Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 45

Haikal berpindah semula kerumah keluarganya semasa ketiadaan Sara. Dia tahu segala yang terjadi berpunca darinya. Dia mengerti hati isterinya terluka. Isteri manapun didunia ini pasti akan menangisi nasib diri mereka. Mana ada seorang isteri yang sanggup mendengar bahawa suaminya merindui orang lain apatah lagi diawal perkahwinan mereka.

Haikal cuba beberapa kali menghubungi Sara dirumah ibunya. Dan sebanyak itulah Sara cuba mengelak dari bercakap dengannya. Cuma hanya sekali. Sara minta jangan diganggu. Biar dia tenang semula disini dan memikirkan kembali apa yang harus dia buat. Sara akan mengambil keputusan muktamad. Bersama atau berpisah.

Haikal terkejut dengan kenyataan Sara. Tapi apa dayanya untuk menghalang. Memang Sara berhak untuk menentukan nasib dirinya. Cuma Haikal semakin takut menghadapi hakikat sebenarnya.



Andai keputusan Sara adalah untuk hidup bersamaku, sekurang-kurangnya masalah dengan keluargaku dan keluarganya akan selesai serba sedikit. Aku tidak perlu memberi penjelasan atas apa yang terjadi. Tapi, bagaimana kami akan menghadapi kehidupan kami berdua nanti? Adakah membawa haluan masing-masing atau sebaliknya? Akan lenyapkah layanan dan kasih sayang yang sudah dicurahkan oleh Sara pada diriku? Ah............. terlalu jauh aku rupanya mengharapkan kehadiran Sara? Tapi mengapa? Adakah hatiku ini telah menyedari kehadirannya dan cuba untuk membina cinta bersamanya?

Tetapi, seandainya keputusan Sara untuk berpisah, akan bertambahlah kerumitannya. Semakin tertekan jiwanya. Pasti semua orang akan berpihak pada Sara dan berterusan menyalahkan dirinya. Aku punyai sebab mengapa aku masih belum boleh menerimanya sepenuh hati. Aku tidak mahu dia terus kecewa. Aku tidak mahu terus menyiksa zahir dan jiwanya. Biarlah aku berusaha dulu. Andai ini suratan ILAHI, aku akan menerimanya.

Haikal terus bertafakur didalam biliknya. Diapandang sekeliling. Sunyi dan sepi menemani kala itu. Jiwanya semakin kosong. Dia merebahkan dirinya diatas katil. Terpandang wajah ayu Sara di meja sisi katil sewaktu majlis perkahwinan mereka.

Haikal tersenyum sambil menatap wajah itu. Wajah yang penuh dengan keayuan dan manis. Sejuk mata memandang. Kadangkala bila mata mereka bertentangan, ada perasaan lain bergetar dalam jiwanya. Ada ketika dia seakan merindui wajah itu. Tapi, dia terpaksa menidakkan kerana rasa bersalah yang masih membelenggunya hingga saat ini.

Wajah Sherry pula yang tergambar dilayar fikirannya. Perasaan bersalah semakin mencengkan jiwanya. Bersalah atas pemergian Sherry yang membawa hatinya yang terluka. Dialah punca segalanya. Membuat keputusan terburu-buru tanpa menunggu penjelasan darinya. Andai dia tidak begitu sudah pasti semua ini tidak terjadi. Penderitaan pada dua orang wanita yang hadir dalam hidupnya. Haikal mengeluh.

Penantian Haikal berakhir apabila mendapat telefon dari Sara awal pagi Ahad. Dia gembira dan tidak sabar menanti kepulangan Sara. Akhirnya Sara telah memberikan kata putus dan harapan kembali menyinar. Tiap detik diarasakan terlalu lambat berlalu.

“Sara bertolak pukul berapa?” soal mamanya setelah dia melabuhkan punggungnya disisi Haikal.

“Lepas makan tengahari, mama. Tu banyak ibu kirimkan barang untuk mama. Nanti Sara keluarkan,” balas Sara lembut. Matanya melirik pada suaminya yang terdiam disisinya.

Setelah seminggu berlalu akhirnya kata putus terpaksa diambil walaupun hati dan perasaannya akan terus menderita. Dia akan mencuba dan terus mencuba. Dia yakin dengan keputusan yang diambilnya setelah memohon petunjuk ALLAH. Dia beristikharah. Kepulangannya ke Kuala Lumpur sudah dimaklumkan kepada Haikal. Dan dia telah menyuruhnya terus kerumah mentuanya kerana dia ada disana. Seperti biasa walaupun ada yang telah terjadi dalam rumahtangganya namun layanan dan penghormatan keluarga mentuanya terhadapnya masih seperti dulu. Mesra. Tiada satu cacat cela.

“Nantilah dulu. Biar Sara berehat. Tentu penat drive. Jauh tu. Nanti sebelum balik makan malam dulu disini,” usul mamanya lagi.

“Tidur sini ajelah, Mama. Malaslah nak kemaskan baju-baju tu. Esok ajelah baru balik,” balas Haikal. Sara terperanjat.

“Kenapa pulak nak kemas baju? Abang tidur disini ke?” soal Sara ingin tahu.

“Balik rumah rumahpun nak buat apa? Bukannya ada sesiapa? Jadi abang balik tidur rumah sini. Senang sikit. Malam ni kita bermalam disinilah. Esok aje kita balik. Taklah kelam kabut sangat. Sara kerja ke esok?” soal Haikal. Sara terkedu. Tidur sini? Satu bilik dengan dia? Ya ALLAH...... macamana nak buat ni? Sara mengelabah.

“Sara kerja tak esok? Ada baju spare tak?” soal Haikal lagi apabila tidak mendapat reaksi daripada isterinya yang hanyut tiba-tiba.

“Kerja, kerja. Baju ada didalam beg,” jawab Sara gugup. Dia memandang tepat wajah suaminya meminta lebih panjang penjelasan. Namun Haikal buat muka selamba.

“Dah lah tu. Dah nak maghrib ni. Jom kita masuk dulu. Bolehlah kita sembahyang berjemaah malam ni. Ryll, ambilkan barang-barang dalam boot kereta Kak Sara tu,” arah Datuk Hisham pada Hasryll. Sara menyerahkan kunci keretanya pada adik iparnya. Dan mereka yang lain terus masuk kedalam rumah untuk menghambakan diri kepada ALLAH seperti tuntutanNYA.

Didalam bilik, Sara masih lagi gelisah. Hatinya semakin tak keruan. Gementar dan kacau bilau. Dia semakin takut dengan keadaan sekarang. Bagaimana dia hendak menghadapi suaminya setelah apa yang telah terjadi. Dia berjalan mundar-mandir. Dia masih menanti kehadiran suaminya untuk menjelaskan sesuatu. Sedang dia menanti, tiba-tiba pintu bilik itu terkuak dari luar. Dia menoleh.

“Kenapa tak siap lagi. Hari ni kita sembahyang berjemaah. Papa dengan yang lain dah ada dibilik sembahyang. Sara turunlah nanti,” arah Haikal apabila melihat isterinya masih belum bersedia untuk bersolat. Sara memandangnya tajam.

“Abang pergilah dulu. Sara tak boleh bersembahyang hari ni. Janganlah tunggu Sara,” jawab Sara malu-malu. Setelah mendengar jawapan Sara Haikal keluar semula. Dia faham ‘masalah wanita’ setiap bulan.

Sara masih berteleku didalam bilik walaupun sudah siap membersihkan dirinya. Dia masih duduk dibirai katil. Dari tadi dia tidak keluar dari bilik itu. Pintu bilik terkuak sekali lagi. Suaminya masuk dan duduk bersebelahan dengannya. Hatinya semakin menggigil. Tidak pernah mereka berdua begini. Peluh dingin mengalir laju didalam bilik yang berhawa dingin ini.Dia merasakan keadaan sekeliling panas membahang.

“Abang tahu Sara terkejut bila abang minta kita tidur disini. Abang juga tahu apa yang ada dalam kepala Sara tu. Jangan risau. Abang takkan buat apa-apa dengan Sara. Lagipun kan Sara ‘full moon’, mana boleh sentuh,” gurau Haikal untuk meredakan perasaan Sara. Dia dapat merasakan Sara tidak selesa. Kalau tidak masakan dari tadi Sara diam sahaja. Muka Sara merah padam mendengar kata-kata suaminya. Dia malu. Sara mengigit bibirnya.

Seingatnya Haikal tidak pernah bergurau dengannya semenjak mereka mendirikan rumahtangga. Adakah Haikal sudah berubah atau Haikal sedang cuba untuk menebus rasa bersalahnya? Atau Haikal cuba untuk membina rumahtangga mereka yang hampir runtuh ini seperti mana janjinya pada malam keramat itu? Hati Sara berkata-kata.

“Kalau Sara tak ‘full moon’ pun, abang takkan buat apa-apa dengan Sara. Abang takkan sentuh dan usik Sara tanpa kerelaan Sara sendiri. Biarlah kita belajar tentang diri masing-masing dulu. Abang hormati diri Sara. Abang tahu Sara tak bersedia dan abang juga takkan memaksa,” beritahu Haikal lagi. Sekurang-kurangnya kata-kata Haikal itu melegakan Sara saat itu.

“Maafkan Sara. Memang betul Sara tak bersedia lagi. Apatah lagi macam-macam perkara yang terjadi baru-baru ni. We must learn something first about us. Lagipun fikiran Sara masih lagi keliru. Sara nak kenali abang dulu walaupun bukan sepenuhnya. Tolong hormati diri Sara,” pinta Sara pula agar Haikal mengerti dan tidak berkecil hati. Dia tahu dia berdosa tapi apakan dayanya. Ada sesuatu yang menghalang untuk dia menunaikan fitrah sebagai seorang isteri.

“Insya Allah. Abang juga begitu. Kita pelu kenali diri kita dulu. Masih terlalu awal untuk menentukan segalanya. Dan ‘itu’ bukanlah jawapan kepada semua persoalan yang timbul. Abang mengerti, Sara,” balas Haikal sambil menggenggam erat tangan Sara. Sara terperanjat dengan tindakan spontan dari Haikal. Terasa seluruh badannya panas dan menggeletar. Namun dia mengawal perasaannya agar tidak terbabas dari landasannya. Dia harus menghalangnya agar hatinya tidak terus akan terkecewa.

“Tapi, tentang Sara nak bekerja tu…………….” ujar Haikal tiba-tiba. Dia tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Dia takut kata-katanya nanti akan menyinggung perasaan Sara. Sara terlalu sensitif. Setiap kata-katanya perlu berhati-hati dan terpaksa disusun agar maksudnya tidak lari dan difahami olehnya. Satu sifat isterinya yang baru dipelajari.

“Tolonglah bang. Sara perlukan kesibukan. Sara sunyi kalau duduk sorang-sorang dirumah tu. Sara harap abang faham. Sara janji akan menjaga diri Sara dan takkan susahkan abang. Sara tetap akan buat kerja rumah macam biasa. Abang jangan bimbang,” mohon Sara beralasan. Tanpa pengetahuan Haikal dia telah mendapat kerja disalah sebuah syarikat multinasional sebagai pengaturcara komputer. Dia ingin terus bekerja setelah mendapati rumahtangganya hambar.

“Hmmm........ Baiklah. Abang izinkan tapi ada syaratnya. Sara tak boleh balik lewat. Abang tak suka kalau abang balik kerja tiada sesiapa di rumah. Sara tak boleh keluar dengan lelaki kecuali abang. Dan lagi….” Haikal akhirnya mengalah. Dia faham situasi yang sedang dilalui oleh isterinya.

“Ada lagi? Itu bukannya satu tapi beribu? Abang jangan risaulah. Insya ALLAH, selagi abang yakin dengan Sara, Sara berjanji tidak akan mengkhianati diri abang. Sara sedar sebagai seorang isteri tempatnya disisi suami,” janji Sara.

Haikal tersenyum. Dia lega dengan penjelasan isterinya. Dia yakin dengan isterinya. Dia berharap agar satu hari nanti dia dapat menerima kehadiran Sara. Sedikit sebanyak dia akui dia bersyukur memilih Sara sebagai isteri. Dia mengakui Sara seorang cantik dan manis apatah lagi apabila membuka tudungnya. Pertama kali melihat Sara tanpa tudung membuatkan nafsunya bergelora. Dia hampir kalah dengan perasaannya sendiri. Biarlah, untuk sementara waktu ini mereka perlu belajar tentang diri masing-masing. Mengenali secara mendalam dan memahami antara satu sama lain.

“Abang bersyukur kerana kita masih boleh menerima keadaan masing-masing. Sara memahami situasi yang abang hadapi. Tidak seperti beberapa pasangan yang terus menghukum dan tidak dapat menerima dengan keaadan yang mereka hadapi. Insya ALLAH, abang akan berusaha untuk menyayangi Sara,” ujar Haikal bersungguh-sungguh. Dia amat berharap agar isterinya memahami kata-katanya. Sara terdiam sebelum menjawab kata-kata suaminya.

“Sara tidak berharap abang dapat menyayangi Sara. Kepulangan Sara ni pun kerana ibu, mama dan papa. Bukan kerana abang sepenuhnya. Sara sayang pada mereka. Sara tak mahu melihat mereka terluka. Sara percaya apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan kita juga. Biarlah Sara yang berkorban dan terkorban. Bukannya sebesar manapun apa yang Sara lakukan ini. Sara pasrah, bang,” kata-kata Sara membuatkan rasa Haikal terpukul. Rasa tersindir. Dia tahu Sara memperlinya. Namun apa yang dikatakan memang ada kebenarannya. Memang ketika ini Sara sedang membuat pengorbanan yang besar untuk dirinya. Menyelamatkan maruahnya sebagai seorang suami. Tak ternilai olehnya pengorbanan itu.

“Sara cuma minta abang menghormati Sara. Sara akan jaga rahsia ini untuk orang-orang sekeliling Sara. Abang jangan khuatir. Sara akan mainkan peranan Sara sebaik mungkin,” sambung Sara lagi.

“Abang akan belajar menyayangi Sara,” janji Haikal.

“Jangan cuba berjanji, bang. Sara tak mahu terus disakiti. Cukuplah sekali. Sara takut Sara akan tersungkur lagi. Biarlah keadaan yang menentukan nasib kita. Andai jodoh kita ada, kita akan bersama dan kalau sebaliknya Sara redha. Itu semua janji ALLAH. Sara tak mampu nak menghalangnya,” sungguh tajam kata-kata Sara. Haikal memandangnya tepat meminta pengertian akan kata-katanya.

“Biarlah begini. Sara redha. Selagi Sara boleh bertahan, Sara bertahan. Tapi semuanya terpulanglah kepada abang. Hak yang satu itu milik abang. Andai kata antara kita tak ada jodoh, sebagaimana abang ambil Sara pulangkanlah semula dengan cara baik. Itu saja. Sara akan berada disisi abang selagi abang perlukan Sara,” Haikal betul-betul terpukul kali ini. Dia terkesima. Lidahnya kelu untuk terus membalas kata-kata Sara.

No comments:

Post a Comment