Friday, March 5, 2010

tiada Noktah Cinta - 37

Haikal masih lagi memandang dirinya dicermin. Kata-kata Zakuan dua minggu yang lalu kerap kali hadir dalam ingatannya. Setiap kali ianya hadir, berkali kali jugalah sesalannya datang. Dia amat bersalah pada Sherry kerana menuduhnya yang bukan-bukan. Kenapalah aku bertindak melulu? Kenapa aku tidak memberinya peluang untuk menyatakannya? Kenapa baru sekarang aku mengetahuinya? Soal hatinya bertubi-tubi.

Kini Haikal semakin tawar hati untuk berkahwin. Dia tidak mahu lagi memikirkannya. Dia kini semakin tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia kerap kali termenung dan menyesali apa yang telah dia lakukan. Dia mengakui akhirnya dia tidak dapat melupakan Sherry. Sherry adalah segala-gala baginya. Kerja dipejabat kerapkali diabaikan. Mujur juga Johari banyak membantu walaupun dia juga sibuk dengan kerjanya. Haikal kerap mengurungkan diri dalam bilik. Sekiranya keluarga bertanya kerapkali dia katakan dia agak gementar dengan perkahwinan ini. Dia tahu dia berbohong. Tapi, itulah sahaja alasan yang dapat dia berikan. Dia tidak mahu keluarganya tahu apa yang sedang dideritainya.

Masa bergerak terlalu pantas. Akhirnya hari yang ditunggu oleh kedua belah pihak tiba juga. Kini tinggal tiga hari majlis perkahwinannya akan berlangsung. Sara memerhatikan biliknya yang telah dihias indah. Warna biru muda menjadi pilihannya walaupun pada mulanya ibu inginkan warna’peach’. Dia tidak akan menggunakan warna itu kerana warna itu akan mengingatinya pada Azman. Azman? Akhirnya nama itu berkumandang sekali lagi dihatinya. Nama yang dia cuba lupakan. Nama yang mendapat tempat yang teristimewa dihati ini. Kerinduan dihati tidak dapat dibohonginya. Dia benar-benar merindui Azman tika ini. Terlalu merinduinya.

Apa khabar dirimu, sayang? Adakah kau merindui diriku seperti aku merindui dirimu tiap saat? Aku tersiksa begini. Terlalu perit rasanya. Aku tidak dapat bernafas diruang yang besar ini. Segalanya terlalu sempit. Lalu Sara mencapai telefon bimbitnya.

“Ris, boleh aku jumpa kau sekejap?” tanya Sara apabila mendengar suara Arissa dihujung talian.

Arissa yang pulang kerana ingin menghadiri majlis perkahwinannya, terkejut. Tetapi mengiakan sahaja. Tentu ada perkara yang penting yang ingin dikatakan Sara. Mereka berjanji akan bertemu dipantai Teluk Batik.

Selesai membuat temujanji, Sara segera mendapatkan ibunya. Ibunya keberatan pada mulanya. Bimbang akan berlaku kecelakaan. Mengikut petua orang tua pengantin dilarang keluar rumah seminggu sebelum perkahwinannya. Maklumlah berdarah manis. Begitu juga dengan Mak Lang Zainab. Puas Sara dipujuk namun Sara tetap dengan permintaannnya. Akhirnya mereka terpaksa bersetuju bila Sara berjanji akan berhati-hati. Insya ALLAH.

Arissa mendapatkan Sara apabila melihat kereta Staria Gti Sara memasuki parking lot. Sara segera memeluk sahabatnya itu. Dia melepaskan segala yang terbuku dihatinya dibahu sahabatnya. Arissa memberi peluang pada Sara untuk merungkaikan segala kekusutan dihatinya. Melepaskan apa yang terpendam dijiwanya. Sara dibiarkan menangis beberapa ketika.

“Aku sakit, Ris. Sakit sangat disini,” beritahu Sara sambil meletakkan tangan didadanya setelah pelukan dirungkaikan. Suaranya tenggelam timbul. Tangisannya masih lagi kedengaran.

“Aku ingat aku boleh hadapi semuanya. Aku kuat. Aku tabah. Tapi, sebenarnya aku dah kalah. Kalah sebelum berjuang, Ris. Kalau dulu aku berani tapi kini aku takut, Ris. Aku takut,” ujar Sara masih lagi tersedu.

“Sabar Sara. Sabar. Bawa bertenang. Istighfar banyak-banyak. Ingatkan ALLAH. Kau menangis macam ni pun tak guna. Lusa kau dah nak kahwin,” pujuk Arissa. Dia memahami apa yang sedang dilalui oleh Sara. Jika dirinya berada didalam situasi begitu, dia juga buntu ataupun tak sekuat Sara menghadapi apa yang telah dan akan terjadi. Tentu dia telah lama tewas. Tapi Sara masih mampu bertahan hingga kesaat ini.

Mereka duduk diatas pasir putih berhampiran pantai.“Aku rindukan Azman. Terlalu rindukan dia. Aku sakit dalam sini Ris. Tak tahan aku begini. Tak tahan, Ris.” Sara meletakkan kembali tangannya kedada. Arissa terkesima mendengar pengucapan Sara. Segera diusap kembali belakang Sara agar Sara dapat bertenang semula.

Tidak pernah sebelum ini Sara meluahkan apa yang terpendam dihatinya. Sara perahsia orangnya. Pada Sara biarlah segalanya ditanggung sendiri. Dia tidak mahu ada orang yang bersusah kerana dirinya. Kadangakala sifatnya itu memakan dirinya sendiri tanpa dia sedar. Contohnya dengan apa yang sedang dia laluinya kini.

“Aku bersalah pada diri dia. Aku bersalah. Kalau aku berterus terang pada ibu, tentu hubungan kami tak jadi macam ni. Kenapa aku bodoh sangat, Ris. Kenapa aku bodoh. Baru sekarang aku menyedarinya. Sudah terlewat untuk mengubah segalanya. Mengapa sekarang ni!!!” jerit Sara menyesali tindakannya. Arissa menggenggam tangan sahabatnya yang kecewa itu. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan olehnya lagi. Sara semakin hilang punca. Meraung-raung menyesali keputusannya. Segalanya bagaikan tak tertanggung olehnya lagi.

“Sara, kau harus redha. Setiap yang berlaku mesti ada hikmahnya.” Hanya itu kata-kata yang mampu diluahkan Arissa. Dia juga buntu dengan masalah yang dihadapi sahabatnya.

“Kau tahu Ris. Kisah cinta aku ni tak ubah macam sebuah drama TV. Betul tak, Ris? Siap ada pelakon dan pengarahnya. Cuma kalau drama kita dapat menjangkakan apa kesudahannya. Tentu pasangan itu akan hidup bahagia. Itu yang selalu dipaparkan. Tapi, bahagiakah aku nanti? Masih adakah untuk aku mengecapi apa itu erti kebahagiaan sebenarnya?” soal Sara tersedu-sedu. Arissa memahami apa yang dimaksudkan oleh Sara.

“Sara.............., setiap dari kita juga adalah pelakon. Kita memegang watak yang berlainan dalam situasi yang berbeza. Pentasnya adalah dunia ini. Kau harus sedar tu. Kebahagian akan berada dengan kau, Sara. Percayalah. Aku pasti,” ujar Arissa memujuk walaupun keyakinannya semakin lumpuh. Namun semangatnya perlu kental untuk membantu sahabatnya yang semakin goyah keyakinan diri.

“Aku juga tak tahu bagaimana kesudahan hidup aku nanti. Aku sering tertanya-tanya apakah aku juga bisa mengecapi kebahagiaan. Siapakah nanti jodoh aku? Apakah aku akan bahagia atau derita? Aku tak pasti semua tu. Yang ada pada aku hanyalah doa. Doa adalah kekuatan kita, Sara. Menyesali nasib yang telah disuratkan, berdosa. Kita harus berserah dan pasrah. Itu adalah tanggungjawab kita. Kita tak mampu melawan takdir yang datang. Bersabar dan berdoalah pada ALLAH,” nasihat Arissa lagi.

Sara mula termakan dengan kata-kata pujukan sahabatnya. Mengakui ada kebenaran kata-kata itu. Mengapa harus dia menyesalinya sekarang? Bukankah jalan ini juga yang telah dia pilih? Mengapa dia harus kalah dengan perasaannya sendiri? Dia perlu kuat untuk menempuh hari mendatang. Aku perlu kuat dan tabah! Azamnya.

“Entahlah. Aku tak tahu kenapa aku harus macam ni. Betul juga kata kau. Aku harus pasrah dan redha,” ujar Sara akhirnya. Dia tidak mahu menangis lagi. Dia perlu gembira untuk dirinya sendiri. Dia menarik nafas panjang-panjang dan melepaskannya. Seolah-olah dia telah melepaskan semua bebanan yang terpikul dibahunya.

Arissa gembira dengan kata-kata Sara. Dia tahu Sara sudah dapat menerima kenyataan. Dirinya sudah kembali tenang setelah meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya. Dia berharap agar keadaan diri Sara akan sentiasa tenang.

No comments:

Post a Comment