Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 16

Susahnya aku nak lelapkan mata. Apakah ini keputusan aku. Berkorban demi orang lain? Tapi itu ibu aku sendiri. Bukannya orang lain. Kalau dia sedia menghambakan dirinya kenapa tidak aku? Aku anaknya. Tapi, itu bukankah tanggungjawab seorang ibu? Apa pula tanggungjawab aku sebagai seorang anak? Hanya sekadar membantu dengan memberi wang setiap bulan? Itukah nilai yang perlu aku bayar pada cinta dan kasih sayang yang dicurahkan tanpa jemu. Tanpa mengira penat siang dan malam. YA ALLAH, mudahnya menilai ikatan suci itu. Perasaan Sara berperang sesama sendiri.Ya aku harus mengambil keputusan yang muktamad. Ini adalah keputusan aku. Aku tidak memerlukan sesiapa untuk menentukan arah hidupku. Aku yang harus tentukannya. Salahkah aku andai salah seorang mesti berkorban kasih, berkorban perasaan? Lumrah dalam kehidupan, perlu memilih terutamanya pada yang baik dan yang buruk. Akhirnya mata Sara tertutup rapat bersama keputusannya.

“Sara cuti sampai bila?” tanya ibunya ketika bersarapan bersama pagi itu.

“Isnin depan kerja semula, bu. Bagus juga dapat cuti ni. Relaks sikit. Letihlah, bu. Kalau mesin dah tentu terputus wayarnya. Ini manusia, lainlah. Semuanya dikontrol oleh otak. Tapi, kalau sini sakit semua kerja tak boleh nak buat,” ujar Sara sambil menuding kepalanya.

“Tak apalah. Sara berehat aje. Badan kita ni pun bukannya robot. Macam Sara cakap, kalau robot sekalipun, lama-lama boleh putus juga wayar dia juga. Itu robot. Kalau kita tak ke jadi gila. Ibu tengok Sara kalau bekerja sampai tak ingat dunia. Ibu bimbang kalau Sara jatuh sakit. Kalau sakit bukannya nak beritahu. Semuanya nak tanggung seorang diri,” leter Sarimah. Sara tersenyum.

“Nak buat apa susahkan orang, bu. Lagipun Sara dah besar. Kalau setakat demam dengan pening tu, Sara boleh tahan lagi. Lainlah kalau ada sakit kronik. Itu lain la ceritanya. Ibu jangan bimbang lah.” Sara tahu kebimbangan ibunya.

“Itu orang Sara. Tapi, ini ibu Sara. Kecil hati ibu bila Sara cakap macam tu. Seolah-olah ibu ni orang asing dalam hidup Sara bila Sara ketepikan ibu,” sayu kata-kata Sarimah. Terkilan dengan kata-kata anaknya.

“Sara tak terniat nak buat macam tu, bu. Selagi Sara boleh tanggung, Sara akan tanggung. Biarlah Sara yang rasa semuanya. Sara tak mahu ibu susah lagi. Cukuplah apa yang ibu buat pada kami selama ni. Sara tahu ibu terlalu sayangkan Sara dan adik-adik. Kalau boleh ibu tak mahu sesiapapun sakiti kami. Sara tahu maksud ibu tu,” pujuk Sara. Dia tidak mahu ibunya berkecil hati. Sarimah tersenyum puas mendengar kata-kata Sara. Dia mengakui kebenaran kata-kata anaknya itu. Dia mahu menjadi pelindung anak-anaknya. Dia tidak mahu anak-anaknya disakiti dan menjadi mangsa keadaan sebagaimana dirinya.

“Ibu boleh kita berbincang sedikit?” soal Sara tiba-tiba. Persoalan tadi terbiar sahaja. Perbincangan itu terhenti. Sarimah yang sedang mencuci pinggan mangkuk segera menoleh. Dadanya berdebar kencang. Apakah Sara sudah membuat keputusan? Detik hatinya. Dia mengambil tempat dihadapan Sara.

“Ibu......kenapa pucat semacam ni? Sara rasa seolah-olah ibu pulak yang kena pinang. Ibu pulak yang perlu buat keputusannya,” gurau Sara. Sarimah tertawa.

“Ibu............... keputusan yang Sara buat ini bukan untuk sesiapa tapi untuk Sara juga. Setelah berfikir masak-masak, Sara setuju, bu. Sara terima lamaran tu. Sara tahu apa yang ibu buat adalah yang terbaik untuk Sara. Sara percaya pada pilihan ibu.” Suara Sara bergetar. Ada sendu yang datang menghampirinya. Dia perlu kuat menahan agar empangan itu tidak pecah. Sekiranya airmata itu menitis bermaksud dirinya sudah kalah pada perjuangan yang belum bermula. Sarimah terkejut dengan keputusan Sara.

“Jangan kerana ibu Sara terima lamaran itu. Ibu tak setuju. Tanya hati Sara. Jangan kerana nak menjaga hati ibu, Sara terpaksa menerima semua ni,” bantah Sarimah seolah-olah tidak yakin dengan jawapan anaknya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tersembunyi didasar hati anak gadisnya.

“Tidak bu. Bukan kerana terpaksa. Mungkin ini jodoh Sara. Sara sentiasa yakin dengan keputusan yang Sara buat. Sara takkan ubah fikiran,” tegas suara Sara memberi harapan pada ibunya.

“Tapi, kenapa Sara macam tak gembira. Ibu dapat rasakannya Sara. Jangan tipu, ibu.”

“Ibu, kalau Sara yakin, Ibu juga harus yakin. Cuma Sara akui Sara sebenarnya takut. Takut dalam segala hal lebih-lebih lagi Sara tak kenal dengan mereka. Sara harap ibu faham perasaan Sara ni,” luah Sara sambil menggenggam tangan ibunya erat. Dia berterusan menyembunyi segalanya agar apa yang diluahkan dapat meyakinkan ibunya.

“Insya ALLAH, Sara akan bahagia. Ibu selalu doakan Sara. Sara anak yang baik, anak yang soleh. Semoga kebahagiaan sentiasa milik Sara. Ibu harap Sara gembira dengan semua ini,” doa ibunya. Betul kata Mak Lang. Ibu sentiasa mendoakan aku dalam setiap doanya. Ya bu, semoga kebahagiaan itu milik Sara selamanya. Bisiknya didalam hati.

“Ibu akan khabarkan pada mereka tentang persetujuan Sara ni. Mesti mereka juga tertunggu-tunggu. Mungkin juga perbincangan dengan anak mereka juga telah selesai,” beritahu Sarimah gembira. Sara tenang melihat kegembiraan ibunya. Namun hatinya tersayat pedih dengan keputusan ini.
Dua minggu telah berlalu setelah keputusan dibuat. Walau apa yang terjadi, ianya terpaksa juga dikhabarkan pada Azman. Dia harus tahu segalanya. Ini juga melibatkan dirinya. Aku tahu kau akan terluka, sayang. Tapi, maafkan aku. Aku terpaksa akur kepada keadaan yang terlalu memaksa aku untuk membuat pilihan. Seperti yang diduga Azman terlalu terkejut. Tidak percaya dengan apa yang sedang dan akan berlaku dengan perhubungan mereka.

“Betul ke Lisa? Tapi kenapa? Apa salah Man? Kalau Man bersalah, Man minta maaf dan janji akan cuba betulkannya. Tapi jangan sampai minta berpisah. Man tak sanggup Lisa. Tak sanggup. Jangankan setahun, seharipun Man tak boleh,” rayu Azman sambil menatap tepat wajah Sara. Sara membuang pandang kehadapannya. Tidak sanggup rasanya melawan renungan mata Azman. Dia rasa amat bersalah pada insan itu.



“Bukan salah Man tapi Lisa yang salah. Semuanya berpunca dari Lisa. Man terlalu baik buat Lisa. Cuma kekurangan itu datangnya dari Lisa,” perit hati Sara menuturkan kata-kata itu. Tapi apakan dayanya. Semua terjadi bukan kemahuannya.

Lisa, itulah panggilan Azman untuk dirinya. Azman cukup senang dengan nama Lisa. Terlalu indah nama itu, kata Azman diawal perkenalan mereka. Hanya dia sahaja yang menggunakan panggilan itu. Sara rasa terlalu disayangi.

Perkenalannya dengan Azman sewaktu menuntut membawa dia kealam percintaan yang mengasyikkan. Tidak pernah dia merasainya betapa indahnya dunia percintaan ini. Azmanlah satu-satunya pemuda yang berjaya merebut hatinya, bertahta dijiwanya, memuja dirinya. Tiada insan lain. Azman berjaya merawat luka dihatinya akibat kehilangan kasih ayah yang pergi menemui PenciptaNYA. Azmanlah yang memberinya harapan dan mengembalikan keyakinannya untuk menghadapi hari mendatang ketika dirinya terkapai-kapai mencari arah haluan dalam kehidupan.

Mereka sudah berjanji. Seia sekata dan akan bersama selamanya. Tiada apa yang bisa mengganggu-gugat kasih yang terbina. Hanya maut yang mampu memisahkan. Namun siapalah mereka untuk menentukan segalanya. Mereka hanyalah insan biasa yang hanya mampu merancang segalanya untuk mencari arah kehidupan.

“Lisa....., mengapa diam sahaja. Cuba beritahu Man. Apa sebenarnya yang berlaku?” sayu suara Azman merayu. Airmata lelakinya jatuh jua. Terlalu perit dengan perkhabaran itu. “Lisa!!!” Terasa bahu Sara bergoncang. Matanya bertentangan dengan mata Azman. Ya ALLAH berikanlah aku kekuatan. Oh hati! Tabahkanlah aku untuk menghadapi dugaan ini.

“Maafkan Lisa, Man. Segalanya diluar jangkaan Lisa. Susah bagi Man untuk menerimanya macam tu juga payah untuk Lisa beritahu semuanya pada Man. Sebenarnya………….,”suara Sara terhenti. Tidak sanggup untuk meneruskan kata. Airmatanya juga mengalir deras.

“Sebenarnya apa? Cakaplah.” Azman tidak sabar lagi. Sara seperti ingin bermain teka-teki dengannya. Dia merengus kuat.

“Sebenarnya ibu dah terima pinangan orang lain untuk Lisa,” laju mulut Sara menuturkan bicara. Azman pula terdiam. Terkejut. Nasib baik juga dia sedang duduk apabila mendengar Kata-kata Sara. Kalau tidak mungkin dia akan jatuh terduduk. Lisa tidak lagi berani memandang Azman apatah lagi menentang matanya. Hatinya kecut menanti reaksi dari Azman.

“Jadi, Lisa terima?” soalnya setelah lama terdiam. Sara hanya menganggukkan kepalanya. Takut untuk terus mengeluarkan kata. “Mudahnya Lisa buat keputusan. Kenapa tak berbincang dengan Man dulu sebelum membuat keputusan? Kenapa mesti Lisa buat macam ni? Atau sememangnya ini yang Lisa inginkannya? Lisa memang tak sayangkan hubungan kita!!! Lisa kejam!!!” tuduh Azman melulu. Hatinya meraung hebat. Jiwanya merintih. Hatinya menangis.

Sara menarik nafas panjang. Menenangkan perasaannya yang berkecamuk. Meredakan debaran hatinya akibat tuduhan melulu Azman. Memang wajar Azman marah padanya. Tapi tahukah Azman dia juga keliru. Dia juga buntu.

“Jangan tuduh Lisa macam tu. Tolonglah. Lisa tak terniatpun nak lukakan hati Man. Man tahukan betapa sayangnya Lisa pada Man?” ujar Sara cuba berdiplomasi agar dapat memberi ketenangan pada Azman yang sedang marah.

“Lisa cakap sayangkan Man tapi nak kahwin dengan orang lain. Apa ni? Cakap apa ni? Lisa macam orang yang tak ada pendirian tetap. Kalau betul Lisa terdesak nak kahwin sangat, okey……. hari ni juga Man minta family Man datang meminang dan minggu depan kita kahwin. Kalau itu yang Lisa inginkan. Tapi, kenapa Lisa buat Man macam ni. Lisa abaikan perasaan Man. Lisa sisihkan Man dari hati Lisa. Lisa buat Man ni macam tebu, habis manis sepah dibuang. Man rasa tak berguna tau!” luah Azman keras. Masih lagi marah.

“Man, jangan tuduh Lisa macam tu. Lisa bukan orang yang tak kenang budi. Apa yang Man buat pada Lisa selama ni, Lisa hargai. Kalau tidak takkan Lisa sanggup bersama Man. Tapi, Man harus faham. Lisa tersepit Man. Lisa pun tak tahu menahu tentang ini. Semuanya datang secara tiba-tiba. Seminggu Lisa macam orang tak betul. Berfikir dan berfikir. Man tahu tak?” luah Sara pula. Dia terkilan apabila Azman berterusan menuduhnya yang bukan-bukan.

“Man perlu tahu situasi Lisa. Lisa akui yang Lisa bersalah dalam hal ni kerana merahsiakan hubungan kita. Tapi Lisa terpaksa Man. Man juga tahu apakah sebabnya. Bukan Lisa kata yang Man tidak menepati ciri-ciri menantu pilihan ibu tapi belum masanya lagi. Lisa tak mahu ibu terkejut bila Lisa beritahu yang tiba-tiba Lisa nak kahwin. Lisa ingatkan hujung tahun ni Lisa akan beritahu tapi tak tahu pulak lain yang akan terjadi. Semuanya diluar jangkaam Lisa,” suara Sara mula mengendur. Dia berharap agar Azman memahami keadaanya dirinya yang serba salah.

Azman duduk berhampiran Sara. Tangan Sara digenggamnya erat. Sara menyambung kata, “Lisa tersepit Man. Kalau Man tengok wajah ibu yang sentiasa berduka tiba-tiba berubah ceria sanggup Man menghampakan harapannya? Impiannya? Sanggupkah? Ibu dah lama menderita. Lisa tak mahu menambahkan lagi kedukaannya. Kalau ini yang dapat menggembirakan ibu, Lisa akan berkorban walau terpaksa bergadai nyawa. Kalau dulu ibu sanggup menentang dunia kerana Lisa adik beradik, kenapa tidak Lisa berjuang demi ibu pula. Lisa kasihkan Man tapi Lisa lebih sayangkan ibu. Lisa tak sanggup kehilangan ibu pula. Lisa harap Man faham situasi Lisa. Kalau ini yang terjadi pada Man, apa yang akan Man lakukan? Lisa yakin dan percaya Man juga akan mengambil keputusan yang sama,” ujar Lisa lembut agar kemarahan Azman reda. Dia juga berharap agar Azman memahami situasinya. Airmata yang setia mengalir dengan lajunya. Hatinya bertambah sayu.

Azman memandang wajah orang yang paling dia cintai. Cuba memahami situasi yang sedang dihadapi oleh Sara Alyssa. Cinta yang terpahat tetap utuh. Kalau ombak bisa merubah pantai tetapi tidak pada cintanya. Andai badai bisa menghayutkan bahtera tetapi tidak pada kasihnya. Cintanya tiada tali yang yang bisa diputuskan. Kasihnya laksana kristal yang memancar. Terlalu indah. Tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Tidak mampu digambar dengan perasaan.

“Kalau Man terluka, Lisa pun begitu. Lisa lagi perit, Man. Lisa tak tahu macamana dengan kehidupan Lisa nanti. Bahagia atau sebaliknya. Lisa tak pernah mengenalinya. Lisa juga tak tahu adakah dia juga menerima Lisa seadanya. Semuanya menjadi tandatanya. Jalan dihadapan Lisa gelap gelita, Man. Tak ada cahaya langsung. Lisa takut Man tapi Lisa tak berdaya,” luah Sara. Dia ingin Azman faham kedudukannya sekarang.

“Bila Lisa nak bertunang?” soal Azman tiba-tiba. Cuba memesong persoalan.

“Tak tahulah. Semuanya tunggu pihak sana. Lisa tak mahu fikirkan sangat. Lisa rasa macam orang gila sekarang ni. Semuanya serba tak kena,” beritahu Sara perasaannya. Azman menarik nafas panjang. Tiada kehilangan kata-kata.

“Man akan kenang Lisa sebagai seorang yang paling Man sayangi dan cintai. Man akan cuba ubati luka ni sendirian, Lisa. Izinkan Man memandang kebahagiaan Lisa dari jauh. Izinkan Man. Hanya itu yang Man pinta.” Azman berkata sayu sambil ingin melangkah pergi. Sara menyambar tangan Azman. Dia rasa bersalah. Angin bayu yang bertiup lembut tidak mampu menyejukkan hatinya. Dia menangis tersedu.

“Man janganlah begini. Lisa rasa bersalah sangat,” ujar Sara sayu.

Azman menatap wajah itu. Mungkin untuk terakhir kali. “Lisa tak bersalah, sayang. Cuma tiada jodoh antara kita. Keadaan yang akan menentukan segalanya. Kalau jodoh kita kuat, kita akan berjumpa lagi. Maaf sayang. Man terpaksa pergi.” Pipi Sara disentuh. Airmata Sara disapu lembut. “Jangan menangis, sayang. Bukan salah sesiapa. Takdir yang menemukan kita dan takdir juga yang memisahkan kita. Jangan tangisi perpisahan ini. Nanti lagi berat Man nak melangkah pergi.” Terlalu sayu ungkapan kata-katanya.

Sara menangis dan terus menangis. Azman melangkah tanpa menoleh lagi membawa hatinya yang berderai beribu. Andainya dia menoleh pasti hatinya tidak mempunyai kekuatan lagi. Lemah seluruh anggotanya. Berat kakinya mengatur setiap langkahnya. Jiwanya semakin parah terluka.

Sara menangis semahu-mahunya disitu. Dia tidak mempedulikan orang ramai yang lalu lalang. Pemergian Azman tanpa menoleh kearahnya meremukkan lagi hati Sara. Maafkan Lisa. Lisa bersalah. Lisa berdosa padamu, Azman. Lisa tak kuat untuk mempertahankan cinta kita. Lisa berjanji tapi Lisa juga yang memungkirinya. Maafkan Lisa. Tangis Sara. Jiwanya terus merintih. Hatinya pilu.

No comments:

Post a Comment