Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 26

Azman masih lagi terkejut dengan apa yang telah terjadi. Tidak disangka semua ini akan berlaku pada dirinya. Semenjak menerima perpisahan dari Sara, dia mengambil cuti untuk menenangkan fikiran. Dia membawa hati ke Pantai Cherating. Keseorangan dia menyusuri pantai itu membawa kelukaan hatinya. Ingin dia meratap, ingin dia meraung sekuat hati tapi siapa yang akan mendengarnya? Siapa yang dapat mehamami apa yang sedang dia tanggung? Segala-galanya telah musnah. Impian yang sering diimpikan roboh sebelum sempat ianya terbina. Cintanya layu sebelum berkembang. Kasihnya putus ditengah jalan. Azman termenung sendirian. Desiran angin dan pukulan ombak petang itu sedikitpun tidak mengganggu lamunannya. Dia masih lagi berteleku membayangkan saat-saat indah bersama Sara dan saat-saat perpisahannya.

Lisa, sesungguhnya aku sungguh terluka. Mengapakah kita harus berpisah. Mengapakah ada halangan antara kita. Kau berjanji, Lisa. Kau berjanji. Tapi, mengapa kau juga yang memungkirinya? Mengapa??? Jerit hati Azman. Akhirnya airmata lelakinya gugur jua. Menangisi perpisahan yang terjadi antara mereka.

Azman masih lagi melayani perasaan kecewanya sekembalinya kekampung diMuar. Keceriaan dikampung masih tidak dapat mengubah apa-apa. Azman masih lagi dengan kepedihannya. Jadilah dia seorang perindu yang setia.

“Mak, kenapa dengan Abang Man tu? Termenung aje sejak balik kampung ni? Peliklah perangai dia,” soal Aida adik Azman yang bongsu.

“Entahlah, mak pun tak tahu. Dari balik semalam macam tulah perangai abang kau tu. Bila mak tanya tak ada apa-apa katanya. Makpun tak fahamlah,” jawab Mak Minah, ibu kepada Azman.

“Abah tak tanya pulak anak kesayangan dia kenapa jadi macam tu? Takkan abah tak perasan keadaannya?” soal Aida lagi.

“Abah kau? Apa yang dia tahu?” jawab Mak Minah. Dia faham benar perangai suaminya itu. Asyik menelaah buku-buku agama untuk persiapan ke Mekah tahun ni, Insya ALLAH. Tidak dikira apa yang berlaku disekelilingnya.

“Ala Mak ni. Abah bukannya pergi mana-mana. Dia baca buku aje. Tapi, Aida tahu dia perasan perangai abang Man berubah bila balik kali ni. Abang putus cinta agaknya,” teka Aida.

“Manalah Mak tahu. Abang Man tak pernahpun beritahu mak dia ada kawan. Apa kata orang putih tu, ‘girlfriend’. Mak tak tahulah cakap orang sekarang ni.” Aida tertawa mendengar kata-kata emaknya.

“Apa jugak le yang dibualkan dua beranak ni,” sergah satu suara dibelakang mereka. Mak Minah dan Aida terkejut bukan kepalang.

“Ya Allah, abang ni dah tak tahu beri salam ke? Terkejut kami dibuatnya,” marah Mak Minah pada suaminya. Dia benar-benar terkejut. Sangkanya suaminya masih lagi membaca kitab.

“Ya lah. Abah ni teruk betul la. Nasib baik jantung Da ni kuat lagi. Kalau tidak dah tentu gugur,” marah Aida pula. Pak Mohammad hanya tersenyum. Dengan selamba dia menjawab.

“Kalau gugur abah kutip. Lepas tu sambung balik,” guraunya.

“Abah ni...........” muncung Aida panjang sedepa.

“Abah minta maaf. Tapi, apa yang kamu orang bualkan sampai tak perasaan abah datang?” soal Pak Mohammad. Pelik dia dengan perangai anak dan isterinya.

“Sudah-sudahlah. Jangan asyik nak mengata orang aje. Nanti pahala yang ada habis semua awak sedekahkan pada orang yang awak kata tu,” nasihat Pak Mohammad lagi tanpa mengetahui hujung pangkal perbualan antara anak dan isterinya.

“Abah ni. Lain kali jangan tuduh aje tanpa ususl periksa. Sama dosanya dengan mengumpat,” sangkal Aida.

“Abah minta maaf. Tapi apa yang tak kena?” soalnya lagi.

“Kami tengah bercakap tantang abang Man. Abah tak perasan ke perangai dia bila dia sampai petang semalam. Diam aje. Tak macam biasa. Selalunya kalau ada dia, macam anak-anak abah yang lain juga balik. Mulut dia aje dah cukup untuk meriuhkan rumah ni. Ini tidak. Diam membisu dan termenung aje. Itu yang kami pelik sangat ni. Apa yang dah jadi pada dia, bah?” beritahu Aida.

Mata Pak Mohammad melorot kearah anak lelakinya yang duduk termenung di pangkin bawah pokok rambutan yang terletak dihalaman rumah.

“Abah rasa kenapa dengan abang Man tu?” soal Aida lagi bila tiada jawapan dari abahnya.

“Kenapa tak tanya sendiri dengan abang Man? Kan itu lebih elok dari kita bermain teka-teki disini,” usul Pak Mohammad pula.

“Kami khuatirlah, bah. Manalah tahu abang Man naik angin pulak nanti,” jawab Aida.

“Belum tanya jangan pandai buat keputusan. Lagipun, abang Man yang abah kenal bukan macam tu orangnya. Dia lebih bertindak dengan akal dari perbuatan dia. Semarah manapun dia, dia akan kawal kemarahannya itu. Dia penyabar orangnya,” balas Pak Mohammad mengenai anak lelakinya. Mak Minah disebelah mengiakan kata-kata suaminya. Dia amat bersetuju. Azman amat tenang orangnya berbanding dengan anaknya yang lain, Lufti anaknya yang sulung dan Zulaikha anaknya yang kedua.

Aida meneliti kata-kata abahnya. Memang betul. Berbanding dengan abang Lufti, dia lebih rapat dengan abangnya yang seorang ini. Lufti tegas sedikit orangnya.

“Tak mengapalah. Nanti abah tanyakan pada abang Man,” usul Pak Mohammad menghentikan kegelisahan kedua beranak itu.

Aku masih lagi begini. Mengimbau kenangan lama kita dahulu. Ketika kita sama-sama berjanji akan bersama selamanya walaupun apa jua yang datang menduga. Namun mengapa perpisahan yang kau pinta tatkala hatiku sepenuhnya milikmu, sayang. Apa salahku dan apa mahumu sebenarnya. Apa kurangnya diri ini berbanding dengan dirnya. Hatiku menangis sendiri. Tanpa siapa yang yang sudi menemani kesedihan dihati.

Lisa, sesungguhnya tiada pengganti kau didunia ini. Hanya dirimu yang ku cinta. Hanya dirimu, sayang. Aku merana kala ini. Jiwaku menjerit hiba. Batinku menangis sendu. Hatiku terhiris pilu. Sepiku berlagu rindu. Mengapa ini yang terjadi. Aku tersiksa. Aku menderita. Apakah aku mampu melayari kehidupan ini tanpa dirimu disisiku. Sesungguhnya perpisahan ini menambahkan kepedihan dihati. Aku kini seolah-olah sebuah bahtera tanpa kemudi untuk mencari arah tujuan. Aku tersesat dalam lautan gelora yang kian mengganas. Ya ALLAH, bantulah aku. Aku berserah hanya padaMU.

“Azman.” Kedengaran suara dibelakangnya menegurnya. Dia menoleh. Kelihatan abahnya berdiri tegak memandang wajahnya. Kemudian dia duduk bertentangan dengannya diatas sofa ruang tamu rumah mereka malam itu.

Malam yang sunyi itu terasa semakin sunyi apabila tiada orang yang bersuara. Hanya kata-kata hati sahaja yang berbual didalam jiwa. Azman berterusan melayani perasaannya tanpa mempedulikan abahnya yang dari tadi asyik memerhatikan dirinya.

“Man…….” seru Pak Mohammad sekali lagi apabila panggilannya tadi tiada mendapat reaksi yang sepatutnya dari anaknya itu. Azman menoleh kearah abahnya. Membisu dan terus menanti kata-kata seterusnya. Hanya menanti.

“Man…. Dengar tak abah panggil ni?” keras sedikit suara Pak Mohammad apabila melihat anaknya masih lagi seperti itu. Azman menganggukkan kepalanya tapi tiada suara yang terkeluar.

“Kenapa dengan Man ni? Dari tadi abah tengok Man ni lain macam aje. Apa masalah Man sebenarnya. Semua orang dalam rumah ni risau tengok Man macam ni. Kalau ada masalah, bawalah berbincang. Kalau Man asyik termenung aje, tak boleh selesaikan masalah.” Lembut kata-kata Pak Mohammad. Cuba mengorek rahsia anaknya. Penuh diplomasi. Azman memandang abahnya dengan mata yang berair.

“Cuba ceritakan pada abah. Apa sebenarnya yang dah berlaku,” soalnya lagi.

“Entahlah. Man tak tahu nak mulakan dari mana, bah.” Akhirnya suara keramat Azman terkeluar juga tapi kali ini diiringi dengan airmatanya. Pak Mad melangkah dan duduk berhampiran anaknya. Bahu Azman ditepuk beberapa kali. Tangannya digenggam.

“Pasal perempuankan?” duga Pak Mohammad. Azman hanya mengiakan sahaja. Malas mahu berterusan bermain teka teki. Lagipun fikirannya sedang bercelaru. Buntu tiada jalan penyelesaiannya.

“Man, kalau kerana perkara ini, Man dah jadi macam ni, macamana kalau Man berhadapan dengan masalah yang lebih besar? Misalnya Man pergi berjuang dimedan perang ataupun Man kehilangan mak dan abah secara tiba-tiba? Man akan jadi macam ni juga ke?” soal Pak Mohammad tiba-tiba. Dia mahu Azman menyedari sesuatu. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan kecuali kematian. Apa yang perlu adalah kita seharusnya menenangkan diri. Berfikir dengan waras agar apa yang kita lakukan berdasarkan hukum ALLAH.

Azman terdiam. Memikirkan kembali soalan abahnya. Apa yang patut aku lakukan kalau perkara itu yang terjadi? Soal hatinya.

“Man, jangan kalah dengan perasaan. Syaitan bersorak riang. Tak salah kalau kita mengenang kembali tapi jangan keterlaluan. Nanti merana diri dan merosakkan hati kita. Anggaplah dah tak ada jodoh. Semua itu kehendakNYA. Siapa kita untuk menghalang? Takdir datang dariNYA. Berserahlah. Insya ALLAH, hati Man akan tenang. Jangan kerana seorang perempuan, Man buat perkara bodoh,” nasihat Pak Mohammad seperti dia tahu apa yang sedang Azman lalui. Dia mahu Azman mengerti bahawa hidup ini tidak selalunya indah. Kadangkala ada dugaan datang melanda dan kita harus redha.

“Tapi, Man dah lama kenal dia, bah. Kami dah janji nak bersama. Kenapa dia buat Man macam ni? Apa salah Man, bah? Apa salah Man, bah?” bertalu-talu soalan Azman pula.

“Man, hanya janji dengan yang Esa sahaja yang pasti. Itu janji sebenar. Janji antara manusia hanya tuntutan yang perlu kita tunaikan. Sekarang ni abah nak Man ceritakan perkara yang sebenarnya. Apa yang telah terjadi?” soal Pak Mohammad. Dia ingin tahu segalanya.

Azman menceritakan kisahnya dari awal pertemuan hinggalah terjadinya perpisahan antara mereka. “Man betul-betul sayangkan dia, bah. Man nak dia jadi isteri Man. Tapi………….”Azman tidak dapat meneruskan kata-katanya.

“Sabarlah Man. Abah percaya dia juga menderita. Perpisahan ini juga bukannya dia pinta. Kalau abah tanya Man satu soalan Man boleh jawab” soal Pak Mohammad.

“Apa dia?”

“Kalau Man perlu buat pilihan yang mana satu pilihan Man. Antara Mak dan abah dengan Lisa?” Azman terkesima. Dia bingung sebentar.

“Tentulah Man pilih mak dan abah. Antara mak dan abah dengan Lisa, tentulah Man lebih sayangkan mak dan abah.” Jawab Azman sambil memandang abahnya.

“Man pasti?” Pak Mohammad inginkan kepastian dengan jawapan anaknya.

“Pasti!” tegas jawapan Azman.

“Macam tu lah juga apa yang terjadi pada Lisa. Dia diberi pilihan dan terpaksa membuat keputusan walaupun perit. Pasti Lisa sayangkan kedua-duanya tapi dia pasti tak sanggup melukakan hati ibunya lebih-lebih lagi bila ayahnya dah tak ada. Salah seorang terpaksa berkorban. Kalau Man sanggup memilih kami, macam tu jugalah dia. Man kena faham situasi yang dia hadapi. Bukan kehendak dia dan bukannya salah Man. Tapi semuanya kerana takdir. Walaupun bercinta sepuluh tahunpun tak semestinya bersatu dengan perkahwinan. Sudah tertulis diazali. Inilah rempah ratus kehidupan, Man. Kerana pengalaman itu akan mendewasakan dan mematangkan kita agar kita jadi tabah dan bersemangat untuk hari esok,” nasihat Pak Mohammad. Azman terdiam sambil memikirkan kata-kata abahnya. Memang diakui ada kebenarannya.

“Sudahlah. Boleh kalau Man nak mengenang tetapi jangan berlebihan. Emak bimbang tengok Man macam ni. Aidapun sama. Jangan kerana masalah ini hubungan kita renggang,” ujar Pak Mohammad sambil bangun menuju kebiliknya.

Azman meneruskan menungannya. Memikirkan kembali kata-kata abahnya sebentar tadi. Lisa, mungkin juga antara kita tiada jodoh. Man doakan Lisa bahagia, sayang. Man Cuma menerima takdir ALLAH. Semoga kau berbahagia, sayangku. Doa Azman diiringi airmata. Dia pasrah.

No comments:

Post a Comment