Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 38

Kepulangan Sara petang itu disambut dengan kebimbangan ibunya. Gusar dengan tingkah laku anak gadisnya. Dari tadi hatinya sering tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah terjadi. Apa yang sedang melanda jiwa Sara. Dia memikirkannya sendiri. Dan apabila melihat keadaan ibunya, Sara faham apa yang sedang bermain difikiran ibunya. Dengan keyakinan dan semangat yang baru terbina, dia menyatakan yang dia telah bersedia segala-galanyanya. Tiada apa yang perlu dikhuatirkan.

“Ibu tak perlu bimbang. Mungkin tadi Sara terlalu memikirkan tentang perkahwinan ini. Ya lah bu, rasa macam orang dulu-dulu pulak. Perkahwinan diatur. Lepas tu, sampai sekarang ni Sara tak kenalpun dengan bakal suami Sara. Tak pernah bercakap pun. Sara takutlah bu,” bohong Sara menyembunyikan hakikat sebenar. Dia tak mahu ibunya dilanda kebimbangan dan akan terus merasa kecewa seandainya rahsia ini terbongkar. Sara melipat kemas dalam hatinya. Biarlah hanya orang-orang tertentu sahaja yang mengetahuinya.

“Jadi, Sara was-was dengan keputusan Sara?” soal ibunya.

“Tadi. Sebelum ni. Sekarang tidak lagi. Insya ALLAH. Ibu jangan bimbanglah. Sara dah okey.” Sara berkata penuh keyakinan.

“Betul ni?”

“Betul.”

“Kalau macam tu. Pergiah berehat. Malam ni ada majlis berinai,” arah ibunya lagi. Sara melangkah malas menuju kebiliknya yang telah siap terhias. Dia memandang seketika. Mengamati keindahan bilik pengantinnya.

Hati janganlah kau bersedih lagi. Airmata janganlah kau mengalir lagi. Cukuplah apa yang telah aku deritai selama ini. Ya ALLAH semoga sinar kebahagiaan akan menerangi aku selepas ini. Doa Sara didalam hati.

Azman, maafkan Lisa. Kita pernah berjanji akan melayari bahtera ini bersama-sama. Kini, izinkan aku layarinya bersama insan lain. Izinkanlah. Berlalulah dikau dari hatiku. Jangan biarkan sekali-kali bayang dirimu menjelma diruang fikiranku lagi. Maafkan aku.

No comments:

Post a Comment