Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 50

Didalam kereta, Sara dan Haikal diam sahaja. Tiba-tiba Haikal memberhentikan keretanya dibahu jalan secara mengejut. Sara terperanjat.

“Kenapa, bang? Kenapa berhenti dekat sini pulak?” soal Sara pelik.

“Sara boleh drive tak? Kepala abang sakit sangatlah. Tak tahu kenapa,” beritahu Haikal. Dia mengerutkan dahinya menahan kesakitan yang datang.

“Ya ALLAH, kenapa pulak ni?” soal Sara. Dia panik. Dia segera keluar dan memimpin Haikal ketempat duduknya. Kini mereka beralih tempat duduk. Sempat Sara memicit kepala suaminya beberapa ketika.

“Tak apalah. Sara drive aje. Abang masih boleh tahan,” ujar Haikal yang menurunkan seat tempat duduknya agar dia boleh berbaring.
“Kita keklinik ye, bang,” ajak Sara dalam suara yang penuh kebimbangan.

“Tak perlulah. Abang nak balik aje,” jawab Haikal menolak. Sara mengambil ‘hand-bag’nya. Baru dia teringat ada beberapa biji panadol dalam begnya.

“Kalau macam tu, abang makan panadol ni dulu sementara sampai rumah.” Segera disuakan air dan ubat kemulut Haikal. Mujurlah Haikal tak membantah. Kemudian Haikal memejamkan matanya. Kepalanya masih lagi berdenyut.

Kini tumpuan Sara hanya pada pemanduannya walaupun sesekali-sekala dia menjeling pada Haikal. Hatinya dipagut rasa bimbang. Kenapa pulak ni? Soalnya. Tidak lama kemudian mereka tiba dirumah. Sara memimpin suaminya kedalam bilik tidur suaminya. Nasib baik dia sempat mengemas bilik itu sebelum keluar dari rumah pagi tadi. Walaupun mereka tidak tidur bersama, Sara tetap memastikan bilik tidur suaminya sentiasa kemas.

Selepas membaringkan suaminya, Sara kedapur untuk mengambil air suam seperti yang dipinta Haikal. Sara meletakkan tapak tangannya dikepala suaminya. Ya ALLAH, panasnya. Suaminya terkena demam panas. Macamana ni. Sara panik sebentar.

Sara kedapur semula. Dia mengambil air batu lalu dibalut didalam tuala kecil. Dia ingin menuam kepala suaminya agar dedar kepanasannya menurun.

Haikal membuka matanya bila dia terasa sejuk dikepalanya. Dilihat Sara sedang menuam kepalanya.

“Tak payahlah Sara. Kejap lagi okeylah tu,” tolak Haikal lemah. Terasa seluruh badannya sakit semacam. Lemah tidak berdaya.

“Tak apalah. Mari Sara tukarkan baju tu. Mana abang letak kain abang?” Soal Sara sambil tangannya membuka almari pakaian suaminya. Dia ternampak lipatan kain ditingkat atas sekali. Dia juga mengambil sehelai T-shirt.

Dia membuka satu persatu butang baju kemeja suaminya. Tangannya sedikit mengeletar. Tak pernah dia berperasaan begini. Dia juga terasa teramat malu. Tak pernah dia melayan mana-mana lelaki seperti ini. Malah adik-adiknya juga tidak begitu.

Haikal dapat merasa betapa sejuk tangan isterinya sewaktu tersentuh pada dadanya sebentar tadi. Dia tahu Sara malu tapi dia buat-buat tak faham. Biarlah. Dia senang dilayan seperti itu. Inilah waktu yang ditunggu-tunggu oehnya. Hatinya gembira walaupun kepalanya semakin memberat.
Selesai menyiapkan Haikal berpakaian, Sara kedapur untuk memasak sedikit bubur. Haikal memberitahunya yang dia mahu tidur sebentar. Mungkin kesan dari panadol yang diambil tadi membuatkan Haikal sedikit mengantuk. Sara segera memasak.

Setengah jam kemudian loceng kedengaran. Mungkin keluarga mentuanya kerana sebelum memasak tadi sempat juga dia menelefon mamanya memberitahu Haikal kurang sihat. Sara membuka pintu hadapan dan mempersilakan keluarga mentuanya masuk.

“Haikal mana? Teruk ke?” soal mamanya sebaik sahaja kakinya mencecah masuk.

“Tidur mama. Entahlah. Tapi tadi badannya panas. Mama nak tengok dia ke?” soal Sara pula.

“Tak apalah. Biarkanlah dia tidur dulu,” jawab Mamanya. Matanya meliar sekeliling. Kagum dengan hiasan dalaman rumah itu. Walaupun simple tapi nampak menarik. Pandai Sara menghias. Pujinya dalam diam.

“Mama dengan papa duduklah dulu. Sara nak kedapur sekejap,” ujar Sara sambil bangun untuk kedapur.

“Tak payah susah-susah Sara. Kalau kami nak minum, kami suruh Leen yang buatkan,” tegah papanya.

“Tak apalah. Lagipun memang nak kedapurpun. Sara tengah masakkan bubur untuk abang. Takut lapar pulak nanti bila dia dah bangun,” beritahu Sara. Keluarga mentuanya menonton TV sementara menunggu Haikal yang terlena.

Sara bagaikan lipas kudung didapur menyiapkan makan malam. Walaupun mamanya melarang dia memasak tetapi dia menolak dengan baik. Bukannya susahpun.

Selesai bersolat Sara duduk dibirai katil. Memandang suaminya yang masih lagi lena. Dedar kepanasannya turun sedikit. Keluarga mentuanya bersembahyang dibilik sebelah. Haikal terjaga apabila ada tangan yang melekat dikepalanya. Dia tersenyum bila Sara ada disisinya. Terasa melayang sekejap kesakitannya.

“Maaf. Sara buat abang terkejut,” bisik Sara yang menyedari kesalahannya.

“Tak apalah. Lama ke abang tidur tadi?” soal Haikal sambil bangun. Dia bersandar dikepala katil.
“Lama juga. Sara ada masakkan bubur. Abang nak makan ke?” soal Sara pula.

“Tak mahulah. Tak ada selera. Mulut rasa pahitlah.”

“Tak makan banyak, sikitpun jadilah. Nanti sakit perut pulak. Dah la demam ditambah dengan sakit perut kan ke bertambah teruk nanti. Sara ambilkan sikit ye. Penat Sara masak,” pujuk Sara. Haikal menganggukkan kepalanya. Tidak sanggup menghampakan Sara yang bersusah payah kerananya. Biarlah.

Sara keluar untuk kedapur. Sebentar tadi sempat juga dia berpesan pada Leen agar menyiapkan makan malam dan menyuruh mereka makan dahulu. Ketika berjalan melintasi ruang dapur, keluarga mentuanya sedang menikmati hidangan makan malam.

“Makan sekali, Sara,” pelawa papanya.

“Papa dengan mama makanlah dulu. Abang Kal dah bangun. Dia nak makan. Sara nak suapkan dia dulu. Nanti Sara makan,” tolak Sara lembut. Dia segera menyenduk bubur nasi kedalam mangkuk dan membawanya kedalam bilik Haikal.

Didalam bilik Haikal pelik dengan perubahan biliknya. Dia termangu sebentar. Tapi kehadiran Sara menyebabkan lamunannya terhenti.

“Abang jangan salah sangka pulak. Keluarga abang ada diluar. Sebelum mereka sampai, Sara alihkan sedikit baju-baju Sara dalam bilik abang. Nanti mama dengan papa perasan, susah pulak kita nak bersoal jawab. Bila abang dah baik demam nanti, Sara pindahkan semula,” beritahu Sara seolah-olah menyedari apa yang sedang berlegar didalam kepala suaminya.

“Tak payah pindahkan pun tak apa. Abang lagi suka,” lancar kata-kata Haikal. Sara buat-buat tak faham dan tak dengar. Mungkin demam panas ni membuatkan kepala Haikal tak betul sikit kot. Gumam Sara didalam hati.

Dia segera menyuapkan Haikal dengan bubur nasi yang berada ditangannya. Kalau dilayan kata-kata Haikal nanti lain pula jadinya. Sejak akhir-akhir ini lain benar perangai suaminya. Cuma dia sahaja yang tidak mahu ambil kisah.

“Sara, pergilah makan. Nanti dah sejuk tak sedap. Biarlah Mama yang suapkan Haikal.” Tiba-tiba terdengar suara Datin Halimah dibelakangnya. Sara menoleh. Datuk Hisham juga berada disitu. Sara berkalih tempat duduk. Dia memberi ruang kepada Datin Halimah untuk duduk dibirai katil. Dia naik diatas katil dan duduk bersebelahan dengan Haikal terus menyuap Haikal makan.
“Tak apalah mama. Tinggal sedikit aje lagi. Nanti Sara makanlah. Mama janganlah bimbangkan Sara,” tolak Sara sekali lagi. Lembut.

“Kenapa yang tiba-tiba demam ni?” soal Datin Halimah pada Haikal.

“Apalah Mama ni. Takkan tak boleh jatuh sakit kot?” soal Haikal kembali.

“Tak adalah. Angin tak ada ribut tak ada, tiba-tiba demam. Ada apa-apa ke?” soal Datin Halimah penuh makna tersirat. Dia menoleh memandang suaminya sambil tersenyum. Muka Sara merona merah. Dia tahu apa maksud mamanya.

“Ada ‘apa-apa’ apa, mama? Tak fahamlah,” soal Haikal pura-pura kurang mengerti maksud mamanya. Dia menoleh memandang Sara yang sudah tertunduk pura-pura tidak mendengar.

“Tak adalah. Dah kahwin enam bulan, takkan tak ada apa-apa kot? Manalah tahu kalau suami yang alah pula. Bukannya benda pelikpun. Mama juga yang seronok dapat cucu,” ujar Datin Halimah menghuraikan maksud kata-katanya.

“Apalah Mama ni. Kesitu pulak. Lain tak ada yang Mama fikirkan. Lambat lagilah Mama. Biarlah kami puas-puas honeymoon dulu. Mama pulak yang tak sabar,” balas Haikal.

“Mama dah teringin sangatlah tu Kal,” sahut papanya dari belakang.

“Sabar Mama. Tak lari gunung dikejar,” ujar Haikal lagi.

“Habis tu, Kal balik tadi macamana?” soal Datuk Hisham mengubah topik perbualan.

“Dengan Sara,” jawab Haikal pendek. Sara terus menyuap Haikal dengan bubur nasi. Dia hanya diam mendengar.

“Dengan Sara?”

“Ya Papa. Sara ada mesyuarat dekat-dekat sana. Jadi launch tadi dengan abang. Nasib baik dah janji balik sama. Kalau tidak tak tahulah Sara macamana abang nak drive kereta. Tengah jalan tadipun abang dah pening kepala,” beritahu Sara. Datuk Hisham dan Datin Halimah menganggukkan kepalanya. Sejuk hati mereka melihat layanan yang ditunjukkan oleh menantu mereka.

1 comment:

  1. sila keluarkan kesemua siri tiada noktah cinta dari blog ini kerana ianya telah dibukukan dan didaftarkan sebagai hakcipta penulis dan syarikat penerbitan. sekiranya sesiapa yang ingin membaca novel ini, sila dapatkan dipasaran, novel Tiada Noktah Cinta ternitan Creative Enterprise dan penulisnya ialah Shahzyhana.

    ReplyDelete