Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 33

Sejak dari majlis pertunangan itu, Sara seperti orang kebingungan. Dia tidak menyangka pihak lelaki inginkan majlis perkahwinannya dilakukan dengan seberapa segera. Tiga bulan dari sekarang segalanya akan berubah. Sekelip mata sahaja hidupnya akan bertukar. Dapatkah aku menerima dia sedangkan hatiku milik insan lain? Ya ALLAH lepaskanlah aku dari sengsara ini. Doanya didalam hati.

Aku akan menerima dia seadanya. Akan aku cuba. Tekadnya. Biarlah segala yang berlaku menjadi rahsia pada dirinya. Rahsia yang akan terkubur bersama-sama impiannya yang tak kesampaian. Rahsia tetap akan terus menjadi rahsia. Ramai yang akan terluka andainya ia terbongkar. Aku perlu menyimpan kemas jauh dilubuk hatiku. Tinggallah sayang tinggallah pujaan. Akan kusemat namamu jauh dilubuk jiwaku ini. Akan ku pahat namamu biar ia teguh disitu.



Azman, kenangan bersamamu tetap bersemadi indah melewati hari-hari yang mendatang. Ia adalah kenangan abadi dimana ketika bersamamu baru kukenal apa itu erti cinta. Baru ku mengerti indahnya perasaan dan baru ku tahu sakitnya menanggung rindu. Namun kita hanya ditakdirkan untuk merasai nikmat bercinta bukan untuk melabuhkan bahtera impian dipelabuhan kasih. Cinta kita karam dilautan kasih yang bergelora. Aku pasrah akan ketentuan takdirNYA. Aku berserah segala pada percaturanNYA. Akan kukenang dirimu dalam ingatanku. Kau tetap yang teristimewa.

Namun siapalah aku untuk melawan takdir ILAHI. Aku berjanji akan menerima kehadirannya dalam hidupku. Membuka kamar hatiku agar kasih sayangnya dapat menerjah masuk kedalamnya. Aku akan menerima seadanya. Aku bertekad untuk belajar menyintainya. Namun dirimu tetap akan aku kenang sepanjang hayat ini.

Lamunannya terhenti apabila mendengar pintu biliknya diketuk. Disapu airmata yang mengalir. Dikemaskan dirinya agar ibu tidak perasan perubahan dirinya. Lantas pintu bilik dibuka. Ibunya tersenyum memandang Sara. Ditangannya memegang sesuatu.

“Apa ni ibu?” soal Sara. Sarimah melangkah masuk dan duduk dibirai katil anaknya. Dia memandang tepat wajah anaknya. Wajahnya nampak pucat.

“Kenapa ni? Asyik berkurung aje. Sara tak sihat ke?” soal ibunya penuh kebimbangan. Sara menggeleng.

“Sara macam tak suka aje dengan pertunangan ini. Sara macam tak gembira. Ada sesuatu yang Sara sorokkan dari ibu?” soal Sarimah inginkan kepastian. Dia dapat merasakan sesuatu sedang bersembunyi tapi tak dapat menyelongkarnya.
“Tak adalah ibu. Sara cuma memikirkan tentang perkahwinan ni. Macam-macam yang Sara rasa bu. Ibu tak rasa ke cepat sangat. Sara takutlah bu. Kadangkala Sara rasa macam tak bersedia lagi. Dapatkah mereka menerima Sara seadanya terutama bakal suami Sara tu. Manalah tahu kalau-kalau dia dah ada girlfriend. Haru dibuatnya. Sara tak mahu kena serang atas pelamin. Nanti baru betul-betul jadi glamour. Terpampang dalam paper sepasang pengantin kena serang dengan bekas kekasih. Sara takut, bu, ” ujar Sara sambil bergurau untuk menutup syak wasangka ibunya.

Jawapan Sara itu disambut ketawa oleh ibunya. “Sara ni fikirkan yang bukan-bukanlah. Kalau dia dah bersetuju, maknanya dia tak ada girlfriendlah tu. Kalau dah ada, takkan dia nak bertunang dengan Sara pulak,” jelas ibunya.

“Apa yang ibu bawa tu?” soal Sara cuba lari dari persoalan sebenar. Dia tidak mahu bercerita lebih lanjut lagi mengenai perkara ini. Nanti hatinya bertambah sedih.

“Ibu ada sesuatu yang ingin ibu serahkan pada Sara. Dulu ianya pemberian arwah ayah. Kami dah berjanji kalau Sara kahwin nanti, kami akan menyerahkannya pula pada Sara. Ibu harap Sara tak menolak pemberian kami ini. Ini impian ayah dengan ibu,” ujar Sarimah penuh mengharap.

Dia menyerahkan kotak yang berada ditangannya pada Sara. Sara menyambut dengan debaran dihati. Sara membuka kotak itu. Dia tergamam. Dia tidak menyangka akan menerima hadiah yang sebegitu cantik. Ya ALLAH...... dia tergamam.

Seutas rantai bertahtakan berlian bersinar memancar menerangi bilik itu. Sara masih memandang rantai itu. Kemudian dia mengambil dua utas gelang, sebentuk cincin dan sepasang subang. Semuanya terlalu cantik baginya. Lidahnya tidak terkata apa-apa. Pemberian ini terlalu dalam maknanya.

”Ibu, tak payahlah buat macam ni. Ibu buat Sara berat hatilah nak tinggalkan ibu,” ujar Sara bersama titisan airmatanya.

“Itu adalah amanat arwah. Ibu harap Sara tak keberatan menerimanya,” pinta Sarimah lagi.

“Tapi ibu, mahal sangatlah. Sara rasa keberatan pula,” ucap Sara sambil memandang ibunya. Sarimah tersenyum. Tangan Sara dipegangnya.

“Ini saja yang termampu ibu lakukan untuk anak ibu. Lepas ni tanggungjawab ibu ringan sedikit tapi ibu nak Sara ingat, Sara tetap anak ibu sampai bila-bila. Sara boleh datang dan mengadu apa-apa pada ibu. Tak kira bila masanya.” Sara terus memeluk ibunya. Tangisannya berlagu sendu. Dia terharu dengan kata-kata ibunya.

“Sara rasa tak sanggup nak berpisah dengan ibu. Kenapa mesti perkara ini terjadi, bu? Kenapa?” soal Sara dalam tangisan.

“Memang ini adalah lumrah kehidupan. Tanggungjawab Sara bukan lagi pada ibu selepas ini tapi pada suami. Walau apapun yang terjadi, Sara harus taat pada dirinya. Ibu juga tak sanggup berpisah tapi itulah hukum dunia. Kita harus terima kerana penghujung kehidupan juga kita akan berpisah,” ujar Sarimah sambil mengusap belakang anaknya.

Dia tahu apa yang sedang dirasai oleh Sara. Dia juga sayu tapi dia harus kuat dan redha. Sebagai seorang ibu, hati mana yang tidak sayu apabila berpisah dengan anak yang keluar dari rahimnya. Anak yang diasuh dari tapak kaki dua jari. Kini terpaksa berpisah kerana satu ikatan yang bernama perkahwinan. Tetapi dia harus kuat agar ketabahan dirinya memberi kekuatan untuk anaknya mengharungi liku-liku kehidupan yang sering memaksa kita tunduk kepadanya.

“Sara, dengar sini apa yang ibu nak cakapkan,” pujuk Sarimah apabila melihat tangisan Sara tiada kesudahannya. “Kita harus kuat Sara. Kalau kita lemah kita akan kalah. Ibu tak mahu Sara macam tu. Walau apapun yang terjadi, Sara perlu kuat dan tabah. Ibu akan sentiasa berada disamping Sara bila Sara memerlukan. Jangan anggap perkahwinan ini akan menamatkan perhubungan kita. Perhubungan ini tiada tali yang akan memutuskannya sebab ini adalah ketentuan azali. Sara cuma perlu taat dan bertanggungjawab pada suami. Itu fitrahnya,” nasihat Sarimah.

Sara terdiam dan mengangguk tanda faham.“Walau apa yang terjadi, ibu tetap ada disisi Sara. Jangan takut. Lagipun ibu rasa mentua Sara baik orangnya. Mereka akan layan Sara macam anak mereka sendiri. Sara takkan rasa terasing disana. Ibu berdoa agar apa yang terjadi pada ibu tidak akan terjadi pada Sara. Itulah sebabnya ibu senang hati sedikit melepaskan Sara apabila melihat penerimaan mereka,” luah Sarimah apa yangterbuku didalam hatinya.

Sara juga mengakui kebenaran kata-kata ibunya. Dia dapat melihat ketika majlis pertunangannya. Walaupun mereka diwakili oleh ibu saudara mereka tetapi bakal mentuanya yang menyarungkan cincin pertunangan. Dia juga diberitahu yang bakal suaminya tiada disini untuk sebulan kerana keUS atas urusan kerja.

“Terima kasih, bu atas pemberian ini. Sara akan jaga macam Sara jaga nyawa sendiri,” janji Sara.

“Sara dah beritahu pada Encik Fuad tentang surat letak jawatan Sara tu?” tanya Sarimah.

“Sudah, bu. Terkejut dia. Pada mulanya dia tak benarkan sebab dia ingat Sara kahwin dengan orang sini juga tapi bila Sara kata Sara terpaksa tinggal diKL, barulah dia setuju. Muka dia tak tahulah nak cakap macamana. Kalau buah mempelam tu masam, masam lagi muka dia. Merungut-rungut orang tua tu. Pot-pet, pot-pet aje,” omel Sara disambut dengan ketawa oleh Sarimah.

“Memanglah. Dah lama Sara bekerja dengan dia. Walaupun Sara lulusan computer science tapi sanggup juga dia jadikan Sara setiausaha dia. Dah hampir empat tahunkan Sara bekerja dengan dia?” soal Sarimah lagi.

“Hmmm…… kalau diingatkan sayang juga, bu. Tapi takkan nanti satu disana satu disini. Nanti baru betul kata lagu Ukays tu disana menanti disini menunggu.” Lantas mereka tertawa bersama.

Sara turut menceritakan bagaimana terkejutnya rakan sekerja dia apabila dia mengedarkan kad jemputan perkahwinan. Ada juga yang tidak percaya. Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah. Walaupun terkejut tetapi mereka gembira kerana dikalangan pekerja Encik Fuad hanya dia sahaja yang belum berkahwin. Kalau dulu mereka bertanya sudah tentu jawapannya belum jumpa yang sesuai ataupun tiada teman lelaki. Kini, angin tak ada ribut tak ada mereka menerima jemputan perkahwinan. Mereka sedih dalam bergembira. Sedih kerana terpaksa berpisah dan gembira kerana akhirnya Sara menemui juga jodohnya.

Sarimah meninggalkan Sara malam itu dengan seribu harapan agar anaknya mendapat kebahagian seperti yang dia inginkan. Itulah yang sering dia doakan untuk anak kesayangannya.

No comments:

Post a Comment