Thursday, March 4, 2010

Tiada Noktah Cinta - 1

Sara menyandar dikerusi keretanya. Kepenatan seharian bekerja terasa. Entahlah. Serba tak kena hari ini rasanya. ‘BODOH!!!!’ terngiang-ngiang perkataan itu difikirannya. Sepanjang empat tahun bekerja dengan Encik Fuad tidak pernah sekalipun kata-kata kesat terkeluar dari mulut itu. Dia amat memahami kelakuan bosnya. Tetapi tidak hari ini. Sara mengeluh sambil keluar dari keretanya.

“Assalamualaikum………… Ibu! Ooo Bu…! Mana pulak perginya Ibu ni,” laung Sara tanpa melihat keadaan didalam rumah. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk, dia terperanjat. Ramainya orang. Macamanalah aku boleh tak terperasaan kereta kat luar tadi. Ya Allah, malunya aku. Mesti diaorang dengar aku menjerit tadi. Gumam Sara sendirian sambil tersenyum menutup rasa malu yang jelas kelihatan diwajahnya.


“Maaf ya. Dah lama sampai?” soal Sara sekadar berbahasa. Lantas dia menghulurkan tangan bersalaman dengan semua tetamunya. Wajahnya masih diselubungi rasa malu.

“Sudah. Dari petang tadi,” jawab salah seorang tetamu yang kelihatan akhir 40an. “Baru balik kerja ke?” Soalnya pula.

“Ya. Duduklah dulu. Buatlah macam rumah sendiri.” Sara segera meninggalkan tetamunya dan melangkah kedapur mencari ibunya. Tidak betah lama disitu.

“Shahrul, ibu mana? Akak tak nampakpun dari tadi,” aju Sara pada adik bongsunya yang leka menonton tv hinggakan tidak mempedulikan apa yang berlaku dalam rumah. Kalau dapat menonton TV, jangankan ribut taufan, langit runtuhpun tak dipedulikannya. Marah Sara didalam hati.

“Entah. Tadi ada kat dapur tu. Adik tak perasaan pulak tadi. Akak carilah sendiri. Takkan itupun nak ajar,” jawab Shahrul selamba. Malas mahu bersoal jawab kerana soalan kakaknya mengganggu konsentrasinya menonton TV.

Sara memandang tepat wajah adiknya. Geram dengan jawapan itu tapi dia pendamkan sahaja. Lagipun ruang tamu rumahnya penuh dengan tetamu. Takkan nak bergaduh depan tetamu. Bukannya itu satu perbuatan yang tak elok dipandang orang. Sepatutnya tetamu harus dihormati dan muliakan. Sara mendiamkan diri sahaja. Tiba-tiba belakangnya ditepuk. Dia terperanjat dan segera dia menoleh.

“Ya Allah, Mak Lang. Lama dah sampai? Lamanya tak jumpa.” Sara betul-betul terperanjat dengan pertemuan itu. Kepenatannya serta-merta terbang. Sudah lama adik angkat ibunya itu tidak ditemuinya. Seingatnya, kali terakhir mereka berjumpa pada hari raya puasa yang lepas iaitu kira-kira enam bulan yang lalu. Kemudian mereka hanya berhubung melalui telefon sahaja.

“Mak Lang sampai lebih kurang pukul tiga tadi. Ni….. kenapa lambat balik? Kalau matahari tu tak terbenam agaknya pintu rumah ni tak nampak kot,” perli Mak Langnya sambil melepaskan pelukan Sara.

“Apalah Mak Lang ni. Dah la sesekali aje kita jumpa, lepas tu asyik perli aje. Tak best betul la.” Sara pura-pura merajuk. Zainab segera menarik kembali Sara dalam pelukannya. Dia amat menyayangi Sara. Dia menganggap Sara seperti anaknya walaupun dia sendiri mempunyai tiga orang anak perempuan.

“Mak Lang bukannya apa. Ibu Sara asyik bersungut. Sara selalu balik lambat dari kerja. Banyak sangat ke kerja di office tu?” Soal Zainab lembut. Dia menyangka Sara merajuk kerana Sara amat sensitif orangnya.

“Kerja, Mak Lang. Tak pernah habis. Lagipun kami baru dapat projek baru. Jadi banyak benda yang nak kena buat,” jawabnya tenang. Mereka tidak menyedari perbualan mereka turut didengari oleh tetamu yang ada didalam rumah. Dia terasa pipinya panas menahan rasa malu yang datang. Sudah besar-besar tetapi masih dipeluk dan dicium persis anak kecil.

“Mak Lang bukannya apa. Mak Lang risau kalau Sara sakit. Nanti siapa yang susah. Ibu jugakan. Kesian ibu. Lagipun kalau Sara sakit, Sara bukannya nak beritahu ibu,” ujar Zainab melahirkan apa yang terpendam didasar hatinya.

“Mak Lang janganlah risau sangat. Tahulah Sara jaga diri. Lagipun sekarang ni aje yang sibuk. Dulu jarang juga Sara balik lambat. Bila ada projek baru masuk, barulah Sara kena beri komitmen yang tinggi. Bila semuanya okey, tak adalah Sara balik lambat lagi ya. Sara janji,” janji Sara dalam nada bergurau.

“Hmmm….. percayalah cakap dia tu, Nab. Kalau tak ada projekpun, dia balik lambat juga,” seru ibunya dari belakang. Sara menjeling tajam pada ibunya. Sedikit terkejut bila suara itu menyapa perbualan mereka.

Sara diam sahaja. Kepenatannya mula terasa semula. Dia mendiamkan diri bangun untuk masuk kebiliknya dan membiarkan Mak Lang dan ibunya terpinga-pinga. Malas dia bertengkar dan menjawab soalan lagi. Rasanya ingin sekali dia bermalas-malasan diatas katil pula. Sarimah menggeleng kepala melihat telatah anak gadisnya.

“Hish….. budak-budak sekarang ni, tak boleh ditegur langsung. Panjang muncungnya,” rungut Zainab sambil melangkah keruang tamu. Sedikit terkilan dengan perbuatan Sara tetapi tidak mengambil hati. Mungkin Sara kepenatan. Bisiknya.

“Maafkanlah perangai anak kakak tadi. Rasanya tak manis dia pergi macam tu aje. Tapi, macam tu lah perangainya. Dia ni pemdiam sikit orangnya. Jarang nak bercakap dengan orang, lebih-lebih lagi kalau baru kenal. Tak biasa,” beritahu Sarimah pada para tetamunya. Padanya kurang sopan apabila Sara meninggalkan Zainab sebegitu. Dia bimbang kalau-kalau tetamunya merasa tersinggung dengan perbuatan Sara.

“Tak mengapalah. Kami faham. Lagipun mungkin dia penat tu. Diakan baru balik dari kerja. Mungkin dia keletihan. Itu yang senang ‘bad mood’.” Balas salah seorang tetamu. Berbahasa.

“Dia tu memang macam tu. Kalau dirumah asyik terperap aje dalam rumah. Jaranglah kalau nak keluar kemana-mana. Malas katanya. Lebih suka duduk dirumah. Tapi saya sayang sangat dengan dia walaupun saya sendiri dah ada tiga orang anak perempuan. Sara ni lembut sikit orangnya tapi cepat terasa.” Beritahu Zainab pula perihal Sara.

“Memang jarang kita nak dapat anak perempuan yang suka duduk dirumah. Saya ni ha…. Ada tiga orang anak perempuan. Tapi, tak pernah melekat dirumah. Yang belajar di oversea tu lainlah. Tapi, yang duduk dengan kita ni. Nak nampak muka seharipun payah. Baik yang lelaki ataupun yang perempuan semuanya sama aje.” Ujar tetamu itu lagi.

“Eh… kita ni dari tadi bercakap tapi tak berkenalanpun lagi. Saya ni Zainab. Adik kepada Kak Sarimah ni. Ini keluarga pihak pengantin lelaki ke?”

“Ya. Kami ni wakilnya sahaja. Maklumlah, pengantin lelakinya anak saudara suami saya. Ibubapanya sibuk dirumah menguruskan majlis ni, jadi kami sahajalah yang menjadi wakilnya. Maklumlah anak sulung, jadi semuanya nak nampak sempurna.” Terangnya.

Sarimah telah memberitahu Zainab tentang kedatangan pihak pengantin lelaki yang akan menginap dirumahnya semalam. Sekadar bermesra Zainab berkenalan lebih lanjut. Bersyukur kerana mereka merendah diri walaupun berpangkat.

“Seronok pula kalau sesekali merasa suasana kampung ni. Tenang aje. Kalau diKL tu jangan haraplah. Nak keluarpun malas. Jammed memanjang.” Ramah Datin Halimah bercerita.

“Isy…… kalau dah seronok, bila-bila masa pun boleh kemari. Rumah kami ni sentiasa terbuka. Datang aje. Insya Allah kami akan sambut dengan seadanya,” pelawa Zainab pula. Terasa kemesraan yang terwujud antara mereka dan para tetamu yang baru dikenali. Sarimah menganggukkan kepalanya tanda mengiakan kata-kata adik angkatnya.

Sarimah mempelawa tetamunya menjamu minuman petang itu. Mereka menikmati hidangan petang itu sambil berbual-bual kosong.

“Shahrul, pergi panggil Kak Sara turun minum sekali,” arah Mak Lang Zainab pada Shahrul yang masih leka menonton siaran petang itu. Sharul melangkah malas naik keatas memanggil kakaknya. Tidak lama kemudian dia turun semula.

“Mana kakak, Shahrul? Dia tak mahu minum ke?” soal Zainab lagi.

“Kakak kata nak mandi dulu, Mak Lang. Kejap lagi mungkin dia turun,” jawab Shahrul sambil kembali semula menonton.

“Tak mengapalah.” Beritahu Sarimah pula.


No comments:

Post a Comment