Friday, March 5, 2010

tiada Noktah Cinta - 48

Diruang penyambut tetamu, datang seorang tetamu yang tidak disangka-sangka.

“Assalamualaikum..... boleh saya berjumpa dengan Encik Haikal.” Kedengaran tetamu itu memberikan salamnya pada Zakiah, penyambut tetamu Hisham Holding. Ketika itu dia sudah bersedia untuk keluar makan tengahari bersama rakan yang lain yang sedang menunggunya.

“Waalaikumsalam........... Cik ni siapa? Saya rasa Encik Haikal sudah keluar makan tengahari. Kalau Cik nak jumpa dia, datang lepas launch nanti,” jawab Zakiah penuh sopan.

“Kalau macam tu tak apalah. Terima kasih ya.” Balas Sara dengan wajah yang sedikit hampa. Hajat dihatinya ingin makan tengahari bersama suaminya kerana dia ada mesyuarat berhampiran dengan Hisham Holding. Semenjak dia bertukar kerja baru mereka tidak pernah makan tengahari bersama kecuali hari cuti. Masing-masing sentiasa sibuk. Sara berpaling untuk melangkah semula. Serentak itu Haikal keluar dari lif menuju ke ruang peyambut tetamu.

“Encik Haikal......., saya ingatkan dah keluar. Cik ni nak berjumpa dengan encik,” beritahu Zakiah apabila ternampak Haikal melintasinya. Haikal, Johari dan Julia terkejut dengan kedatangan tetamu yang tidak diduga. Begitu juga dengan beberapa staff yang ada dibelakang mereka. Haikal memandang tajam pada Zakiah. Masakan dia tidak mengenali isterinya.

“Sara?! Apa Sara buat disini?” soal Haikal. “Zakiah, ini isteri saya,” beritahu Haikal tegas. Sedikit terkilan kerana kakitangannya sendiri tidak mengenali isterinya. Zakiah menundukkan mukanya tanda bersalah kerana tidak mengenali isteri bosnya. Kecut perutnya.

“Tak apalah. Tak payah nak marah-marah. Lagipun dia tak berapa kenal Sara,” pujuk Sara segera yang menyedari situasi sebenar. Dia tak mahu benda yang pendek menjadi panjang. Dia bukannya tak tahu yang Haikal terkenal dengan sifat panas barannya. Nasib baik sepanjang perkahwinan mereka Haikal tak pernah lagi buat perangainya. Syukur alhamdulillah..

“Apa Sara buat dekat sini?” soal Haikal semula. Lembut. Dia memandang wajah isterinya. Wajah yang sedang dirinduinya saban hari setiap detik waktu.

“Sara ada meeting dekat-dekat sini. Tak lalu la nak makan dihotel tu. Jadi Sara teringatkan abang. Itu yang Sara datang sini. Ingatkan nak ajak launch sama kalau abang tak ada appointment lain,” beritahu Sara maksud kedatangannya.

“Abang tak ada appointment, cuma janji dengan Joe,” jawab Haikal. Sara memandang Johari dan staff lain yang memerhatikan mereka berdua.

“Tak apalah kalau macam tu. Sara boleh makan sendiri,” balas Sara ingin melangkah semula. Tiba-tiba ada tangan yang meyambar tangannya. Dia tergamam dan langkahnya segera mati.

“Tak apa. Joe tak kisah kalau Sara ada sama,” tingkah Haikal pula sambil memandang sahabatnya. Johari yang menyedari situasi itu segera menyampuk.

“Tak apalah. Kau pergilah dengan Sara. Aku makan dengan diaorang ni semua. Bukannya tak biasa. Kau pergilah. Jangan risaukan aku,” tolak Johari sambil tersenyum pada Sara.

“Eh, kalau macam tu, come and join us. Tak apa I tak kisah. Lagi ramai lagi berselera mungkin,” pelawa Sara. Tangannya masih erat dalam genggaman suaminya. Eh, dia ni tak nak lepaskan tangan aku ke. Gumam hatinya.

“Tak apalah. You all pergilah. Lagipun dari pagi tadi muka dia ni macam muka sardin basi aje. Monyok semacam. Apa yang tak kena dengan dia, tak tahulah. Nanti cubalah you tanya pada dia. Mungkin dia nak cakap dengan you kot,” selamba sahaja Johari menuturkan kata. Haikal terkejut dengan kata-kata sahabatnya dan wajah Johari dipandang geram. Sara memandang tepat muka Haikal.

“Abang tak sihat ke? Pagi tadi elok aje,” soal Sara terkejut.

“Sara jangan percaya cakap dia ni. Dia ni memang macam ni. Lebih sudu dari kuah. Don’t believe it, okey? Kalau dia tak mahu ikut tak apalah. Jom kita pergi. Menyibuk aje.” Haikal menarik tangan Sara sebelum sempat dia bertanya lanjut pada Johari. Sempat juga Haikal menunjuk penumbuknya pada Johari. Johari menyambutnya dengan ketawa.

“Cantikkan isteri Encik Haikal tu. Senyumannya aje dah buat hati tertawan. Manis betul. Muka dia macam ‘pan-asian’ sikit,” ulas Julia. “Macamanalah you boleh tak kenal dengan dia, Kiah? You tak pernah tengok dia ke? You pergi tak masa diaorang kahwin dulu?” soalnya lagi.

“Pergi, kak Jue. Tapi, masa tu lainlah, penuh mekap. Tempek sana tempek sini. Yang ni cantik asli. Tak payah mekappun tak apa. Lembut muka dia. Sejuk mata memandang. Itu yang tak kenal tu,” komen Zakiah pula. Memuji diri Sara.

“Patutlah bos kau semenjak dua menjak ni lain ye, Jue. Dah jadi ‘mellow’ sikit. Angin puting beliung dah tak melanda. Mendungpun tak ada. Awan berarak perlahan. Sejuk dan nyaman je,” celah Rita pula. Semua yang ada disitu tertawa mendengar ulasan Rita mengenai ‘big bos’ mereka. Julia mengakui kata-kata Rita dalam diam. Kadangkala seseorang itu boleh berubah sekelip mata. Haikal juga begitu. Dia kini pandai mengawal perasaannya dan sudah boleh bertolak ansur.

Sara dan Haikal makan disalah sebuah restoran yang ada disekitar situ. Mereka malas untuk pergi jauh-jauh kerana Sara terpaksa kesana semula. Suasana sepi menghiasi suasana antara mereka. Ada sesuatu yang sedang berlegar-legar didalam kepala Sara.

“Apa yang Sara nak tanya abang, tanyalah. Tak payahlah kuis-kuis aje makanan tu. Tak baik buat makanan macam tu,” tegur Haikal seolah-olah mengerti apa yang sedang berlegar didalam kepala Sara.

“Tak ada apa-apa. Cuma nak tahu abang tak sihat ke? Kenapa Joe cakap macam tu tadi? Pelik pulak rasanya,” aju Sara mengenai persoalan yang sedang bermain dibenak fikirannya.

“Jangan percaya cakap dia. Kan ke abang dah bagitahu pada Sara tadi. Dia tu kadangkala mengalahkan perempuan. Pot-pet, pot-pet. Mengalahkan mak nenek. Berleter. Kalah mama kalau Sara tak percaya,” beritahu Haikal dalam nada bergurau. Cuba memesongkan jawapan agar Sara tidak lagi terus bertanyakan soalan yang sama. Sara tertawa mendengar kata-kata suaminya.

“Tak baiklah kata kawan sendiri. Berdosa tau. Biarlah. Ada juga orang jaga abang dipejabat. Tak lah Sara risau sangat,” balas Sara.

“Kenapa pulak Sara nak risau? Takut abang cari perempuan ye?’ soal Haikal sekadar menguji.

“Kalau yang tu, Sara tak kisah. Abang layak beristeri dua. Abang mampu segalanya. Sara akan izinkan tapi dengan syarat lepaskan Sara dulu. Lagipun kita bersama sebab orang tua kita. Sara risau kalau-kalau abang tak sihat. Itu saje. Tak ada niat nak curigai abang,” luah Sara. Haikal tahu dia telah mengguris hati isterinya.

“Maafkan abang. Abang tak bermaksud nak cakap macam tu pada Sara. Jangan salah faham. Abang minta maaf,” ujar Haikal dengan nada kesal.

“Tak apa, bang. Sara tak ambil hatipun. Tapi, selagi Sara jadi isteri abang, Sara nak buat yang terbaik untuk abang. Sara nak kalau satu hari nanti kita tak ada jodoh, kita tetap jadi kawan baik. Sara nak abang kenangkan Sara yang baik-baik aje,” luah Sara lagi. Haikal menggenggam tangan Sara. Mengambil sedikit kekuatan disitu.
“Insya ALLAH. Jodoh kita kuat. Abang akan berusaha Sara. Abang tengah berusaha sekarang ni. Percayalah,” luah Haikal pula.

Dia tahu kini hatinya telah jatuh cinta buat kali kedua. Kali ini dengan isterinya sendiri. Sungguh besar nikmat yang diberi ALLAH. Dia tidak menolak kenyataan tersebut cuma malu untuk berterus terang. Rasa bersalah dengan apa yang telah terjadi masih membelenggu dirinya. Dia cuma berharap agar Sara mengerti perasaannya yang ditunjuk dalam diam.

Sara diam sahaja mendengar kata-kata suaminya. Dia tidak mahu memberi harapan lagi setelah harapan yang dimpikan berkecai ditengah jalan. Dia takut untuk bermain dengan gelombang sekali lagi. Dia takut akan terus hanyut dan lemas dengan perasaan yang sentiasa bergelora ini. Dia takut karam lagi sebelum sampai kepelabuhan impiannya. Disaat itu pasti dia akan terus tenggelam bersama bahtera yang telah karam.

Mereka meneruskan makan sambil melayani perasaan masing-masing. Sara malas untuk mempertahankan kata-kata Haikal. Biarlah masa yang menentukan segalanya. Dia tidak mahu untuk menaruh harapan dan kepercayaan lagi.

No comments:

Post a Comment