Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 51

Malam itu demam Haikal bertambah teruk. Suhu badannya naik mendadak. Hati Sara dipagut kebimbangan. Satu malam dia berjaga apabila Haikal asyik meracau. Hajat dihati untuk menjamah sedikit makanan tidak jadi apabila Haikal terjatuh dalam bilik air. Nasib baik keluarga mentuanya bermalam dirumahnya. Kalau tidak susah juga.

Azan subuh menyedarkan Sara dari lenanya. Lebih kurang pukul 4.30 pagi baru dia terlena bersebelahan Haikal. Dia bergerak perlahan. Takut kalau-kalau Haikal terjaga. Namun apabila matanya terbuka dia mendapati Haikal telah duduk dibirai katil. Cepat-cepat dia bangun.

“Abang nak kemana?” soalnya.

“Tidurlah. Abang nak ke bilik air sekejap,” jawab Haikal sambil bangun. Sara segera memapah suaminya.

“Tak apa. Abang boleh berjalan sendiri,” tolak Haikal.

“Tak apa. Sara pimpin abang. Nanti jatuh lagi macam malam tadi,” tegas Sara. Dia bimbang kerana malam tadi Haikal jatuh bilik air sebaik sahaja dia ingin menyuap nasi kedalam mulutnya. Langsung dia tiada selera untuk makan malam itu. Dia sentiasa disisi Haikal. Bimbang hatinya.

“Abang tidurlah semula,” ujar Sara setelah Haikal duduk semula diatas katil.

“Sara nak kemana?”

“Sara nak sembahyang. Lepas tu nak siapkan sarapan. Mama dengan papa tidur disini malam tadi. Nanti diaorang nak makan apa,” beritahu Sara.

“Tak payahlah. Nanti Leen boleh buatkan. Sara berehatlah. Awal lagi ni. Satu malam Sara tak tidur,” larang Haikal. Namun Sara berdegil. Setelah menyelimutkan Haikal dia keluar membersihkan diri.

Pagi itu Sara telah memberitahu setiausahanya yang dia akan bercuti kecemasan. Suaminya kurang sihat.

“Mama dengan papa makanlah dulu. Sara nak bagi abang makan dulu. Lepas tu bolehlah makan ubat yang Doktor Othman bagi tu,” beritahu Sara.

“Biarlah Leen yang bawakan. Lagipun Haikal dah sihat sikit. Dari malam tadi Sara tak makan,” bantah Mamanya.

“Tak apalah Mama. Semua makanlah dulu ya.” Sara segera berlalu. Datuk Hisham menggelengkan kepalanya. Terharu dengan sikap menantunya terhadap anaknya. Untung Haikal. Tak salah aku memilih dirinya nya. Detik hati datuk Hisham.

Sara menyuapkan Haikal makan sarapan pagi itu. Haikal senang dimanjai begitu. Dia rasa bahagia. Tak pernah dia dilayan begini oleh seorang wanita. Hatinya berbunga indah. Dia amat berterima kasih pada demamnya. Walaupun sakit tapi dia bahagia apabila mendapat layanan yang terbaik dari Sara.

“Sara pergilah makan. Nanti Sara sakit lagi susah. Yang sakit tentulah sakit. Yang sihat ni jagalah kesihatan. Dari semalam Sara tak makan,” ujar mamanya yang sudah mengambil makanan dari tangannya lalu disuapkan kemulut Haikal.

“Kenapa Sara tak makan?” soal Haikal terkejut dengan penjelasan Mamanya. Sara diam sahaja.

“Macamana dia nak makan. Belum pun sempat dia nak menyuap nasi kemulut, kau dah jatuh. Baru angkat punggung kau dah meracau yang bukan-bukan. Dia tak boleh bergerak langsung. Tangan dia kau asyik pegang. Macamana dia nak bergerak. Dah lah satu malam tak tidur. Nanti dia pulak yang sakit.” Haikal bertambah terkejut dengan kata-kata mamanya. Kasihan melihat isterinya yang selama ini telah dipersiakan. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali dia sanggup berkorban.

“Tak apalah Mama. Bukannya susah pun. Sara dah biasa. Bukannya selalu abang Kal sakit. Lagipun Sara tak pergi kerja hari ni. Bolehlah Sara berehat kemudian,” ujar Sara.

“Tak apa. Mama boleh tolong tengokkan Haikal. Kalau Sara ada kerja yang penting, pergilah kepejabat.”

“Betul tu, Sara. Abang rasa dah okey sikit. Sara pergilah bekerja,” sokong Haikal pula.

“Semalampun abang kata macam tu juga. Tapi malamnya sampai jatuh bilik air. Tak apa. Sara dah call pejabat tadi katakan Sara ambil EL hari ni. Abang jangan bimbanglah. Tahulah Sara uruskannya,” balas Sara pula. Kemudian dia keluar untuk bersarapan.

Haikal gembira kerana sepanjang dia demam Sara sentiasa disisinya. Dia ditatang bagaikan minyak yang penuh. Haikal betul-betul senang hati. Kini dia yakin bahawa wajah isterinya dapat mengusir bayangan Sherry yang selama ini menghantui dirinya. Dia yakin kini bahawa dia telah jatuh cinta. Benar-benar jatuh cinta. Dia akan mengambil peluang yang ada untuk menawan kembali hati isterinya yang telah lama terluka. Dia berazam.

Sara semakin senang hati kini. Sikap dan sifat yang ditunjukkan Haikal amat menyenangkannya sebaik. Dia akui bukan mudah untuk melalui kehidupan yang sebegini. Tapi, atas rasa tanggungjawab dan saling memahami, alhamdulillah mereka dapat laluinya juga. Meraka kini lebih akrab setelah memahami diri masing-masing. Mereka boleh bergelak ketawa bersama dan berbicara mengenai isu-isu semasa laksana sepasang teman akrab.

Tapi kini Sara mendapati lain benar perangai suaminya. Lebih-lebih lagi setelah pulih dari demamnya. Apakah yang sudah melanda dirinya? Kalau dulu Haikal sering menantinya dirumah tapi kini bukan setakat menanti sahaja. Dia dengan senang hati membantu kerja-kerja rumah. Alasannya mereka berdua sama-sama bekerja. Tutur kata dan layanannya juga berlainan. Kadangkala kata-kata suaminya juga begitu lembut dan romantis sehingga meremang bulu romanya. Sara hairan namun dia tidak mengendahkannya.

No comments:

Post a Comment