Thursday, April 22, 2010

Buat Aku Tersenyum - 9

Fail berkulit kuning tu kuhempaskan atas meja. entah mengapa, akhir-akhir ni hatiku panas. Agaknya panas dengan kejadian hadiah misteri. Ataupun panas sebab tengok kemesraan Razif dengan Jasmin Yusrina. Ish, Kenapa la aku ni. Biarlah... tapi, tadi... hai hati..

Lunch tadi Ayah Ude belanja staf dia makan, termasuklah aku. Tapi, entahlah. Tiba-tiba hati terasa terusik bila tengok kemesraan Razif dengan Jasmin Yusrina. Yang di razif tu, asyik merenung saja Jasmin Yusrina makan. Hai, tak tau jaga pandangan mata sungguh la. Siap usik-usik lagi. Panas rasanya darahku. Kalau dah bekenan, kahwin saja lah..kan senang, tengok saja siang malam, toksah buat kerja len.belekle puas-puas...

Hai hati, kenapalah macam ni... rasa nak makan tiba-tiba rosak. Rahsia yang kusimpan sejak di alam kampus kubongkarkan kembali. Rahsia yang membawa kepada 1 kelukaan dalam hidupku.


Dia seorang yang bijak. malah tidak kunafikan, ramai siswi yang merisik khabar ruang kosong di hatinya. Apabila dia bangun untuk membuat presentation, mesti ramai yang akan memberikan perhatian. Taktaulah apa aura yang ada padanya. Tapi,kata-katanya memang tersusun. Cuma, dia cukup anti dengan siswi bertudung labuh yang digelar khemah bergerak.

Hari tu adalah hari yang paling menyedihkan. Dan aku takkan melupakan hari yang cukup membuatkan aku terseksa untuk menyelesaikan pengajian yang masih berbaki setahun. Hari yang cukup memalukan.

Aku dituduh perigi bocor!!! Terpinga aku tatkala melangkah masuk ke kelas pagi tu.

"Saya minta maaf, Saya rasa bukankah lebih baik awak tumpukan pada pengajian. Mengapa masih perlu difikirkan tentang jodoh. Sekarang bukanlah masanya. Kak ayunie ada menqiaskan kepada saya hajat awak . Tapi, saya minta maaf. Saya perlu mengutamakan pengajian saya...,"

Kak ayunie? Senior tahun akhir yang kurang mesra denganku. Apakah yang terjadi?! Mengapa Razif kata macam tu... sejak hari tu, 1 kelas macam memulaukan aku. Aku dikatakan perigi mencari timba. Sengaja menghantar borang permohonan walaupun tahu tak layak. Salah faham tu akhirnya terbawa sampai ke tahun akhir pengajianku. Ada teman-teman baik yang mengesyorkan kepadaku supaya menyelesaikan salah faham itu dengan kak ayunie dan Razif. Namun. Aku hanya mengambil langkah mendiamkan diri. Sampaikan ummi dan walid marah padaku. Kata walid. Aku perlu menegakkan kebenaran itu. Lantas, ku katakan pada walid..biarlah walid..satu hari nanti, kebenaran itu pasti akan berpihak pada yang hak!

Benar seperti kataku. Pada hari konvokesyen, bersaksikan walid dan ummi. Kak ayunie menangis di hadapanku dan razif telah dibawa untuk menjelaskan hal sebenarnya. Kak ayunie mengaku dia hanya bertujuan untuk memalukan aku kerana seorang senior siswa telah menolak hasratnya kerana senior itu menyatakan dia telah mempunyai pilihan hati iaitu junior bernama Nurul Syaza. Memang aku tidak kenal senior yang dimasukkan oleh kak ayunie. Kata kak ayunie, dia tidak dapat menerima hakikat itu. Seolah-olah dia tewas dengan aku yang hanya gadis biasa. Lalu, terciptalah kisah dongeng yang cukup menyeksakan aku selama setahun. Aku hanya tersenyum. Tidak pulak aku hamburkan kata-kata makian. Ahh, itu bukan didikan ummi dan walid. Dan aku sendiri punyai prinsip. Setiap malam sebelum aku lelapkan mata. Aku akan maafkan apa juga kesalahan orang. Dengan itu aku menjadi tenang. Alhamdulillah. Cuma, terfikir ada jugak lelaki yang terdesak sampaikan sanggup menyusahkan aku. Kalau dah tak suka, cakap sajalah. Mengapa perlu membabitkan aku?!

Razif hanya diam membisu.

Calon Pilihan Abah - 12

Hisham,aku merindui dirimu. Air mataku menitis lagi!

Hari ini, aku dan Izzah pulang bersama. Ramai juga yang menghantar aku di airport. Itu kali terakhir aku menjadi warga bumi Cork yang menyimpan seribu satu kenangan itu. Aku menoleh buat kali terakhir memandang bumi kedua yang kucintai selepas Malaysia itu sebelum aku masuk ke perut kapal terbang. Aku menghirup sepuasnya udara Ireland. Selepas ini aku mungkin takkan kembali lagi ke sini..

Mataku masih berbekas lagi hasil tangisanku selama 2 hari yang lepas. Malu juga dilihat orang. Tapi apakan daya, itulah perasaanku yang terpancar jelas di wajahku. Aku akan cuba melupakan semuanya. Kenyataan yang terlalu sakit untuk kuterima. Tapi itulah hakikatnya. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Mengenang aku ini hanyalah hambaNya yang hina, sesungguhnya tidak layak untuk aku mempersoalkan takdir ketentuanNya. Dia lebih tahu. Aku percaya sepenuh hatiku bahawa dia lebih tahu segala-galanya.

Sepanjang di dalam kapal terbang, aku bersembang panjang dengan Izzah. Semuanya cerita-cerita gembira sahaja yang kami cakapkan. Kami berpisah di KLIA. Ibu bapanya akan menjemput dia di situ. Aku memeluk Izzah erat-erat sebelum berpisah. Bagiku dialah sahabat paling sejati pernah aku miliki.

Aku meneruskan penerbanganku ke Alor Setar. Aku tidak memberitahu emak tentang kepulanganku. Sampai sahaja di Alor Setar, aku mengambil teksi dan terus pulang ke rumah. Fikiranku kini kosong. Aku Cuma memikirkan tentang pembedahan otakku yang akan aku uruskan nanti.

Setibanya di rumah, aku nampak emak sedang menyapu di luar. Emak sungguh terkejut melihatku. Terus dia memelukku dan mencium pipiku.

"Kenapa tak cakap dengan mak nak balik? Kalau tidak boleh mak dan Azmi jemput ana" kata emak lembut. Azmi?? Sudah lah tu Mak!Ana dah putus dengan Azmi..kata hatiku.

"saja nak kejutkan mak.." kataku sambil tersenyum. Emak terus sahaja mengheret aku masuk ke rumah dan bercerita panjang-lebar denganku. Betapa dia merindui aku.. Aku tunjukkan pada emak gambar-gambar konvokesyenku. Emak memeluk aku sebaik sahaja dia melihat aku memakai baju merah jambu itu.

"Ana..kita cepatkan aje ye sayang.."ujar emak lembut.

"Cepatkan apa ni mak?" soalku dengan penuh debaran.

"Perkahwinan Ana laa..Janganlah berdalih-dalih lagi..Mak ada jumpa Azmi minggu lepas." Emak diam seolah-olah menunggu aku bertanya tentang Azmi. Aku diam sahaja..

"Ana..Ana bergaduh dengan Azmi ke? Dia diam saja bila mak sebut nama Ana..Kenapa ana..bagitau lah pada mak.."pinta emak sepenuh hati.

"Erm..tak ada apa-apa mak..Alahh..biasalah..Ana kan duduk jauh dekat sebulan jugak tak balik ni kan..Mestilah macam tu sikit.."kataku. Apa maksud kata-kata aku itu aku sendiri pun tidak memahaminya. Aku tergelak sendiri di dalam hati memikirkan kata-kata aku pada emak itu.

"Mak tengok Ana ni macam susah hati je..Ana ada masalah apa-apa ke.." soal emak sambil membelai-belai rambutku. Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalaku.

Biarlah aku sendiri dan menyendiri..Biarlah aku fikirkan masa depanku dan emak sahaja. Aku tak mahu lagi menghiris hati sendiri..Cukuplah dengan apa yang apa yang sudah berlaku.

Malam-malam yang berlalu setelah aku kehilangan Hisham sememangnya begitu sukar bagiku. Sebelum tidur adalah masa terbaik yang selalu aku gunakan untuk memikirkan masa depanku, apa yang akan aku lakukan esok dan seterusnya. Ketiadaan Hisham dalam masa depanku adalah sesuatu yang di luar kemampuan diriku untuk membayangkannya. Kalau dulu, abah memaksa, aku masih mampu memberontak dan menolak. Tapi kini, empunya diri yang menjadi impianku sudah menolak. Apalah yang mampu aku lakukan. Ketumbuhan otakku adalah ujian dariNya. Pemergian abah adalah ujian dariNya. Andaikata umurku masih panjang, esok pasti akan menjelma jua. Hidup perlu aku teruskan. Tak ada gunanya aku merungut dan menangis. Aku lelap setiap malam berbekalkan kekuatan semangat dan keyakinanku pada Ilahi.

Malam sudah larut. Yang kedengaran Cuma suara cengkerik dan unggas-unggas di luar. Bunyi kipas berpusing menemaniku malam itu. Aku baru sahaja selesai menunaikan solat istikharah, memohon petunjuk Ilahi. Gambar masjid Nabawi di sejadahku itu kupandang lama. Malam ini aku bertekad untuk berusaha mengubah hidupku. Derita yang aku hadapi perlu aku lalui dengan kegigihan. Tidak ada gunanya lagi bayangan-bayangan wajah Hisham dalam hidupku. Dia terlalu jauh. Terlalu jauh untuk aku gapai. Aku harus belajar membuang Hisham daripada hidupku.

Telekung aku lipat perlahan. Aku mengusap rambutku perlahan. Aku Cuma ada diri sendiri untuk membela nasibku. Selama ini, pergantunganku pada abah. Abah lah yang menguruskan diriku. Dialah yang menggembirakan aku. Seri hidupku sudah mula hilang sejak peristiwa tahun lepas. Aku perlu mengembalikan keceriaan yang sudah lenyap dari hatiku. Kalau lah abah masih ada, dialah yang akan berusaha mencarikan doctor terbaik untukku. Kalau lah abah masih ada, dialah yang akan memujukku atas kesedihanku. Aku menarik nafas panjang dan kuhembus perlahan. Aku perlu berdiri sendiri sekarang. Tidak perlu bergantung kepada orang lain. Aku perlu kuatkan semangatku. Semangat dan kegigihan untuk melawan kekangan emosi ku ini. Aku tertidur di atas sejadah yang masih belum kulipat.



"Assalamualaikum Ana." Suara di telefon itu kukenali. Azmi menelefonku pagi itu setelah hampir seminggu aku di rumah.

"Waalaikumussalam !Emm.."

"Ana..Mi bercakap ni. Boleh Ana datang klinik Mi tengah hari ni? Klinik Darul Syifa’. Ana tau kan? Mi tunggu pukul 12.30 nanti ok?" Nada Azmi tegas. Aku tidak berani membantah.

"Insya-Allah.."

Aku segera bersiap. Aku lihat wajahku yang sedikit pucat itu. Aku sapukan pelembab dan pelapik bedak. Sedikit blusher dan lipstik nipis berwarna merah lembut turut aku sapukan. Malu pula ingin berjumpa Azmi dengan wajah yang begitu.

Tepat jam 12.30 tengah hari, aku tiba di klinik Azmi. Puas juga aku meronda mencari Klinik Darul Syifa’ ini. Klinik itu kemas dan bersih. Tulisan-tulisan ayat-ayat Al-Quran yang indah-indah dibingkaikan dan digantung di dinding. Ramai juga orang di luar menunggu.

"Assalamualaikum..Ini Cik Nurul Hanaa ye?"Tanya penyambut tetamu di depan. Aku menjawab salam dan mengangguk-angguk sambil tersenyum.

"Cik pergi ke bilik nombor 2 di hujung sana, Dr Azmi sedang menunggu."

Aku berlalu setelah mengucapkan terima kasih. Berdebar-debar sungguh rasanya. Entah apa yang akan dikatakan Azmi. Pasti dia marah dengan kata-kataku dalam suratku meminta tali pertunangan kami diputuskan. Aku mengetuk pintu perlahan. Setelah mendengar suara Azmi menyuruh masuk, perlahan-lahan aku menguak pintu yang tidak bertutup rapat itu. Aku terus saja menutup pintu dan memandang Azmi yang masih leka menulis sesuatu.

"Emm!" aku kehilangan kata.

"Duduklah Ana.."kata Azmi perlahan. Aku patuh sahaja. Kulihat Azmi masih lagi khusyuk menulis.

"Ana apa khabar? Macam mana grad? Seronok tak?" soal Azmi setelah menghabiskan kerjanya.

"Emm..ana sihat alhamdulillah..Grad pun seronok.."terketar kurasakan suaraku. Aku tidak berani melihat wajah Azmi.

"Ana!Mi minta ana ke sini..bukan untuk berbincang hal kita. Tapi, hal ana.." Aku sedikit terkejut. Hal aku? Aku mengerutkan dahi memandang meja. Hal apa pula?


"Ana..Mi risau kesihatan Ana..Mi tahu tentang masalah kesihatan Ana. Mi dah uruskan pembedahan untuk Ana di KL. Laporan kesihatan ana pun Mi dah dapat dari Cork University Hospital. Mi harap Ana setuju dengan cadangan Mi ni.." Kata-kata Azmi yang panjang lebar itu memeranjatkan aku. Siapa?? Siapa pula yang memberitahu Azmi??

"Izzah menelefon Azmi beberapa hari selepas ana kemalangan. Dia dah ceritakan semuanya pada Mi.."

"Semua? Hisham? Tentang Hishan pun?"soalku laju sambil memandang wajah Azmi.

"Hisham??" Azmi mengerutkan dahinya. "Siapa Hisham tu? Ohh..patutlah!Ana..tak sudi terima Mi..Rupanya hati ana dah berpunya.." Kata Azmi perlahan. Dia memandang tepat ke wajahku. Aku jadi serba-salah. Darahku juga menyirap mendengar kata-kata Azmi. Benci pula aku mendengar nama Hisham itu.

"Hisham tu kawan biasa saja. Tak lebih dari itu." Kataku tegas.

"Habis tu kenapa ana sebut nama dia tadi??" soal Azmi memerangkapku. Aku terdiam Mataku tepat memandang Azmi tidak berkelip.

"Ana tak pernah ada apa-apa dengan dia."

"Tapi kenapa Ana sebut nama dia tadi?" Azmi mengulang soalannya. Hatiku menjadi geram mendengarnya.

"Biarlah ana! Ikut suka saya lah!" Aku mula meninggikan suara.

"Mana boleh ikut suka. Awak tunang saya"

"Saya dah minta diputuskan"

"Saya tak pernah setuju untuk putus" Azmi membalas. Selesai sahaja Azmi berkata begitu, azan zohor berkumandang dari masjid. Kami sama-sama terdiam. Aku mengalihkan pandangan ku ke almari buku yang tersusun di tepi dinding. Selesai sahaja azan, Azmi bingkas bangun. Aku memerhati dengan serba tak kena.

"Saya nak ke masjid bersolat sekejap. Awak pergilah solat di bilik sembahyang di atas. Lepas tu turun balik ke sini" arah Azmi. Aku menurut sahaja dia dari belakang. Aku naik ke tingkat atas mencari bilik sembahyang. Aku mengambil air sembahyang di bilik air bersebelahannya dan terus masuk bersembahyang. Ada seorang wanita sedang turut sama bersembahyang di situ. Aku menepuk belakangnya untuk berimam. Selesai memberi salam dan membaca doa, wanita itu masih lagi di situ.

"Ini Cik Nurul Hanaa tunang Dr Azmi ye?" soalnya sambil tersenyum. Aku bersalam sambil membalas senyumannya. Aku dikenali rupanya di sini.

"Kakak ni siapa nama?" soalku lembut.

"Kakak jururawat di sini. Panggil aje Kak Tiah..emm..patutlah Dr Azmi sanggup tunggu..comel tunang dia ni rupanya!" usik Kak Tiah. Aku Cuma tersenyum malu. Setelah Kak Tiah beredar, aku pun segera bersiap dan turun ke bawah semula. Aku bimbang kalau terlambat nanti, marah pula Azmi. Sudahlah tadi aku sudah pandai meninggi suara. Dia pula sudah bercakap penuh ketegasan denganku.

Aku masuk ke bilik tadi. Aku perhatikan bilik itu tersusun rapi. Azmi ini pengemas orangnya. Aku memerhatikan rak buku yang penuh dengan buku-buku perubatan dan buku-buku bertulisan arab. Aku beralih ke rak yang rendah dan lebar di belakang meja Azmi. Peralatan perubatan tersusun di rak itu. Aku memandang meja Azmi. Kerusi empuk Azmi itu aku duduk. Aku terpandang gambar-gambar yang tersusun di atas meja. Gambar Kak Ilya dan Abang Deris. Gambar Nora dan suaminya serta Izzati, adik-adik Azmi yang sudah kulupa nama mereka itu kutatap seorang demi seorang. Aku terkejut melihat gambar aku diletakkan bersebelahan gambarnya di dalam bingkai. Ini mesti emak yang beri gambar aku ini pada Azmi. Terharu pula aku dengan ingatan Azmi padaku. Di hujung sekali aku ternampak gambar aku dan Azmi semasa kecil. Aku terkejut sekali! Bila pula aku mengambil gambar dengannya?. Dia memeluk bahuku. Ketika itu mungkin aku dalam darjah satu agaknya. Umur Azmi sendiri pun aku tidak ambil tahu. Aku tersengih sendiri melihat gambar semasa kami kecil itu. Rambutku bertocang dua. Oh! Budak hingusan itu adik Azmi rupanya! Dia duduk bercangkung di hadapan aku dan Azmi. Aku hampir tergelak melihat gambar Azmi dengan seluar pendek itu.

Ketawaku hilang sebaik sahaja ternampak Azmi di muka pintu. Terkejut aku bukan kepalang dengan kehadiran Azmi. Aku jadi tak tentu arah, bingkas bangun dan hampir terjatuh pula terlanggar wayar radio Azmi. Wajah Azmi tak berani aku pandang. Aku segera duduk semula di kerusi berhadapan meja Azmi. Azmi berjalan perlahan lalu duduk di kerusi empuk yang aku duduk tadi.

"Apa yang ana gelak tadi?" soal Azmi sambil tersenyum. Lega hati aku melihat bayang senyuman itu. Sudah hilangkah marahnya padaku tadi? Aku mengangkat muka lalu tersenyum kembali padanya.

"Tu..gambar tu..gambar masa kecik.."

"Ooo..gambar depan rumah Mi masa mak dan ayah Mi dekat sini duluu..Ana tak ingat ke?" Aku menggeleng-geleng kepala.

"Ha!itulah..asyik teringatkan Hisham dia aje..Manalah nak ingatkan kita ni.."

Aku menarik muka mendengar kata-kata Azmi itu. Aku baru nak cuba berbaik semula, dia dah cari gaduh balik.

"Mi ni!.Ana baliklah macam ni.."kataku dengan nada merajuk. Aku mencapai beg tanganku di atas meja. Entah kenapa berani pula aku buat perangai dengannya.

"Tengok tu..baru usik sikit dah nak balik. Duduk situ. Jangan pegi mana-mana. Mi belum habis cakap." Kata Azmi, persis suara abahku mengarahkan aku. Aku duduk diam sahaja. Tak berani hendak melawan. Azmi sedang bercakap telefon dengan kawannya. Aku sendiri hairan dengan perangaiku ini. Apa yang sedang terjadi ini?

"OK..sori Ana..kawan Mi tadi ada problem sikit..OK..Ha!ada apa-apa penjelasan nak berikan pada saya tentang Hisham?"

"Takde" jawabku ringkas dengan nada memberontak.

"OK..kalau takde, dua minggu lagi saya bawa awak ke KL untuk check-up dan operation tu." kata Azmi tegas.

"Ana tak cakap ana setuju pun lagi untuk operation tu" jawabku sambil menguis-nguis tali beg tanganku.

"Degil lah awak ni..Memang betul lah kata Pakcik Nuar..Degil,cepat merajuk!Tarik muka..semula lengkap.."

Aku terasa seperti hendak menangis sahaja mendengar kata-kata Azmi itu. Abah ni..Itu pun dia ceritakan pada Azmi. Sesungguhnya aku teringatkan abah..Azmi ini rupanya seperti abah juga.

"Ana.. 2 minggu lagi Mi bawa ana dan mak ke KL. Kawan Mi sendiri yang akan buat operation tu nanti. Mi tak berniat memaksa ana..Mi Cuma sayangkan Ana.. Sebab tu Mi nak ana cepat sihat." Ujar Azmi lembut apabila melihat wajah aku yang hampir menangis itu.

"Ana tak sakit pun." Aku meneruskan rajukku dengan kata-kata Azmi mengatakan aku degil tadi. Aku dengar Azmi menarik nafas panjang. Aku tak melihat wajahnya. Aku pandang sahaja beg tangan hitamku itu.

"Ana kan dah jadi doktor..Takkan tak tau pula..Okla..Mi minta maaf ye pasal kekasaran Mi tadi..Minggu depan hari Khamis kita pegi ye.."

Aku sudah malas hendak bergaduh dengannya. Aku mengangguk sahaja. Tak sampai hati menolak. Dia bersungguh benar ingin membantu ku.

"Bayarannya macam mana? Berapa ribu? Ana belum cukup duit lagi.."

"Dengan tunang sendiri takkan lah Mi nak berkira. Tak payah Ana susah-susah fikir tentang duit. Mi bayar semua. Mi Cuma nak Ana sihat".

Aku rasa tidak senang mendengar penjelasan Azmi. Aku tidak mahu terhutang budi padanya.

"Ana tak mau macam tu..Insya-Allah, nanti bila dah kerja Ana bayar balik."

Azmi tergelak kecil mendengar kata-kataku. Entah apa yang kelakar.

"So, Ana setuju ?" soal Azmi. Aku sekadar mengangguk. Kepada siapa lagi boleh aku harapkan? Mujur juga ada Azmi hendak membantu. Alhamdulillah..

"Macam tu lah tunang Mi" katanya sambil tersenyum. Hati aku sayu mendengar perkataan ‘tunang’ itu. Azmi tak kisah kah dengan penyakit aku seperti Hisham? Aku mula mengeluarkan air mata. Bertakung sudah air mataku. Aku teringatkan tentang tanggapan-tanggapan buruk Uncle Rahman dan Auntie Zaleha pada aku dan keluargaku.

"Mi.." aku bersuara perlahan. Dia memandang tepat ke arahku. Aku tunduk memulakan bicara.

"Mi tak kisah ke dengan diri ana? Ana sakit. Mak pun pernah sakit ketumbuhan juga. Mi tak kisah ke? Mana tahu memang keturunan ana ni macam tu.." Kataku perlahan.

"Ana..semuanya ini ketentuan Allah..Manusia tak mampu menghalang. Lagipun, ana sendiri belajar kan..berapa percent aje yang bergantung pada genetik."

Air mataku mengalir di pipi. Kulihat Azmi bagai tergamam melihat aku menangis.

"Ana..kenapa ni..Mi mintak maaf pasal kekasaran Mi tadi. Janganlah macam ni." Dihulurkan sapu tangannya padaku. Aku sambut dan terus sahaja menyapu air mataku.

"Mi, Mi tak kisah ke kalau mak dan arwah abah bukan orang berada?" soalku lagi. Aku tahu Kak Ilya dan Abang Deris bolehlah dikatakan orang berada di KL sana.

"Astaghfirullahal ‘azim..Apa ana cakap ni..Mi sayangkan Ana dan keluarga Ana sama macam keluarga Mi sendiri. Apa yang Ana nak beza-bezakan dengan harta ni?"

"Mi..Mi tak kisah ke Kak Ngah dengan hal politik dia tu. Mana tahu, bertentangan pulak dengan pendapat Mi..Nanti takde orang pulak datang klinik Mi"

"Ana..apa yang Ana cakap tak tentu hala ni..Mi tak pernah terfikir pula pasal tu semua.." Azmi menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Mak dan ayah Mi suka ke Ana ni..? Dahla berpenyakit, bukan orang berharta..Ha..apa lagi? Degil, cepat merajuk, mengada-ngada.."

"Ehh!mana ada Mi cakap Ana mengada-ngada..??"

Aku tersenyum sedikit mendengar kata-kata Azmi itu. Azmi tersengih melihat aku menyapu-nyapu air mata.

"Ana..kita kawin sekarang lah..Mi nak tolong sapu air mata tu.."

"Apa Mi ni..Ana tak sukalah.." Aku segera bangun ke sinki di bilik Azmi.

Aku lihat wajah Azmi tersenyum memandang aku yang masih mengesat-ngesat mukaku yang dibanjiri air mata tadi. Aku membetul-betulkan tudungku. Hendak ke bilik air malu pula dengan orang-orang di luar dengan mata yang masih merah.

Tiada Noktah Cinta - 89

Didalam kereta Sara menangis semahu-mahunya. Parut lama kembali terluka. Darah kembali mengalir keluar dari luka yang telah terbuka itu. Hatinya merintih. Apakah dosanya hingga sebegini hukuman yang Haikal jatuhkan pada dirinya.

“Ibu!!!! Tolong Sara, bu” rintihnya. Hatinya robek kembali. Lukanya kian dalam. Dia tewas setelah berperang sekian lama. Perasaannya hancur apabila ditipu buat kali kedua.
Airmata berterusan menitis tanpa henti. Sara juga tidak mahu menghentikan tangisannya. Biarlah kesedihan hatinya diluahkan melalui tangisan yang semakin menghiba. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Haikal di skrin. Diputuskan talian itu. Dia tiada hati untuk menjawab apatah lagi mendengar suara Haikal sat ini. Untuk apa lagi? Apa pula pembohongannya kali ini?

“Ris, aku nak pergi rumah kau sekarang ni boleh?” tanya Sara sewaktu dapat bercakap dengan sahabatnya, Arissa. Sudah empat bulan Arissa ditugaskan menguruskan satu kes diKuala Lumpur. Tapi baru dua kali mereka berjumpa kerana kesibukan diri masing-masing.



“Apa hal ni, Sara. Kau sakit ke?” soal Arissa dihujung talian. Dia dapat mendengar esak tangis Sara. Hatinya dipagut rasa bimbang. Sara berterusan menangis tanpa kata.

“Okey, okey. Aku balik sekarang. Jumpa dekat rumah aku. Kau pandu tu berhati-hati. Apa-apa, call aku cepat-cepat,” arah Arissa bila tiada suara Sara yang keluar. Hanya kedengaran esak tangisnya.

Sara memandu ke kondominium Arissa di Mont’ Kiara. Langkah kakinya semakin longlai. Dirumah, Arissa semakin gelisah menunggu kedatangan Sara. Hatinya tertanya-tanya apa sebenarnya yang sudah terjadi?

Dia bergegas menuju kemuka pintu apabila kedengaran bunyi loceng. Pintu dibuka. Kelihatan Sara yang lemah berdiri dimuka pintu. Mukanya sembab. Segera tubuh itu dipaut. Didudukkan Sara disofa. Lantas dia bergegas kedapur mengambil minuman dan dihulurkan kepada Sara.

“Apa dah jadi? Ceritakan ada aku. Kau bergaduh dengan Haikal ya?”

Sebaik sahaja mendengar nama Haikal yang terkeluar dari mulut sahabatnya itu, tangisan Sara kembali menghiba. Arissa segera memujuk Sara ibarat ibu memujuk anaknya menangis.

“Sabarlah. Sedangkan lidah lagikan tergigit,” nasihat Arissa dalam bisikannya. Lembut dia memujuk.

“Aku kalah lagi, Ris. Aku kalah lagi. Aku tak berdaya, Ris,” ujar Sara dalam tangisannya. Pelukan terlerai.

Arissa membantu Sara menyapu airmata dipipi yang tak henti mengalir itu.

“Cuba ceritakan pada aku apa sebenarnya yang telah terjadi?” soal Arissa ingin tahu kisah sebenarnya.

“Kau tahu apa yang dah jadi pada aku dulu?”

“Hmmm.........”

“Kami dah janji nak mencuba sekali lagi. Alhamdulillah. Aku bahagia Ris. Dia terlalu baik. Penyayang. Segala kemahuan aku dia turuti agar aku tak terluka lagi. Aku gembira dengan keputusan yang dah aku ambil. Tapi.................” kata-kata Sara terhenti. Tangisannya kembali.

“Tapi apa?”

“Sejak kebelakangan ni aku dapat rasakan perangainya berubah. Aku mengaku aku salah sebab tak beritahu yang aku tak sihat. Aku dah minta maaf. Aku tak beritahu dia bersebab. Aku tak mahu dia susah hati. Aku kesian tengok dia kerja siang malam. Penat. Aku tahu. Tapi, sebab tu aje, rajuknya berbulan. Macam-macam aku buat nak ambil hati dia. Sampai mati akal aku dibuatnya. Tapi dia macam tu juga. Seolah-olah aku ni tak wujud langsung. Rupanya kau tahu apa sebabnya...”

“Apa dia?”

“Sebab kekasih yang dia rindukan tu dah balik Malaysia. Dia orang dah jumpa semula. Malah Sherry sanggup jadi isteri dia nombor dua. Aku terluka, Ris. Terluka,” tangisan Sara semakin menggila.

“Sshhh..... sabar Sara. Tak baik macam ni. Sabar,” pujuk Arissa. Dia faham perasaan Sara. Jikalau dia terkena begitupun, tak tahu apa pula yang akan dia lakukan.

“Aku kecewa, Ris. Apa salah aku sampai sanggup Haikal tipu aku lagi. Tak boleh ke dia berterus terang. Mungkin aku kecewa tapi taklah sesakit sekarang ni.”

“Mana kau tahu semua ni?” soal Arissa.

Sara ketawa. Dia mengingati semula kejadian yang terjadi tengahari tadi.

“Aku dengar sendiri, Ris. Kalau dari mulut orang lain mungkin aku tak percaya tapi telinga aku belum pekak untuk mendengar segala kata-kata yang terkeluar dari mulut Sherry sendiri.”
“Kau jumpa Sherry?”

“Ya. Dia tengah makan dengan kawan dia. Aku terdengar perbualan diaorang. Dia kata Haikal selalu jumpa dengan dia kebelakangan ni. Patutlah Haikal selalu balik lambat. Rupanya melepaskan rindu didada. Aku kecewa, Ris. Aku kecewa!” tangis Sara lagi.

Muka Arissa merah padam menahan marah yang datang. Kalau Haikal dihadapannya, mungkin Haikal sudah ditumbuk. Tak serik-serik lagi dengan apa yang dah terjadi dulu. Kini buat semula. Dulu dah berjanji. Tapi itulah lelaki. Pandai berjanji tapi selalu mungkirinya. Rengus Arissa.

“Apa salah aku, Ris?” soal Sara penuh luka.

“Kau tak salah apa-apa. Tapi dia yang salah. Dasar jantan tak sedar dek untung. Dapat bini macam ni punya cantik, baik, pandaipun, tak tahu nak bersyukur. Hishh.............. kalau dia ada depan aku sekarang ni, tahulah apa aku aku buat. Aku tumbuk muka dia,” marah Arissa melepaskan apa yang terbuku didadanya. Dalam keadaan menangis itu, Sara boleh ketawa melihat kemarahan sahabatnya.

“Kenapa kau ketawa pulak? Tak betul ke apa yang aku cakapkan ni?” soal Arissa pula. Kehairanan.

“Seronok la tengok kau marah. Dah lama tak tengok kau macam ni,” gurau Sara menutup kelukaan hatinya.

“Kau berehatlah dulu. Kau pun nampaknya letih tu. Jangan ingat-ingatkan sangat apa yang terjadi. Diri kau tu dulu yang patut kau fikirkan. Jangan fikirkan orang lain,” bebel Arissa lalu mengarahkan Sara masuk kedalam bilik. Sempat juga Sara meminta agar Arissa merahsiakan dimana dia berada. Dia tidak mahu ada sesiapa yang mengganggunya kala ini.

Memang niatnya ingin bermalam semalam dua dirumah Arissa. Ingin mencari ketenangan. Buat masa sekarang dia tidak sanggup untuk berjumpa dengan Haikal lagi. Dia hanya menghantar sms menyatakan dia tidak dapat pulang kerumah. Tidak diberitahu dimana dia berada.

Empat Sahabat Peah

KIAH, Semek, Bedah dan Limah berkumpul untuk berbincang sesuatu yang agak aneh untuk orang lain fikirkan. Kiah, Semek, Bedah dan Limah semuanya sudah bersuami dan mempunyai anak. Kiah ada empat orang anak dan yang sulung tingkatan lima. Semek juga ada anak lima orang, yang bongsu tingkatan satu. Demikian juga Bedah dan Limah masing-masing punya anak.
Anak Bedah tiga orang, yang sulung masuk universiti tahun dua dan Limah juga punyai anak seramai tiga orang dan
yang bongsu tingkatan empat.

Yang tidak ada suami dan tidak ada anak adalah Peah.Umur mereka sebaya, lingkungan empat puluh ke atas.
Kelima-limanya adalah rakan, kawan dan sahabat. Mereka keluar sekolah setakat tingkatan lima dari sekolah yang sama malah belajar dalam darjah yang
sama. Kedudukan rumah mereka dalam satu kampung yang sama, kampung yang bernama Kampung Bumbung Raja.

Kiah, Semek, Bedah dan Limah kahwin dalam tahun yang sama, hanya berlainan masa, hari dan bulan sahaja, kecuali Peah yang tidak kahwin-kahwin. Bukan Peah tidak mahu kahwin tetapi yang kahwin lebih dulu adalah sahabatnya yang bernama Kiah, Semek, Bedah dan Limah itu.

Kiah kahwin dengan seorang tukang kebun. Tukang kebun sebuah sekolah. Jodohnya dengan tukang kebun tetapi
suaminya tidak lagi menjadi tukang kebun selepas itu. Suaminya sudah menjadi seorang ahli perniagaan menjual
peralatan perkebunan yang amat berjaya.

Semek pula berkahwin dengan seorang tukang gunting.Tukang gunting persendirian, yang membuka kedai
gunting rambut di kampungnya itu. Suami Semek itu sahabat suami Kiah yang juga gagal masuk universiti. Dengan
kemahiran bergunting sambil di sekolah dan waktu lapang selepas balik sekolah, dia terfikir untuk membuka kedai gunting, langsung itu, dia menjadi tukang gunting
sepenuh masa dengan menerima upahan lima ringgit setiap kepala untuk dewasa dan tiga ringgit untuk setiap kepala budak-budak.

Lumayan juga pendapatannya. Akhirnya suami Semek membuka kedai gunting secara besar-besaran dengan enam
buah kerusi dengan enam orang tukang gunting di sebuah kedai gunting miliknya. Suami Semek menjadi tauke tukang gunting di samping dia sendiri terus
menjadi tukang gunting kedainya, sebagai ketua tukang gunting.

Suami Bedah pula adalah seorang tukang paip.Sememangnya suami Bedah pandai membaiki paip air.Kepandaiannya yang tidak disangka-sangka itu menjelma apabila guru sekolah tempat dia belajar waktu itu
meminta suami Bedah ketika itu yang masih budak sekolah menengah memperbetul dan memperbaiki paip
bocor bilik air sekolahnya.

Proses membaikinya menjadi dan selepas itu dia diminta tolong oleh orang lain di kampungnya untuk melakukan perkara yang sama, juga menjadi. Kerana menjadinya itu maka suami Bedah ketika belum menjadi suami Bedah memikirkan untuk meneruskan kerja-kerjanya itu sebagai satu kerja yang utama dengan membeli dan menyediakan peralatan pembaikan paip. Langsung itu suami Bedah yang tercicir pelajarannya seperti juga suami Kiah dan suami Semek membuka kedai membaiki dan menjual peralatan paip air.

Manakala suami Limah adalah seorang tukang rumah.Sewaktu sekolah dulu, iaitu sekolah yang sama dengan suami Kiah, Semek, Bedah, suami Limah selalu membantu ayahnya menukang, membuat dan membaiki rumah. Ayahnya
mendapat sedikit kontrak membuat rumah PRT, rumah rakyat termiskin.

Kerana selalu membantu dan menjalankan urusan membuat rumah itu dia akhirnya mendapat kemahiran dan
kepandaian membuat rumah. Akhirnya suami Limah menjadi kontraktor membina rumah kayu dan rumah batu. Banyak jugalah projek rumah yang diusahakannya.

Tetapi bagi Peah dia tiada siapa, tiada suami. Peah tidak ada suami yang menjadi tukang, tukang-tukang seperti suami Kiah, Semek, Bedah dan Limah itu. Semua suami sahabat Peah itu tukang-tukang belaka. Tukang sapu,
tukang paip, tukang rumah dan tukang gunting. Peah yang tukang tunggu. Menunggu jika ada lelaki masuk meminangnya atau menunggu sampai dia mati dan tidak punyai suami dan terus hidup membujang.

``Jadi kita kena cari laki untuk Peah!'' sebut Semek dalam perbualan itu.

``Ya! Kita kena tolong Peah cari laki!'' sambut Limah.

Peah jadi tukang jahit. Dia buka kedai jahit di kampungnya itu. Masa umurnya muda sedikit daripada umurnya sekarang yang sudah melebihi empat puluh tahun
dia membuat kerja jahit-menjahit dan mengambil upah menjahit di rumahnya. Kini Peah sudah ada kedai menjahit. Dia ada enam mesin jahit dan lima orang
pekerja tukang jahit.

Sewaktu Peah berada di rumah mereka, berulang-alik ke rumah mereka dan bermain-main dengan anak-anak mereka,
sewaktu muda dara Peah itu, Kiah, Semek, Bedah dan Limah tidak pernah rasa cemburu, rasa bimbang atau
rasa curiga terhadap Peah itu.

Mereka tahu Peah tidak akan memikat suami-suami mereka dan suami-suami mereka pula tidak akan terpikat dengan
Peah yang cantik lawa itu. Memangpun Peah cantik, lawa dan menawan. Kadangkala sesekali pandang lebih cantik daripada Kiah, Bedah, Semek dan Limah itu sendiri. Tetapi mereka tidak bimbang dan tidak menaruh perasaan curiga dengan kehadiran Peah itu.Malah mereka amat gembira apabila melihat Peah gembira.

``Ah! Siapa hendak kita jodohkan?'' tanya Semek.

``Iyalah! Dengan siapa, ada cadangan?'' tanya pula Kiah.

``Ah! kita yang bersungguh-sungguh nak berlakikan Peah ni, ada ke orangnya yang kamu semua nampak?'' Limah pula mengemukakan persoalan yang sama.

Mereka terdiam seketika, mencari jalan, mencari idea dan mencari senarai lelaki di kampungnya yang mereka tahu, yang mereka kenal untuk dirisik, ditemui,
dibincang dan dipadan serta dijodohkan untuk Peah itu. Yang bujang-bujang dan yang duda-duda dan yang menjadi
suami orang tidak akan mereka senaraikan, bahaya kerana mereka semuanya ada suami juga, kalau tiba-tiba suami mereka menyatakan hasrat yang sesungguhnya untuk menjadikan Peah sebagai isteri, nahas jadinya.

``Bagaimana kalau aku cadangkan si Ghani tu,'' suara Kiah.

``Ghani yang mana?'' tanya Semek penuh ragu kerana ada beberapa orang yang bernama Ghani tinggal di kampung
mereka.

``Alah! Ghani anak Dol, Dol tukang mengecat, tukang cat, anak Jaiton tu,'' terang Kiah sambil diakui kenal oleh Bedah dan Limah itu.

``Oh! oiii, Ghani itu, mana dia mahu, dia muda lagi, Peah dah tua, baik kita padankan dengan Said yang kematian isteri itu, isterinya sudah meninggal lama,
hampir lima tahun Said menduda,'' akui Semek dengan menidakkan cadangan Kiah itu sambil mencadangkan nama Said yang duda itu.

``Kamu, Semek! Nak padankan Said dengan Peah, jangan! jangan! jangan sekali, jangan sekali. Kamu tahukan
semua kita tahu Said itu ada anak dara, ada anak teruna. Malu anak daranya, anak teruna yang dah besar itu mahu
memanggil Peah mak, ibu, mama atau bonda ke, baik awak batalkan cadangan itu. Cadangkan yang lain, aku tidak setuju dan tentunya Peah juga tidak setuju,''celah Bedah penuh sangsi dan ragu dengan cadangan Semek itu.

``Habis kalau cadangan aku, cadangan Semek tidak bagus, tidak baik, tidak masuk akal, siapa! siapa! siapa yang hendak kita cadangkan untuk Peah yang aku rasa masih ada keinginan untuk berlaki itu?'' rungut Kiah kerana cadangan eloknya itu juga tidak mendapat restu sahabat-sahabatnya itu kerana baginya anak jantan Dol yang
bernama Ghani itu pada pandangannya suka akan Peah kerana Ghani itu didapatinya suka mengusik Peah
sewaktu sering-sering singgah di kedai jahit Peah.

``Begini saja, bagaimana kalau aku cadangkan dia dikahwinkan dengan Malik yang bekerja sebagai kerani di pejabat daerah tu. Aku rasa umur Malik sama tua
dengan umur kita semua, umur Peah. Malik masih bujang, bujang tua. Tidak kahwin-kahwin selepas kekasihnya disambar orang. Disambar oleh anak orang kaya, orang berpangkat,'' aju Limah yang sejak tadi asyik mendengar sahabat-sahabatnya mencadangkan orang itu
dan orang ini sehingga menimbulkan sedikit ketegangan yang nyata.

``Malik itu? Malik! Bagus juga, kalau Malik tidak mahu, kalau Peah tidak mahu ada seorang lagi macam Malik itu,'' sampuk Bedah yang menyokong cadangan Limah itu kerana baginya Malik amat sesuai dengan Peah kerana
Malik masih bujang, tidak muda, tidak tua dan bukan duda mahupun suami orang.

Yang susahnya, setahu mereka, Malik tak mahu lagi berkahwin setelah kehilangan cinta sejatinya terhadap Latifah yang diambil, direbut oleh seorang anak Datuk
yang akhirnya menjadi isteri anak Datuk itu.

Anak Datuk itu seorang pegawai tinggi kerajaan,Latifah pula amat cantik dan lebih cantik daripada Peah, Kiah, Limah, Bedah dan Semek itu sendiri. Memang
ramai orang lelaki hendakkan Latifah.

Latifah juga berkehendakkan Malik tetapi atas paksaan ayah dan ibunya Latifah yang cantik ayu dan manis itu tidak dapat berbuat apa-apa.

``Kalau ditakdirkan bukan Malik, siapa yang hendak kamu cadangkan itu, Bedah?'' tanya Kiah, Limah, Semek
mengangguk-angguk kepala mereka seperti bersama mahukan nama lelaki yang dicadangkan sebagaimana pertanyaan Kiah itu.

``Ramli!'' ringkas jawab Bedah.

``Ramli! Ramli mana satu?'' tanya Kiah.

``Ha! Ramli mana, P. Ramlee ke. A. Ramlie ke, L. Ramli ke atau Ramli Gong ke, Ramli Konor ke, Ramli Jambul
ke, Ramli mana ni, sebutlah betul-betul, Bedah, aku juga nak tahu latar belakangnya, jangan cadangkan yang kaki
merapu, kaki joli, kaki kebas duit bini, kaki mabuk,kaki judi sudahlah,'' desak Limah dengan huraian yang lebih lanjut.

``Ramli anak Salleh, Salleh tukang urut tu,'' jelas Bedah. Kiah, Limah dan Semek terkejut dan mengeluh panjang. Bedah naik hairan apabila cadangannya itu
seperti tidak mendapat respons yang baik daripada sahabat-sahabatnya itu.

``Ramli itu! jangan!'' pinta Limah.

``Jangan cuba kau cadangkan budak itu, walaupun bujang!'' tegas Kiah.

``Betul kata Limah dan Kiah, baik kau lupakan saja cadangan buruk kau itu, lupakan menamakan Ramli itu,''
Semek mengingatkan Bedah.

``Kenapa! Hodoh sangat ke Ramli itu, buruk sangat ke dia?'' tanya Bedah seperti tidak percaya akan penentangan sahabat-sahabatnya di atas cadangan baiknya itu
untuk memberikan Peah seorang suami.

``Bukan kerana rupa tetapi perangainya,'' jelas Limah.

``Kenapa pula dengan perangai Ramli itu?'' tanya Bedah seperti tidak berpuas hati apabila cadangannya itu seperti ditolak.

``Apa kau tidak pernah dengar ke cerita yang Ramli itu sering memanjat rumah orang, mengintai anak dara orang
mandi, tebuk rumah orang semata-mata nak tengok anak dara orang, kacau anak dara orang, kacau isteri orang,'' cerita Kiah panjang lebar.

``Bukan itu sahaja, kadangkala tipu perempuan, bila bawa perempuan jalan-jalan apabila dapat memancing perempuan yang digodanya, bukan duit dia habis, duit perempuan yang terkena goda itu habis dikebas Ramli.
Buruk sungguh perangai Ramli itu, hodoh sungguh tabiat Ramli itu, hai tak kuasa aku, kalau dialah nak jadi anak
menantu aku,'' Semek menambah cerita Kiah dan Limah itu. Bedah diam seketika.

``Jadi, keputusannya?'' tanya Limah.

``Keputusan apa lagi, kita jumpa Peah dan cadangkan supaya dia berkahwin, jadi seorang isteri!'' tambah Semek.

``Dengan siapa hendak dipadankan?'' tanya Bedah yang sudah memahami keadaan diri Ramli.

``Lah dengan siapa lagi dengan maliklah!'' sampuk Kiah dengan secepat kilat dengan harapan tidak ada nama
lain yang akan disebut oleh sahabat-sahabatnya itu.

``Mahu ke Peah dengan Malik, atau mahukah Malik akan Peah?'' tanya Bedah yang masih ragu. Mereka belum lagi
bertanya akan batang tubuh Peah dan Malik sendiri.

``Yang penting, Peah jadi isteri Malik dan Malik jadi suami Peah, kitalah yang menjadi orang yang mengaturnya. Kita akan pastikan mereka jadi suami isteri,'' tegas Limah dalam nada yang penuh semangat.

``Dengan menggunakan jalan buruk sekalipun?'' Bedah terus bersuara dalam keadaan yang tidak meyakinkan
kerana dia tahu Malik telah berikrar untuk tidak berkahwin lagi sampai bila-bila setelah kehilangan Latifah. Perkara ini pernah disuarakan Malik kepada suaminya
dan suaminya pernah memberitahunya tentang perkara yang amat sedih dan memilukan itu.

``Tidaklah sampai mahukan merosakkan hidup orang,tidaklah sampai hendak mengunakan bomoh pula, apalah
kau ni Bedah, tidak ada jiwa langsung,'' marah Kiah yang amat mengerti akan pertanyaan Bedah yang tahu banyak tentang Malik itu.

``Tidaklah sampai ke tahap itu maksud aku, cuma yang aku tahu Malik tidak mahu berkahwin lagi setelah kehilangan Latifah itu,'' jelas Bedah.

``Alah kata-kata manusia, manusia akan berubah, semua ada kehendak dan nafsu, aku percaya kalau kena caranya tentu Malik mahu berkahwin seperti juga Peah. Yang penting sekarang, kita mahukan Peah kahwin dengan Malik dan Malik jadi suami Peah, itulah yang sedang kita fikirkan dan bukan dengan orang lain,'' tambah Limah untuk meyakinkan semua sahabatnya itu kerana bagi mereka Malik itu sama juga seperti suami-suami mereka.

Limah tahu, Kiah tahu dan Semek tahu yang Peah pernah kecewa terhadap Malik. Sememangnya dari dulu lagi,
Peah mahukan Malik. Malik adalah satu-satunya lelaki yang diharapkan akan menjadi suaminya tetapi kerana
Latifah yang lebih cantik daripadanya dan amat dicintai Malik maka dia berundur diri dan tidak mahu lagi
melahirkan perasaan kasih, sayang dan cintanya terhadap Malik.

Peah pernah membayangkan cerita cintanya itu kepada Limah, kepada Kiah dan kepada Semek dan tidak kepada
Bedah. Limah, Kiah dan Semek faham akan perasaan Peah itu tetapi mereka tidak dapat membantu dan tidak dapat berbuat apa-apa sehinggalah timbul
untuk membantu menyemarakkan kembali perasaan cinta Peah itu untuk disatukan dengan Malik itu. Tiba-tiba
saja cerita itu datang dalam pertemuan yang tidak disengajakan itu. Dalam satu perbualan yang akhirnya menjadi begitu hangat dan memanaskan waktu itu.

``Jadi keputusannya kita temui Peah, bagaimana?'' Kiah
mencadangkan.

``Jadi! bersetuju!'' laung semua.

Mereka meninggalkan tempat perbincangan itu untuk menuju ke rumah Peah.

Dalam perjalanan menuju ke rumah Peah itu mereka bertemu Peah yang dalam keadaan tergesa-gesa seperti
orang kehilangan sesuatu yang berharga. Peah segera mendapatkan sahabat-sahabatnya yang setia itu.Tiba-tiba saja Peah memeluk semua sahabatnya itu.
Semuanya menjadi hairan penuh terkejut.

``Ada apa Peah?'' tanya Bedah.

``Iya Peah! Ada apa, seperti orang kehilangan sesuatu!'' tanya pula Limah.

``Iyalah, kenapa sedih saja ni, kenapa Peah,'' Kiah pula mengemukakan pertanyaan. Peah masih terdiam diri.
Tidak ada sesuatu perkataan pun terkeluar dari mulutnya.

``Ah! ceritalah, supaya kami dapat berkongsi kesedihan kamu itu,'' pinta Semek seperti mendesak. Peah terus
juga diam. Yang lain tidak bertanya lagi. Mereka membiarkan Peah menenangkan keadaan yang sugul itu yang tidak tahu apa cerita di sebalik kesugulan.

Akhirnya Peah bersuara,

``Kiah, Semek, Bedah, Limah....''

``Ya, Peah,'' mereka berempat menjawab serentak. Mata masing-masing memanah mata Peah. Berjuta tanda-tanda.

``Laki kau, laki kau berempat accident!

``Accident!'' sekali lagi suara mereka serentak.

``Mereka tumpang kereta Malik. Berlanggar dengan lori pasir.'' Peah terus memeluk sahabat-sahabatnya.
``Hanya Malik yang hidup.''

~TAMAT~

Wednesday, April 7, 2010

Buat Aku Tersenyum - 8

Eh, salah ke pandangan mataku ni. Speck besar 60-an yang melorot ke bawah segera aku betulkannya. Dari atas sampai ke bawah. Aku meneliti gadis tu... aku salah orang ke? Tekun saja dia dok buat kerja kat tempatnya... dia ke? Eh, takkanlah..tapi, mungkin jugak dia...

"Haa, terhendap2 tu..tengok pa," sergahan Kak Hamidah membuatkan aku sedikit melatah. Nasib baik aku tak buka silat. Kalau tak, hai buat malu kaum saja. Suka hati mak chik ni saja, nak sergah orang. Bagile salam dulu sayang..

"itu..akak, mata saya ni kabur ke,? Mataku digunakan sebagai petunjuk arah mata kak Hamidah kepada subjek.

"Eh, taklah...,"

"Sejak bila...," aik, senyum pulak makchik ni..

"Cantikkan?,"

Memang betul, Jasmin Yusrina memang cantik bila bertudung. Tambah lagi dengan baju sopan...Cuma aku terkejut la jugak, macam drastik perubahan. Tapi, bukankah itu yang aku nak? Apa la aku ni, orang tu nak tutup aurat, seharusnya aku ni gembira. Ini tak, banyak pulak yang dipersoalkan...

"Tadi, akak tengok Razif pun senyum2 kat Jasmin Yusrina,"

Aik, penting ke maklumat tu kat aku.

"Senyum tu kan sedekah kak. Orang nak bagi, ambil saja lah,"

"Tapi, ni senyum len macam sikit la Syaza,"

"Biarlah kak..asalkan mereka bahagia dan tak buat benda yang melanggar syariat udah lah,"

"Herm..nampak gayanya, kasih sudah berganti,"

"Biar betul si Razif tu... malas lah otak ni nak serabutkan fikir orang len, banyak lagi kerja nak buat ni,"

"Aiii, Razif tu akak tengok padan jugak dengan Syaza,"

La ke situ pulak idea makchik ni. Baik aku cabut dulu.. silap haribulan, sampai ke anak cucu boleh makchik ni kembangkan ideanya tu.

"Takpelah kak.. Saya doakan saja mereka bahagia. Erm..saya ada banyak kerja lagi ni,"


Akhir-akhir ni aku terima pelbagai macam hadiah misteri. Dah 2 minggu hari yang sama hari jumaat, posmen akan hantar bungkusan kat rumah aku. Dua minggu lepas, hari jumaat. Lepas balik kerja. Aku tengok ada bungkusan cantik terletak kat atas meja. Siap ada kata-kata dalam kad warna hijau pucuk pisang..macam tau-tau saja color kesukaan aku.

Wanita solehah ibarat hati dalam jasad manusia, sekiranya hati itu baik, nescaya baik seluruh anggota. Sebaliknya jika hati itu rosak maka musnahlah segalanya. ~Mujahid Solehin~

Telekung putih bersulamkan corak bunga mawar warna ungu muda. Cantik sungguh. Ini kira selamat jadi hak mutlak aku ke? Dah orang bagi ambil saja lah.. tapi, ikhlas ke? Lagipun aku tak kenal sapa yang bagi... Puas aku dok cari siapa Mujahid Solehin. rasa-rasanya tak dah dalam list kawan-kawan aku nama sealim tu. Ummi dan walid senyum saja memanjang. Angah Syuhada pun tak puas-puas mengusik. Sudahnya aku diamkan saja. Dan telekung cantik tu aku jadikan khazanah dalam almari aku.

hadiah kedua pulak, tasbih dengan tafsir alQuran. Tasbih tu walid kata mungkin daripada mekah. Aku iya kan saja lah. Pun sama. Aku dapat kad.

Andai kau memerlukan kekasih, maka pilihlah Allah, kiranya kau memerlukan teman mesra, maka pilihlah Quran, andai kau memerlukan kekuatan dalam kehidupan, maka tawaqal kepada Allah dengan kesabaran

Tidak perlu mencari teman secantik Balqis jika diri tidak seindah Sulaiman. Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha. Tidak perlu mencari teman seteguh Ibrahim jika diri tidak sekuat hajat dan sarah. Mengapa didamba teman seistimewa Khadijah jika diri tidak sesempurna Muhammad saw
~Mujahid Solehin~

Siapalah yang sudi membazirkan duitnya untuk semua hadiah ni. Membazir sajalah. Lebih baik tunjukkan muka kalau berani... sepanjang hari aku membebel.

Badai Pasti Berlalu - 12

“Iman, ada sesuatu yang kau sorokkan dari aku kan?” Tanya Fatin keesokan harinya sewaktu Iman singgah di galeri perabot kepunyaan keluarga gadis itu.

“Nothing. Tak ada apa-apalah Fatin.” Sedaya upaya Iman cuba mengelak.

“Cik kak oiii…Kau jangan ingat aku tak nampak apa yang terjadi kat City Square semalam tu. Kau ingat suara power kau tu aku tak dengar?” Fatin mula membebel.

“Apa yang kau nampak? Apa yang kau dengar?” Selamba Iman menyoal kembali.

“Lelaki semalam tu siapa? Kenapa kau menjerit-jerit marah kat dia?” Fatin mula menghampiri, mengambil tempat di sebelah Iman, menghayun laju buaian kayu jati di sudut galeri itu.

“Alah... dia langgar aku semalam, aku marahlah, salah ke?”

“Siapa yang langgar siapa ni, hmm... Cik Iman sayang?” Seketika Iman terdiam. Nampak gayanya dia terpaksa menceritakan apa yang terjadi kepada Fatin. Gadis itu selagi tidak tahu pasti akan terusan mencungkil, menggoda dirinya untuk membuka rahsia. Ah! kalaulah gadis itu bukan sahabatnya...



Lama Iman mendiamkan diri sebelum menceritakan apa yang terjadi kepada gadis itu. Dari peristiwa di cafĂ©, kiriman-kiriman SMS sehinggalah kepada peristiwa yang di saksikan sendiri oleh gadis itu semalam di City Square. Tiada satu pun yang tertinggal. Fatin hanya mengangguk, sesekali tawanya terhambur jika ada cerita Iman yang mencuit hatinya. Dan, kini lelaki itu tidak henti-henti menghubungi talian teleponnya namun tidak pernah sekali pun dia menjawab. Dia lebih rela membingitkan telinga daripada mendengar suara lelaki itu. Iman tahu, saat ini pasti lelaki itu sedang memburu kemaafan darinya. Dia langsung tidak tahu mengenai latar belakang lelaki itu tetapi, ternyata lelaki itu lebih arif mengenai dirinya. Iman hanya tahu nama lelaki itu, itupun setelah beberapa kali dia memaksa melalui kiriman SMS. Dia buntu memikirkan dari mana lelaki itu mendapat maklumat mengenai dirinya. Puluhan kiriman SMS dari lelaki itu terus memenuhi ‘inbox’ nya semenjak petang semalam.



Iman menyusuri jalan untuk pulang ke rumah. Hanya beberapa meter dari galeri mama Fatin tiba-tiba handphone di dalam beg tangannya bergetar, ‘1 message received’, nombor itu lagi...



‘My last warning, if u don’t answer my call, I'll go to your house directly. I’m serious Cik Iman!’



Sejurus itu, telefon bimbitnya menjerit nyaring. Agak lama baru Iman mempunyai kekuatan untuk menekan butang hijau namun dia bertindak mendiamkan diri.



“Hello Cik. Iman, at last dapat juga saya bercakap dengan awak ya.” Terdengar suara ceria di hujung talian.

“So…Encik..…” Iman menjawab geram.

“Ismail Syafiq.”

“Ok En. Ismail Syafiq, apa yang awak nak sebenarnya dari saya ni hah?” Iman menjerit agak kuat.

“Ikut saya, saya ada dekat belakang awak sekarang ni.” Iman pantas menoleh ke belakang, sebuah kereta Honda CRV berwarna hitam bergerak perlahan menghampiri dirinya di pinggir jalan.

“Saya tak mahu!” Bantah Iman.

“Saya akan follow awak sampai rumah.”

“Saya peduli apa!” Tingkah Iman kuat, kakinya laju menghayun langkah.

“Ok, saya follow awak. Cepat sikit jalan tu…” Selamba lelaki itu menjawab lantas mematikan talian.



Langkah Iman mati tiba-tiba. Tanpa berfikir panjang dia terus berjalan ke arah kereta yang sudah pun berhenti lalu mengambil tempat di sebelah lelaki itu. Pintu kereta di hempas kuat menunjukkan rasa hatinya saat itu. Iman membatukan diri. Wajah yang merah menahan marah di palingkan keluar tingkap. Ke mana dirinya ingin di bawa lelaki itu dia tidak peduli. Hari ini, dia bertekad untuk membuat perhitungan dengan lelaki itu. Seketika kemudian apabila kereta yang di pandu lelaki itu membelok ke simpang kiri baru Iman dapat mengagak kemana arah tujuan lelaki yang berwajah selamba di sebelahnya itu. Perlu apa lelaki itu membawanya ke tempat itu, pantai yang sering menjadi tempat dia meluahkan perasaan, berkongsi kenangan suka duka hidupnya. Sudah agak lama dia tidak berkunjung ke tempat ini, kali terakhir semasa dia menziarahi pusara abahnya beberapa bulan yang lalu.



“Kenapa awak bawa saya ke sini?” Tanya Iman sebaik lelaki itu memberhentikan keretanya di pinggir jalan yang agak lengang ketika ini. Tanpa menjawab pertanyaannya, lelaki itu melangkah keluar, bersandar di pintu kereta. wajahnya mengadap ke arah lautan.

“Iman, awak nak ke mana tu?” Sekilas Iman menoleh, kemudian berlalu menuju ke arah bangku yang bagaikan sedia menanti kedatangan tuannya. Agak lama baru lelaki itu menyusul dan duduk di sebelahnya, bersama-sama merenung ke arah lautan yang tenang. Angin senja yang dingin menderu lembut, mengkhayalkan, membawa Iman entah kemana-mana.



“Iman.”

“Iman…”

“Iman Nuraina..….” Pantas Iman berpaling, merenung lama wajah lelaki itu, hanya seketika dia pantas melarikan anak mata, cuba menyembunyikan getaran yang mula melanda.

“Kenapa? Awak jatuh hati pada saya ya, hmm?” Romantis suara lelaki itu menyapa telinga Iman.

“Perasan!” Iman mencebik bibir. Lelaki itu tergelak besar.

“Dari mata turun ke hati Cik Iman.” Tutur lelaki itu selamba. Iman membiarkan lelaki itu meredakan tawanya. Entah apa yang menggelikan hati lelaki itu Iman sendiri tidak pasti.



“So, ada hal apa yang penting sangat ni En. Ismail?” Iman mendengus nafas kasar. Perlukah dia menyerang lelaki itu? Membalas segala perbuatan lelaki itu kepada dirinya?

“Iman, saya nak minta maaf, pasal kejadian kelmarin dan semuanya. Dan, err…saya nak jadi…kawan awak, boleh?” Permintaan lelaki itu membuat dia berfikir lama.

“Erm…saya maafkan awak.” Balas Iman perlahan. Ikhlaskah dia? Ya, hanya untuk sebuah kemaafan tapi bukan untuk sebuah persahabatan.

“So, kita kawan?” Iman hanya memandang kosong salam yang dihulur. Sedikit pun tidak di pedulikan rona yang mula terpercik dari wajah kemas lelaki itu.

“Kenapa mesti dengan saya, kenapa tidak orang lain?” Iman melontarkan pertanyaan sinis.

“Awak nak tahu kenapa?” Dia pantas mengangguk. Lelaki itu menarik nafas beberapa kali sebelum memulakan cerita.



“Gadis Tepian Tebrau. Pertama kali saya terpandang wajah gadis itu, hati bagaikan meronta-ronta untuk mendekatinya. Mata redupnya menyimpan pelbagai rahsia. Renungannya menggetarkan rasa. Gadis itu begitu setia merenung lautan, mengira bebuih ombak, merangka kehidupan dirinya barangkali. Ingin sekali saya menyelami apa yang ada di hati gadis itu, tapi...” Terdengar keluhan dari lelaki itu. Matanya tajam merenung lautan sebelum meneruskan bicara.

“Saya tidak berani menegurnya, hanya setia memandang gadis itu dari kejauhan. Dulu, hampir setiap petang saya akan melihat gadis itu di bangku ini, tapi… setelah agak lama dia mula menghilangkan diri, membuatkan saya resah menanti, hampir setiap hari saya ke mari tapi hampa, hanya bangku ini yang masih setia di sini.” Sekali lagi bicaranya terhenti.



Iman di sebelah kehilangan kata. Sesekali dia mencuri pandang ke wajah lelaki yang begitu tekun bercerita, penuh emosi meluahkan perasaannya. Iman seakan tidak percaya, lelaki itu telah lama berada di dalam lingkungan hidupnya, memerhatikan gerak gerinya di pantai ini. Bagaimana dia boleh tidak perasan kewujudan lelaki itu?



“Sehinggalah suatu hari… kebetulan saya dapat menjejaki diri gadis itu kembali dan semenjak itu saya bertekad untuk terus memburunya. Saya tidak mahu kehilangan wajah dan gadis itu untuk sekian kalinya dan…”

“Dan, gadis itu berada di dalam ketakutan, keresahan kerana terus di buru, bukan begitu?” Tingkah Iman agak kuat. Entah mengapa tiba-tiba dia berasa marah sekali. Iman bingkas bangun meninggalkan lelaki itu termagu di situ. Pantai yang memutih di susuri perlahan. Kakinya bermain dengan bebuih ombak.



“Saya tidak bermaksud untuk menakutkan gadis itu, Iman. Malah, saya ingin sekali berada dekat di hatinya.” Kedengaran suara lelaki itu agak kuat.
"Tidak menakutkan konon... awak tahu tak apa yang telah awak lakukan? Saban hari awak mengganggu saya. Awak mengekori saya, mengintipi saya seolah-olah saya ini seorang penjenayah! Saya takut untuk menghadapi setiap detik waktu, awak tahu tak!!!" Tingkah Iman penuh emosi.

"Maafkan saya Iman, saya tahu saya bersalah. But, I want to be with you Iman Nuraina, ever…” Bisik lelaki itu perlahan, dekat sekali menyapa cuping telinga Iman. Apakah yang sebenarnya di maksudkan oleh lelaki itu?

“Saya balik dulu.” Iman segera melangkah menuju ke daratan.

“Saya hantarkan awak balik, hari dah lewat ni.” Langkahnya segera di pintas. Iman hanya menurut saja. Lelaki itu tersenyum panjang, terserlah lesung pipitnya di sebelah kiri, manis sekali.



Hati Iman berdetik, bergetar hebat. Senyuman itu, ya senyuman itulah yang pernah beberapakali menyapa matanya dari satu sudut pantai ini. Senyuman itulah yang seringkali melayari mata, melintasi fikirannya, juga yang pernah sekali menggetarkan hatinya. Kini, persoalan Iman terjawab sudah. Apakah perasaannya saat ini, apakah yang ada di hatinya setelah segala persoalan terjawab?

Calon Pilihan Abah - 11

Aku termenung seorang diri di bilikku, sambil memandang ke luar tingkap. Matahari hebat memancarkan surianya di kala musim panas begini. Bumi Ireland ini akan aku tinggalkan dalam masa seminggu sahaja lagi. Pelbagai kenangan suka duka telah kulalui di sini. Sesungguhnya lima tahun bukanlah satu masa yang singkat untuk aku mengumpul segala memori itu..

Aku beralih ke cermin panjang yang kuletakkan di tepi pintu. Aku seorang yang menjaga penampilan diri. Wajahku kutatap lama di cermin itu. Aku bersyukur dengan kurniaan Allah yang memberikan aku wajah yang cantik. Kulitku hitam manis, tidak begitu cerah, tidak begitu gelap, persis kulit ibuku. Mataku juga bulat mewarisi ibuku. Selebihnya kuwarisi dari abahku. Hidungku kecil dan molek terletak. Wajahku bujur, saling tak tumpah wajah abah. Senyumanku dihiasi lesung pipit di pipi sebelah kananku.

Namun kecantikan itu kini kurasakan hambar. Aku tidak punya abah lagi. Aku kehilangan kasih sayangnya. Aku juga tidak sihat seperti sebelum-sebelum ini. Impianku bagai terbantut seketika menunggu masa untuk aku membinanya semula. Aku menarik nafas panjang sambil memejamkan mataku. Inilah dugaan hidup. Begini rupanya merasa duri-duri kehidupan ini. Aku akui kehidupanku selama ini dipenuhi dengan kegembiraan dan kejayaan yang mengelilingiku. Kesusahan yang aku rasakan Cuma ketika aku berusaha untuk mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaanku. Aku punya bakat-bakat tersendiri yang menyababkan aku menjadi tumpuan ketika di sekolah dahulu.

Namun kini, sudah tiba masanya diriku diuji. Aku harus menerima segalanya dengan jiwa yang kental. Aku percaya Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan yang mampu dihadapi mereka. Aku juga hamba Allah yang lemah. Namun ujian-ujian ini pasti dalam kemampuanku untuk menghadapinya. Aku pasti.

Aku mengisi sehari dua ini dengan berjalan-jalan di sekitar daerah Cork. Izzah menemaniku sebaik sahaja dia selesai dengan kerja sambilannya di asrama Castle White itu. Kalaulah Hisham ada, dialah yang akan menjadi pemandu kami berjalan-jalan ke pantai Dingle dengan keretanya. Sesungguhnya, aku amat merindui Hisham. Aku sendiri keliru dengan sikap Hisham meninggalkan aku tanpa sebarang kata. Mungkinkah dia kecewa kerana aku tidak memakai cincin pemberiannya? Tapi, aku sudah menunjukkan riak-riak yang aku juga menyukainya. Takkan Hisham tak dapat melihatnya? Aku sudah berkawan dengannya selama 5 tahun. Mustahil dia tidak dapat membezakan senyuman yang aku berikan padanya.

Sudah hampir seminggu. Hisham masih tidak muncul. Aku mula menangis semula. Izzah nampak risau melihatku. Aku rindukan Hisham. Kenapa satu berita pun tidak dihantarnya padaku. Sudahlah pergi tanpa memberitahuku. Kenapa dengan Hisham?? Adakah aku melakukan apa-apa kesilapan ketika bercakap dengan mama dan papanya?

Dua hari sebelum kepulangan kami, Izzah mula bersuara tentang Hisham.

“Kak..Izzah risau tengok akak..Janganlah sedih sangat kak..Akak..akak lupakan aje la Hisham tu..Lupakan aje..Izzah rasa Azmi tu baik lah akak..Hisham tu…”

“Kenapa dengan Hisham?”

“Tak ada laa…macam tak ambil berat langsung tentang akak je..Lupakan aje lah dia kak..” Aku terdiam. Ada betulnya kata-kata Izzah itu. Tapi..bukan mudah untuk aku lupakan perasaan yang sudah bertapak sejak 5 tahun lalu ini. Bukan sesuatu yang mudah bagiku.

Esoknya, Izzah bersuara lagi..

“Kak..lupakan aje Hisham tu..” Aku mula mengesyaki sesuatu.

“Izzah ada tau apa-apa ke tentang Hisham? Janganlah berahsia dengan akak..Cakap aje lah Zah..Kenapa? Hisham dah tawar hati dengan akak? Hisham sengaja lari dari akak?”

Izzah diam.

“Ish akak ni..Ni Cuma pandangan Izzah je..Izzah rasa Hisham tu pentingkan diri la akak..Akak accident, dia buleh lagi pegi holiday..Izzah rasa macam tak suka kalau akak ngan Hisham tu. Dulu mungkin dia nampak beria sukakan akak..Tapi sekarang?? Di mana dia kak?? Akak tak terasa apa-apa ke?” ujar Izzah dengan panjang lebar.

Aku mengetap bibir menahan sedih. Entah kenapa Hisham buat aku begini. Aku mengeluh panjang. Izzah memandang sahaja mukaku. Lama kami sama-sama diam.

“Izzah..Akak sebenarnya terasa sangat dengan apa yang Hisham buat ni..Dia pergi mana pun tak cakap dengan akak..Sampai hati dia..Tawar hati akak jadinya Zah..” Aku memecahkan kesepian dengan tangisan.

“Kak..akak balik lah pada Azmi..”pujuk Izzah. Aku menggeleng-gelengkan kepala laju.

“Izzah, akak dah tolak dia mentah-mentah Izzah..Semuanya kerana cinta akak pada Hisham..Bukan mudah akak nak lupakan Hisham..”

Izzah memelukku sambil menepuk-nepuk belakangku. Di bahu Izzah itulah aku selalu mencurahkan air mataku. Dialah insan yang paling memahami diriku. Alangkah rumit dan sukarnya kehidupanku kini.

Sehabis mana pun Izzah cuba menyembunyikan sebarang rahsia daripadaku, paling lama pun seminggu sahaja dia mampu bertahan untuk mendiamkan diri daripada memberitahuku. Hari ini, Izzah menceritakan segala-gala rahsia yang diketahui daripada Hanif tentang Hisham padaku.

“Kak, Izzah tak mampu berahsia lagi kak..Izzah harap akak sabar lah ye..” Mulutku ternganga menunggu-nunggu kata-kata Izzah seterusnya dengan penuh debaran. Rahsia??

“Kak..Akak lupakanlah Hisham..Izzah tak percaya Hisham boleh jadi suami yang baik untuk akak..” Aku diam dan memandang Izzah tak berkelip. Izzah meneruskan kata-kata yang ingin disampaikannya.

Izzah telah mendesak Hanif menceritakan segala-galanya. Bukan mudah untuk Hanif bersuara, kata Izzah. Berpuluh kali Izzah mendesak, barulah Hanif membuka cerita. Tapi dia meminta agar jangan diberitahu pada aku.

Kata Izzah, sebaik sahaja Hisham memperkenalkan aku pada mama dan papanya, papa Hisham terus sahaja menyiasat tentang diriku. Keluarga Hisham tidak begitu bersetuju dengan pilihan Hisham. Aku tersentak. Apa salahnya dengan diriku? Apa yang tak kena?

Izzah berat berkata-kata. Kata Izzah, papa dan mama Hisham mahu orang berada juga. Mereka sudah pun mengatur jodoh Hisham dengan anak kenalan mereka. Sesuatu yang tak dapat aku nafikan. Memang keluargaku kurang berharta. Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan keluarga Hisham yang kaya-raya itu. Aku tunduk mendengar kata-kata Izzah. Air mataku mengalir perlahan. Tidakkah aku sedar selama ini perasaanku bermain dengan api yang hanya akan membakar diri sendiri bila sudah marak?

Papa Hisham kenal Kak Ngah ku. Mereka bertentangan pendapat politik. Aku tidak masuk campur urusan politik Kak Ngah. Aku hanya menggeleng-geleng kepalaku perlahan dengan bibir yang diketap. Ditambah lagi, kata Izzah, keluargaku banyak penyakit keturunan. Ibuku ada ketumbuhan. Aku juga ada ketumbuhan.. Aku mengerutkan dahiku. Dari mana pula mereka mendapat semua ini??? Apa jenis orang yang sanggup nak menyiasat sehingga begitu sekali???

“Hisham? Bagaimana dengan Hisham?” Nadaku bertanya dengan marah. Sudah tidak ada air mata mengalir lagi. Terasa perasaan marah menyelubungi hatiku. Keluargaku dikata begitu begini mentah-mentah oleh Uncle Rahman dan Auntie Zaleha.

“Emm..Hisham..Hisham..Dia ikut aje kata-kata papa dan mamanya..Sebab itulah papa dan mamanya bawa dia bercuti. Mereka mahu Hisham lupakan semua ni..” Jelas Izzah lagi.

Aku menelan air liur dengan begitu payah mendengar kata-kata Izzah yang panjang lebar menjelaskan butir-butir laporan kehilangan Hisham yang telah menjadi punca air mataku sejak seminggu lalu. Payahnya aku menerima hakikat ini. Hampir sama payahnya untuk aku menerima kehilangan abah dahulu. Aku kehilangan Hisham pula.

“Izzah, thanks sebab bagitau akak semua ni..Izzah, boleh tinggalkan akak sendiri kejap..?” soalku pada Izzah. Izzah mengangguk perlahan sambil bangun meninggalkan aku keseorangan di bilik yang kosong itu.

Aku menyapu wajahku dengan kedua-dua telapak tanganku. Aku agak kurang bersedia menghadapi semua ini. Hisham itu harapanku, harapanku sejak bertahun lamanya. Sukar untuk aku percaya semua kata-kata Izzah tadi selagi tidak kudengar dari mulut Hisham sendiri. Setelah beberapa minit berfikir, aku segera bangun dan turun ke ruang tamu di bawah dan mencapai telefon. Nombor telefon bimbit Hisham aku dail dengan pantas. Mungkin dia sudah pulang dari bercuti. Aku tidak sabar mendengar penjelasan Hisham.

“Hello,assalamualaikum, Hisham..” Salamku tidak berbalas. Aku tahu ada orang yang mengangkat telefonnya.

“Waalaikumussalam..ana..” Akhirnya Hisham membalas. Kami sama-sama terdiam sebentar.

“Ana, kau apa khabar? Sihat?” Ujar Hisham perlahan, memecahkan suasana itu.

“Emm…Sham,kau pergi tak bagitau aku,sham..” kataku dengan nada yang agak sebak.

“Mama dan papa aku ajak aku holiday, so..masa tu kau still kat hospital..emm..” Aku seperti ingin menangis di situ mendengar kata-kata Hisham.

“Sham, kenapa tak beritahu aku..” Belum sempat aku menghabiskan ayatku, Hisham cepat memotong.

“Ana, sorry, aku ada hal kejap ni, kena keluar…”

“Sham, kenapa kau macam ni Sham??”

“Ana, aku bizi sikit ni..Aku letak dulu ok..Oh ya, by the way, congratulation for your engagement.” Aku tergamam.

“Hisham, please tunggu..Sham..please..” kataku agak kuat. Hisham Cuma diam sahaja. Hanya nafasnya sahaja yang kedengaran. Air mataku sudah mula mengalir lagi.

“Sham, itu pilihan keluarga aku. Bukan kehendak aku. Sham..Sham, aku sukakan kau..Sejak kita mula-mula jumpa lagi..Azmi tu pilihan keluarga aku, Sham..” Tangisanku tak dapat dibendung lagi. Aku seolah-olah terdesak. Hisham diam sahaja.


“Hisham, cepat sikit! Papa dah tunggu tu!” sayup-sayup suara mama Hisham kedengaran di telefon.

“OK mama, coming!” Hisham membalas. Aku Cuma mendengar sahaja.

“Ana, aku ada kerja ni..” Kata Hisham pantas. Aku sendiri tidak faham nada suaranya. Marahkah dia? Kecewakah dia? Bencikah dia pada aku?


“Sham..” Belum sempat aku menghabiskan ayatku, Hisham sudah pun meletakkan telefonnya. Aku jadi kelu untuk berkata apa-apa. Terketar-ketar bibirku menahan kesedihan. Dia bukan milikku lagi. Begitu cepat Hisham berubah.

Aku sudah tidak mengira baik buruk atau kesopanan diriku lagi. Aku segera mendail nombor telefon Hisham sekali lagi.

“Sham..kau dah tak sukakan aku Sham? Sebab mama dan papa kau tak sukakan aku?” Hisham tidak menjawab. Aku tahu dia masih mendengar.

“Sebab aku tak layak untuk kau? Kau dah takde apa-apa perasaan pada aku lagi?” soalku lagi. Aku inginkan kepastian. Aku letih bermain dengan emosi sendiri.

Hisham tidak menjawab. Dia terus meletakkan telefonnya. Aku terkedu. Aku keliru dengan perasaan Hisham. Perasaan cinta yang aku bina padanya seolah-olah sudah hampir roboh. Mungkin benar apa yang dikatakan Izzah dan Hanif. Hisham menurut kata mama dan papanya. Dia anak yang baik. Anak yang taat. Bukan seperti aku. Aku ini anak derhaka yang sanggup melawan abahku demi untuk seorang lelaki yang aku sendiri tidak tahu sejauh mana kasihnya padaku. Mungkin aku yang bodoh.

Aku terlalu lemah untuk berfikir tentang realiti hidupku kini. Izzah memapah aku ke bilik. Berjam-jam Izzah menasihatkan aku supaya menguatkan hati dan semangatku. Memang itu yang aku perlukan. Aku perlukan kata-kata semangat itu. Sesungguhnya bukan mudah untuk aku melupakan Hisham.

Tiada Noktah Cinta - 88

Haikal segera mencapai gagang telefon. Didailnya nombor telefon bimbit Sara tetapi hanya peti suara yang menjawabnya. Haikal gelisah. Dia rasa bersalah. Dalam hati dia berdoa agar Sara segera menjawab panggilannya. Dia bimbang kalau-kalau sesuatu terjadi pada Sara. Bagaimana kalau benar telahan Johari yang Sara telah mengandung. Bertambah bersalah dia dibuatnya. Maafkan abang Sara. Bisiknya sendirian.
Sara terasa lapar dalam perjalanan keuniversiti. Dia singgah di BSC kerana terdapat banyak pilihan disana. Dia terasa ingin makan spagetti. Kakinya melangkah ke restoran The Chili. Sebaik melabuhkan punggungnya, kenangan lama menjengah kembali diruang matanya. Saat dia makan bersama dengan Azman. Segalanya bagaikan baru semalam terjadi. Oh ! Azman dimanakah kau saat ini? Adakah kau sedang berbahagia? Soalnya sendirian. Kenangan semalam terlayar diruang matanya.

Lamunannya terhenti tatkala pelayan datang mengambil pesanan. Dia kembali mengelamun. Itulah tabiatnya sejak akhir-akhir ini. Dia lebih senang melayan perasaannya sendiri. Tiba-tiba lamunannya mati apabila telinga menangkap satu perbualan yang menarik minatnya.




“Haikal? Haikal mana?” kedengaran suara itu bertanya.

“You ni Zack. Haikal mana lagi. My-ex la. Haikal Hisham Holdings tu. Takkan you tak kenal,” marah suara perempuan itu pula.

Sara segera menoleh kebelakang. Dia melihat sepasang teruna dan dara sedang menikmati makan tengahari. Dia kembali memasang telinga.

“Selalu ke you jumpa dengan dia, Sherry?” soal lelaki yang bernama Zack itu.

“Selalu juga. Petang semalam baru I jumpa dia lagi,” jawab perempuan yang bernama Sherry.

Sara menoleh sekali lagi. Kali ini lebih lama. Dia ingin menatap wajah gadis yang bernama Sherry itu. Hatinya berdebar. Cantik. Mungkin inilah bekas kekasih suamiku. Ujarnya didalam hati. Dia kembali menelinga.

“You ni. Bukan ke you tahu dia dah beristeri. Apa lagi yang you harapkan dari dia?” soal Zack kembali.

“I pernah kata pada dia. Jadi second wife pun tak apa,” jawab Sherry.

“Apa kata Haikal?”

“Dia diam aje. Tapi, I tahu dia masih cinta dan sayangkan I. Kalau tidak masakan dia selalu datang jumpa I. Hampir setiap malam kami berjumpa,” beritahu Sherry lagi walaupun ada sedikit pembohongan disitu. Bukannya setiap malam. Cuma bila mereka terserempak sahaja mereka akan keluar makan bersama.

Sara rasa tubuhnya mengeletar. Badannya seram sejuk. Segalanya sudah jelas didepan matanya. Patutlah suaminya berubah laku. Rupanya sudah berjumpa kekasih hatinya semula. Patutlah dia kini sedingin salju. Rupanya insan yang sering dirinduinya telah kembali. Hati Sara menangis hiba.

“You ni dah gila la, Sherry. Macam dah tak ada lelaki lain dalam dunia ni. Haikal tu juga yang you kejar. Apa istimewanya dia?” marah Zakuan.

“Banyak istimewanya dia pada I. Dia sendiri dah mengaku salahnya pada I. Semuanya kerana salah faham yang terjadi antara kami. So, I tuntut lah balik janji dia pada I,” ujar Sherry tanpa rasa bersalah.

“Wife dia tahu tak yang you selalu jumpa dia ni?”

“Entah la. Kalau tahu pun, I sanggup bersemuka. I akan terangkan segalanya. “

“Kalau la you yang hadapi situasi macam wife Haikal hadapi sekarang ni, apa tindakan you, Sherry?” soal Zakuan lagi. Sherry terdiam. Dia kelihatan serba salah menjawab soalan Zakuan.

“Tak baik buat macam tu, Sherry. Between you all berdua dah tak ada jodoh. You kena terima tu. Sejauh mana you tolak dan sebaik mana pun you terima, kalau sudah itu takdirnya, you kena accept. Kalau wife dia tahu, tentu hatinya luka, Sherry. You kan perempuan. You lebih tahu dari I. I dengar isterinya baik. Sanggup terima Haikal seadanya. Mana ada orang macam tu. Lagipun diaorang tengah bahagia sekarang ni,” nasihat Zakuan. Sherry menelan kata-kata Zakuan dalam diamnya.

“Sofea ada beritahu I yang wife dia dah mengandung,” ujar Zakuan lagi. Sherry tersentak. Begitu juga Sara.

“Mengandung? Mana you tahu?” soal Sherry kurang percaya.

“Sofea tu kan tunang I. Minggu lepas wife dia ada datang klinik dia,” beritahu Zakuan lagi.

“Mana Sofea tahu itu wife Haikal? Tengokpun tak pernah,” sangkal Sherry.

“Sofea tu sebenarnya sepupu Haikal. Tapi sebelah mamanya. It’s very complicated to explain. Tapi, apa yang you patut tahu memang wife dia dah pregnant two month something,” tekan Zakuan lagi agar Sherry percaya apa yang dikhabarkannya.

“Tapi, Kal tak beritahu apa-apapun,” ujar Sherry.

Sara terasa diawangan. Dia sudah tenggelam dalam perasaan lukanya. Perbualan antara Sherry dan Zack tidak dipedulikan lagi. Makanan yang telah terhidang dipandang sepi oleh Sara. Seleranya yang tadi membuak-buak mati tiba-tiba. Tekaknya menolak untuk menelan makanan tersebut. Lalu dia melangkah longlai keluar dari restoran itu.

Monday, April 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 87

Sara berdiam dibilik bacaan hingga kepagi. Dia terlena dengan buku novel Pesona Rindu yang baru dibelinya. Dia amat kagum dengan kehidupan bermadu yang dialami oleh dua orang sahabat baik yang berkongsi suami. Kehidupan mereka amat bahagia sekali. Tapi, adakah kehidupan sebegitu didunia realiti ini? Mungkin ada tapi tak banyak. Dan aku bukanlah salah seorang yang sanggup hidup sebegitu.

Sara melangkah keluar dari bilik bacaan. Dia masuk kedalam biliknya. Dia berharap agar Haikal masih ada didalam bilik tetapi hampa. Nampaknya dia masih marah lagi. Bisiknya sendirian. Hasratnya yang sejak semalam berlegar dimindanya tergantung tiada bernoktah. Ah! Biarlah dulu. Nantilah aku beritahu. Biar reda dulu marah dia. Ujar Sara perlahan.

Berita gembira yang ingin dikongsi bersama dengan suaminya sudah tertangguh selama seminggu. Haikal masih lagi dengan sikap dinginnya. Malah semakin kerap pulang lewat kerumah. Komunikasi antara mereka hampir tiada. Pelbagai cara Sara cuba untuk meminta maaf, tapi dipandang sepi. Sara pelik. Halnya hanyalah kecil saja tapi seperti sengaja diperbesarkan oleh Haikal.

“Abang, Sara ada sesuatu nak cakapkan,” ujar Sara malam itu didalam bilik. Petang itu Sara gembira kerana Haikal pulang lebih awal dari biasa.

“Hmm...........” Haikal nampaknya kurang berminat dengan kata-kata isterinya. Dia masih lagi khusyuk dengan buku ditangannya.

“Abang........... abang dengar tak apa yang Sara cakapkan ni?” soal Sara sekali lagi lebih tegas apabila percakapannya dipandang ringan oleh suaminya. Dia terkilan.

“Apa dia?” kasar pertanyaan Haikal. Sara telan liurnya.

“Abang ni kenapa? Takkan benda kecil tu pun abang nak ambil hati sangat. Sara dah minta maafkan? Apalagi yang Sara perlu buat untuk puaskan hati abang? Dah dua minggu macam ni. Abang tak rasa penat ke? Abang nak Sara sujud dekat kaki abang baru abang puas hati? Macam tu?” keras suara Sara. Kesabarannya hampir hilang melihat kelakuan Haikal. Haikal mendongak melihat wajah Sara yang berada dihadapannya.

“Apa lagi yang tak kena ni? Apa yang Sara nak beritahu? Cakap aje la. Abang belum pekak lagi.” Haikal masih bersikap selamba.

“Memang la abang belum pekak tapi telinga abang tu dah tuli. Aah.... sudah lah. Tak guna nak beritahu pun. Abang bukannya nak serius. Sara dah cukup beralah, bang. Sekarang ni terpulanglah pada abang. Sara dah penat,” bentak Sara. Sabarnya sudah hilang. Segera kakinya melangkah kekatil dan baring membelakangkan suaminya.

Setitis airmatanya mengalir lesu. Ditahan esakan agar Haikal tidak menyedari tangisannya. Sara ingatkan berita perkhabaran dirinya mengandung akan membuatkan Haikal gembira tapi suaminya itu mengambil lewa sahaja. Bukannya Haikal tidak menyedari yang dirinya semakin tidak sihat sejak akhir-akhir ini. Dia kerap muntah diwaktu pagi tapi tak pernah sekalipun Haikal bertanya. Dia berkecil hati.
Kesihatannya semakin merosot. Terasa dirinya semakin lemah. Dihadapan keluarganya, Sara terpaksa kuatkan hati. Malas mahu memanjangkan masalah yang ada. Kerap juga mamanya bertanya itu ini tapi dijawab mana yang perlu. Selebihnya dia tersenyum sahaja. Hubungannya dengan Haikal semakin renggang walaupun Haikal kini kerap berada dirumah. Tapi kehadiran Haikal tidak dapat merubah apa-apa. Sara berjauh hati.

Pagi itu Sara gagahkan diri kepejabat setelah menerima panggilan dari Johari yang memintanya menyelesaikan satu masalah dengan program yang sedang mereka bangunkan. Sara melangkah longlai kerana dia muntah agak teruk pagi tadi.





“You tak sihat ke? Muka you pucat sungguh,” tegur Johari yang menyedari Sara kelihatan tidak bermaya.

“Demam sikit. Don’t worry. I dah ambil ubat tadi,” jawab Sara malas.

“Haikal tahu tak ni you datang sini?” soalnya lagi.

“I tak jumpa dia pun lagi. Tadi Jue kata dia ada meeting dengan board of director. I malas nak ganggu. Tak apa. Jangan bimbang.” Sara memberi keyakinan pada Johari. Hati Johari tetap bimbang.

Mereka melangkah kedalam lab yang menempatkan sistem yang sedang mereka laksanakan. Sara memulakan kerjanya walaupun kepalanya berdenyut. Sesekali dahinya berkerut menahan sakit yang datang. Johari terperasan perubahan mimik mukanya.

“Kalau you sakit, kenapa datang juga? Bagitahu aje pada tadiI. Tak apa I faham. I boleh handle,” tegur Johari lagi.

“Ala tak apa. Lagipun petang ni I tetap nak kena keluar juga. Ada kuliah,” balas Sara.

Kira-kira dua jam kemudian Sara sudah menyiapkan kerjanya. Kerja itu terlalu mudah baginya tapi mungkin pengaturcara yang baru agak sukar mengesan kesilapan yang berlaku. Dia bangun kerana ingin berkejar keuniversiti pula.

“Joe, my work’s done. I pergi dulu. Dah lewat ni,” ujar Sara sambil segera melangkah tanpa menunggu kata-kata dari Johari.

Johari hanya memandang langkah Sara yang meninggalkan pejabat itu. Serentak itu juga bilik mesyuarat terbuka dan dia berpaling memandang Haikal yang baru keluar dari bilik itu. Johari mengikut Haikal masuk kedalam biliknya apabila mendapat arahan dari Haikal.

“Your wife baru balik. Dia nampak teruk sangat la. Nampak macam orang tak sihat. Muka dia pucat sungguh,” beritahu Johari. Haikal hanya memandang wajah sahabatnya itu.

“Dia datang buat apa?” soal Haikal seperti kurang berminat. Bukannya dia tak tahu mengapa Sara harus kesini.

“Hai..... takkan la itupun kau nak tanya. Macam la kau tak tahu. Kau ni kenapa? You all ada masalah ke? Lain macam aje aku tengok. Sara macam tak bersemangat aje,” soal Johari.

“Entah la......... dia dah kecilkan hati aku ni,” beritahu Haikal selamba.

“Ala..... Kal. Benda kecil jangan dipanjangkan. Takkan kau tak serik-serik lagi. Nanti menyesal baru tahu. Pisang takkan berbuah dua kali, Kal. Aku kesiankan dia. Dia nampak pucat sangat. Jue, pun perasan. Aku takut apa-apa terjadi pada dia. Dia kata dia nak pergi universiti,” beritahu Johari lagi. Dada Haikal berdebar tiba-tiba.

“Entah.... la. Dua hari sudah dia ada nak beritahu aku sesuatu. Tapi, aku ambil kisah tak kisah je. Akupun tak tahu apa yang dia nak beritahu. Bila aku tanya balik dia pulak marah. Akupun diam la,” ujar Haikal. Johari duduk mengadap Haikal.

“Kau ni merajuk mengalahkan budak-budak tak dapat gula-gula. Sikit-sikit sudah la. Sabar orang pun ada hadnya.”

“Nantilah balik nanti aku tanyakan pada dia. Akupun perasan juga yang dia tak sihat. Pagi semalam dia muntah teruk. Sampai kemalam. Makanpun sikit aje. Bila mama tanya dia kata dia demam,” beritahu Haikal.

“Muntah? Dah lama ke?” soal Johari.

“Dah lama juga. Dulu kurang sikit. Tapi sejak kebelakangan ni selalu sangat pulak. Tapi aku buat tak tahu je.”

“Kau ni memang betul la, Kal. Kau tahu tak itu salah satu tanda-tanda perempuan mengandung. Muntah, sakit kepala, letih itu semua tanda-tandanya la,” beritahu Johari tentang ilmunya.

“Kau ni macam tahu-tahu pulak. Macam berpengalaman je,” usik Haikal.

“Kal, tak semesti dengan pengalaman je kita boleh tahu perempuan tu mengandung atau tak. Melalui pembacaan juga boleh. Aku rasa Sara mengandung Kal. Kau sepatutnya ada dekat dengan dia selalu sekarang ni. Bukannya merajuk tak tentu pasal,” tegurnya lagi.

Haikal tergamam. Mungkin juga. Sara ada beritahu mamanya yang dia ada pergi ke klinik. Mungkin juga untuk mengesahkan kandungannya. Dan mungkin hal ini jugalah yang ingin diberitahu Sara padanya dua hari lepas. YA ALLAH. Keluhnya.

Buat Aku Tersenyum - 7

Razif semakin pulih. Dan khabar dari Hafeez, razif sudah dapat menerima hakikat apa yang sudah terjadi. Kata razif, dia sukakan artikel yang diterima melalui email daripada Ayah Ude. Aku senyum sajalah...

"Razif tu berpotensi untuk maju. Ayah Ude nampak masa depan yang cerah kat dia. tapi, alangkah sayangnya jika Razif tu boleh memusnahkan dirinya hanya sebab cinta."

Artikel yang pernah aku berikan pada Ayah Ude suatu masa dulu, dah pun selamat diwariskan kat razif. Aku ingat lagi, masa tu Ayah Ude sedang menghadapi zaman kejatuhan. Perniagaannya hampir punah gara-gara rakan kongsi yang berpaling tadah dan Mak Ude yang menjadi tulang belakang Ayah Ude, telah meninggal akibat barah. Hampir terduduk ayah Ude merenung masa depan yang tidak tentu. Lalu. Aku dititipkan sesuatu yang kurasakan bermanfaat. Surat itu segera ku poskan ke Australia. (Masa tu Ayah Ude, tinggal kat sana 15 tahun).

Assalamua’laikum Ayah Ude yang disayangi... Moga rahmatNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Sembah salam daripada walid dan ummi. Salam takziah daripada kami sekeluarga.

Ayah Ude,
Bersama ini, Achik Yaza sertakan titipan buat Ayah Ude. Hadamilah ia, moga ia akan memberikan manfaat kepada Ayah Ude untuk kembali teguh mendabik masa depan.

ALLAH SWT TAHU APA YANG TERBAIK UNTUK HAMBANYA

Kita kecewa apabila pilihan hati melupakan kita. Kita berdukacita kerana tidak berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pendek kata, kita merasa hampa apabila sesuatu yang kita kejar tidak kesampaian. Setiap keputusan yang berlaku ke atas diri kita merupakan ketentuan atau qada’ dan qadar Allah kepada kita, baik yang seiring dengan kemahuan kita mahupun tidak adalah rahmat daripadaNya. Allah SWT berfirman mafhumnya ".... dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik dari kamu; sedang ia melarat kepada kamu. Dan Allah mengetahui tapi kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah 216)

Pengetahuan kita tentang baik atau buruk sesuatu yang kita kejari itu jauh lebih cetek berbanding dengan pengetahuan Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Kesemua pilihan atau ketetapanNya untuk setiap hamba seperti kita adalah yang terbaik dan paling tepat. Rahmat dan pemberian Allah kepada para hambaNya datang dalam bentuk dan gambaran yang berbeza-beza. Adakalanya ia terhidang dalam bentuk kebaikan, iaitu ketetapan-ketetapan yang sealiran dengan apa yang dihasratkan oleh hamba-hambaNya. Adakalanya juga ia terhidang dalam bentuk keburukan, iaitu ketetapan-ketetapan yang bertentangan dengan apa yang dicita-citakan oleh hambaNya.

Al-Imam Ibnu Athaillah Assakandary ada berkata yang membawa maksud ;
"Apabila Allah memberi kepadamu, nescaya Dia saksikan kepadamu kebaikanNya. Dan apabila Dia menolakmu, nescaya Dia saksikan kepadamu kekuasaanNya. Maka Dia di dalam semua itu memperkenankan dan menghadapkan kepadamu dengan sifat kehalusanNya kepadamu."

Jangan sesekali kita merasa ragu-ragu atau sangsi dengan kebaikan dan ketetapan Allah ke atas kita. Selagi kita bergelar mukmin selama itulah kita tidak perlu kecewa walaupun ketetapan yang menimpa kita tidak sepertimana yang kita jangkakan kerana ketetapan yang datang daripada Allah SWT itu adalah untuk kebaikan kita. Rasulullah SAW yang mafhumnya ;
" Demi zat yang diriku ada ditanganNya tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hambaNya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya...." (Muslim)

Golongan mukmin seperti kita wajib menyambut qada’ dan qadar Allah SWT dengan dada yang terbuka. Pilihan-pilihan Allah SWT untuk para hambaNya, adalah yang terbaik kerana Dia Maha Mengetahui. Allah SWT yang Maha Penyayang tidak akan sesekali menganiayai para hambaNya, malah ketetapan-ketetapanNya ke atas kita adalah untuk memastikan kita semua beroleh kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat jangan ada keraguan lagi dalam hati kita, seolah-olah yang lain dari ketentuanNya itu lebih baik dan lebih sempurna. Tiada ketentuan yang akan membinasakan hambaNya kecuali ke atas mereka yang tidak mengingatiNya. Terimalah dan peliharalah ketentuan Allah dengan baik, sama ada dari segi rezeki, jodoh dan seumpamanya.

Jika ketentuan itu selari dengan apa yang kita cita-citakan maka panjatkanlah kesyukuran kepadaNya. Jika ketentuan itu bercanggah dengan hasrat kita sambutlah ketentuan itu dengan hati yang terbuka kerana mengikut ilmuNya, ketentuan tersebutlah yang terbaik untuk kita walaupun bertentangan dengan kemahuan kita yang asal. Apabila kita menerima ketetapan-ketetapan Allah dengan penuh ikhlas maka akan terpadam rasa kekecewaan dan keresahan. Kegagalan tidak lagi kita rasa sebagai kegagalan. Kesusahan tidak lagi dirasai sebagai kesusahan.

Apa sahaja ketetapan Allah SWT ke atas kita umat Islam, sama ada ia seiring dengan kemahuan kita atau sebaliknya, kesemuanya untuk kebaikan kita. Walau setiap sesuatu yang tidak kita perolehi itu digantikan Allah SWT dengan yang lebih baik daripada apa yang kita inginkan. Walau apapun, percayalah dan yakinilah bahawa Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita berdasarkan ilmu dan kebijaksanaanNya.

Amin...

Calon Pilihan Abah - 10

Beribu-ribu kali rasanya Izzah memuji keayuanku dengan bajuku. Aku Cuma tersenyum.

“Kak!! Comelnye akak pakai baju ni..Lembut, ayu habis! Meh Izzah solekkan akak” Aku mengikut sahaja kata-kata Izzah. Habis mukaku diconteng dengan alat-alat make-up. Emm…cantik juga..Pandai jugak Izzah ni make-up kan aku.. Aku tersenyum sendiri memandang cermin. Kepala aku masih sakit sedikit kerana menangis lagi semalam. Mukaku tidaklah pucat dengan hasil solekan Izzah itu.

“Wahh!!bagaikan puteri!!!” jerit Izzah. Cuma aku dan Izzah sahaja yang ada di rumah. Zizi, Intan dan Semah semuanya sudah pulang ke Malaysia.

Sepanjang hari itu aku berasa sungguh gembira. Aku berjaya melupakan segala masalah yang melanda hatiku. Aku berjalan mengambil Ijazah MBBS dan BSc ku dengan penuh keyakinan. Abah, ana dah jadi doktor!!! Izzah tak putus-putus mengambil gambarku.

Hisham ditempatkan agak jauh dariku di dewan graduasi. Sebaik sahaja selesai mengambil ijazah, kami bergambar beramai-ramai. Sesi fotografi tamat ketika sudah hampir petang.

Aku sungguh berdebar di saat aku diperkenalkan pada mama dan papa Hisham. Gaya dan penampilan mereka nampak sungguh moden, berbeza dengan ibuku. Ketika aku bersalam dengan Auntie Zaleha, aku nampak Hisham mengenyitkan mata pada mama nya.

“Ana, parents tak datang ke?” soal Auntie Zaleha.

“Emm..tak Auntie..Mulanya nak datang, tapi ada masalah sikit” Aku terasa sebak mendengar soalan Auntie Zaleha itu. Dia mengusap-usap belakangku mengucapkan tahniah. Uncle Rahman pula tersenyum padaku. Mereka ramah denganku. Pelbagai soalan diajukan padaku. Lega hatiku dengan layanan baik mereka padaku. Auntie Zaleha dan Uncle Rahman sudah beralih ke Taman bersebelahan tempat sesi fotografi tadi. Cuma tinggal aku dan Hisham sahaja.

“Ana, mama dan papa aku nampak dah sukakan kau..Lega aku..”kata Hisham sambil tersenyum penuh makna. Aku tunduk malu.

“Kau ni Sham! Tak malu!” kataku malu-malu. Aku nampak Hisham tersenyum meleret. Izzah datang ke arah kami sambil tersengih menunjukkan barisan giginya yang rapi itu. Hanif menurut di belakangnya.

Aku gembira hari itu. Sungguh gembira. Malam itu aku masak masakan paling sedap buat Izzah dan aku. Kami makan penuh selera. Hisham tidak pula menelefonku. Mungkin kerana sibuk melayan papa dan mamanya.

Malam itu, aku bermunajat kepada Allah, bersolat sunat hajat, tahajud, dan akhir sekali aku lakukan solat istikharah. Aku mohon bersungguh-sungguh dengan air mata yang tak henti-henti mengalir, agar Allah tunjukkan aku pilihan terbaik.

Esoknya, aku bangun dengan kepala yang masih berat kerana menangis. Izzah masih tidur. Letih agaknya. Aku keluar berjalan perlahan-lahan menghirup udara musim panas. Aku ingin ke Tasik Lough. Aku rindukan burung-burung swan di situ. Aku duduk di bangku di tepi tasik memandang air tasik yang tenang dan burung-burung yang berenang-renang. Aku kosongkan fikiranku. Biarlah Allah menentukan jodohku. Aku sudah letih bermain dengan perasaan sendiri. Sejam lebih juga aku di situ. Aku mula mengangkat kaki untuk pulang.

Aku melalui simpang biasa berhampiran rumahku. Aku berjalan perlahan sambil merenung pohon-pohon merendang di tepi jalan. Aku berhenti untuk melintas jalan itu. Aku memegang kepalaku yang masih sakit sedikit. Sudah tidak ada kereta. Aku terus sahaja melintas. Tiba-tiba,

“Ponn!!!!” Hon kereta yang kuat itu menyebabkan aku sungguh terkejut dan sepantas kilat aku berpusing dan berundur ke belakang.

“pang!!” Aku terasa seperti terlanggar sesuatu ke kepalaku dengan kuat ketika aku berpusing ke belakang. Pandanganku mula gelap. Aku memegang tiang aku yang aku terlanggar tadi. Tak tertahan rasanya sakitku. Aku rasa badanku lemah dan terus rebah di situ.

Aku nampak abah memakai jubah putih yang selalu dipakainya untuk sembahyang Jumaat. Abah nampak muda dan tenang sekali air muka nya memandangku. Abah senyum padaku. Lama juga aku melihat wajah abah. Abah!!! Jeritku. Abah masih lagi tersenyum. Abah!! Ana rindukan abah!! Abah tersenyum lagi.

“She’ll recover soon” aku terdengar suara itu.

“Don’t worry too much OK? It’s just a minor trauma. She’s going to be OK.” Aku dapat dengar dengan jelas kata-kata itu. Aku mula membuka mataku. Aku nampak Dr. Kieran sedang tersenyum padaku. Izzah sedang memegang tanganku sambil tersenyum.

“Alhamdulillah, akak dah sedar”

“Hi Anna, so..how are you feeling?” ujar Dr Kieran sambil tersenyum. Aku mengangguk-angguk sahaja kepalaku dengan lemah. Tangan sebelah kiriku berbalut. Terasa sakit. Aku meraba-raba kepalaku. Juga berbalut sedikit di sebelah atas dahi kiriku.

“You’re in ward 1A Anna. I’m your doctor today, not your reg. I’m not going to torture you with questions.”kata Dr. Kieran sambil tersengih. Aku juga turut tersengih mengingatkan yang aku ini selalu sahaja tidak lepas menjawab soalannya di wad. Dr Kieran beredar tidak lama selepas itu.

“Akak..macam mana boleh terlanggar tiang tu kak..Akak tak sedar dekat seharian tau. Dr Kieran kata akak shock. Sebab tu tak sedar. Injury akak sikit je tu.” Kata Izzah.

“Entah la Izzah. Akak ni banyak sangat menangis. Kepala akak macam pening semalam. Tak perasan ada kereta datang. Memang akak meremang abis lah bila dia hon. Rasa macam jantung akak kena ragut aje” balasku dengan panjang lebar. Hari itu, aku dihujani pelawat. Doktor-doktor Malaysia dan pelajar-pelajar Malaysia yang tidak pulang bercuti semuanya datang melawatku. Pelbagai buah tangan yang aku dapat. Buah, cokelat, bunga…semua ada.. Tapi aku hairan..kenapa Hisham tak ada? Ke mana dia? Sepatutnya dia di sisi aku bersama Izzah yang setia menunggu aku sedar dari semalam.

“Izzah, Hisham mana? Kenapa dia tak datang?” Izzah diam sahaja sambil menjungkit bahunya tanda tidak tahu. Kata Izzah, tadi ketika aku masih belum sedar, Hisham ada datang melawatku.

Keesokan harinya, aku sudah stabil dan boleh ketawa seperti biasa. Dr. Kieran datang berjumpaku. Izzah diminta beredar kerana dia mahu bercakap denganku. Dr. Kieran menjelaskan padaku kedudukan sebenar yang telah memberikan aku satu lagi dugaan besar. Dia menjelaskan bahawa kemalanganku tempoh hari tidak memberi kecederaan yang teruk. Tetapi, CT scan yang dilakukan ke atasku menunjukkan seperti ada ketumbuhan kecil di lapisan luar otakku. Aku terkejut dengan berita itu. Aku ceritakan pada Dr Kieran yang aku selalu juga sakit-sakit kepala. Aku sangkakan itu semua Cuma kerana aku selalu sangat menangis. Dia membenarkan aku keluar hospital hari itu, tetapi aku mesti datang ke hospital di bahagian pesakit luar minggu depan.

Setelah Dr Kieran pergi, aku berbaring memandang siling. Entah apa aku fikirkan. Ya Allah..Kuatkan hamba-Mu ini. Aku berdoa agar ketumbuhan itu tidak merebak. Aku harap ia Cuma ketumbuhan sahaja, bukan kanser. Izzah masuk dan dia melihat sahaja wajah muramku tanpa berkata apa-apa.

“Kak…” Izzah mula bersuara. Aku tersenyum padanya. Aku jelaskan padanya apa yang diberitahu Dr Kieran tadi. Izzah menangis di hadapanku. Mungkin terlalu kasihan melihat aku. Air mata aku sudah kering. Mungkin ada baiknya aku begini. Mungkin aku akan pergi tinggalkan dunia ini..Mungkin itu yang terbaik untukku..Ya Allah..Bantulah aku ini…

Petang itu, Dr Zaidi dan Isterinya, Kak Zu membawa aku pulang dengan kereta. Berkantung-kantung nasihat yang aku terima daripada Kak Zu supaya aku menjaga diri. Aku telah pun meminta Izzah merahsiakan tentang ketumbuhan itu. Setelah mengucapkan terima kasih pada Dr Zaidi dan Kak Zu, aku dan Izzah masuk ke rumah. Aku terus sahaja masuk ke bilik dan berbaring. Aku teringatkan emak. Siapalah yang akan menjaga jika aku tiada?? Azmi? Tapi Azmi..sudah kuputuskan pertunanganku…

Seminggu berlalu begitu sahaja. Aku Cuma berehat di rumah. Izzah lah yang menjaga makan minumku selama seminggu itu. Aku ke hospital semula hari Rabu itu. Satu lagi scan dibuat untuk mengesahkan ketumbuhan itu. 2 hari selepas itu Dr Kieran menelefonku dan menyampaikan kepadaku bahawa kemungkinan besar ketumbuhan itu bukan kanser. Tapi dia mahu melakukan pembedahan segera untuk mengeluarkan ketumbuhan itu. Entah bagaimana hendak kutanggung perbelanjaan pembedahan itu. Rawatan aku di hospital tempoh hari pun, mujur JPA sanggup membayarnya.

Aku menarik nafas panjang. Aku segera mengambil air sembahyang dan bersujud syukur kerana aku tidak diberikan sesuatu yang lebih bahaya.

Hisham hilang entah ke mana. Sudah hampir 2 minggu, yang aku tahu Cuma dia telah pergi bercuti bersama keluarganya. Sampai hati Hisham! Getus hatiku. Hari ini aku mengemaskan semua barang-barangku untuk ku bawa pulang. Berkotak-kotak juga. Aku perlu mengepos sebahagiannya melalui kapal laut sebelum aku pulang. Izzah bersusah payah menolongku.

Hampir 2 hari barulah selesai kami mengemas. Bilikku kini kosong. Cuma ada perabot sahaja. Izzah tidur nyenyak di katilku keletihan. Aku mengusap-usap rambut Izzah. Kasihan dia. Mujur Allah kurniakan aku seorang sahabat yang baik untuk aku hadapi semua ini. Sudah lah letih dengan kerja sambilannya di asrama universiti itu, terpaksa pula menolong aku ini. Minggu depan kami akan pulang bersama ke Malaysia.

Badai Pasti Berlalu - 11

Hujung minggu itu, Fatin datang berkunjung ke rumah Iman. Gadis yang bekerja sebagai Eksekutif Pelaburan di salah sebuah bank di ibu kota itu , setiap 2 minggu sekali pasti akan pulang ke rumah keluarganya di Johor Bahru. Kami mula berkawan semenjak tingkatan satu. Hanya Fatin, satu-satunya kawan yang rapat dengan dirinya setelah pemergian Haziq. Ibu dan bapa Fatin mempunyai kedai menjual barangan perabot yang di import dari Indonesia yang terletak di Jalam Kolam Air. Anak kacukan Melayu-Australia itu sungguh cantik dan baik hati. Fatin akan berkawan dengan sesiapa saja tanpa memilih darjat dan rupa. Dia senang sekali berkawan dengan gadis itu. Sedikit pun dirinya tidak merasa terasing dan rendah diri apabila berada di samping gadis yang bernama Fatin Khadeeja itu.



“Iman, kita keluar tengok wayang kat City Square sekejap lagi, nak tak?” Fatin berkata sewaktu kami berdua sedang menikmati minum petang. Ibu yang sedang menonton TV aku pandang sekilas. Kebisuan ibu itu sudah sangat di fahami Fatin.

“Ibu, Aina keluar dengan Fatin sekejap lagi boleh?”

“Erm, tapi jangan balik lewat sangat.” Ibu memberi persetujuannya. Matanya masih terfokus kearah TV3 yang menayangkan telenovela Rubi. Tanpa berlengah Iman segera berlalu ke dalam bilik untuk bersiap. Fatin di biarkan berbual-bual dengan ibunya di ruang tamu.



‘Cik Iman, pergi mana hari ni?’ Iman membaca sms yang di terima sebentar tadi. Dia mengeluh lalu segera membalas, geram dengan pengirim misteri itu.



‘Saya punya sukalah nak pergi mana pun! Susahkan awak ke???’



Fatin memandu tenang kereta perdana V6 hitam mamanya menuju ke bandar. Jalan raya agak sesak dari depan Pejabat Pos besar menuju ke pusat bandar. Keadaan biasa semenjak proses menaik tarafkan imej bandaraya Johor Bahru di lancarkan. Kini sudah terdapat jalan ala-ala Petaling Street seperti di Kuala Lumpur. Laluan pejalan kaki juga sudah kelihatan cantik dan teratur. Dalam masa yang sama, projek pembinaan jambatan baru yang menghubungkan tambak Johor dengan Woodlands, Singapura juga turut dalam pembinaan. Namun, projek gerbang perdana ini telah agak lama dihentikan buat sementara waktu memandangkan timbulnya beberapa isu pertikaian di antara dua negara jiran ini. Hujan renyai yang turun menjadikan keadaan jalan lebih sesak dari kebiasaannya.



“Iman, ibu kau nampak lebih rilek aje sekarang ni. Dia dah ok ke dengan kau?” Fatin bertanya. Barangkali dia hairan melihat Ibu yang kelihatan sedikit lembut dengan dirinya saat ini. Iman sendiri turut perasan akan perubahan itu semenjak beberapa hari yang lalu. Namun, dalam kelembutan itu masih terselit sedikit kedinginnya.

“Erm, ok sikitlah dari dulu. Sekarang ni dia dah jarang marah-marah tak tentu pasal. Dah bosan, penat agaknya Fatin.” Iman berseloroh. Fatin tersenyum kecil.

“Betul ni ibu kau tak marah kita keluar tengok wayang? Balik lewat pun tak marah?” Iman menggeleng, yakin sekali.



Ibu tidak pernah ambil peduli apa yang dia lakukan, kemana arah tujuannya, kepulangan dirinya juga tidak bersambut jadi, Fatin tidak perlu bimbang. Namun begitu, Iman jarang sekali mengambil kesempatan dengan sikap ibunya itu. Dia mempunyai garis panduan di dalam melayari setiap arah, tujuan dan perkara yang akan di lakukan dalam kehidupan sehariannya. Dia tidak mahu ibu di cemuh jiran tetangga hanya kerana seorang Iman pulang larut malam mahupun di hantar teman lelaki. Setiap rakan akan di bawa pulang untuk di kenalkan kepada ibunya kerana dia mahu ibunya tahu dengan siapa dia berkawan. Ibunya tidak kisah tapi, Iman amat memahami sekeping hati milik seorang ibu. Dan apa yang lebih penting, dia tidak mahu dirinya di curigai, pemergiannya di sangsi, pergaulannya di salah erti.



Selepas habis menonton cerita Miss Call-2 di aras 5, Iman dan Fatin meronda-ronda di dalam pusat membeli belah yang terkenal di bandar Johor Bahru itu. Dia bercadang membeli sepasang sandal manakala Fatin pula ingin membeli sehelai dua kemeja. Setelah puas meninjau mereka berdua akhirnya ke butik Vincci dan Padini Authentic. Di situ terdapat pelbagai pilihan dengan potongan harga jualan yang agak tinggi. Setiba di situ, mereka mengambil arah masing-masing, Iman ke bahagian kasut Vincci dan Fatin pula ke bahagian pakaian G2000 di bahagian belakang butik itu. Iman leka mencuba beberapa bentuk sandal namun belum satu pun menambat hatinya. Semuanya bagaikan ada yang tidak kena dengan citarasa dirinya. Handset di tangannya mengeluarkan bunyi tanda ada SMS di terima, barangkali dari Fatin. Iman mengeluh sebaik melihat nombor yang tidak dikenali itu sekali lagi menghantarkan mesej, entah untuk kali yang keberapa untuk hari ini.



‘Hai cik Iman, tengok wayang tak ajak saya ya. Nak saya tolong pilihkan sandal ke? ;)…’



Iman pantas melihat sekeliling, pasti lelaki itu kini berada dekat dengan dirinya. Tiba-tiba dia terasa bagaikan di ekori, riak tidak selesa mula menghambat diri, lalu memaksa kakinya melangkah pergi mendapatkan Fatin yang pasti masih lagi leka memilih baju di bahagian belakang. Dalam kekalutan Iman terlanggar seorang lelaki, tangannya tanpa sedar telah memeluk tubuh lelaki itu untuk mengelak dirinya dari tersungkur ke lantai. Sesaat dua dia bagaikan terkaku, sempat lagi hidungnya menangkap haruman milik tubuh lelaki itu.



“Opss..sorry abang, saya tak sengaja.” Ucap Iman kalut sebaik dapat mengimbangi badannya. Saat Iman mendongak, wajah di depan itu sedang tersenyum lebar, matanya tajam memerhatikan wajah Iman yang mula merona merah.

“Awak! Ini pasti kerja awakkan???” Iman menjerit geram, pandangan beberapa pasang mata tidak dia hiraukan.

“Saya? Kerja? Kerja apa?” Tanya lelaki itu kembali. Sepantas kilat handphone nokia 7200 di genggaman tangan lelaki itu di rampas, jemari Iman laju menekan keypad mencari sesuatu.

“Huh! Dah buat tak mengaku! Dasar penipu!!!” Tingkah Iman kuat, selamba dia mencampakkan handset milik lelaki itu ke atas timbunan baju potongan 70% di situ.

“Iman….nanti dulu. We need to talk, Iman..." Panggilan dari lelaki itu tidak di hiraukan. Dia segera mendapatkan Fatin yang sedang beratur membuat pembayaran.



“Hei, kenapa dengan kau ni Iman? Mana kau punya sandal?” Fatin bertanya sebaik melihat riak tegang di wajah Iman.

“Aku tak jadi belilah Fatin, semuanya aku tak berkenan.” Iman menjawab tapi matanya masih memandang tajam ke arah sudut butik itu. Sengaja dia menentang sinar mata lelaki itu, cuba menunjukkan tahap kemarahan dirinya saat itu. Hanya beberapa saat matanya segera di larikan tatkala mendapati lelaki itu tanpa rasa bersalah terusan membalas renungannya. Iman hanya mampu mendengus geram.



Sepanjang minggu ini pasti akan ada sms yang di terimanya dari nombor misteri itu. Kini dia pasti lelaki itulah yang selalu memberikan ucapan selamat malam sekalian mengejutkan lenanya setiap subuh. Dia amat berterima kasih untuk itu tapi, dia tidak akan semarah ini jika lelaki itu tidak terus menyembunyikan identitinya. Dia berang kerana lelaki itu sengaja mengekori, mengintipi dirinya. Bukan sekali dua dia berpapasan dengan lelaki itu, dia tidak ambil kisah memikirkan kemungkinan itu hanya sebuah kebetulan. Sudah puas dia bertanya namun pertanyaanya di biarkan sepi. Bila dia cuba menelepon, panggilannya tidak berjawab. Lelaki itu membuat dia tertanya-tanya sekalian berada di dalam keadaan ketakutan menghadapi setiap detik masa. Dia langsung tidak terpikir bahawa nombor misteri yang sering menghuni ‘inbox’ nya adalah milik lelaki itu. Dan hari ini, teka-tekinya terjawab sudah. Lelaki itu tidak akan di benarkan mengganggu lagi perjalanan hidupnya yang selama ini aman dan tenteram.