Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 36

Didalam kedamaian malam, aku terus ditemani suara hati bersama kepiluan terus menyiksa jiwa. Tangisan jiwaku telah tiada berirama lagi. Lalu ku berpesan pada angin dan berjanji pada malam aku akan mengubah segalanya. Kebahagian diriku harus kucari. Seandainya dia dapat menerimaku, mengapa tidak aku. Aku seharusnya memikirkan masa depanku. Masa depan yang baru bersama corak yang baru. Insya ALLAH segalanya akan kembali seperti sedia kala walaupun entah bila masa itu akan sampai. Aku harus pasrah atas segalanya.

“Kak, kenapa duduk sorang-sorang ni?” soal Shamsul tiba-tiba. Terkejut Sara dibuatnya. Dia menoleh. Kelihatan adiknya yang baru pulang dari Johor melangkah mendekati dirinya. Adik-adiknya pulang untuk meraikan majlis perkahwinanya yang akan berlangsung beberapa hari lagi. Segala persiapan telah sedia diatur.

“Tak ada apa-apa. Saja ambil angin malam. Letihlah. Banyak kerja yang perlu disiapkan sebelum berhenti ni. Lagipun Akak kena ajar orang baru. Sekarang ni lulusan universiti pun belum tentu dapat buat kerja. Diploma tu kadang-kadang hanya syarat untuk mendapat pekerjaan yang baik. Dahlah tak tahu buat kerja lepas tu minta gaji tinggi. Tak patut betul,” rungut Sara.

“Hai...... merungut nampak. Jangan lepas kahwin nanti Akak berleter macam ni sudahlah. Tak balik rumah suami akak nanti,” gurau Shamsul.

“Ada ke kesitu pulak perginya. Tak betul ke apa yang akak katakan ni? Akak dulu belajar banyak teori dari faktanya. Tapi bila kita dah bekerja ni, kenalah belajar praktikalnya. Tak semestinya kita seorang lulusan engineer tak boleh pergi bidang lain. Itulah contoh yang nak akak katakan,” terang Sara bersungguh-sungguh.

Shamsul tergelak besar. Memang diakui kalau kakaknya dapat meluahkan sesuatu, dia mesti pertahankan. Bukannya dia tak tahu sikap degil kakaknya. Kadangkala dia terfikir kenapa kakaknya mengambil jurusan sains komputer bukan undang-undang. Pernah diajukan tetapi kakaknya mengatakan yang satu hari nanti dia akan tahu juga.

“Akak ni kalau dapat tegakkan kata-kata, Sham rasa kalah Datuk Ghani Patail, peguam negara tu. Terkejut dia bila dengar akak mengeluarkan hujah-hujah akak tu. Kenapa dulu akak jadi engineer tak jadi lawyer?” soal Shamsul pada Sara sama seperti soalannya ketika Sara memilih untuk menjadi seorang jurutera.

“Sebab ayah nak salah seorang anaknya jadi jurutera. Itu adalah impian dia,” lancar mulut Sara menuturkan kata. Baru dia tersedar yang dia telah tersalah kata. Shamsul yang terkejut dipandangnya.

“Dan sebab ibu jugalah, akak menerima perkahwinan ini kan?” serkap Shamsul. Sara terkesima.

“Apa yang Sham nak katakan sebenarnya ni? Akak tak fahamlah,” ujar Sara menyembunyikan kegusaran dihati. Dia terkejut dengan tekaan adiknya. Mana adiknya tahu semua ini? Soalnya didalam hati.

“Akak janganlah disimpan segala rahsia tu kalau ianya dah terserlah dimuka akak tu. Akak tak gembira dengan perkahwinan ini kan? Kenapa akak buat semua ni?” soal Shamsul tidak puas hati. Raut muka kakaknya tidak langsung menampakkan keceriaan. Senyuman yang dilontarkan cuba menutup seribu kelukaan yang sedang disembunyikan olehnya. Tidak ikhlas.

Dia menyambung kemudiannya. “Dulu, Sham selalu terfikir kenapa akak ambil computer sience kalau akak nak jadi secretary. Kan lebih elok kalau akak ambil secretrial sience je. Tak payahlah susah payah akak bersengkang mata menelaah buku. Akak bagi alasan nak duduk dengan ibu lepas habis belajar dan jadi seorang setiausaha sebab peluang pekerjaan dalam bidang akak tak meluas lagi disini, Sham percaya cakap akak.” Shamsul duduk sambil memandang wajah kakaknya. Sara terdiam tak terkata.

“Tapi, hati Sham tetap tak puas. Satu hari Sham tanya ibu. Rupanya semua yang akak lakukan adalah untuk mereka berdua. Selama ini impian akak lain. Akak nak jadi seorang peguam. Kenapa akak pertaruhkan impian akak untuk orang lain?” soal Shamsul lagi. Dia ingin meluahkan apa yang telah lama terpendam dalam hatinya. Dia mahu kakaknya menyedari segala perbuatannya.

“Bukan orang lain, Sham. Ibu dengan ayah. Tak salah akak lakukan untuk mereka. Ianya tak seberapa,” sangkal Sara. Dia terus mempertahankan pendiriannya.

“Memanglah tak salah. Tapi, cukuplah dengan apa yang akak dah buat. Tak perlu lagi akak buat pengorbanan akak lagi hingga mempertaruhkan masa depan akak pulak. Ibu akan faham dan restuinya, kak. Sebenarnya bukan itu yang mereka nak sangat cuma mereka berharap agar anak-anak mereka bahagia dengan apa jua pilihannya. Janganlah sampai akak mengorbankan diri akak sekali lagi, kak. Jangan anggap pengorbanan akak kali ini akan mengembirakan semua orang. Kalau terbongkar semuanya akan menderita, kak,” ujar Shamsul berlapik. Ada persoalan yang tidak terjawab.

Sara semakin pelik dengan kata-kata adiknya. Apa sebenarnya yang ingin Sham katakan? Adakah dia tahu apa yang sedang berlaku? Adakah dia mengetahui hubungan Azman dengan dirinya? Pelbagai persoalan menari-nari difikirannya. Namun tidak mampu dia luahkan.

“Kalau orang lain contohnya ibu, bolehlah akak sorokkan. Tapi, bukan dengan Sham, kak. Sebelum ibu beritahu akak tentang berita lamaran tu, ibu call Sham di Johor. Tanya pendapat Sham. Sham katakan pada ibu bawa berbincanglah dengan akak sendiri. Tapi, dalam hati Sham berat mengatakan akak akan menolaknya sebab akak dah ada kekasih. Tapi........ entahlah......” Kata-kata Shamsul itu bagaikan halilintar yang membelah bumi. Sara memandang tepat wajah adiknya itu. Airmatanya mengalir. Dia tidak menyangka sama sekali Shamsul akan mengetahuinya juga. Lidahnya terus kelu.

“Macamana Sham tahu semuanya?” soal Sara bersama sendu yang tertahan-tahan.

“Sham pernah terjumpa akak dengan abang Azman. Berdating. Lepas tu, Sham curi nombor phone dia dari handphone akak dan berjumpa dengan dia. Sham paksa dia beritahu semuanya,” beritahu Shamsul. Sara ternganga mendengar cerita adiknya.

“Sham tak patut buat macam tu.”

“Habis tu apa yang cuba akak buat ni patut ke? Akak sedar tak apa yang sedang akak lakukan sekarang ni? Akak bukan sahaja dah hancurkan hati abang Azman tapi hati ibu juga kalau ianya terbongkar. Sham tahu akak terima semua ni sebab nak jaga hati ibu. Tapi, sampai bila kak? Sampai bila akak nak mengorbankan diri? Akak tahu tak akak akan jadi isteri orang? Perkara ni bukannya main-main. Ini adalah kebenaran. Akak mampu hidup bersama dengan orang yang akak tak cinta sepanjang hayat akak?” marah Shamsul. Dia amat berharap agar kakaknya menyedari apa yang sedang dia lakukan.

“Akak tahu apa yang cuba Sham katakan seterusnya. Akak faham perasaan adik kakak ni. Sham terlalu sayangkan kakak dan keluarga ni. Sham tak mahu akak menderita kemudian hari,” ujar Sara cuba berdiplomasi.

“Sham, akak nak apa yang akan akak katakan ini Sham fikirkan. Fikirkan dengan mendalam. Akak akui akak buat semua ni kerana nak ibu gembira. Nak ibu rasa bahagia. Sham tahu tak, akak seronok tengok ibu macam sekarang ni. Ibu yang sentiasa tersenyum. Dan senyuman itu bukanlah satu paksaan. Ibu sanggup berkorban kerana kita ketika ibu dihalau oleh keluarga ayah. Ibu sanggup merentasi segalanya sebab kita. Kenapa pengorbanan sekecil ini akak tak sanggup. Apa yang ibu hadapi itu belum tentu dapat akak tentangi. Akak tak sekuat yang kau sangka, dik. Akak tak sekuat ibu. Kalau akak ditempat ibu dah pasti akak gila dan terpaksa menyerahkan ana-anak kepada orang lain. Tapi, ibu tak. Ibu dengan semangat kentalnya melawan cabaran yang datang. Walaupun dihina, ibu tetap tabah membesarkan kita sehingga berjaya. Besar pengorbanan ibu tu,” ujar Sara panjang lebar. Dia ingin adiknya mengerti apa yang sedang dia buat sebelum menuduh yang bukan-bukan.

“Hingga akak sanggup buat macam ni? Pertaruhkan masa depan akak sendiri?” soal Shamsul masih tidak puas hati.

“Kalau nak dibandingkan dengan ibu, apalah sangat pengorbanan yang akak buat ni. Akak sekurang-kurangnya bersyukur yang keluarga mentua menerima akak seadanya. Sham tengoklah sendiri. Semuanya mereka yang uruskan. Akak cuma membantu serba sedikit aje. Lagipun ibu pernah beritahu, kalau akak berkahwin nanti dia tak mahu apa yang telah terjadi padanya akan terjadi semula pada akak. Dia takut sejarah akan berulang semula. Itu sebabnya dia lakukan semua ini,” terang Sara lagi.

“Bagaimana dengan bakal suami akak? Dapatkah dia terima diri akak sebagaimana akak menerima dia? Macamana kalau dia juga dah ada girlfriend dan dia berkahwin dengan akak kerana kehendak keluarganya? Sham tak mahu akak menderita. Cukuplah penderitaan yang akak tanggung kerana kehilangan arwah ayah dulu. Sham tak mahu akak jadi macam tu lagi. Sham tak mahu tengok akak sakit,” bantah Shamsul. Dia tetap tak bersetuju dnegan keputusan kakaknya.

Lantas Sara menarik adiknya dalam pelukan. Mengusap belakang adiknya itu. Dia tahu adiknya khuatir dia akan menderita dengan perkahwinan yang dirancang. Tapi, dia harus beri keyakinan itu agar kegusaran adiknya berlalu pergi.

“Insya ALLAH dik. Doakan akak bahagia. Insya ALLAH akak akan laluinya dengan tenang. Setiap perbuatan itu pasti ada balasannya. Cuma cepat atau lambat aje. Akak akan cuba menerima dia seadanya. Sham janganlah bimbang. Cuma apa yang akak harapkan Sham jagalah keluarga ini dengan sempurna. Tanggungjawab Sham dah berat. Akak nak Sham jaga ibu baik-baik. Dan yang paling penting jangan bocorkan rahsia ini walau pada ibu sekalipun,” pinta Sara.

Shamsul meleraikan pelukan kakaknya. Disapu airmata yang mengalir dipipi kakaknya. Tidak sanggup untuk dia melihat airmata itu mengalir lagi. Cukuplah apa yang telah ditanggungnya selama ini. Biarlah kali ini yang mengalir itu airmata gembira.

“Sham akan jaga keluarga ini dengan sempurna, kak. Itu janji Sham. Sham akan jaga sebagaimana akak menjaganya selama ini. Sham tak akan biarkan sekali-kali ibu menderita. Akak janganlah bimbang. Apa yang Sham harap dan doakan, akak akan sentiasa gembira,” ujar Shamsul ikhlas. Dia semakin menerima apa yang telah diputuskan oleh kakaknya. Mungkin ini sudah jodoh.

Sara menganggukkan kepalanya. Dia lega mendengar kata-kata janji adiknya. Malam semakin larut. Namun perbualan antara Sara dan Shamsul semakin rancak. Mereka mengungkap kembali zaman kecil-kecil mereka dahulu. Selepas ini mungkin mereka semakin jarang berbual kerana Sara akan meninggalkan rumah ini. Kalau dapatpun mungkin dalam suasana yang berbeza. Tanggungjawab kakaknya bukan lagi pada keluarga sepenuhnya. Shamsul akan merindui saat-saat mereka bersama.

No comments:

Post a Comment