Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 41

Seperti yang dirancangkan, dua minggu selepas perkahwinan mereka, Haikal dan Sara berpindah kerumah yang telah dihadiahkan kepada mereka berdua. Bermulalah episod kehidupan mereka berdua dialam rumahtangga. Sepanjang itu juga Sara dapat belajar sifat dan sikap suaminya yang sukar diduga. Kadangkala Sara dapat menyelami tasik hatinya. Kadangkala dia terkapai-kapai sendirian. Haikal seolah-olah sedang melarikan diri darinya. Apakah sebab dan puncanya? Persoalan yang masih lagi tiada jawapannya.

Dalam diam tak diam sudah dua bulan usia perkahwinan mereka. Sara masih lagi terbelenggu. Terbelenggu oleh sikap yang ditunjukkan Haikal. Kadangkala tertanya sendirian apakah kesalahan yang telah dia lakukan. Sehingga kehari ini dia masih setia menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Sara pelik dan makan hati.


Sehingga kehari ini suaminya masih mengasingkan diri darinya. Perbualan mereka juga boleh dikira dengan jari. Suaminya sering pulang lewat malam dan bertolak awal pagi seolah-olah sedang mengelak diri dari bersua antara mereka. Sara sering ditinggalkan sendirian. Nasib baik dia masih lagi menguruskan projek dengan syarikat lamanya. Jika tidak pasti hanya kesepian yang setia menemaninya. Jiwa Sara semakin tertekan.

Sara sering merenung nasib dirinya. Apakah kesalahan yang telah dia lakukan sehingga suaminya mengasingkan diri darinya. Dia sering tertanya-tanya sendiri. Apakah kekurangan dirinya? Kadangkala dia merasakan bagai dipenjarakan oleh Haikal. Dia sering kesunyian tanpa teman untuk berbicara. Rumahtangganya laksana indah diluar tapi penuh dengan kelukaan jika diselami. Ya ALLAH, apakah pula ujian kali ini? Soal hatinya. Kepada ALLAH sering dia mengadu nasib dirinya. Hanya padaNYA yang memahami apa yang sedang dia lalui. Apa yang sedang dia tanggung dan deritai.

Sara mengakui Haikal baik dan bertanggungjawab. Segala keperluannya disediakan. Tapi, bukan itu yang dicarinya. Dia inginkan sahabat yang mengisi kekosongan hatinya. Dia perlukan teman yang boleh mengubati luka hatinya. Dia perlukan kawan yang menemani saat sepinya. Dia perlukan suami yang mencintainya. Sara bertafakur diatas sejadah seperti malam-malam sebelumnya. Hanya ALLAH tempat dia meluahkan apa yang terpendam dalam jiwanya. Hanya ALLAH yang mengerti akan deritanya.

Kedengaran pintu dikuak dari luar. Sara tahu suaminya baru pulang dari pejabat. Dia memandang jam didinding biliknya. Sudah hampir jam sebelas setengah malam. Dia segera menanggalkan telekung dan keluar dari bilik.

Haikal terperanjat apabila melihat isterinya. Dia melemparkan senyuman apabila memandang Sara. Itulah Haikal. Tidak lokek dengan senyuman. Dan sesungguhnya senyuman itu adalah satu kelebihan yang ada pada dirinya. Sungguh menawan.

“Abang dah makan?” soal Sara lembut. Itulah panggilan yang Sara gunakan semenjak mereka berpindah. Haikal akui hatinya sejuk apabila Sara memanggilnya dengan panggilan itu. Tidak seperti sebelum ini apabila mereka sering menggunakan I dan You atau Sara dan awak. Pada mulanya Haikal terkejut juga tapi dia biarkan. Dia senang dengan panggilan itu. Hatinya sejuk mendengarnya.

“Belum lagi. Sara dah makan?” tanya Haikal perlahan. Dia terus memandang Sara.

“Sudah. Abang pergilah bersihkan diri dulu. Nanti Sara siapkan hidangan untuk abang,” ujar Sara. Haikal tidak membantah dengan pelawaan isterinya. Kebetulan sejak petang tadi perutnya belum terisi kerana sibuk dengan mesyuarat. Lagipun tidak sampai hati untuk dia menghampakan Sara yang penat memasak untuknya. Haikal menyedari walau sesibuk manapun Sara, pasti setiap hidangan adalah dari air tangannya. Tidak pernah dia melihat Sara membeli makanan diluar.

Itulah rutin Sara semenjak berkahwin. Memasak dan memastikan rumahnya bersih, kemas dan teratur. Walaupun terasing dirumah sendiri tetapi Haikal tetap menjamah setiap masakannya tanpa sebarang rungutan. Nasi dipinggan pasti habis. Itu membuatkan hatinya terpujuk walaupun layanan Haikal ala kadar.

Sara segera kedapur menyiapkan makan malam untuk suaminya. Dia segera memanaskan makanan yang dimasaknya petang tadi dan dihidangkan diatas meja makan. Kemudian, Sara menonton TV walaupun siaran TV hampir tamat.

Sebenarnya, ada perkara yang ingin dia bincangkan dengan Haikal. Fikirannya masih lagi bercelaru. Entah mengapa persoalan yang sama sering bemain dimindanya saat ini. Pelbagai persoalan tentang rumahtangganya dan perlakuan suaminya. Dia ingin mendapat jawapan bagi setiap persoalan yang berlegar difikirannya.

Haikal terperanjat apabila keluar dari biliknya, Sara masih lagi diruang tamu. Namun dia tidak menegur Sara. Dia hanya berlalu menuju kemeja makan untuk menjamah hidangan yang telah disediakan. Dia tidak bersuara sedikitpun. Sara masih lagi khusyuk memandang TV sedangkan fikirannya entah kemana. Walau apapun yang terjadi dia harus menyelesaikannya malam ini juga. Dia harus meluahkan apa yang tersirat dihatinya.

Selesai makan malam, seperti biasa Haikal akan terus masuk kedalam bilik nya. Tanpa mempedulikan Sara yang duduk disofa ruang tamu rumah, Haikal melangkah kakinya ingin masuk kedalam bilik.

“Boleh Sara berbincang sikit?” soal Sara sambil memandang suaminya yang telah bersedia ingin masuk kedalam biliknya. Haikal menoleh apabila mendengar suara Sara. Tangannya yang ingin memulas tombol pintu juga terhenti.

“Kenapa? Sara tak sihat ke?” soal Haikal pula. Lembut suaranya. Begitulah Haikal. Tidak pernah sekali selepas peristiwa awal perkahwinan mereka dulu dia meninggikan suara. Tutur katanya sentiasa lembut dan katanya beralas. Haikal memandang tajam wajah Sara. Bimbang juga hatinya jika Sara sakit lagi.

“Tak. Sara sihat cuma ada perkara yang ingin Sara bincangkan malam ni juga,” ujar Sara.

Haikal kembali mengatur langkah dan duduk dihadapan Sara. Mungkin ada yang mustahak. Fikirnya. Dia memandang Sara seolah-olah memberi persetujuan agar Sara meneruskan kata-katanya. Haikal terus menanti kata-kata yang akan diucapkan oleh Sara.

“Sara minta maaf kalau-kalau kata-kata Sara akan mengecilkan hati abang. Sara tak bermaksud macam tu. Tapi, kalau Sara tak bertanya persoalan ini akan terus tergantung. Sara terus membuat andaian sendiri. Sara tak suka terus bermain teka-teki. Sara lebih suka berterus terang walaupun kenyataan itu teramatlah pahitnya,” Sara mengatur bicara satu persatu. Terang dan jelas agar apa yang bakal diucapkan seterusnya tidak akan mengecilkan hati Haikal.

“Apa yang Sara ingin tahu?” soal Haikal tidak sabar. Dadanya semakin berdebar kencang. Dia masih tercari-cari maksud yang tersembunyi disebalik kata-kata Sara sebentar tadi. Pelik.

“Adakah perkahwinan kita ni satu paksaan bagi abang? Maksud Sara, abang terpaksa berkahwin dengan Sara kerana mama dan papa?” soal Sara tulus.

Haikal terperanjat dengan soalan yang baru terkeluar dari mulut isterinya. Bingung dia sebentar. Lidahnya kelu untuk mengucapkan kata. Dia tidak menyangka soalan itu yang akan terkeluar dari mulut isterinya malam itu. Dia terkedu.
“Kenapa Sara tanya abang macam tu? Ada yang tak kena dengan abang ke atau Sara tak puas hati dengan layanan abang pada Sara?” soal Haikal kembali ingin berselindung dan menyembunyikan hakikat sebenarnya. Selama ini dia berat membahasakan dirinya ‘abang ‘ tetapi tidak malam ini. Dia tidak kekok untuk itu. Namun hatinya semakin gementar dan gusar.

“Layanan abang pada Sara tak ada cacat celanya. Semuanya sempurna. Makan pakai Sara abang jaga dengan elok. Sara bersyukur dapat suami macam abang. Cukup prihatin dan bertanggungjawab. Cuma hati Sara berdetik sendiri. Tertanya-tanya. Kenapa abang buat Sara macam ni?” Airmata yang cuba ditahan mengalir sepi. Sara menyapu airmata itu.

Haikal masih membatu. Hatinya semakin gelisah. Tangisan Sara semakin kedengaran.

“Abang selalu keluar awal pagi dan pulang lewat malam. Abang seolah-olah nak elakkan diri dari Sara. Abang biarkan Sara sendirian. Apa salah Sara, bang? Layanan Sara pada abang ada cacat cela ke? Atau ada benda yang abang tak puas hati pada Sara? Beritahulah pada Sara. Jangan diam membisu begini,” Sara meluahkan isihatinya. Biarlah malam ini dihamburkan segala yang terbuku didalam jiwanya. Dia memandang tepat wajah suaminya.

“Tak. Sara tak salah apa-apa. Apa yang Sara buat semuanya sempurna dimata abang. Sara isteri yang sempurna,” balas Haikal ikhlas.

“Habis, kenapa abang buat Sara macam ni? Abang siksa Sara dalam diam. Kadangkala, Sara dapat rasakan abang macam merindui seseorang. Kalau abang sendirian abang sering termenung seolah-olah memikirkan sesuatu. Sara pujuk hati Sara sendiri mengatakan mungkin abang memikirkan perkara lain tapi hati Sara menolak kemungkinan itu. Dan satu yang nyata kenapa sehingga kini abang tak dapat menerima Sara dalam erti kata yang sebenarnya? Sara bukan kemaruk nak tidur dengan abang ataupun belaian abang tapi Sara perlukan perhatian abang. Sara perlukan teman. Sara sunyi,” luah Sara sambil tersedu. Sayu hati Haikal mendengar luahan Sara. Hatinya bagai disiat-siat.

“Sekarang Sara perlukan penjelasan. Tolonglah berterus terang. Jangan terus menyiksa Sara. Sara pohon. Sara dapat menerima semuanya kecuali kalau abang berbohong dengan Sara. Jujurlah pada Sara. Tolonglah,” pinta Sara sekian kalinya. Haikal menarik nafas panjang. Setiap hembusan nafasnya terasa tersekat-sekat seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia semakin tak keruan.

Haikal memandang tepat wajah Sara. Sara masih lagi menunggu penjelasan dari suaminya. Memang tepatlah apa yang dirasakannya selama ini. Suaminya sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Desis hatinya. Haikal masih lagi mengumpul kekuatan untuk berterus terang. Rasa takut dan bimbang mnyelubungi hatinya. Takut apabila memikirkan reaksi isterinya. Marahkah Sara? Bimbang kalau-kalau Sara tidak dapat menerima penjelasannya nanti. Dia semakin takut dengan realiti.

“Abang minta maaf. Sesungguhnya abang tak tahu semua ini akan berlaku. Abang tak sangka semua ni akan abang alami. Abang tak terniat nak membuatkan Sara tersiksa begini.” Akhirnya Haikal dapat mengeluarkan kata-kata dan menyusun ayat agar setiap kata-katanya tidak akan menyinggung perasaan isterinya. Haikal cuba mencari kekuatan yang entah dimana bersembunyi.

Akhirnya apa yang menjadi rahsia pada dirinya bukan lagi rahsia. Apa yang terpendam selama ini terbongkar jua pada malam keramat itu. Tiada satupun yang tertinggal. Habis segalanya diluahkan dan diceritakan pada Sara. Tak ada satupun yang tinggal.

Sara amat terkejut dengan penjelasan suaminya. Dia tidak menyangka sama sekali suaminya akan melalui apa yang dia sedang alami. Perkahwinan ini memang diatur untuk mereka. Haikal terpaksa menerima dirinya kerana keluarganya. Sama seperti diriku. Tapi, kalau ianya terpaksa mengapa harus diteruskan? Mengapa? Hatinya menjerit.

“Abang terpaksa meneruskan perkahwinan ini untuk mama dan papa. Abang tak mahu Mama jatuh sakit semula. Abang boleh hilang semua orang kecuali keluarga abang. Mereka adalah kekuatan abang,” ujar Haikal lagi. Ya, aku juga tidak mahu kehilangan ibu. Seperti suamiku, aku juga menerimanya demi insan yang paling aku sayangi. Bisik hati kecil Sara.

“Ya ALLAH.” Hanya itu yang termampu Sara ucapkan saat itu. Dia tidak boleh berkata apa-apa lagi. Semuanya serba tak kena. Dia berasa amat kecewa dengan segala apa yang sedang berlaku. Hatinya luka bertambah dalam. Malahnya jiwanya semakin parah. Sekeping hatinya bagaikan dilapah-lapah. Kesakitan yang ditanggungnya bagaikan tidak terasa lagi. Jiwa dan perasaannya telah mati. Terkubur bersama sekeping hatinya yang luka itu.

“Abang minta maaf, Sara. Buat masa ini abang secara terus terang, tak dapat menerima Sara dengan sepenuh hati. Abang tak mahu menyiksa Sara. Sara boleh pilih jalan yang Sara inginkan. Abang berjanji akan mengikut sahaja kemahuan Sara. Tapi, jangan pilih bercerai buat masa sekarang. Abang tak mahu keluarga kita terkejut dengan keputusan ini. Abang harap Sara dapat bersabar demi keluarga kita. Abang tak mahu mama jatuh sakit semula, “ pinta Haikal. Dia tahu Sara terluka namun apa dayanya. Dia juga tersepit dan keliru.

Apa pilihan yang aku ada? Soalnya. Hanya kesabaran. Sara bangun dari tempat duduknya. Tidak sanggup lagi mendengar kata-kata Haikal. Hati yang terluka akan terus terluka. Tidak mungkin akan sembuh semula. Airmatanya tidak henti-henti mengalir. Haikal langsung tidak ditegurnya. Kakinya mengatur langkah longlai.

No comments:

Post a Comment