Friday, March 5, 2010

Pelangi Kasih Gerimis Rindu

Suasana petang masih membahang oleh bingkisan sisa mentari tengah hari yang belum menguntum sepenuhnya. Namun ada jiwa yang lebih membahang. Kepanasan yang berolak dari dalam diri, meletus keluar bersama dengus kecil dari sebuah hati yang tidak pernah nampak oleh mata kasar.


“Huh! Tak perlu! Hana boleh bawa sendiri!”

“Hana… Kenapa marah sangat dengan Wan ni?”

Hana mempercepatkan jalannya. Dan Hana masih membisu. Dengan wajah yang semacam menahan kemarahan yang membara!

Dalam hati gadis manis itu sebenarnya tertanam rasa kepiluan yang teramat sangat. Pantas dia menyembunyikannya dengan amarah. Kenapalah Fazwan tidak pernah mahu mengerti berontak jiwanya. Mengapa dia tidak menghalang Hana pergi? Bahkan seolah-olah dia senang sekali dengan pemergian Hana itu.

“Huh...! Wan memang suka Hana pergi kan? Taklah Hana mengganggu Wan lagi kan?” Hana berkata dengan nada perlahan namun agak keras intonasinya.

Muka gadis yang berkulit cerah bersih itu kelihatan merah menahan emosi. Manusia-manusia lain yang lalu lalang di stesen bas itu bagaikan limunan oleh kedua-dua manusia itu.

“La… Hana sendiri yang hendak pergi kan? Wan tolong aja. Kita kan kawan, Hana. Wan sayang Hana. Hana tak sayang Wan?” Fazwan bersungguh-sungguh ingin menenangkan gadis itu.

Hana pula sedikit pun tidak memandangnya. Dia melihat jam di pergelangan tangannya itu. Sekejap lagi mahu berangkat, namun dia tidak tahu mengapa dia masih lagi terpaku di situ. Menunggu peluang untuk dipujuk oleh Fazwan barangkali? Memang dia sangat suka setiap kali Fazwan memujuknya. Walaupun Fazwan bukanlah teman lelakinya, namun Fazwan melayannya bagaikan seorang puteri.

Hanyut melayan bisik perasaan dan suara-suara halus Fazwan yang tidak dilayaninya itu, Hana segera mengambil begnya apabila melihat penumpang lain sudah pun mengambil tempat duduk masing-masing di dalam bas.

“Err.. Hana. Kirim salam kat tunang ya,” Fazwan pasrah membiarkan Hana berlalu dengan amarahnya. Hana rasa semakin hiba. Mengapa ayat itu jua yang terkeluar dari bibir lelaki itu. Bukankah selalunya dia akan berkirim salam pada mak dan abah. Kalau tidak pun pada Ali, adiknya yang sangat rapat dengan Fazwan. Mengapa perkataan ‘tunang’ itu juga yang dia sebut.

‘Ishh! Boleh hilang akal dengan perasaan yang begini!’ Getus jiwa Hana. Hana segera menaiki bas. Setelah duduk ke tempat yang betul, Hana menguatkan semangatnya untuk berpaling memandang ke luar menerusi tingkap bas. Melihat bayang Fazwan buat kali terakhir sebelum bas itu berlalu. Perlahan bayang Fazwan mengecil, lalu hilang terus.

Kepulangannya menggunakan bas kali ini begitu asing sekali baginya. Mana tidaknya, selalu dia balik ke kampung bersama Fazwan. Kalau pun Fazwan tidak punya waktu untuk tinggal di sana, lelaki itu tetap akan menghantarnya dengan kereta.

Di sepanjang perjalanan itu, Hana hanyut melayan perasaan sendiri. Di kala ini emosi menjadi raja dan menguasai setiap jasad yang duduk terdiam. Tidak dapat dielak, kecuali tertidur. Minda tidak bisa berhenti dari memikirkan dan mengingati sesuatu. Fikiran dan ingatan Hana, sudah pastinya pada Fazwan.

Fazwan! Fazwan! Fazwan!

********************************************************************************************

“Hana, temankan Wan petang ni ya.”

“Ke mana pula?”

“Beli barang… Boleh la Hana,” Fazwan seolah-olah merayu kepada Hana.

“Ok ok… Tapi tak boleh lama tau. Hana ada date dengan Imran malam ni.”

“Ala sekejap aja… Wan pun tak boleh lama, nak main bola.”

Sejurus menamatkan perbualan bersama Fazwan menerusi telefon bimbitnya itu, Hana terus berfikir baju mana yang ingin dikenakannya untuk keluar bersama sahabatnya itu. Hana memilih tudung yang tergantung di dalam almarinya. ‘Mesti pakai tudung. Warnanya pula biar lembut. Baju harus berlengan panjang. Dipadankan pula dengan seluar denim. Kalau boleh biar pakai minyak wangi tapi harus sedang-sedang.’

Macam itulah kehendak Fazwan. Baru sempurna di mata lelaki itu. Kalau tidak nanti, macam-macam komennya. Fazwan begitu manja dengannya. Dia pula seakan mendengar apa saja pandangan lelaki itu. Ke mana saja kereta Fazwan membawanya, diikutnya dengan penuh rasa percaya. Ternyata Fazwan memang lelaki yang baik dan boleh dipercayai.

Petang itu Fazwan membawa Hana ke kedai menjual alat-alat muzik. Fazwan menyuruhnya memilih satu di antara gitar yang berbaris. Hana tertanya-tanya. Bukankah baru bulan lepas Fazwan memberi tahu ayahnya baru balik dari Paris dan membeli sebuah gitar untuknya. Cantik dan berjenama. Malah sempat Fazwan mendendangkan beberapa lagu untuknya. Menurut Fazwan, Hana adalah orang pertama yang mendengar nyanyian dari dia dan gitar barunya itu.

“Er… nak beli gitar lagi?” Tanya Hana dengan reaksi wajah hairan.

“Bukan untuk Wan, tapi untuk Hana.”

“Eh Wan, Hana nak buat apa dengan gitar ni. Bukannya pandai main pun,” Hana tergamam dan mengerutkan keningnya sambil memandang hairan pada Fazwan. Fazwan hanya tersenyum. “Untuk Imran. Hari inikan hari jadi kekasih hati awak tu. Hari tu bukan main lagi kata duit PTPN belum keluar. Pening tak ada duit nak beli hadiah apa untuk Imran. Ha, pilihlah mana satu.” Hana tergamam sekali lagi. Tersentuh nalurinya melihat kasih sayang serta perhatian lelaki itu terhadapnya.

“Tapi Wan…”

“Ahhh, tak apa, cepatlah pilih. Wan nak bersiap main bola ni.” Fazwan menyarankan lembut. Begitu comel sekali wajah kebudak-budakan lelaki itu. Ketampanannya sering saja menyentuh hati Hana, tapi harus dia ingat. Fazwan itu kawannya, dan dia sudah mempunyai teman lelaki sebaik Imran. Segera perasaan itu dibuangnya jauh-jauh.

“Tapi… “

“Errr… Ok anggap sahaja yang Wan pinjamkan duit pada Hana. Nanti bayarlah…”

Segera dia teringat pada hari jadi Fazwan yang lepas, bagaimana dia sekali lagi lupa membelikan hadiah untuk lelaki itu. Sekadar ucapan hari jadi, itu pun selepas Fazwan menghubungi telefon bimbit miliknya di tengah-tengah malam buta. Ucapan hari jadi dalam nada mengantuk dan hambar. Kalah dek rasa mengantuknya pada saat itu!

Mengenangkan peristiwa itu, hatinya rasa sayu. Kasih sayang Fazwan memang tidak ada tandingannya. Akrabnya persahabatan mereka membuatkan Fazwan buta akan kekurangan pada diri Hana.

“Banyak dah Hana hutang dengan Wan ni. Nampaknya kena jadi orang gaji rumah Wan lah untuk bayar semuanya!” Sempat Hana berseloroh sambil mereka berlalu setelah Fazwan menyerahkan wang RM 354 kepada pemilik kedai muzik berbangsa cina itu.

“Apa pulak... kalau tak dapat bayar, Hana kenalah kahwin dengan Wan,” Fazwan tersenyum sambil meletakkan gitar berwarna biru itu ke tempat duduk belakang.

Wajah Imran tiba-tiba mencelah. Hadir merentasi kelopak mindanya. Dia mengenali Imran dari kawannya yang kebetulan sepupu kepada Imran. Sesuatu yang menarik pada Imran adalah sifat romantis dan matangnya. Itu yang membuat Hana menerima lamaran Imran untuk menjadi teman wanitanya. Selain itu, tidak ada lagi. Imran sering sibuk dengan kerjayanya. Mereka berjumpa sekali seminggu dan kadangkadang tiga minggu sekali.

Hana mengakui bahawa Fazwan jauh lebih kacak berbanding dengan teman lelakinya itu. Tapi itulah, perangai kebudak-budakan dan sensitif Fazwan sering merimaskan Hana dan atas alasan itu jugalah Hana menolak lamaran cinta jejaka itu. Mohd Fazwan Tan Sri Abdul Ghani, Mungkin kita telah ditakdirkan untuk bertemu sebagai sepasang sahabat sahaja. Biarlah... Biarlah... Biarlah impiannya dan perasaannya pada Fazwan terkubur dalam hati sahaja.

Di kampus Fazwan memang ramai peminat terutama junior perempuan yang meminati wajah kacak dan gaya anak orang berada itu. Teman wanitanya bukan satu atau bukan dua. Tapi apa yang pastinya, hubungan mereka pasti tak pernah bertahan sampai seminggu pun. Tidak ada gadis yang boleh tahan dengan perangai Fazwan yang sensitif dan kebudak-budakan itu.

“Budak tu lagi?” Imran mengerutkan dahi memerhati Hana membuka mesej yang dikirimkan pada telefon bimbitnya. Dia semacam boleh meneka siapa yang mengganggu temu janji mereka pada waktu begini. Malah waktu lain pun, sering kali diganggu oleh orang yang sama!

“Tu lah… Kecoh bagi tahu team bola dia menang,” sengaja Hana membuatkan reaksi seolah tidak menyenangi akan gangguan bunyi nada mesej pada telefon bimbitnya itu. Dia cuma ingin mengelakkan pergaduhan antara dia dengan Imran. Bukan sekali dua mereka bergaduh disebabkan Fazwan.

“Semua hal dia nak bagi tau Hana ye… Ingat Hana mak dia ke apa?” Imran berkata lagi sambil mencucuk garpunya pada daging yang terselit di celah mee gorengnya.

“Hem…” Walaupun sekadar menjawab ringkas, Hana terasa bagaikan hatinya yang dicucuk-cucuk! Geram betul mendengar tutur kata Imran yang menyebut fasal Fazwan. Namun ditahan-tahannya jiwa yang mengamuk. Kalau tidak hancurlah makan malam itu. Tidak seharusnya dia membuat hal pada malam hari jadi Imran. Kalaulah Imran tahu gitar yang dipujinya cantik dan amat disukainya itu ehsan dari lelaki yang baru disebutnya dengan kebencian tadi… Hai, apalah yang akan jadi agaknya?

********************************************************************************************


“Bertunang? Hah? Awalnya, kan Hana masih belajar lagi?” Fazwan jelas kelihatan terkejut dengan kenyataan dari bibir Hana.

“Nak buat macam mana? Dah kehendak abah.”

“Dengan Imran ke?”

“Bukan, anak kawan abah. Tak tahulah, ikut suka abahlah. Hana ikut aje,” tutur Hana selamba.

“Dah tu macam mana dengan Imran?”

Sayunya hati Hana bila Fazwan berkata sebegitu. Macam mana dengan Imran? Mengapa tidak berkata ‘Macam mana dengan Wan?’ Tidak wujud lagi kah dia dalam hati lelaki itu? Atau Fazwan sudah putus asa dengannya sejak dia pernah menolak cinta Fazwan dahulu? Memang Hana mengakui itu adalah kesilapan paling besar yang pernah dilakukan dalam hidupnya barangkali.

Bila ayahnya memberitahu akan perkara dia akan ditunangkan dengan anak kawan sekampung ayahnya, Imran langsung tidak terlintas di fikirannya. Lelaki pertama yang diingatinya adalah Fazwan. Mengapa harus Fazwan? Bukankah Fazwan hanya menganggapnya sebagai teman? Sekalipun melayannya bagaikan tuan puteri, tetap dia tahu kedudukannya di hati Fazwan tidak lebih dari seorang kawan.

Bertunang. Bertunanglah. Fazwan pun akan bertunang. Dia tidak tahu bagaimana dan kenapa Fazwan harus bertindak sebegitu. Tiga hari selepas dia memberi tahu akan pertunangannya, Fazwan pun memberi tahu dia akan bertunang. Atau mungkin Fazwan berasa kecewa dengan pertunangannya lalu mengambil keputusan untuk bertunang juga? Atau mungkin Fazwan takut kesunyian nanti dan terus mengambil keputusan untuk bertunang. Atau mungkin jua untuk mengikut jejak Hana?

Macam-macam andaian yang Hana buat. Yang pasti segalanya amat melukakan. Bukan halangan yang dia terima dari Fazwan, malah berita yang menyedihkan pula. Pastinya bertuah insan itu dapat memiliki Fazwan. Dapat hidup bersamanya. Manakala Hana akan mengikuti ke mana saja deru takdir membawanya.

Terbayang wajah redup lelaki itu di matanya, mengalir lagi air matanya. Mengalir dan berkali-kali dia menyapunya, masih tetap tumpah jua. Barulah dia sedari akan kasih sayangnya pada Fazwan amat mendalam. Bas baru berlalu setengah jam meninggalkan wajah lelaki itu, namun dia sudah berasa terlalu merinduinya. Terasa bagai kehausan rindu berkurun.

“Fazwan… Tahu kah kau Hana cinta pada mu…” Terkeluar perkataan itu dari bibirnya yang kebisuan. Hembusan seolah-olah berbisik dan sayu. Nyanyian sepi hati yang lemas dalam getar rasa syahdu. Bas terus berlalu, menerbangkan debuan peristiwa yang silih berganti menyinggahi setiap kehidupan manusia.


********************************************************************************************

Sekejap saja rasanya hari pertunangan pun tiba. Bermacam-macam perkara berlegar-legar di kepalanya. Persoalan tentang bakal tunangnya. Namun setiap kali ibunya cuba memberitahu, dia segera mengelak, kalau pun terdengar, mungkin maklumat dari ibunya itu tidak meresap ke dalam jiwanya, kerana jiwanya bagaikan telah terkunci pada Fazwan sahaja.

Barisan kereta besar memaku jalan tempat masuk ke rumah Hana. Rombongan pihak lelaki sudah tiba. Di saat itu juga, ingatan pada Fazwan harus hilang dari jiwanya. Pergilah Fazwan, pergilah sayang, izinkan selamanya nama mu bersemadi cuma di hati ini.

“Hana… Cepat hidangkan air.”

“Iya mak,” sambil membetulkan tudungnya dan menyeka air matanya Hana keluar dari biliknya. Mendapatkan talam dan menyusun rapi beberapa cawan kosong ke dalamnya. Sementara di luar ayah sibuk berbicara dengan kawan lamanya itu.

“Banyak perubahan kampung kita ni ya, tadi kawan lalu ada jambatan besi kat depan sana nun.” Kata seorang lelaki tua yang berwajah lembut dengan sedikit uban putih meliputi kepalanya. Namun masih tetap nampak muda, kerana kulitnya yang bersih dan putih.

“Itulah… lama kawan tidak menjenguk kampung. Sudah jadi Tan Sri tak sangka pula masih ingat pada padi jelapang!” Ayah Hana berseloroh. Berderai ketawa dari dua sahabat lama yang masih seakrab dulu itu.

Segalanya sudah disiapkan, setelah merapikan pakaian dan tudungnya Hana keluar membawa talam yang berisi cawan dan teko air ke ruang tengah tempat para tetamu penting itu.

“Oh ini dia Farhana. Sudah besar dia sekarang, manis pula tu.” Seorang lagi wanita tua di sebelah lelaki tua itu bersuara. Mungkin isteri kepada kawan ayahnya tadi.

“Itulah… Fazwan, Farhana. Kawan yang memberikan nama itu kan? Ingat lagi mereka ditunangkan sejak kecil lagi… Hui lucu pulak kawan ingat balik.”

“Padan juga. Fazwan suka sangat bila dengar nama tu. Berseri-seri muka dia hari kawan bagi tau tu.” Lelaki tua berwajah lembut yang bergelar Tan Sri itu menyambung lagi. Farhana tergamam! Bagaimana nama Fazwan boleh muncul di ruang tamu mereka itu. Disebut-sebut ahli rombongan pula, malah digabungkan dengan namanya. Hatinya mula disambar macam-macam perasaan.

Tiba-tiba di satu sudut, duduk di sofa paling hujung dia melihat lelaki yang sangat dikenalinya. Sedang tersenyum manis, dan di wajahnya berbaur cahaya kerinduan yang teramat sangat. Fazwan merenungnya penuh mesra dan kasih sayang. Tengah hari yang cerah dan damai itu dikejutkan bunyi cawan pecah berjatuhan di ruang tamu keluarga Hana. Kaget sekali si bakal mak mertua melihat bakal menantunya menjatuhkan talam berisi hidangan pada pertemuan pertama itu...

Hanya Fazwan dan Hana sahaja yang mengerti segala-galanya. Pertemuan yang tidak diduga itu ternyata menjadikan hati Hana yang tadinya berkecamuk kini berbunga semula. Bagikan pucuk di cita ulam mendatang, Fazwan dan Hana bakal disatukan....

No comments:

Post a Comment