Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 17

Balik dari berjumpa dengan Azman, Sara mengurungkan diri didalam bilik. Ketika ibu memanggilnya makan pun, dia tidak endahkan. Hilang selera untuk dia menjamah makanan. Dia masih terbayang wajah Azman yang muram tatkala kakinya melangkah pergi tanpa sebarang kata. Lisa tahu kau terluka, Man. Lisa tahu. Lisa juga begitu. Sara terus merintih. Sara hanya menangis dan menangis hingga tanpa sedar dia tertidur. Dia tersedar apabila kedengaran azan subuh berkumandang. Dia bangun menunaikan solat subuh dan memanjat doa agar dia diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi apa yang akan berlaku seterusnya.

YA ALLAH, berikanlah aku kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian dariMU. Sesungguhnya aku hampir tersungkur dikaki dunia ini. Bangunkanlah aku YA ALLAH. Jadikanlah aku seorang yang lebih berani dan kuat untuk menghadapi ujianMu hari ini dan hari-hari mendatang. Doa Sara. Airmatanya mengalir lagi.

“Tak pergi kerja Sara?” soal ibunya. Dia pelik kerana Sara masih lagi dalam pakaian tidurnya. Semalam Sara tidak makan malampun. Ingin bertanya berlebihan, Sara memberitahu tidak mahu diganggu. Entah apa yang sedang difikirkan oleh Sara saat ini. Dia berterusan memandang anaknya itu. Hatinya semakin gusar. Adakah kerana peminangan itu? Soal hatinya.

“Tak sihatlah bu. Sakit kepala. Migrain datang semula. Ingatkan nak MC hari ni. Badanpun macam nak demam,” beritahu Sara lemah. Sarimah segera mendapatkan anaknya. Diletakkan tangannya dikepala Sara. Terasa dedar kepanasan.

“Panas juga badan Sara ni. Nanti ibu bawakan keklinik. Kalau dibiarkan melarat nanti. Sara pergilah rehat dulu. Nanti ibu bawakan sarapan dalam bilik Sara.”

“Tak payahlah bu. Biar Sara sarapan disini aje. Buat susahkan ibu pulak.”

“Tak ada susahnya. Pergilah. Jangan degil,” paksa Sarimah. Faham benar dengan sifat Sara yang degil dan terlalu menurut kata hati. Kalau tidak dipaksa atau diugut, jangan haraplah Sara nak mengikut kata-katanya. Kalau putih katanya takkan bertukar jadi hitam atau warna lain.

Sara melangkah malas kedalam biliknya. Dia kasihankan ibunya yang bersusah payah kerananya. Dia dapat merasakan kasih yang ada dalam diri ibunya tiada tolok bandingnya. Semoga keputusan yang diambil akan mendapat restu ILAHI. Doanya.

No comments:

Post a Comment