izzah telah mendesak Hanif menceritakan segala-galanya. Bukan mudah untuk Hanif bersuara, kata Izzah. Berpuluh kali Izzah mendesak, barulah Hanif membuka cerita. Tapi dia meminta agar jangan diberitahu pada aku.

Kata Izzah, sebaik sahaja Hisham memperkenalkan aku pada mama dan papanya, papa Hisham terus sahaja menyiasat tentang diriku. Keluarga Hisham tidak begitu bersetuju dengan pilihan Hisham. Aku tersentak. Apa salahnya dengan diriku? Apa yang tak kena?

Izzah berat berkata-kata. Kata Izzah, papa dan mama Hisham mahu orang berada juga. Mereka sudah pun mengatur jodoh Hisham dengan anak kenalan mereka. Sesuatu yang tak dapat aku nafikan. Memang keluargaku kurang berharta. Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan keluarga Hisham yang kaya-raya itu. Aku tunduk mendengar kata-kata Izzah. Air mataku mengalir perlahan. Tidakkah aku sedar selama ini perasaanku bermain dengan api yang hanya akan membakar diri sendiri bila sudah marak?

Papa Hisham kenal Kak Ngah ku. Mereka bertentangan pendapat politik. Aku tidak masuk campur urusan politik Kak Ngah. Aku hanya menggeleng-geleng kepalaku perlahan dengan bibir yang diketap. Ditambah lagi, kata Izzah, keluargaku banyak penyakit keturunan. Ibuku ada ketumbuhan. Aku juga ada ketumbuhan.. Aku mengerutkan dahiku. Dari mana pula mereka mendapat semua ini??? Apa jenis orang yang sanggup nak menyiasat sehingga begitu sekali???

“Hisham? Bagaimana dengan Hisham?” Nadaku bertanya dengan marah. Sudah tidak ada air mata mengalir lagi. Terasa perasaan marah menyelubungi hatiku. Keluargaku dikata begitu begini mentah-mentah oleh Uncle Rahman dan Auntie Zaleha.

“Emm..Hisham..Hisham..Dia ikut aje kata-kata papa dan mamanya..Sebab itulah papa dan mamanya bawa dia bercuti. Mereka mahu Hisham lupakan semua ni..” Jelas Izzah lagi.

Aku menelan air liur dengan begitu payah mendengar kata-kata Izzah yang panjang lebar menjelaskan butir-butir laporan kehilangan Hisham yang telah menjadi punca air mataku sejak seminggu lalu. Payahnya aku menerima hakikat ini. Hampir sama payahnya untuk aku menerima kehilangan abah dahulu. Aku kehilangan Hisham pula.

“Izzah, thanks sebab bagitau akak semua ni..Izzah, boleh tinggalkan akak sendiri kejap..?” soalku pada Izzah. Izzah mengangguk perlahan sambil bangun meninggalkan aku keseorangan di bilik yang kosong itu.

Aku menyapu wajahku dengan kedua-dua telapak tanganku. Aku agak kurang bersedia menghadapi semua ini. Hisham itu harapanku, harapanku sejak bertahun lamanya. Sukar untuk aku percaya semua kata-kata Izzah tadi selagi tidak kudengar dari mulut Hisham sendiri. Setelah beberapa minit berfikir, aku segera bangun dan turun ke ruang tamu di bawah dan mencapai telefon. Nombor telefon bimbit Hisham aku dail dengan pantas. Mungkin dia sudah pulang dari bercuti. Aku tidak sabar mendengar penjelasan Hisham.

“Hello,assalamualaikum, Hisham..” Salamku tidak berbalas. Aku tahu ada orang yang mengangkat telefonnya.

“Waalaikumussalam..ana..” Akhirnya Hisham membalas. Kami sama-sama terdiam sebentar.

“Ana, kau apa khabar? Sihat?” Ujar Hisham perlahan, memecahkan suasana itu.

“Emm…Sham,kau pergi tak bagitau aku,sham..” kataku dengan nada yang agak sebak.

“Mama dan papa aku ajak aku holiday, so..masa tu kau still kat hospital..emm..” Aku seperti ingin menangis di situ mendengar kata-kata Hisham.

“Sham, kenapa tak beritahu aku..” Belum sempat aku menghabiskan ayatku, Hisham cepat memotong.

“Ana, sorry, aku ada hal kejap ni, kena keluar…”

“Sham, kenapa kau macam ni Sham??”

“Ana, aku bizi sikit ni..Aku letak dulu ok..Oh ya, by the way, congratulation for your engagement.” Aku tergamam.

“Hisham, please tunggu..Sham..please..” kataku agak kuat. Hisham Cuma diam sahaja. Hanya nafasnya sahaja yang kedengaran. Air mataku sudah mula mengalir lagi.

“Sham, itu pilihan keluarga aku. Bukan kehendak aku. Sham..Sham, aku sukakan kau..Sejak kita mula-mula jumpa lagi..Azmi tu pilihan keluarga aku, Sham..” Tangisanku tak dapat dibendung lagi. Aku seolah-olah terdesak. Hisham diam sahaja.


“Hisham, cepat sikit! Papa dah tunggu tu!” sayup-sayup suara mama Hisham kedengaran di telefon.

“OK mama, coming!” Hisham membalas. Aku Cuma mendengar sahaja.

“Ana, aku ada kerja ni..” Kata Hisham pantas. Aku sendiri tidak faham nada suaranya. Marahkah dia? Kecewakah dia? Bencikah dia pada aku?


“Sham..” Belum sempat aku menghabiskan ayatku, Hisham sudah pun meletakkan telefonnya. Aku jadi kelu untuk berkata apa-apa. Terketar-ketar bibirku menahan kesedihan. Dia bukan milikku lagi. Begitu cepat Hisham berubah.

Aku sudah tidak mengira baik buruk atau kesopanan diriku lagi. Aku segera mendail nombor telefon Hisham sekali lagi.

“Sham..kau dah tak sukakan aku Sham? Sebab mama dan papa kau tak sukakan aku?” Hisham tidak menjawab. Aku tahu dia masih mendengar.

“Sebab aku tak layak untuk kau? Kau dah takde apa-apa perasaan pada aku lagi?” soalku lagi. Aku inginkan kepastian. Aku letih bermain dengan emosi sendiri.

Hisham tidak menjawab. Dia terus meletakkan telefonnya. Aku terkedu. Aku keliru dengan perasaan Hisham. Perasaan cinta yang aku bina padanya seolah-olah sudah hampir roboh. Mungkin benar apa yang dikatakan Izzah dan Hanif. Hisham menurut kata mama dan papanya. Dia anak yang baik. Anak yang taat. Bukan seperti aku. Aku ini anak derhaka yang sanggup melawan abahku demi untuk seorang lelaki yang aku sendiri tidak tahu sejauh mana kasihnya padaku. Mungkin aku yang bodoh.

Aku terlalu lemah untuk berfikir tentang realiti hidupku kini. Izzah memapah aku ke bilik. Berjam-jam Izzah menasihatkan aku supaya menguatkan hati dan semangatku. Memang itu yang aku perlukan. Aku perlukan kata-kata semangat itu. Sesungguhnya bukan mudah untuk aku melupakan Hisham.

No comments:

Post a Comment