Friday, March 5, 2010

Tiada Noktah Cinta - 32

“Apa kata kalau pertunangan Haikal dengan Sara tiga bulan aje?” Permintaan Mamanya membuatkan Haikal lebih terperanjat. Air kopi yang diminumnya hampir tersembur keluar. Sebegitu cepat? Detik hatinya.

“Imah...... sabar-sabarlah. Takkan tak sabar dah nak bermenantu,” jawapan Datuk Hisham disambut dengan ketawa oleh Hasleena dan Hasryll. Mereka tahu Mama mereka terlalu gembira dengan berita ini. Nampaknya akan bertambahlah ahli keluarga ini tidak lama lagi.

“Tak adalah. Buat apa nak bertunang lama-lama. Lambat laun kahwin juga. Benda baik ni elok dicepatkan. Nanti lama-lama takut tak jadi pulak,” jawab Datin Halimah mempertahankan alasannya.

“Terpulanglah pada Mama. Kalau Mama fikirkan elok, Kal mengikut aje,” sokong Haikal akhirnya. Dia tidak mahu memberatkan lagi kepalanya. Kalau itu kehendak mamanya dia akan mengikut. Lagipun pilihan mama bukannya calang-calang orang. Cantik dan senyumannya manis. Komen Haikal sendirian.

Mama tersenyum puas. Selebihnya dia hanya mendengar perbincangan antara mama dan papanya. Fikirannya menerawang jauh. Masih memikirkan apakah sebenarnya yang sedang dia lakukan. Akhirnya dia meminta diri untuk bersendirian. Dia ke taman. Melayari fikirannya yang berkecamuk dengan masalah yang datang. Apakah betul apa yang aku lakukan? Adakah ini keputusannya? Dapatkah aku menerima dia seadanya? Ya ALLAH… Haikal mengeluh.

Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Dia menoleh.“Abang Kal menyesal ke?” soal Hasleena sambil duduk berhadapan Haikal ditaman itu.

Hasleena dapat merasakan abangnya tidak gembira dengan keputusan yang telah dibuatnya. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Menyesal? Kenapa Leen soal macam tu?” Haikal mengerutkan dahinya. Sedikit tersentak dengan pertanyaan adiknya. Dipandang tepat wajah adiknya untuk mencari jawapan disebalik wajah itu.

“Leen bukan sehari dua kenal dengan abang. Selalunya abang yakin dengan setiap keputusan abang. Tapi, Leen rasa abang ada menyembunyikan sesuatu. Leen tahu, bang. Apa sebenarnya yang mengganggu abang sekarang ni?” soal Leen lagi. Dia mahu Haikal tahu walau apa pun yang terjadi dia tetap menyokong abangnya.

“Entahlah Leen. Abang Kal pun tahu tak tahu sama ada keputusan yang abang ambil ni betul ataupun tidak.” Keluh Haikal. Sedikit sebanyak menceritakan apa yang tersurat dalam hatinya.

“Belum terlambat untuk abang Kal menariknya kembali. Jangan kerana mama dan papa, abang setuju. Tapi, raut wajah abang sedikitpun tak ceria dan menampakkan yang abang juga tak gembira dengan keputusan yang abang buat. Semuanya terjawab diraut muka abang Kal. Kami semua tahu ada sesuatu yang sedang abang tanggung. Apa dia, bang?” lembut kata-kata adiknya.

“Bukan sebab keputusan tu, Leen. Bukan kerana itu abang tak gembira,” jawab Haikal.

“Habis tu sebab apa? Beritahulah pada Leen. Walaupun Leen tak mampu menolong tapi sekurang-kurangnya Leen mengerti dan hati abang boleh lega sedikit,” pinta Hasleena.


“Abang Kal sakit disini, Leen. Benar-benar sakit. Abang rasa dikhianati.” Haikal meletakkan tangan didadanya. Hasleena terkedu. Dia tahu abangnya sedang luka parah. Dia menggenggam tangan abangnya. Memberi kekuatan agar abangnya dapat meluahkan apa yang terpendam didalam hatinya.

“Barulah abang tahu betapa sakitnya putus cinta. Abang tak pernah bercinta sebelum ni, Leen. Abang selalu mendengar kawan-kawan abang menceritakan pengalaman mereka tapi abang Kal tak tahu sebegini sakit. Abang mengaku kalah dengan perasaan, Leen. Abang tak malu mengakuinya,” beritahu Haikal tanpa segan silu.

Setelah seketika Haikal menyambung semula. “Abang mengaku betul-betul kalah apabila bersama dengan dia. Dia membuatkan hidup abang bermakna. Abang selalu membangkit isu perkahwinan. Tapi, bila dia kata tak bersedia lagi, abang Kal cuba memahaminya. Tapi, adilkah ini balasan yang harus abang terima dari dia? Abang Kal rasa tertipu dan dibohongi.”

“Abang....., Leen rasa masa ini abang harus bertawakal kepada ALLAH. Kalau abang terlalu memikirkannya, sampai bilapun ianya takkan selesai. Macam abang cakap pada mama dengan papa tadi. Mungkin ini juga petunjuk dari ALLAH untuk abang membuat keputusan. Terimalah dia seadanya. Insya ALLAH. Doa Leen semoga abang sentiasa bahagia,” lembut nasihat adiknya menusuk masuk ketelinganya. Sekurang-kurangnya kata-kata pujukan itu dapat mengurangkan rasa kecewanya saat itu.

Betul kata adiknya. Dia perlu pasrah dan menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Dia redha diatas ketentuanNYA walaupun dengan berat hati. Dia harus menghadapi realiti dari terus menganyam mimpi yang tak pasti.

Selang dua hari kemudian, Haikal bertolak keUS atas urusan kerja. Segala urusan pertunangan dibuat seminggu kemudian. Wakil pihak lelaki diwakili ibu saudaranya. Kedua buah keluarga gembira dengan ikatan yang baru terbina.

Sara juga terperanjat apabila diberitahu pertunangannya hanya tiga bulan. Sebegitu pantas dia akan mengakhiri zaman remajanya. Tapi dia tahu takdir ALLAH itu pasti indah. Pasti ada hikmah yang tersembunyi disebalik yang berlaku. Mampukah aku? Soal hatinya bersama airmata yang berlinang.

Sherry cuba untuk menghubungi Haikal beberapa hari selepas kejadian tersebut. Menunggu Haikal untuk menghubunginya laksana menanti buah yang tidak akan gugur. Akhirnya dia mengenepikan egonya dan cuba untuk menghubungi Haikal. Dia ingin menjernihkan kembali apa yang telah keruh sebelum ini. Dia ingin memberitahu Haikal apa yang telah menjadi rahsianya selama ini. Namun keingingannya tidak termakbul. Haikal telah pergi keUS atas urusan pejabat. Dia cuba mendail telefon bimbit Haikal tetapi hampa. Masih tiada jawapan. Sherry menangis keresahan. Apa yang perlu dia lakukan sekarang ini? Dia buntu.

No comments:

Post a Comment