Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta -22

Hari semakin beransur tengahari. Satu kerjapun Haikal tidak dapat siapkan. Fikirannya masih lagi buntu dan bercelaru. Perasaan bersalah semakin menghantuinya saat itu. Tidak pernah walau sekalipun dia meninggikan suara pada Mamanya. Dia tertekan dengan permintaan Mamanya. Dia juga tidak sengaja. Apa yang harus aku buat sekarang ni? Ya ALLAH aku berdosa kepada MU dan Mama. Maafkan Kal, Mama. Maafkan Kal. Kal tak sengaja. Rintihnya didalam hati.

“Karen, is my father in the office?”

“Yes, Mr Haikal,” jawab Karen, setiausaha Papanya.

“Is he free now. I want to see him. Personal problem.” Haikal tahu hanya Papanya yang dapat membantu dia saat ini. Hanya Papa yang dapat menyelesaikan masalahnya. Setelah mendapat pengesahan dari Karen dia melangkah naik ketingkat atas untuk bertemu Papanya. Datuk Hisham sedia menunggu kedatangan Haikal setelah setiausahanya memberitahunya sebentar tadi. Dia tahu perkara apa yang ingin dibincangkan oleh Haikal.

“Assalamualaikum, Papa,” ucap Haikal sebaik sahaja melangkah masuk bilik itu.

“Waalaikumsalam. Masuklah, Kal. Papa memang tunggu Kal. Duduklah,” persila Datuk Hisham yang nampak jelas kerunsingan yang sedang melanda anak bujangnya. Haikal duduk berhadapan dengan Papanya.

“Kenapa ni? Muka monyok semacam aje. Dunia belum kiamat lagi, Kal,” gurau Datuk Hisham sinis. Haikal tersenyum.

“Tapi hidup Kal dah berakhir Papa,” bidas Haikal. Datuk Hisham terkejut.

“Berakhir? Apa sebabnya Kal boleh cakap macam tu? Papa kurang faham,” tingkah Datuk Hisham pula.

“Kal minta maaf Papa kalau Kal buat silap. Tapi, Mama tak boleh buat Kal macam ni. Mama terlalu mendesak,” luahnya.

“Mama buat apa? Apa yang Mama desak Kal? Mama hanya minta Kal kahwin bukannya buat jahat. Kenapa Kal boleh buat Mama macam tu. Mama jatuh sakit, Kal tahu tak? Sepanjang malam dia menangis,” beritahu Datuk Hisham.

“Mama sakit?” Perasaan bersalah itu semakin menyelimuti dirinya. Dia mengeluh. Tidak pernah dia berkelakuan begini terhadap Mamanya. Tetapi hanya kerana perkara itu, dia telah mengguris hati Mama. Dia menyesal.

“Sepanjang malam Mama menangis. Mama kecil hati bukan kerana Kal tolak pilihan Mama tapi kerana Kal meninggikan suara dan mengungkit semula kisah duka Mama. Papa dengan Mama tak pernah ajar Kal adik-beradik berkelakuan biadap dan meninggikan suara dengan orang tua. Mama terkejut dengan sikap Kal malam tadi,” ujar Datuk Hisham lagi.

“Kal minta maaf Papa. Kal tak bermaksudpun nak marah ataupun meninggikan suara dengan Mama. Apatah lagi nak ungkit kisah lama tu. Kal tak bermaksud macam tu,” sayu kata-kata Haikal berserta dengan penyesalannya.

“Kal, Mama sayang sangat dengan Kal. Terlalu sayang. Kal adalah lambang cinta Mama dan Papa. Kal pun tahu keluarga Mama tak pernah merestui perkahwinan kami sehinggalah kini. Tapi, Mama tetap setia. Tetap tabah bersama Papa harungi kehidupan ini. Bukan senang Kal. Mama anak orang kaya. Papa apa yang ada. Tapi, kami bersatu juga. Bersama-sama kami membentuk rumahtangga. Kal menjadi sumber inspirasi kami bila Kal lahir. Kami semakin kuat. Cinta kami semakin utuh. Kami bahagia sampai kini,” cerita Datuk Hisham tanpa berselindung. Dia mahu Haikal mengerti hasrat yang terlindung disebalik permintaan mereka.

Haikal juga mengetahui apa sebenarnya yang berlaku keatas kedua orang tuanya ketika dia berumur 14 tahun. Mamanya menceritakan segalanya apabila neneknya menghalau mereka ketika mereka pergi berjumpa dengannya ketika hari raya puasa ketika itu. Ketika itu barulah dia dan adik-adik mengetahui apa sebenarnya yang terjadi pada Mama dan Papa mereka.

“Mama terlalu sayangkan keluarga ini. Dia sudah tidak mempunyai apa-apa selain Papa dan anak-anaknya. Bila Kal buat macam tu, tentulah dia kecil hati. Papa juga faham perasaan Kal. Apa yang Kal rasa bila berita itu dikhabarkan. Tapi, pernahkah Kal memberi Mama peluang untuk menerangkan maksud hatinya. Apa yang terpendam dalam jiwa dia?” soal Datuk Hisham pada Haikal.
“Tapi, Mama sepatutnya tanya Kal dulu. Bukannya buat keputusan untuk Kal,” sangkal Haikal.

“Mama tak buat keputusan untuk Kal. Mama ajak Kal berbincang. Dua perkara yang berbeza Haikal, walaupun maksudnya seakan sama. Kalau Kal tak setuju ataupun dah ada pilihan hati sendiri, Mama dan Papa takkan menghalang. Cuma Mama inginkan Kal berkahwin dalam tahun ni juga. Umur Kal pun bukannya muda lagi,” balas Datuk Hisham penuh toleransi. Setiap bait katanya penuh kasih yang tiada penghujung. Amat memahami situasi yang sedang dihadapi oleh anaknya.

“Tahun ni? Kenapa cepat sangat?” soal Haikal bertambah terkejut dengan kata-kata Papanya.

“Ya dan Papa pun setuju dengan Mama. Kal……., sebagai orang tua ni besar tanggunggjawabnya. Bukan sekadar melihat anaknya membesar dan mendidik mereka, tapi kebahagian anak-anak juga impian mereka. Mama nak lihat anaknya bahagia. Mama bimbang Kal tersimpang jauh.”

“Tersimpang? Apa maksud Papa ni?” soal Haikal tidak memahami maksud Papanya.

“Cara hidup Kal yang membuatkan Mama dan Papa bimbang. Kal jarang ada dirumah. Papa percaya tanyalah disko diKL ni, mesti semua Kal dah ziarah. Jangan nak bohong dengan Papa, Haikal. Kami tak menegur sebab kami yakin dengan Kal. Tapi, sampai bila Kal? Sampai bila? Mama khuatir Kal akan lemah akhirnya dan terus terjerumus. Dan itu memang dah jadi lumrah. Naluri keibuan ni lain rasanya, Kal,” nasihat Datuk Hisham. Haikal tersentak. Terharu dengan sikap prihatin kedua orang tuanya.

“Tapi kenapa Mama buat macam ni? Ini bukan jalan penyelesaiannya. Banyak lagi cara lain, pa,” bangkang Haikal tidak bersetuju.

“Kami fikir bila Kal dah ada isteri, dah ada keluarga Kal akan berubah. Tak banyak sikitpun jadilah. Kami nak Kal lebih bertanggunggjawab pada diri dan keluarga. Dan yang paling utama, Kal dah selayaknya bergelar seorang suami dan ayah. Kal tak cemburu ke tengok kawan-kawan Kal yang dah kahwin dan ada anak, isteri? Kal tak tengok betapa gembira dan bahagianya dia orang semua? Okey sekarang Papa nak dengar pendapat Kal pulak? Kenapa Kal tolak cadangan Mama?” soal Datuk Hisham pula. Dia memandang tepat wajah anak lelakinya yang berada dihadapannya.

“Sebenarnya…….. macam ni. Kal dah ada pilihan hati sendiri. Itu yang Kal nak beritahu Mama dan Papa cuma belum sampai masanya aje. Dia tak bersedia lagi untuk diperkenalkan pada Papa dan Mama sebab kami baru saja kenal belumpun setahun. Bila dia dah bersedia nanti, Kal sendiri akan bawa jumpa Papa dengan Mama.” Haikal membongkarkan rahsia yang selama ini tersimpul rapi dilipatan hatinya. Benar dugaan Papanya. Haikal sudah ada pilihan hatinya.

“Boleh Papa tahu siapa orangnya? Tentu cantik dan layak bergandingan dengan anak Papa ni?” Haikal tersenyum mendengar pujian Papanya.

“Anak Tan Sri Yahya. Sharifah Allynna nama dia.”

“Model tu?” Terkejut Datuk Hisham mendengar namanya.

“Papa pun tahu dia seorang model?”

“Kal ingat Papa ni kolot sangat ke?” soal Datuk Hisham menyebabkan Haikal tertawa.

“Memang padan. Pandai Kal cari. Superb,” komen Datuk Hisham lagi.

“Papa setuju ke?”

“Nak kata setuju seratus peratus tak juga. Begitu juga sebaliknya. Kenapa dia pilih kerjaya sebagai model. Bukankah ayahnya seorang saudagar perkapalan yang terkenal?” Datuk Hisham kurang puas hati dengan karier Sherry.

“Itu sebabnya dia tak bersedia lagi. Kal ada juga beritahu yang Kal juga tak berapa setuju kalau dia teruskan kerjaya modellingnya selepas kahwin. Kal tak suka. Lepas tu dia kata kalau macam tu dia tak bersedia untuk berkahwin lagi. Dia nak capai impian dia dulu. So, I have no choice. Kal ikut aje,” beritahu Haikal. Datuk Hisham mengeluh.

“Kenapa Papa?” Haikal hairan mendengar Papanya mengeluh.

“Sampai bila Kal nak menunggu. Setahun, dua atau sepuluh? Usia kita semakin meningkat Kal. Jangan bila sampai masa tu kita sepatutnya bergelar datuk kepada cucu tapi Kal baru bergelar ayah kepada seorang anak. Waktu itu barulah Kal akan menyesal,” ugut Datuk Hisham.

“Tapi Papa, we love each other. Kal tak pernah rasa macam ni. This is my first love.”

“I know son. I know. Kalau tidak takkan Kal sanggup kecilkan hati Mama. Tapi Papa nak Kal fikirkanlah apa yang Papa beritahu tadi. Papa tak paksa cuma ingatkan. Sebab Papa rasa pilihan kami tak kurang hebatnya walaupun gadis kampung.”

“What??? Kampung girl??? Come on Papa.” Haikal bertambah terkejut.

“Salah ke kalau orang kampung? Hina ke? Papapun orang kampung juga. Jangan menghina, Haikal,” tegur Datuk Hisham.

“Bukan macam tu maksud Kal, Papa. Tapi dekat mana Papa dengan Mama jumpa dia? Atuk dengan nenek yang carikan ya?” teka Haikal. Mula terbayang wajah datuk dan nenek sebelah Papanya. Hai! Kes berat ni?

“Tak. Bukan pilihan mereka. Kal ingat tak lagi masa abang Hanif kahwin dulu?” Wajah Sara tiba-tiba tergambar dilayar fikiran Haikal. Haikal akui Sara memang cantik tapi entahlah................. Seolah-olah ada sesuatu yang menidakkan perasaannya terhadap gadis itu.

“What??? That lady??? Huh………. Not my taste Papa. Reject!!!” bantah Haikal. Bulat matanya memandang Papanya yang tersenyum sinis.

“Kenapa? Apa yang tak kena dengan dia. Cantik orangnya, bersopan santun pulak tu.”

“Tapi, tudung dia tak pernah tanggal dari kepala. Nak nampak rambut dia punyalah payah. Bosanlah asyik bertutup aje. Rimaslah,” komen Haikal. Tapi dalam hatinya mengakui keayuan wajah gadis itu. Sejuk mata memandang. Ketika itu dia juga asyik mencuri pandang seraut wajah mulus itu.

“Kalau Kal kahwin dengan dia, nanti dia bukalah. Dah Kal bukan muhrim dia, takkan dia nak tunjukkan. Siapa yang dapat dia Papa yakin, sejuk hati suaminya. Untung Kal,” komen Datuk Hisham mengenai Sara.

“Mana Papa tahu?”

“Kal…… rasa cinta, kasih, sayang semuanya datang dari hati kita. Kita yang menentukannya. Bukannya orang lain. Kita tentukan berdasarkan takdir Allah. Qada’ dan Qadar. Semuanya terpulang pada kita sendiri. Macamana kita nak mencorakkannya. Begitu juga dengan hidup ini Kal. Dan tak semestinya pilihan orang tua itu akan membawa derita.”

“Papa cakap seolah-olah suruh Kal bersetuju aje dengan cadangan Mama.”

“Jangan cakap macam tu. Papa tak kisah siapa pilihan Kal. Tapi seperti kata Mama, Kal seharusnya berkahwin cepat. Kami akan restui siapa juga pilihan Kal nanti. Cuma yang Papa harapkan Kal minta maaf dengan Mama. Papa risau kalau sakit Mama akan melarat. Okey?”

“Baiklah Papa. Kal akan cuba berbincang dengan Mama dan Sherry. Sebenarnya Kal juga bosan hidup macam ni. Rasanya dah puas enjoy. Mungkin dah sampai seru gamaknya.” Haikal bergurau.

“Kal fikirkanlah baik-baik. Jangan terburu-buru dalam membuat keputusan. Ini soal masa depan. Papa akan sokong Kal apa juga keputusan Kal nanti.” Seraya mendengar kata-kata itu, Haikal melangkah kakinya meninggalkan bilik Papanya. Lega sedikit rasanya setelah berbincang dengan Papanya. Kini dia bersendirian didalam biliknya. Semua staffnya telah keluar makan tengahari.

“Tak keluar Kal?” Haikal mendongak. Kelihatan Johari dimuka pintu biliknya. Dia menggeleng.

“Tak ada seleralah. Kalau kau nak makan, pergilah,” tolaknya lemah.

“Kenapa ni. Apa hal? Tak ada mood aje. Bergaduh lagi dengan Sherry?” soal Johari. Bukannya dia tidak tahu kalau sehari Haikal dengan Sherry tak bertegang urat tak sah. Ada saja yang tak kena pada pandangan diaorang. Selepas itu elok kembali. Kadangakala bila difikirkan macam perangai budak-budak. Haikal masih lagi mematungkan diri. Tidak langsung memberi reaksi pada soalan sahabatnya itu.

“Hei kau ni kenapa? Apa masalah kau. Beritahulah pada aku. Mungkin aku boleh tolong?” soal Johari lagi.

“Berat Joe. Berat,” keluh Haikal.

“Apa yang berat?”

“Sebenarnya aku bergaduh dengan Mama semalam. Mama kecil hati dengan aku. Aku bimbang kalau Mama jatuh sakit lagi. Aku rasa bersalah Joe. Menyesal sangat-sangat,” beritahu Haikal akhirnya. Johari terkejut.

“Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa sampai jadi macam tu?”

“Mama jugalah yang mulakan. Kau tahu ajelah aku ni kan ke panas baran. Semalam, tak pasal-pasal Mama suruh aku kahwin. Dah tu siap pergi merisik pihak perempuan lagi.” Haikal membuka ceritanya.

“Apa? Mama kau pinang Sherry ke?” soal Johari terkejut.

“Kalau Sherry tak apa. Ni orang lain. Macamana aku tak pening kepala.”

“Kenapa Mama kecil hati pulak?”

“Aku tertinggikan suara malam tadi sewaktu dia tanya pendapat aku. Aku tak sengaja. Tiba-tiba aje aku rasa marah sangat. Langsung terlepas cakap. Papa beritahu Mama menangis satu malam dan jatuh sakit.” Hati Haikal masih dipagut rasa bimbang.

“Kau tu sepatutnya kawallah sikit perasaan marah. Mama cuma suruh kau kahwin aje bukannya suruh bunuh orang. Tak baik Kal, buat Mama macam tu. Kau beruntung sebab ada Mama dan Papa. Macam aku ni, hidup sebatang kara. Kau nak?” sergah Johari keras. Terbit juga perasaan marah kerana perbuatan Haikal tetapi cuba dikawalnya.

“Kan ke aku dah cakap aku tak sengaja. Aku tak sedar pun. Aku terkejut sangat masa tu,” bela Haikal pula.

“Betul tu. Tapi sebelum meluahkan kata, berfikir dulu jangan ikut sedap mulut aje. Tak salah permintaan Mama tu. Bukannya apa sangat. Kalau kau tak setuju dengan pilihan dia, kahwin aje dengan Sherry. Bagi tahu aje Mama dan Papa. Suruh masuk meminang. Kan senang,” cadang Johari.

“Masalahnya sekarang ni, Sherry yang tak mahu kahwin lagi. Itu yang buat aku runsing ni. Macamana nak buat sekarang? Mama suruh kahwin paling lewatpun hujung tahun ni. Mama kata aku dah sepatutnya berkeluarga dan ada tanggungjawab sendiri. Aku buntulah, Joe,” luah Haikal. Johari hanya memandang. Memang berat masalah Haikal.

“Haikal, berbincanglah dulu dengan Sherry. Manalah tahu kalau-kalau hati dia terbuka nak kahwin. Belum cuba, belum tahu lagi,” pujuknya.

“Aku dah pernah suarakan, Joe. Katanya nak realisasikan dulu impian dia. Papa tahu Sherry seorang model. Dia macam tak berapa suka sikit. Kau tahu ajelah family aku tu. Nama aje orang bandar tapi fikiran kolot sikit.”

“Kau suka ke kalau Sherry teruskan dunia dia kalau kau orang dah kahwin nanti?” tingkah Johari.

“Dah tentulah tak suka. Takkan nak tayang semua milik dia dekat orang. Dia hak aku dah tentulah aku tak benarkan.” Haikal membantah dalam nada berbaur cemburu.

“Macam tulah jugak perasaan mereka. Kalau kau tak setuju apatah lagi Mama dan Papa. Fikirkanlah Kal. Kahwin ni kerja baik. Tak semestinya pilihan orang tua itu tidak bahagia dan pilihan sendiri itu akan derita. Semuanya terpulang pada kita. Putaran hidup kita ini terlalu indah, Kal. Disebalik kesedihannya terselit nikmat kebahagiaan yang tak ternilai. Cuma kita perlu kuat dan yakin. Insya ALLAH semuanya akan selamat,” nasihat Johari. Haikal tergamam mendengar kata-kata sahabatnya. Dia melayan perasaannya seketika. “Eh, Boleh aku tahu siapa yang Mama risikkan untuk kau tu?” soal Johari tiba-tiba. Haikal tersentak.

“Kau ingat tak lagi the girl yang kita jumpa masa abang Hanif kahwin dulu?”

“What?? Sara??” Johari terpempan. Wajah Sara tergambar.

“Kau ingat lagi?” soal Haikal tidak mempercayai Johari masih mengingati Sara walaupun abang Hanif telah berkahwin hampir tiga bulan yang lepas.

“Of course la. Siapa yang akan lupa wajah yang cantik itu. Bersopan santun. Renungan matanya dia lembut dan mempesonakan. Beruntung kau Haikal,” komen Johari.

“Tapi, aku tak cintakan dia. Aku tak pernah kenal diapun. Macamana aku nak kahwin dengan dia? Nak hidup sebumbung dengan dia? Tak terkeluar kata-kata,” ujar Haikal lagi.

“Kalau kau nak semuanya boleh Kal. Semuanya terpulang pada kau. Kalau kau kata susah, susahlah dia.”

“Kau ni macam nak suruh aku pilih dia aje. Kau ingat Joe, hati aku tetap milik Sherry sampai bila-bila. Takkan ada orang lain. Aku hanya akan berkahwin dengan Sherry sahaja. Aku janji.” Haikal seakan bersumpah. Nada suaranya berbaur amarah.

“Okey, okey aku faham,” ujar Johari beralah. Tidak mahu dia pula yang membangkitkan kemarahan Haikal.

Tahu sangat dengan perangai Haikal yang cepat marah. Dia tidak mahu ada persengketaan antara mereka pula. Bukan sekarang waktunya untuk memujuk sahabatnya itu kerana anginnya tidak betul. Silap haribulan habis semua menjadi mangsa amukannya. Johari meninggalkan Haikal sendirian. Dia mahu memberi Haikal ruang untuk berfikir. Memang berat masalah sahabatnya itu. Dia amat memahami Haikal. Sekiranya Haikal telah menyayangi seseorang tiada sesiapa yang dapat mengubahnya. Biarlah Haikal berfikir dengan tenang. Haikal masih lagi runsing.

No comments:

Post a Comment