Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 2

Tidak lama kemudian Sara turun dan terus menuju kedapur. Seperti kebiasaannya dia ingin memasak untuk hidangan makan malam sebagaimana rutinnya seharian. Dia tidak mahu menyusahkan ibu tetapi semuanya sudah tersedia. Mungkin Mak Lang yang menolong ibu memasak. Lagipun mereka ada tetamu malam ni. Sara bersandar dimuka pintu memerhatikan keadaan belakang rumahnya. Dia termenung seketika. Sara begitu terkejut bila mendapati ada orang dibelakangnya.


“Maaf, kak. Saya nak cari bilik air,” ujarnya penuh sopan.

“Ooo……. Nak cari bilik air. Terkejut akak tadi. Ingatkan siapa. Bilik air disebelah ni aje.” Tunjuk Sara sambil mengurut dadanya. Dia betul betul terkejut.

“Oh lupa nak kenalkan nama.” Ujarnya lagi. “Nama saya Hasleena. Panggil aje Leen. Maaflah kalau Leen buat akak terkejut.” Pohonnya.

“Tak apa. Bukannya apa kadang-kadang adik akak tu selalu buat macam ni. Akak sangkakan dia. Bukannya boleh percaya sangat pada dia tu.” Balas Sara ramah. Eh! Tak sombong budaknya.

Sara kembali keruang rehat dan duduk disebelah adiknya yang sedang leka menonton rancangan petang itu. Sesekali kedengaran suara mereka berdua yang bergelak ketawa bercerita sesuatu. Begitu mesra. Itulah yang ibu terapkan pada mereka adik-beradik. Semenjak pemergian bapa mereka, hubungan antara mereka semakin akrab. Mereka mudah bercerita apa sahaja. Mereka boleh berbicara isu semasa, meluahkan apa yang terpendam dan berkongsi semua masalah yang mereka hadapi. Mungkin juga ini adalah hikmah dariNya disebalik kehilangan yang mereka rasakan.

Setelah seketika Sara dan Shahrul melangkah keluar mengambil angin petang. Sara memaut bahu adiknya. Kemudian mereka bertepuk tampar dan ketawa mesra. Datin Halimah begitu asyik memandang kemesraan kedua beradik itu. Hatinya tertawan. Ada yang tersirat disebalik pandangannya. Dia tersenyum sendirian.

“Eh, Mama ni tiba-tiba senyum kenapa?” tegur Hasryll anak bongsunya. Datin Halimah termangu sebentar. Semua mata memandang kearahnya penuh persoalan.

“Tak ada apa-apa.” Balasnya pendek. Namun renungan tajam dari suaminya seolah-olah mengerti apa yang tersirat dalam hatinya. Datuk Hisham membalas senyuman isterinya penuh makna.

Mereka meneruskan perbualan sesama mereka. Pertanyaan tadi tergantung begitu sahaja. Datin Halimah terus berbual sedangkan hatinya sedang merangka satu rancangan. Itu adalah sesuatu yang pasti. Matanya tidak lepas memerhati keayuan dan kejelitaan wajah Sara. Bertudung litup. Sedari awal tadi, dia dapat merasakan sesuatu yang ada didalam diri Sara yang membuatkannya terasa damai dalam pandangannya.

Mereka tidak sedar hari telah menganjak senja. Sara dan Shahrul segera melangkah masuk kedalam rumah. Kata orang tua tidak elok kalau senja masih bertengek dihalaman rumah. Azan maghrib sayup-sayup kedengaran dari surau yang selang hanya beberapa rumah sahaja. Sungguh asyik dan mendayu. Sara pasti itu suara Imam Ishak, guru mengajinya.

Para tetamu sedang mengerjakan solat maghrib secara berjemaah diruang tamu. Sara pula menyediakan hidangan makan malam sementara menanti mereka selesai bersembahyang.

“Sara dah siapkan makan malam?” Soal ibunya yang baru menjengah kedapur.

“Sudah tapi boleh ke diorang rasa masakan kampung, bu? Maklumlah golongan atasan. Nanti tak makan pulak,” soal Sara sedikit runsing.

“Okeylah tu. Habis kita nak masak macamana lagi. Takkan nak masak ‘western style’ kot,” gurau ibunya. Sara tertawa kecil.

Tanpa membuang masa, Sara segera menghidangkan hidangan makan malam apabila mereka semua selesai bersembahyang. Semasa menghidangkan makan malam, Sara terperasan ada mata yang asyik memandang padanya. Adakah mata itu memerhatikan gerak gerinya ataupun hanya aku yang perasan. Hati Sara berdetik. Ah…… mungkin aku aje yang perasan. Sara tersenyum sendirian.

“Jemputlah makan. Maaflah ini saja yang kami sempat masak.” Jemput Sarimah. Zainab yang berada disisinya hanya tersenyum sambil menyenduk nasi kedalam pinggan. Sara terus menghilang setelah kerja-kerjanya selesai. Malas dia bercampur dengan tetamu ibunya. Lagipun kurang manis kalau dipandang orang.

“Eh! Yang ni pun dah terlebih cukup. Bukannya selalu dapat makan masakan kampung. Kalau diKL tu, dah hilang rasa kampungnya. Ubah suai sana sini.” Balas Datin Halimah. Mesra.

“Janganlah asyik berbual aje. Jemputlah makan. Rasalah masakan kampung ni,” pelawa Zainab pada Datin Halimah sekeluarga.

“Eh…. Anak-anak kakak tak makan sekali ke? Takkanlah kami ada mereka tak makan.” Suara Datuk Hisham memecah kesunyian.

“Mereka jarang sekali makan malam. Ikut mood. Janganlah pedulikan mereka. Kalau lapar tahulah diaorang cari sendiri. Lagipun bukannya rumah orang. Rumah sendiri,” ujar Sarimah.

“Tapi, rasanya tak seronok pulak,” balas Datin Halimah lagi.

“Kalau macam tu, tunggu sekejap. Biar Mak Lang dia yang paksa dia makan malam ni. Sara ni kalau kita tak paksa dia, dia bukannya mahu. Nak diet katanya,” kata Zainab seraya melangkah kaki kebilik Sara.

Sara sedang asyik berborak dengan teman baikya, Arissa di telefon bimbitnya. Mereka seperti membincangkan sesuatu yang serius. Sekali lagi dia terperanjat apabila bahunya ditepuk. Sambil mengurut dada, dia menoleh. “Ya ALLAH, Mak Lang nak matikan Sara ke?” marah Sara. Suaranya sikit tinggi. Kemudian dia mengeluh tersedar keterlanjurannya.

“Maaflah. Mak Lang tak perasan Sara tengah berborak dihandphone. Bukannya Mak Lang sengaja nak kejutkan Sara,” ujar Zainab sedikit terkilan dengan kelantangan suara Sara sebentar tadi.

“Sara pun minta maaf, Mak Lang sebab tertinggi suara. Sara tak sengaja. Sara terkejut betul. Rasa nak tercabut jantung Sara ni. Kalau Sara ada heart attack, tentu dah jalan tadi.” Ucap Sara berlelucon. Dia mengesat matanya yang berair. Zainab pelik. Zainab menahan tawanya. Dia juga mengakui yang dirinya juga bersalah.

“Sara sakit ke?” soalnya apabila melihat keadaan Sara. Sara hanya menggeleng. Malas nak bersoal jawab. Zainab menyatakan hasrat tetamu mereka tetapi Sara menolak dengan alasan dia masih tiada selera kerana terlalu penat.

Memang seleranya mati apabila memikirkan apa yang berlaku siang tadi. Dia telah melanggar prinsipnya. Dia membawa masalah pejabat hingga kerumah.

“Jangan terlalu bebankan diri kita dengan masalah Sara. Kalau boleh lepaskan, kita lepaskan. Jangan terlalu berat memikirkan,” sinis kata-kata Mak Lang Zainab. Sara terkedu. Mak Langnya seolah-olah dapat membaca apa yang sedang dialaminya. Sara tersenyum pahit.

“Awak bodoh!” jerit Encik Fuad ketuanya secara tiba-tiba. Sara yang tidak mengetahui hujung pangkal permasalahannya terkejut. Hatinya terkilan. Hanya kesalahan menaip surat sahaja dia dikatakan bodoh. Bukan Sara tidak pernah membuat kesilapan sebelum ini. Sara kecil hati.

“Eh! Lamanya diatas? Buat apa? Sara mana?” Soal Sarimah termangu-mangu.

“Nak pujuk tuan puteri makan bukannya senang. Kak Sari bukannya tak faham perangai anak akak tu,” perli Zainab sambil memulakan makan. Sarimah terkedu. Sedikit terkilan dengan perbuatan Sara yang seolah-olah tidak menghormati tetamu. Dia tersenyum pahit.

“Maaflah. Kakak betul-betul minta maaf pada Halimah sekeluarga. Tak sangka Sara akan berkelakuan begini,” ujar Sarimah menutup kesalan dihati.

“Ish…… Kak Sarimah janganlah susah hati. Saya tak ambil hatipun. Biasalah anak perempuan. Tentu dia malu dengan kami kot,” balas Datin Halimah yang memahami situasi sebenar.

Malam itu tidak seperti malam lain. Malam ini turut disertai dengan sendu. Sara terkenangkan arwah ayahnya tiba-tiba. Dia tahu ibunya sedikit terkilan dengan perbuatannya sebentar tadi. Dia bukannya sengaja. Tapi, dia juga terkilan dengan kata-kata ibunya.

“Sara, ibu tak suka Sara buat macam tu pada tetamu. Ibu tak pernah ajar anak ibu macam tu.” Tegas suara Sarimah yang sedang mencuci pinggan mangkuk. Sara baru sahaja melangkah kaki masuk kedapur. Dia terpempan. Zainab yang baru melangkah masuk kedapur hanya mendiamkan diri sahaja mendengar perbualan mereka.



“Tapi, Sara tak bermaksud macam tu, bu. Sara tak lapar lagi. Lagipun, Sara tak biasa.” Bela Sara sedikit meninggikan suaranya. Dia tersinggung dengan tuduhan melulu ibunya.

“Apa yang nak dimalukan. Mereka beria-ia mengajak Sara makan sekali. Tapi, Sara tolak. Kalau Sara yang jadi tetamu macamana? Tentu Sara terkilankan? Walau apapun kita harus menghormati tetamu. Tak baik kita buat macam tu. Ingat pesan ibu ni.” Tegur Sarimah sedikit tegas. Sara terkedu. Jarang sekali ibunya bersuara begitu. Dia mendiamkan dirinya sahaja. Niatnya untuk menjamah makanan terbantut. Dia melangkah semula kebiliknya.

“Ibu Sara tak bermaksud macam tu. Mungkin dia sedikit terkilan. Sara janganlah ambil hati sangat.” Pujuk Zainab apabila melihat wajah keruh Sara apabila ditegur ibunya. Sara amat sensitif orangnya. Sara mendiamkan diri sahaja. Sedikit sebanyak kata-kata ibunya tadi mengguris hatinya. Secara tiba-tiba airmatanya mengalir deras. Pelbagai perasaan melanda dirinya kala itu.

“Sudahlah tu. Bukankah Mak Lang dah kata ibu tak bermaksud macam tu. Ianyalah, tak manis kalau kita buat macam tu pada tetamu. Sara tahukan?”

“Tapi, Sara tak bermaksud macam tu.” Bentak Sara.

“Mak Lang tahu. Tapi, Sara juga mestilah faham juga perasaan ibu. Sara tak boleh bersikap macam ni. Sara kan dah besar. Dah tahu nak berfikir apa yang baik dan buruk, betul tak?” nasihat Zainab. Sara mendiamkan diri dan mengakui kata-kata ibu saudaranya. “Lepas ni Mak lang nak Sara minta maaf dengan ibu sebab Sara dah tinggikan suara tadi. Tak baik Sara buat ibu macam tu. Ibu tegur tu, maknanya ibu sayang Sara. Faham tu?” ujar Zainab lagi. Sara menganggukkan kepalanya.




No comments:

Post a Comment