Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 5

Sarimah bangun ketika azan subuh berkumandang membelah kedinginan fajar yang mula menyinsing. Sara masih lena dipembaringannya. Dia tidak mahu mengejutkan anaknya itu. Biarlah Sara berehat dari apa yang telah dia alaminya semalam. Sememangnya dia tidak mahu apa-apa terjadi pada Sara tetapi Sara juga harus belajar sesuatu dari pengalaman hidup agar dapat mematangkannya dalam mengharungi kehidupannya.

Dia tahu dia terlalu memanjakan Sara tetapi dia sering memberitahu Sara tidak semua masalah yang akan dihadapinya akan dapat diselesaikan olehnya. Pada suatu masa dan ketika, Sara harus berdepan dengan masalahnya sendiri. Dia harus matang. Dia hanyalah guru yang akan membimbing agar landasan hidup anaknya tidak terpesong dari landasan yang sebenar. Dia tersenyum lagi.

Setelah selesai menunaikan kewajipannya pada yang ESA, dia bergegas kedapur menyediakan sarapan untuk tetamunya. Laksana lipas kudung dia kesana kemari menyediakan nasi goreng kampung untuk hidangan mereka pagi itu. Zainab yang tidur dirumahnya juga sibuk menolong.

“Sara tak bangun lagi Kak?” tanya Zainab memecah kesunyian antara mereka. Sharul yang duduk dimeja makan yang terdapat didapur mencelah.

“Ala Mak Lang. Ibu tentu tak kejutkan kakak. Mak Lang bukannya tak tahu, ibu tu selalu manjakan kakak. Macamlah kakak seorang aje anak ibu. Bila kakak merajuk, anak ibu yang lain mesti ibu lupakan,” ujar Shahrul dalam nada merajuk dan cemburu. Sebenarnya dia sengaja ingin mengusik ibunya. Dia tahu ibunya amat menyayangi mereka adik-beradik cuma kasih sayang ibunya lebih sikit pada kakaknya. Maklumlah anak perempuan. Tapi, bagus juga kerana ibunya mengajar mereka berdikari sedari kecil lagi. Lihatlah pada abang Shamsul dan Saiful. Mereka dapat menyesuaikan diri walaupun dimana mereka berada. Tak pernah sekalipun menyusahkan ibu dengan perkara-perkara remeh.

Mendengar kata-kata anak bongsunya, Sarimah membuntangkan matanya. Terkejut dia. Shahrul tersengih melihat reaksi ibunya. “Apa Sharul cakap? Ibu tak sayang pada anak-anak ibu yang lain?” tanya Sarimah dengan suara yang agak tinggi. Ketawa Sharul meletus juga. Zainab tersenyum sahaja melihat gelagat dua beranak itu.

“Ibu sayang semua anak ibu tau. Tak pernah ibu nak bezakan anak-anak ibu. Cuma kak Sara ada masalah. Shahrul kena faham tu,” Sarimah membela dirinya.

“Ala...... kalau tak ada masalahpun, ibu memang macam tu. Suka manjakan kakak tu berlebihan,” balas Shahrul lagi. Sengaja membakar kemarahan ibunya. Akhirnya Sarimah duduk dihadapan Sharul dimeja makan itu. Memandang tepat kewajah anak bongsunya itu meminta penjelasan. Biasalah macam seorang guru menyoal anak muridnya. Sharul masih lagi tersenyum.

“Okey, ibu tanya ni. Adikpun ada masalah ke?” Akhirnya panggilan manja itu kedengaran juga. Tangannya segera menggenggam tangan anaknya itu. Shahrul membalas gengggaman ibunya.

“Ibu ni sensitif sangatlah. Macam kak Sara juga. Adik bergurau je. Nak tengok ibu marah. Ibu ni kan ke jarang sekali nak marah. Sekali sekala ibu marah apa salahnya. Best juga.” Jawapan Shahrul itu membuatkan Zainab tertawa besar. Sarimah merenung tajam anak bujangnya itu. Tidak mempercayainya kata-kata anaknya itu.

“Adik ada masalah diasrama ke? Ataupun adik kena buli dengan kawan-kawan? Maklumlah sekarang ni disiplin pelajar dah kurang. Sampai ada yang sanggup membunuh kerana sesuatu yang tak munasabah. Tak tahulah nak salahkan sesiapa. Rasa tanggungjawab tu dah semakin menipis baik dikalangan ibubapa ataupun pelajar itu sendiri. Semua perkara diambil mudah,” syarah Sarimah. Tugasnya sebagai guru kaunseling disalah sebuah sekolah menengah dikawasan itu menyebabkan dia memahami apa yang dialami oleh anak-anak murid sekarang. Mungkin Shahrulpun menghadapi situasi sebegitu.

“Memang patutlah ibu jadi guru kaunseling. Dapat detect masalah orang. Tapi bu, dekat sekolah adik tu, alhamdulillah. Tak berlakupun benda-benda macam tu. Kalau adapun sikit aje. Cikgu-cikgu disekolah itu asyik pantau aje. Diaorang tak mahu rekod sekolah dicemari. Ibu jangan risaulah. Yang tadi tu, saja aje adik sakat ibu. Adik risau kalau-kalau ibupun macam kak Sara. Monyok aje. Tak bestlah macam ni. Kan Mak Lang?” ujar Sharul sambil meminta ibu saudaranya itu menyokongnya.

“Betul ni?”
“Betullah, bu. Ibu...... cepatlah sikit. Dah kebulur ni. Berbunyi lagu dangdut dah ni. Bila boleh makan?” Rengek Shahrul mengubah topik perbualan mereka. Dia tidak mahu topik itu menjadi terus hangat. Dia juga tidak mahu menambahkan lagi kebimbangan ibunya.

“Ya lah. Dah siap sebenarnya. Tolong ibu aturkan dimeja depan tu. Tentu diaorang pun dah lapar. Ni semua adik punya pasallah. Buat spoil pagi-pagi,” rungut Sarimah. Zainab dan Shahrul tertawa sambil melangkah keruang makan yang terletak ditengah rumah.

Mereka menikmati hidangan pagi itu dengan meriah. Pelbagai cerita terkeluar. Shahrul yang pada mulanya malu-malu akhirnya dapat bergaul mesra dengan mereka. Hanif yang paling teruk dikenakan. Maklumlah bakal jadi pengantin baru. Namun dia seronok. Sekurang-kurangnya debaran untuk melafazkan akad nikah nanti dapat dikurangkan.

Sedang mereka menikmati sarapn pagi, derapan kaki yang melangkah mematikan suapan mereka. Sarimah mendongak. Begitu juga tetamunya yang lain.

“Minum sekali Sara,” pelawa Datin Halimah apabila Sara menghampiri mereka. Dia menyedari sejak semalam mata Datin Halimah langsung tidak berganjak memandangnya dengan maksud yang tersirat. Biarkanlah. Dia tersenyum sambil melabuhkan punggung disebelah ibunya.

“Sara nak makan?” soal ibunya. Sara mengganguk kepalanya. Tanpa banyak soal mereka meneruskan menikmati sarapan pagi yang lazat itu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku semalam. Sara juga menyedari selain mata tua itu ada juga sepasang mata lain yang memandangnya dengan satu pandangan yang sukar dimengertikan. Tapi mengapa? Hatinya menyoal sendiri.




No comments:

Post a Comment