Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 15

Sara masih lagi berfikir. Tahu apa yang telah dilalui oleh ibunya. Dia turut bersedih. Dan kerana peristiwa itulah dia ingin membuktikan bahawa keluarganya juga boleh hidup bahagia. Masih tergambar bagaimana peristiwa itu berlaku. Seolah-olah baru semalam ianya terjadi. Bagaimana keluarganya dihina dan dicemuh oleh keluarga arwah ayahnya. Nasib baik juga sebelum arwah ayahnya meninggal, dia telah mewasiatkan agar segala harta peninggalannya diserahkan kepada anak-anak dan isterinya. Sesiapa juga tidak boleh menuntut harta-harta tersebut. Diharamkannya. Kerana itulah keluarga arwah ayahnya memberontak mengatakan ibunya telah mempergunakan ayahnya. Dia tahu ayahnya berbuat begitu kerana sudah tahu apa yang akan terjadi seandainya dia pergi dahulu. Dia tidak mahu ibu susah walaupun ibu mempunyai pencen kerana ibu juga seorang guru. Dan kini barulah dia tahu betapa pentingnya seserorang itu meninggalkan wasiat.

“Sara bukan nak sisihkan ibu, Mak Lang. Tak terlintas pun dihati Sara ni. Sara cuma nakkan masa untuk bertenang dan berfikir sedalam-dalamnya.” Ujar Sara tentang apa yang tersirat dihatinya.

“Syukurlah kalau Sara cakap macam tu. Lapang rasanya. Ibu Sara telefon Mak Lang tadi. Menangis dia Sara. Dia rasa berdosa buat Sara macam ni,” luah Zainab.

“Tapi Sara dah call ibu. Cakap Sara selamat disini. Mungkin Sara balik esok. Nanti Sara cakap dengan ibu apa sebenarnya yang terjadi. Lagipun Sara cuti seminggu,” terang Sara.

“Hmmm... ye lah tu. Marilah kita masuk. Makan. Mak Lang dah masak.” Seraya itu mereka melangkah masuk.
Hari Khamis. Sudah empat hari Sara bercuti. Hubungannya dengan ibu telah kembali pulih. Sekembalinya dari Kuala Kangsar dia menerangkan segalanya. Dia tidak mahu kerana masalah ini hubungan antara mereka renggang. Syukur alhamdullillah, segalanya kembali pulih. Cuma kini dia lebih banyak termenung. Itu yang disedari oleh Sarimah tentang anak gadisnya. Seolah0olah ada sesuatu yang menyarati fikirannya yang tidak mahu dikongsi dengan sesiapa. Namun riak wajah yang keruh itu sudah cukup menceritakan segalanya.

“Assalamualaikum……” Kedengaran satu suara halus dihujung talian telefon bimbitnya. Sara tersenyum. Sudah diketahui siapa yang empunya suara.

“Waalaikumsalam. Apa khabar Ris?”
“Hantu betul kau Sara. Ingatkan boleh menyamar tadi. Susah payah aku lembutkan suara tau. Lepas tu gunakan phone rumah. Lain kali buat-buatlah tak kenal,” marah Arissa dihujung talian. Sara tertawa. Dia menghempaskan diri diatas tilam empuknya.

“Ala............. aku tengok nombor Johor, aku dah tahulah engkau. Aku mana ada kawan dekat sana selain engkau. Kau ingat aku ada boyfriend kat sana?” seru Sara. Kini Arissa pula yang ketawa.

“Kau tengah buat apa?” soal Arissa.

“Tengah bercakap dengan kau lah.”

“Aku tahulah. Kau ni kalau ada depan aku tahulah apa yang aku nak buat. Dah tuapun perangai masih tak berubah-ubah,” marah Arissa. Kali ini dia bersuara lantang. Sara terdiam. Bukan kerana kelantangan suara sahabatnya tapi kerana kata-kata itu.

“Betul kata kau Ris. Dah tua sebenarnya aku ni. Patutlah ibu aku suruh aku kahwin cepat-cepat. Takut jadi anak dara tua. Nanti tak laku,” selamba aje kata-kata yang terkeluar dari mulutnya. Sara juga seakan tidak menyedarinya. Fikirannya melayang entah kemana. Arissa terkesima. Bukan niatnya begitu.

“Maafkan aku Sara. Mana ada kau dah tua. Kalau macam tu akupun tua jugalah sebab kitakan sama umur dan tak kahwin lagi pulak tu. Anak dara sunti,” gurau Arissa apabila mendengar perubahan suara Sara dihujung talian. Sara masih mendiamkan diri. Dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Fikirannya buntu.

“Ibu suruh kau kahwin? Biar betul ni. Dengan siapa, Sara?” soal Arissa semula.

“Hmm......... Akupun tak kenal dan aku tak mahu kenalpun,” jawab Sara acuh tak acuh. Dia tidak berminat untuk membincangkan soal ini lagi. Pening kepala dibuatnya.

“Tak kenal? Macamana dengan Azman? Bukan dengan Azman ke?” soal Arissa bertalu-talu. Sara pula kelemasan. Perasaannya haru biru bila tiba-tiba Arissa menyebut nama Azman.

“Hello................., anybody home?” Arissa terus bersuara apabila Sara terus mendiamkan diri.

“Kau janganlah tanya aku banyak-banyak, Ris. Aku tengah sakit kepala ni. Sakit sangat-sangat. Kau call aku nak buat lawak bodoh pulak. Aku tengah pening ni,” marah Sara pada Arissa. Dia bengang. Terasa Arissa seolah-olah sedang mempermainkan dirinya.

“Maafkan aku, Ris. Aku tak sengaja,” pohon Sara. Dia tahu dia telah terlanjur kata dan mengguriskan hati sahabat baiknya. “Ris……sorry Ris. Sorry. Aku tak sengaja nak marahkan kau. Fikiran aku tengah berserabut sekarang ni. Aku buntu, Ris. Aku tak tahu apa yang patut aku buat sekarang ni,” luah Sara sayu.

“Kenapa? Cuba ceritakan pada aku. Apa sebenarnya yang berlaku ni. Aku tak faham lah,” pujuk Arissa. Seketika tadi dia terkejut dengan kata-kata Sara tapi segera dipujukkan hatinya. Bukan sifat Sara marah-marah begini. Mungkin benar Sara sedang buntu dengan masalahnya. Bisik hati Arissa.

Bukan sehari dua dia mengenali Sara tetapi semenjak berada disekolah menengah lagi. Mereka berpisah ketika masing-masing menyambung pelajaran. Dia memilih bidang guaman dan Sara sains komputer. Tetapi disebabkan Sara ingin berada disamping ibunya dia bekerja sebagai setiausaha. Namun hubungan mereka tetap akrab hingga sekarang. Kini, Sara berada dalam kekusutan.

“Entahlah........... susah aku nak cakap. Semuanya berlaku mendadak aje. Aku bingung sekarang ni. Ibu beritahu ada orang datang merisik. Aku diberi tempoh seminggu untuk buat keputusan. Aku tak tahu macamana nak buat,” keluh Sara.

“Bukan dengan Azman ke?”

“Kalau dengan Azman senang sikit ceritanya. Masalahnya sekarang ni bukan Azman. Dengan orang lain. Anak kawan ibu barangkali. Akupun tak kenal langsung. Zero. Dan yang menjadi bertambah rumit sampai sekarang ni, ibu tak pernah tahu hubungan aku dengan Azman. Aku ingatkan nak beritahu hujung tahun ni tapi entahlah……... Tiba-tiba aje jadi benda macam ni. Aku buntu lah. Tak tahu nak buat apa,” luah Sara.

“Kenapa tak beritahu sekarang je. Kan senang sikit. Kau dah buat keputusan ke?” tanya Ris lagi.

“Aku tak tahulah. Aku serba salah pulak nak beritahu. Ibu macam dah bersetuju dengan pihak sana. Salah aku juga sebab tak beritahu awal-awal. Aku bukannya nak sorok tapi kau tahu ajelah, belum sampai masanya. Aku nak lepaskan Sham dulu. Lepas tu baru aku nak beritahu. Nampaknya macam dah terlambat,” jawab Sara.

Memang dah terlambat. Segala-galanya dah berakhir. Azman perlu berlalu dari hatiku ini. Hubungan ini semestinya diputuskan. Ya ALLAH peritnya rasa hati. Seakan separuh nyawaku turut berlalu. Rintih Sara dalam diam.

“Tak terlambat lagi Sara. Cubalah kau beritahu. Lagipun mereka baru merisik aje. Bukannya bertunang lagi. Kau masih ada peluang. Manalah tahu kalau-kalau ibu kau setuju dengan pilihan kau. Kesian Azman. Dia tak bersalah dalam hal ni. Dari dulu lagi dia memang nak jumpa family kau tapi kau yang tak bagi. Sekarang ni kau dah tak ada alasan lagi,” ujar Arissa memberi cadangannya.

Kasihan pada Azman. Aku ni tak siapa pulak nak kasihankan? Tahukah mereka, aku juga cukup terseksa hati. Jiwaku merintih hatiku berlagu pilu. Siapa yang akan memujuk hatiku yang rawan ini? Aku juga tersepit. Tapi dihatiku ini, ibu tetap yang teristimewa. Aku tak mahu kehilangan kasih ibu pula. Ibu sudah puas menderita. Kalaulah Arissa melihat wajah ibu tika itu dan menyelami maksud hatinya. Oh........alangkah baiknya. Tapi...........Bicara hatinya sendirian.

“Sara aku minta maaf kalau kau tersinggung. Aku tahu kedudukan kau sekarang. Kalau aku ditempat kau, akupun tak tahu apa yang harus aku buat. Mungkin aku akan terima pilihan Mak dan abah aku. Aku percayakan pada mereka. Memang perit tapi kita ada alasan sendiri. Kau fikirlah semasak-masaknya. Aku tetap ada untuk kau, Sara,” pujuk Arissa. Kesepian Sara membimbangkannya.

“Entahlah. Aku sayangkan Azman. Terlalu sayangkannya. Tak pernah aku rasakan perasaan macam ni sebelum ini, Ris. Aku rasa sakit didalam. Sekarang ni aku sakit sangat. Aku tak sanggup kehilangan dia, Ris. Aku akan hilang arah tujuan hidup aku. Dia sebahagian dari diri aku,” tangis Sara.

Dihujung talian Arissa terdiam. Membiarkan Sara melepaskan tangisannya. Sekurang-kurangnya dia akan berasa lega.“Kau kenal ke siapa dia?”

“Tak kenal langsung. Tapi ibu kata mereka pernah datang masa kahwin abang Hanif dulu. Ibu kata anak datuk,” beritahu Sara acuh tak acuh.

“Bertuahnya badan dapat kahwin anak Datuk,” gurau Arissa menutup kepiluan hati Sara.

“Yang Datuk tu ayah dia bukannya dia. Kau ingat best ke kahwin dengan anak orang berpangkat ni? Entah-entah kaki perempuan. Peluk perempuan sana sini. Satu sen pun tak guna tau. Baik aku kahwin dengan orang miskin papa kedana. Tak apa, senang sikit hati aku,” sanggah Sara sedikit geram dengan gurauan Arissa.

“Kalau papa kedana, kau nak makan apa? Kayu? Batu? Ataupun kau pula yang kena tanggung dia. Baik tak payah. Tak ada beban batu digalas. Buat apa. Berat tau. Tak terlarat dengan badan kau yang kurus kering tu.” Huraian Arissa itu menyebabkan Sara tertawa besar. Hilang sebentar kerunsingan yang bernaung dihatinya.

“Tapi, aku tak tahulah. Aku tak buat apa-apa keputusan lagi. Pada aku andai ini dapat menggembirakan hati family aku terutama ibu, rasanya biarlah aku berkorban walaupun berat. Aku cuma nak ibu gembira. Dah puas dia menderita, Ris. Cukuplah rasanya penderitaan yang dia tanggung. Kaupun tahu apa yang aku alamikan?” ujar Sara lembut.

“Aku tahu Ris. Tak semestinya pilihan ibu itu membawa derita dan pilihan kita itu akan sengsara. Semuanya terpulang pada kita, Sara. Kita yang menentukannya. Apa jua keputusan kau, aku akan sokong,” ujar Arissa dengan kata-kata yang mendalam maknanya. Dia faham apa yang sedang melanda sahabatnya itu.

“Terima kasih, Ris kerana memahami. Kau banyak membantu aku,” balas Sara sayu. Terharu dengan sokongan dan perhatian yang diberikan oleh sahabatnya.

“Kau tetap kawan aku dunia akhirat, Sara. Janganlah fikir sangat. Kesihatanpun kena jaga juga. Nanti sakit lagi susah. Anggap aje ini dugaan ALLAH. Dia sekadar nak menguji engkau. Solat Istikharah. Minta petunjuk. Insya ALLAH, DIA akan membantu,” nasihat Arissa. Dia faham benar perangai Sara. Kalau sakit akan mendiamkan diri sahaja. Pernah sekali disekolah, Sara pengsan kerana menahan sakit perut akibat datang bulan.

“Insya ALLAH.”

“Baiklah. Dah malam ni. Lain kali aku call kau lagi. Take care. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

No comments:

Post a Comment