Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 13

“Assalamualaikum……….. Mak Lang. Sara ni. Boleh Sara kerumah Mak Lang hari ni?”

Diam sebentar. Sara mendengar kata-kata Zainab dihujung talian.

“Dalam sejam lagi Sara sampai.” Selepas itu Sara memandu kerumah Zainab yang terletak di Kuala Kangsar.

Sejam kemudian Sara tiba dirumah itu. Zainab sudah setia menanti kedatangan Sara. Dia menjengah kepintu apabila terdengar enjin kereta dimatikan.

“Assalamualaikum Mak Lang,” ucap Sara apabila ternampak wajah Zainab dimuka pintu. Mesti dia tunggu aku. Bisik hatinya. Sara tersenyum seraya mendapatkannya.

“Sihat Mak Lang? Pak Lang kerja ke?” soal Sara sebaik sahaja melangkah masuk kedalam rumah. Sunyi sepi sahaja. Dia memandang sekeliling dalam rumah itu. Memang dia akui Mak Langnya itu memang pandai mengemas rumah. Walaupun tiada konsep tertentu, tetapi rumah itu tetap cantik dan bersih. Sejuk mata memandang.

“Mak Lang sihat aje. Pak Lang ada didapur tu,” jawab Mak Langnya.

“Eh, Pak Lang tak kerja ke hari ni?” soal Sara lagi. Sekilas itu juga dia terpandang pula Pak Langnya yang melangkah keruang tamu. Segera dia menghulurkan tangan bersalaman.

“Sihat, Pak Lang? Tak kerja pulak hari ni?” tanya Sara pada Pak Langnya itu.

“Pak Lang tak berapa sihat. Selesema sikit. Itu yang MC hari ni. Dapat juga berehat kat rumah ni dua hari. Sara sihat?” aju Latiff pula.

“Macam nilah Pak Lang. Sihat,” jawab Sara acuh tak acuh. Wajahnya kembali keruh. Ada kesedihan datang menghampiri. Sebolehnya saat ini juga dia menghamburkan kedukaannya pada Mak Lang.

“Kenapa ni? Dari tadi muka tu monyok aje. Apa yang dah jadi?” soal Zainab sambil melabuhkan diri bersebelahan Sara. Latiff duduk bertentangan dengan Sara memandang tepat wajah bundar itu. Saling tak tumpah arwah Shariff. Bisiknya. Sara tidak menjawab sebaliknya memandang mereka dengan pandangan yang kosong. Tiba-tiba airmatanya mengalir. Sederas pagi tadi. Terlalu murah airmatanya saat itu.

“Cuba bagi tahu Mak Lang apa yang dah jadi? Kenapa menangis sampai macam ni?” Zainab mengusap belakang Sara. Sara rasa terpujuk sedikit.

“Entahlah Mak Lang. Susah Sara nak cakap,” Sara tersedu lagi.

“Boleh. Sara cakap perlahan-lahan.” Zainab menggenggam tangan Sara seolah-olah memberikannya kekuatan.

“Entahlah apa yang kena dengan ibu tu. Tiba-tiba aje suruh Sara kahwin. Dengan siapa, Sara tak kenal langsung, Mak Lang. Sara terkilan. Ibu buat persetujuan tanpa tanya Sara dulu. Ibu tak adil. Ibu tak patut buat Sara macam ni. Sepatutnya ibu tanya Sara dulu. Ini zaman sains dan teknologi bukannya zaman bawang putih bawang merah.” Akhirnya apa yang menjadi masalah padanya terluah juga. Apa yang menggusarkan hatinya semenjak semalam tidak lagi menjadi rahsia. Segalanya diluahkan kepada Mak Langnya.

“Baguslah kalau macam tu. Bukan ke kahwin tu perkara baik. Kenapa pulak Sara tak setuju pulak?” ujar Zainab lembut memujuk.

“Mak Lang, nikah kahwin bukannya perkara main-main. Ni perkara berat tau tak?” tinggi sedikit suara Sara agar Mak Langnya dapat menyelami kegusaran hatinya. Padanya jawapan Mak Langnya itu hanyalah gurauan.

“Sara…..Mak Lang tahulah tu. Maksud Mak Lang tadi bukankah kahwin tu perkara baik sebab kita mendirikan masjid tau. Sara tak tahu ke?” Zainab memujuk lagi.

“Sara minta maaf Mak Lang. Sara tak sengaja. Sara akui kerja kahwin ni perkara yang baik tapi bila kita tiba-tiba diminta berkahwin macamana Mak Lang rasa. Tak ke pelik. Angin tak ada ribut tak ada tiba-tiba kena kahwin,” luah Sara. Airmatanya yang tadi terhenti mengalir semula.

“Kenapa? Ibu suruh Sara kahwin ke?”

“Hmm……… bila balik petang semalam terus kata ada orang masuk meminang. Terkejutlah Sara,” beritahu Sara lagi.

“Pinang Sara ke?” Sara yang sedang menangis tiba-tiba ketawa apabila mendengar pertanyaan Latiff.

“Apalah Pak Lang ni. Tentulah Sara. Takkan adik-adik kot. Diaorangkan semuanya lelaki,” jawab Sara sinis. Mereka semua tertawa. “Ya lah tu. Terlupalah pulak, Pak Lang. Maklumlah hari ni tak sihat sikit. Fikiranpun tak berapa elok juga,” gurau Latiff. Hilang sebentar rasa sedih yang sedang menyelubungi mereka.

“Jadi Sara tak setuju ke?” Soalan Zainab berbalik kepada topik asal.

“Tak tahulah Mak Lang. Benda ni berlaku mendadak betul. Sara tak dapat nak bersedia apa-apa. Terus terang Sara katakan Sara memang tak bersedia untuk mendirikan rumahtangga sekarang ni. I’m not ready yet,” luah Sara.

“Sampai bila? Sampai umur Sara tu macam Mak Lang ni. Masa tu siapa yang nak Sara? Cuba Sara fikir.”

“Bukannya Sara tak mahu kahwin.............,mahu Mak Lang. Tapi bukannya sekarang. Lebih-lebih lagi dengan orang yang Sara tak kenal. Macamana nak hidup bersama. Susah Mak Lang.”

“Susah pada orang yang tidak mahu tapi senang pada orang yang tahu apa yang ada didalam hatinya. Semuanya boleh kalau kita yakin, Sara. Jangan mengalah sebelum kita berjuang. Itu penghinaan namanya, Sara.” Nasihat Zainab agar Sara mengerti maksud ibunya.

“Mak Lang cakap macam ibu. Paksa Sara untuk menerima pinangan tu. Entah-entah Mak Lang berpakat dengan ibu, tak?” tuduh Sara.

“Jangan cakap macam tu Sara. Mak Lang dengan Pak Lang tak tahu apa-apapun. Kalau Sara tak cakap, Mak Lang memang tak tahu.” Sangkal Zainab.

“Sara minta maa, Mak Lang. Fikiran Sara sekarang ni tak tahulah macamana. Kalau boleh ditransparentkan, tentu nampak berserabutnya kepala otak ni.” Sar menujal kepalanya agar apa yang berselirat dapat diuraikan segera.

“Bawa bertenang Sara. Kalau Sara macam ni sampai bilapun masalah takkan selesai,” pujuk Latiff pula. Nampak sangat keadaan Sara yang tertekan.

“Sekarang boleh Pak Lang tahu apa sebabnya yang Sara tak mahu kahwin sekarang ni?” soal Latiff.

“Sara banyak tanggungjawab Pak Lang. Adik-adik masih sekolah. Mak pun selalu tak sihat semenjak pencen ni. Cuma Sara aje yang mereka harapkan. Kalau Sara kahwin sekarang ni tentu akan timbul masalah nanti. Sara tak mahu pelajaran mereka terganggu. Kalau boleh biarlah mereka habiskan study dulu. Sekurang-kurangnya Sham. Boleh juga Sara harapkan dia,” luah Sara tentang isi hatinya. Latiff dan Zainab mengakui kebenaran kata-kata anak saudara mereka.

“Atau Sara dah ada calon pilihan hati?” serkap Zainab secara tiba-tiba. Sara tersentak dan terdiam. Wajahnya berubah warna.

“Mana ada. Pandailah Mak Lang cakap Sara macam tu. Sara single lagilah,” Sara menidakkan. Dihatinya penuh maksud tersirat.

“Kalau ibu dah suruh Sara kahwin bermakna dia dah fikirkan masak-masak semuanya. Seorang ibu ni Sara takkan biarkan anaknya hidup menderita, tersiksa. Kalau boleh apa yang dia miliki diberikan pada anaknya. Sebab itulah semua orang kata kasih ibu membawa kesyurga, kasih bapa sepanjang usia,” pujuk Zainab lagi. Dia mengerti apa yang sedang dialami Sara. Dia tersepit antara kemahuan ibunya dan kehendak hatinya sendiri. Tapi dia juga tahu Sara seorang yang bijak membuat pilihan. Cuma kadangkala sikap tolak ansurnya dan mudah mengalah yang merisaukannya. Sara akan segera mengalah walaupun dia berasa dia dipihak yang benar. Kemudian pendam saja segalanya.

“Sara bukannya apa Mak Lang, Pak Lang. Sara tak mahu ibu hidup susah lagi. Cukuplah selama hari ni ibu menderita. Sara tak sanggup nak tengok ibu sedih lagi. Kalau boleh Sara nak ibu macam sekarang. Dah terubat sikit lukanya,” luah Sara lagi.

“Mak Lang tahu. Sara anak yang baik. Untung ibu dapat anak macam Sara ni. Tapi, Sara perlu ingat niat ibu tu juga baik. Ibu mana yang tak mahu lihat anaknya bahagia. Kalau anaknya bahagia Sara, segala duka yang terpendam pasti terubat. Percayalah Sara. Sara dah tanyakan ibu apa sebabnya ibu suruh Sara kahwin tiba-tiba?” aju Zainab. Sara menggeleng. “Sara datang sinipun ibu tak tahu,” beritahu Sara.

“Ya ALLAH, kenapa Sara buat macam tu? Tentu ibu risaukan Sara. Bertuah betul budak ni,” rungut Zainab tidak puashati dengan kelakuan Sara. “Lepas ni telefon ibu. Beritahu dia yang Sara ada dirumah Mak Lang. Nanti macam-macam dia fikir. Sara macam tak kenal dengan ibu Sara tu. Cepat panik. Kelam kabut jadinya nanti,” arah Zainab lagi. Sara menganggukkan kepalanya. Mengakui kesalahan. “Baiklah Mak Lang,” jawab Sara pendek.

“Dah makan ke?” soalnya lagi. “Belum. Tak ada selera,” jawab Sara.

“Jangan macam tu. Walau apapun yang terjadi, kesihatan kena jaga juga. Jangan ikutkan hati sangat. Mak Lang yakin dengan Sara. Sara bijak untuk membuat keputusan. Apatah lagi tentang hidup Sara. Ini soal masa depan. Mak Lang dengan Pak Lang tak mahu masuk campur ataupun beri pendapat. Kami cuma boleh memberi pandangan supaya apa yang Sara putuskan betul dan tepat. Jangan mengambil keputusan dengan perpandukan arahan ataupun perasaan orang lain. Fikirkan diri sendiri dulu. Apa jua keputusan yang Sara ambil, Mak Lang dengan Pak Lang tetap sokong. Sebab Sara tentu dah fikirkan sedalam-dalamnya,” nasihat Zainab panjang lebar. Dia mahu segala tindakan yang bakal Sara ambil telah dihitung baik buruknya.

Sara terdiam. Dia perlukan ketenangan tika ini.

“Sudahlah. Jom makan nasi goreng. Nanti sakit perut pulak. Lepas makan nanti call ibu.” Sara membuntuti ibu saudaranya kedapur.

No comments:

Post a Comment