Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 24

Ketika sampai dirumah, dia langsung tidak nampak Mama. Dia tahu Mama masih lagi terluka dengan kata-katanya. Dia melangkah longlai kebilik. Dikatil, Haikal menghempaskan tubuhnya yang kepenatan. Dia masih lagi buntu untuk mencari penyelesaian masalahnya. Apa yang harus aku lakukan?

Ketika mereka menikmati hidangan makan malam, hanya kebisuan yang menjadi teman antara mereka. Datin Halimah masih lagi dengan rajuknya. Haikal masih lagi melayani kebuntuannya. Datuk Hisham dan anaknya yang lain hanya menjadi pemerhati. Tidak mahu lagi untuk masuk campur kerana masing-masing sedang bercelaru fikirannya.

Selesai makan, Datin Halimah terus sahaja melangkah masuk ke dalam bilik. Sedangkan sebelum ini dia akan berbual sebentar dengan anak-anak dan suaminya. Bercerita tentang perkembangan diri masing-masing kerana diwaktu inilah mereka mempunyai masa untuk bersama. Kini segalanya hambar. Datuk Hisham menuruti isterinya tidak lama kemudian. Hasleena dan Hasryll memandang sayu. Takut untuk berkata-kata atau meluahkan apa yang dirasa. Namun mereka turut merasakan bahangnya. Hati mereka juga tidak tenteram. Hasleena melangkah menuju ke bilik abangnya. Pintu bilik itu diketuk.




“Abang, boleh Leen masuk?” soal Hasleena setelah pintu terkuak. Haikal yang telah baring, mengangkat kepala mengiakannya. Hasleena melangkah dan duduk dibirai katil. Haikal bangun dari pembaringannya.

“Kenapa ni Leen? Leen ada masalah ke?” soal Haikal apabila melihat adiknya hanya mendiamkan diri. Hasleena memandang abangnya.

Airmatanya mengalir lesu. Haikal tergamam dan merangkul adiknya dalam pelukan. Hasleena melepaskan tangisannya dalam pelukan Haikal. Hati Haikal sayu mendengar tangisan adiknya itu. Begitulah mereka. Mama dan Papa mereka mengasuh dengan sempurna. Jika seseorang susah semua akan merasakan kesusahannya. Ibarat mencubit peha kanan peha kiri terasa sama.

“Sudahlah tu. Abang Kal bimbang kalau Leen menangis macam ni. Nanti Leen jatuh sakit pula.” Haikal mengusap belakang Hasleena memujuknya. Pelukan dileraikan. Terkial-kial Hasleena menyapu baki airmatanya. Dia memandang wajah abangnya semula.

“Abang, jumpalah Mama. Minta maaf dengan Mama. Leen rasa terasing sangat. Abang kehulu. Mama kehilir. Dulu tak macam ni pun. Bila ada masalah, kita sama-sama berbincang dan cuba selesaikan sama-sama. Tapi sekarang lain pulak. Leen rasa sedih, bang. Leen rasa terpinggir,” ujar Hasleena dalam sendunya.
“Leen tak minta banyak, bang. Leen nak Mama macam dulu semula. Kalau abang tak setuju dengan pilihan Mamapun, tak apalah. Tapi, jangan buat Mama macam tu. Leen takut Mama sakit macam dulu. Leen risau bang. Leen tak boleh kalau Mama tak ada,” sambungnya. Haikal kembali memeluk adiknya. Hasleena masih lagi dengan tangisannya yang tiada kesudahan itu.

“Abang juga buntu, Leen,” ujar Haikal setelah lama berdiam diri. Dia amat berharap agar adiknya memahami situsi yang dia alami.

“Leen cuma minta abang minta maaf dengan Mama. Itu aje. Bukannya setuju dengan cadangan Mama. Leen nak family kita macam dulu semula.” Haikal terdiam sejenak. Dia menarik nafas panjang.

“Baiklah, demi adik abang yang seorang ni, abang akan minta maaf. Nanti kalau Leen pulak yang merajuk susah. Siapa yang nak gaduh dengan abang lagi?” gurau Haikal sambil menarik hidung mancung adiknya yang sedang memerah kerana menangis. Hasleena tersenyum walaupun pahit. Dia tahu abangnya akan memujuk Mama.

Walau macamana mereka bergaduhpun, Haikal amat memahami kehendak dirinya. Haikallah orang pertama yang menyokong dirinya ketika dia membuat keputusan untuk menjadi seorang peguam walaupun Mama dan Papa kurang bersetuju. Tapi abangnya tetap berdiri dibelakangnya. Abangnya begitu memahami. Haikal bangun menuju kemuka pintu biliknya.

“Abang nak kemana pula?” soal Hasleena.

“La……nak jumpa Mamalah. Bukan ke Leen juga yang suruh tadi? Mama ada dibawah ke?”

“Tak. Mama dengan Papa dah masuk bilik,” beritahu Hasleena.

Haikal melangkah menuju kebilik utama bersebelahan bilik Hasleena. Pintu bilik itu diketuk. Haikal memulas tombol pintu apabila terdengar suara orang mengarahkannya masuk. Kelihatan Mamanya sudahpun berbaring dikatil dan Papanya duduk bersebelahan Mamanya. Tentu Mama dan Papanya sedang berbincang sesuatu. Ataupun Papa sedang memujuk Mama. Telahnya.

“Kenapa Haikal?” soal Datuk Hisham apabila melihat Haikal berdiri tegak dimuka pintu.

“Nak jumpa Mama sekejap,” jawab Haikal pendek.

“Hmmm……. Masuklah. Imah, Haikal datang ni. Kita kena dengar apa pula yang dia nak kata. Jangan layan sangat rajuk tu. Perkara takkan selesai kalau berterusan macam ni. Kita berbincang dan ambil kata putus,” pujuk Datuk Hisham.

Datin Halimah bangun dan bersandar ditepi katil. Haikal melangkah dan duduk bersebelahan Mamanya. Datuk Hisham memberi ruang kedua beranak itu berbincang dari hati kehati. Dia hanya memerhatikan mereka sahaja. Haikal mengambil tangan Mamanya dan dikucupnya. Digenggam erat tangan tua itu.

“Maafkan Kal, Mama. Maafkan Kal. Kal tak sengaja nak cakap macam tu.” Airmata lelakinya jatuh juga. Datin Halimah juga tidak dapat mengawal airmatanya dari mengalir. Sayu hatinya apabila anaknya meminta maaf.

“Mama juga Kal. Mama tak patut buat Kal macam tu,” ujar Datin Halimah. Haikal terus memeluk Mamanya. Terasa kepalanya yang memberat siang tadi lenyap hanya dengan huluran kemaafan dari Mama. Terasa lapang dadanya sedikit.

“Kal minta maaf buat Mama sampai jatuh sakit begini. Kal bersalah dengan Mama. Kal tak sepatutnya cakap tentang perkara tu semula. Kal minta maaf.” Haikal berterusan meminta maaf. Dia benar-benar menyesal.

“Sudahlah, Kal. Kita janganlah menyalahkan diri masing-masing. Mama juga bersalah. Kita jadikan iktibar. Kalau apa-apa terjadi lagi kita perlu bersatu. Macam dulu-dulu. Tak boleh begini,” tangis Datin Halimah. Haikal menganggukkan kepalanya. Airmata Mamanya disapu.

Hasleena menuruti langkah abangnya kebilik utama sebaik sahaja Haikal keluar dari biliknya. Begitu juga dengan Hasryll. Dia turut menangis apabila melihat Mama dan abangnya bertangisan. Hatinya terharu. Benarlah apa yang dikatakan Papanya, walau apapun yang berlaku mereka perlu bersatu. Semuanya akan menjadi mudah.

Datin Halimah memandang Hasleena dan Hasryll dimuka pintu. Hatinya tersentuh melihat airmata Hasleena. “Come Leen.” Meluru Hasleena mendapatkan Mamanya. Hatinya gembira apabila Mamanya tersenyum padanya. Dia benar-benar rindukan Mamanya. Hasleena memeluk erat Mamanya.

“Kenapa Leen menangis, sayang?” soal Datin Halimah sambil membelai rambut anaknya.

“Leen bimbang tengok Mama dengan abang macam ni. Leen rasa perkara ni kecil aje. Tapi kenapa jadi sampai macam ni. Leen tak suka,” luah Hasleena.

“Mama sorry, okey. Mama janji lepas ni takkan berlaku dah macam ni. Jangan bimbang,” janji Datin Halimah.

“Ala……. Anak manja memang macam ni. Bukannya kita tak tahu,” tokok Haikal pula. Hasleena yang berada didalam dakapan Datin Halimah merungkaikan pelukannya. Bahu Haikal dipukul lembut. Lantas Haikal menarik adiknya dalam pelukannya.

“Abang sayangkan Leen. Abang tahu walau macamana kita bergaduhpun, Leenlah yang paling abang sayang,” Haikal beremosi. Hasleena tersentuh dengan pengakuan abangnya. Hasryll dengan Datuk Hisham hanya menjadi pemerhati.

“Terima kasih Leen kerana menyedarkan abang tentang tanggungjawab.” Hasleena memandang wajah Haikal.

“Mama, Kal rasa Kal nak berbincang hal tu dengan Mama,” ujar Haikal setelah keadaan kembali tenang. Dia tahu dia perlu memberitahus segalanya agar tiada lagi salah faham antara mereka.

“Tak perlulah Kal. Kal boleh buat keputusan sendiri. Mama menurut sahaja,” tolak Datin Halimah yang mengerti.

“Tak, Mama. Biarlah perkara ni selesai cepat-cepat. Kal tak mahu lagi ianya membelenggu kita sekeluarga. Sebenarnya Mama Kal dah jatuh cinta. Kal terlalu menyayangi dirinya,” beritahunya perlahan.

“Siapa?” Soal Hasleena.

“Namanya Sherry. Anak Tan Sri Yahya. Papa kenal dengan mereka,” jawab Haikal sambil memandang Papanya yang berada tidak jauh dari mereka.

“What??? Sharifah Alynna Tan Sri Yahya. Great!!!” jerit Hasleena tiba-tiba.

“Leenpun kenal dengan dia ke?” soal Haikal pelik. Terkejut dengan reaksi adiknya.

“Hebat pilihan abang Kal. Siapa yang tak kenal dengan dia, bang. Model terkenal. Agaknya sebarislah dengan Nasha Aziz tu. Superb,” Komen Hasleena. Haikal tersenyum. Datin Halimah hanya mendiamkan diri kerana suaminya telah memberitahu serba sedikit sebentar tadi.

“Kal tak mahu beritahu Mama dan Papa sebab Kal nak pastikan hubungan kami benar-benar kukuh. Kal mungkin berani to make any decision in business Ma, tapi terus terang Kal katakan Kal lemah dengan perasaan sendiri. Kal tak malu nak mengakuinya. Mama pun tahu Kal macamanakan? Kal yakin Mama, dengan cinta Kal. Malah Kal dah pernah melamar dia. Cuma Sherry tak bersetuju kerana ingin memberi komitmen terhadap kerjanya dulu. Kal pernah beritahu dia, seandainya kami berkahwin, Kal mahu dia berhenti dari dunia modelling. Kal tak suka dengan kerjaya dia sekarang tapi Kal tak boleh bersuara sebab dia bukan hak Kal. Jadi Kal beri dia masa. Tapi, tak tahulah sampai bila,” terang Haikal sambil mengeluh akhirnya.

“Kenapa pulak macam tu?” soal Datin Halimah.

“Dia pernah suarakan untuk ke Itali atau France untuk mendalami bidang ni. Ini adalah impian dia. Dia kata walaupun dia ada Master dalam business tapi dia nak realisasikan minat dia dulu. Peninglah Mama. Kal tak tahu nak buat macamana,” rungut Haikal.

“Bincanglah dulu dengan dia. Mungkin boleh bertunang dulu,” pujuk Mamanya sambil memberi cadangan. Dalam diam Haikal menyetujuinya. Akhirnya kata putus dicapai.

“Macam ni lah Mama. Beri Kal masa sampai hujung bulan ni. Kal cuba berbincang dengan dia dulu. Kalau dia tak setuju juga, Kal akan ikut cakap Mama,” usul Haikal kurang yakin dengan kata-katanya. Adakah ini keputusanku. Bisiknya didalam hati.

“Tapi, Mama tak mahu Kal terima Sara kerana Mama dan Papa. Kal yang nak kahwin, bukannya Mama. Kal yang nak hidup bersama dia. Mama dengan Papa tak mahu kahwin dua tiga bulan dah nak bercerai berai. Nanti timbul macam-macam masalah. Mama tak suka,” bantah Datin Halimah. Dia dapat merasakan cinta anaknya terlalu utuh. Tiada apa atau sesiapa yang dapat meruntuhkannya. Sinar mata Haikal memancar ketika berbicara tentang Sherry.

“Haikal, kalau orang kata perkahwinan itu satu perjudian terpulanglah. Tapi, pada Papa perkahwinan bukannya satu perjudian yang akan ada kalah menangnya. Tak semestinya bila kita bahagia bermakna kita menang dan begitu juga sebaliknya. Semuanya ditentukan Qada’ dan Qadar Allah. Kita hanya menjalankan amanahNYA berpandukan hukum dariNYA. Semuanya terpulang pada hati kita. Kalau kita inginkan bahagia, Insya Allah kita akan dapat,“ lembut kata-kata Datuk Hisham memberikan nasihat setelah lama menjadi pemerhati. Haikal dan adik-adiknya terdiam. Kesemua mata memandang Papa mereka.

“Papa dan Mama nak anak-anak kami semuanya bahagia dan hidup senang sebab anak-anak adalah harta yang tiada nilainya. Walau diletakkan wang berjuta kami tetap memilih anak-anak. Jadi, Mama dan Papa sanggup berkorban apa saja. Kalau boleh Mama dan Papa tak mahu ada secalit parutpun yang ada pada Kal adik-beradik. Tapi, Mama dan Papa hanya penunjuk arah. Yang menjadi penentunya kamu semua sendiri. Andai jalan yang diambil elok, alhamdulillah tapi kalau sebaliknya, Mama dan Papa akan membantu untuk luruskannya semula,” nasihat Datuk Hisham lagi. Anak-anak terdiam mendengar kata-katanya.

“Dalam hal ni, Papa minta Kal berfikir masak-masak. Memang kami mahukan Kal mendirikan rumahtangga secepat mungkin tapi bukannya terburu-buru. Kal berbincanglah dengan Sherry baik-baik. Kalau jodoh Kal kuat dengan dia, alhamdulillah. Tapi, kalau sebaliknya Kal kena redha. Ingatlah kita hanya mampu merancang tapi ALLAH yang tentukan,” ujarnya lagi sambil menepuk bahu anaknya yang dari tadi hanya membisu.

“Kal akan berbincang dengan Sherry. Sebenarnya Kal dah lama terfikir nak kahwin. Mungkin dah sampai seru. Dah bosan hidup macam ni. Boringlah,” ujar Haikal pula.

“Baiklah. Berbincanglah baik-baik. Mama dan Papa setuju aje dengan keputusan Kal. Kami takkan membantah.” Datin Halimah juga turut mengiakan kata-kata suaminya.Tidak lama kemudian mereka keluar dari bilik itu. Haikal sudah tenang sedikit. Begitu juga dengan Hasleena dan Hasryll. Hasleena sudah mampu ketawa riang.
Hari bersilih hari. Minggu berganti bulan. Alam tetap berputar membawa siang kepada harapan dan malam yang terus setia menanti. Aku semakin menghitung hari. Namun hatiku tetap diamuk resah gelisah. Fikiran bercelaru hati tersayat pilu. Apakah ini takdir dariNYA yang perlu aku tempuhi melewati detik waktu yang berlalu tanpa henti. Apakah keputusan yang aku ambil adalah keputusan yang terbaik buat diri aku? Atau hanya berkorban demi orang yang amat aku sayangi. Ya ALLAH! Sesungguhnya hati ini merintih saban waktu. Meratap hiba dengan apa yang sedang berlaku. Masih adakah sinar untukku dalam mencari harapan dan membina impian dimasa hadapan. Atau segalanya gelap gelita memaksa diri ini teraba-raba dalam kegelapan?

No comments:

Post a Comment