Friday, March 5, 2010

Mimie Gemok

Aku merenung gambar itu lama, Mimie tersenyum manja dan aku di sebelahnya turut sama tersenyum. Mimie, teman baikku di alam persekolahan, teman yang sanggup berkongsi suka dan duka, teman ketawa dan menangis. Aku tersenyum sendiri mengenangkan detik indah bersamanya. Sesekali aku menyapu air yang bergenang di bibir mata, perpisahan selama 5 tahun itu takkan ada pertemuan. Airmata semakin laju tatkala mengingati berita yang disampaikan oleh seorang teman lama, mengenai Mimie.
'Mimie Gemuk'. Gelaran yang terlekat pada bibir setiap pelajar di Sekolah Menengah Panji Semerang ini. Gelaran yang diterimanya semenjak kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah ini. Gelaran yang diberikan oleh seseorang yang amat diminatinya. Dia memang gemuk, memang tak padan dengan usianya yang baru menjangkau 16 tahun. Sudahlah gemuk, kulitnya pun tak secerah mana, gelap semacam aje. Tapi sesuatu yang amat bernilai pada dirinya, dia baik hati dan dia jugalah sahabat baikku. Aku pula, tak ubah macam 'bodyguard'nya, pantang ada yang mengacau pasti merasa penanganku. Mimie tersengih, telinganya sudah terlalu lali dengan panggilan itu. Aku mengetap gigi, rasanya mau saja aku ganyang si Maria, teman sekelasku itu. Sesedap rasa dia aje mengata Mimie.

"Mimie, berat badan kau berapa?, soal Maria tersengih-sengih.

"86 kg, kenapa kau tanya," jawab Mimie seikhlasnya. Aku di sebelah hanya mendengar.

"Agak-agaknya, antara kau dengan badak sumbu, sapa yang lagi berat?" Maria ketawa terkekek-kekek, menyampah betul aku dengan budak tepung ni, muka dia kalau tak berbedak 2 hingga 3 inci memang tak sah.

Mimie tersengih tanpa kata. Sesekali aku rasa dia ni macam orang bodoh je, orang kutuk dia pun, dia masih boleh tersengih lagi.

"Kau ni apahal tepung, tak pasal-pasal nak mengata orang?" Aku memandangnya tajam.

"Eh, aku tak tanya engkaulah. Kenapa kau nak sibuk-sibuk," Maria menyinga.

"Suka hati akulah, Mimie tu kan kawan baik aku. Engkau tu, cubalah buat perbandingan pulak antara kau ngan tepung kapur, sapa yang lagi putih."

"Kau cakap baik-baik sikit Atie, nanti karang tak pasal-pasal kau makan penampar aku."

"Nak tampar sangat, nah ambik kau!" Cedebuk, sebijik kat atas kepala dia. Padan muka dia. Kemuncak acara, aku dan Mimie dipanggil guru Hal Ehwal Pelajar yang juga merupakan ayah Maria. Eleh, aku tak heran.
Aku melabuhkan punggung di sebelah Mimie yang tersadai di tepi padang sekolah. Penatnya hanya tuhan yang tahu, apatah lagi di tengah panas terik begini.

Mimie menghulurkan air minuman padaku, " Wah, hebatlah kau Atie, tiap kali acara 4x100 meter, kau memang juara."

Aku tersengih mendengar kata-kata pujian itu, kembang semangkuk.

"Alah, aku ni bukannya teror sangat, tapi bila tengok si tepung tu mengada-ngada, tergedik-gedik kat tengah padang tu, naik berbulu mata aku. Itulah yang aku lari juga sampai dapat tempat pertama tu. Apa, dia ingat dia tu best sangat, masuk padang pun berbedak 18 inci, menyampah betul aku," aku mencebik tanda kurang senang.

"Tak baiklah kau kutuk dia macam tu, Atie. Dia tak de pun pernah kutuk kau."

"Alah, dia tu selalu mengata kau apa."

"Biarkan ajelah dia tu, aku tak kisah pun. Lagipun apa yang dia kata tu memang betul."

"Apalah kau ni Mimie, dia tu musuh tapi kau lebihkan dia dari aku," aku tarik muka masam.

Mimie tunduk, "Sorrylah Atie, aku tak berniat pun nak anggap kau macam tu."

Aku senyum pahit, "Aku tau."

"Ehem," satu batukan kecil kedengaran dan kami segera berpaling.

"Eh, Sham. Dari mana kau?" sapaku.

"Aku dari padang hoki sana tu, eh Mimie Gemuk pun ada."

Mimie tersenyum malu, sesekali aku mengerling Mimie di sebelah. Kontrol ayulah tu, mentang-mentanglah si Sham ni pujaan hati dia.

"Kau masuk acara apa Atie?"

"4x100 meter," jawabku ringkas.

"Kau pulak Mimie?"

"Takde, aku cuma temankan Atie je," tutur Mimie dengan sengihnya.

"Eh, lupa lak. Badak sumbu macam kau takkan nak masuk padang kot. Manalah laratkan," Sham menuturkan kata-kata hinaan itu dengan selancarnya. Dahlah tu, siap tersengih pulak.

Airmuka Mimie berubah, dan aku juga turut begitu. "Apa ni Sham, kalau kau datang sini nak mengata orang, lebih baik kau blah," aku meninggikan suaraku.

"Alah Atie, aku nak berguraupun tak boleh. Tak sportinglah kau ni," Sham masih tersengih macam kerang busuk.

"Kalau kau nak bergurau bodoh, lebih baik kau blah. Kita orang ni bukan macam Maria yang asyik nak dengar lawak-lawak bodoh kau tu."

"Eleh, tunjuk best konon, blahlah lu." Dan Sham pun berlalu dengan muncungnya yang panjang, peduli apa aku.

Aku pandang Mimie di sebelah, ada air yang bergenang di bibir matanya. Aku pegang bahunya lembut, cuba memujuk perasaannya.

"Janganlah nangis Mimie, nanti kalau kau nangis aku pun nangis jugak."

"Aku tak kisah kalau orang lain yang mengata aku tapi kalau dia, aku tersinggung sangat-sangat. Kau pun tahu, aku suka dia sejak mula-mula kita masuk sini. Kalau dia tak suka akupun, janganlah mengata aku macam tu. Akupun ada perasaan jugak," Mimie menyapu airmata yang mengalir. Aku jua pun begitu.
"Kak Mimie, abang Sham kirim salam," beritahu seorang budak tingkatan dua ketika kami sedang bersarapan di kantin sekolah.

"Jangan layan Mimie," bisikku perlahan..

Mimie sekadar tersenyum, pipinya yang tembam membuatkan matanya yang sepet bertambah sepet.

"Kak Mimie tak nak pesan apa-apa ke kat dia?" soal budak posmen tu.

"Nak pesan apa lagi!" aku bersuara kuat. Merasakan kesabaran yang mula tercabar.

"Abang Sham kata, kirim salam sayang kat kak Mimie, pastu dia kata dia nak jumpa kakak lepas sekolah nanti kat kantin." Dan budak posmen tu terus berlalu.

"Kau jangan pergi Mimie," larangku.

"Tak apalah, mungkin dia nak minta maaf tu."

"Aku rasa lebih baik kau tak pergi, ada yang tak kena ni," aku meluahkan ketidakpuasan hati.

"Tak apalah, aku tak fikir Sham nak buat perkara yang tak baik kat aku."

"Kau ni degillah, selalu sangat percayakan orang."

"Alah, kau kan ada. Karang, kau temankan aku ya," Mimie renungku lama, minta pertolongan Aku membisu seribu bahasa, tanda tidak setuju.

"Tolonglah temankan aku. Kaulah kawan aku yang paling baik sekali. Tolonglah yek, kali ni aje," Mimie buat muka kesian.

Aku pandang dia lama dan akhirnya mengangguk. Mimie tersenyum tanda puas dengan jawapanku.

"Hai Sham, ada apa Sham nak jumpa Mimie?" sapa Mimie tatkala berhadapan dengan jejaka idamannya itu.

Sham memandangnya sekilas, kemudian mengalihkan pandangannya padaku.

"Aku nak tanya kau satu perkara," suara Sham kedengaran bergetar, menahan marah, mungkin.

"Perkara apa?"

Sham mengeluarkan sesuatu dari saku seluarnya. Kertas itu dibuka, macam sepucuk surat. Aku dihujani seribu tanda tanya.

"Kenapa kau gatal-gatal hantar surat ni kat aku?"

Mimie terlopong, apatah lagi aku, memang sesuatu yang tidak pernah aku jangkakan. Bila masa pulak si Mimie ni hantar surat kat dia?

"Bila saya hantar surat kat awak?" Mimie kerut dahi.

"Jangan kau nak buat tak tahu pulak, tengok ni, siap ada tulis nama kau kat sini." Sham melemparkan surat berwarna biru itu ke arah Mimie. Mimie mencapai surat itu perlahan, terkerut-kerut wajahnya membaca surat itu.

"Tak nak mengaku lagi," Sham bersuara sinis.

Aku hanya mampu membisu, terkeliru berada dalam situasi yang tak pernah aku sangkakan ini.

"Dengar sini baik-baik, aku nak bagitau kau. Kau jangan nak berangan aku akan sukakan kau. Dahlah badan gemuk macam badak, mata sepet, kulit hitam, dah tu keras macam kulit biawak. Cerminlah muka tu dulu, ada hati nak kat orang konon. Jangan nak mimpilah aku sukakan engkau, dalam mimpi pun kau tak layak untuk aku. Kalau kau tulis surat kat aku lagi, taulah macam mana aku nak ajar kau nanti. Faham!" Dan Sham pun berlalu dengan langkah yang sengaja dihentak kuat.

Aku terkedu, memandang Mimie minta penjelasan namun yang kedengaran hanya sendu yang berpanjangan.

Aku mendengus keras, ikutkan hati aku mahu aku tunjal-tunjal kepala budak Mimie ni. "Kenapa kau tak bagitau aku," aku bersuara keras.

"Aku takut kau marahkan aku," tutur Mimie perlahan.

"Kalau kau bagitau aku, semua ni takkan berlaku. Kau malukan muka sendiri, tau tak. Kau sendirikan tau Sham tu pakwe si Maria tepung tu, kenapa kau hantar surat kat dia?"

"Aku cuma bagitau yang aku nak berkawan dengan dia, itu aje," Mimie macam nak menangis je.

"Habis, tak kan sampai macam tu dia marahkan kau. Apa lagi yang kau tulis?"
"Takde, itu aje," Mimie tunduk.

"Mimie, aku kenal kau dah lama. Jangan kau nak belajar jadi pembohong pulak. Apa lagi yang kau tulis dalam surat tu?" Aku tekan suaraku dalam-dalam.

"Aku bagi tau dia....," suara Mimie mendatar perlahan.

"Bagi tau apa?"

"Bagi tau yang aku sukakan dia."

"Ha??" Terjelepuk aku kat simen mendengar kata-kata Mimie. Ya Allah, kawan aku sorang ni dah parah.
"Mana beg aku?" Mimie bersuara perlahan, macam nak menangis je. Seperti biasa, akulah orang yang bersungguh-sungguh mencari beg Mimie yang disembunyikan oleh teman-teman sekelas.

"Yusof, mana kau sorokkan beg Mimie?" Soalku keras.

"Mana aku tau, bukan akulah."

"Helmi, kau yang sorokkan beg Mimie ya?"

"Eh, apa ni main tuduh-tuduh. Bukan akulah."

"Habis sapa?"

"Aku nampak tadi budak tepung tu yang sorokkan beg dia."

Aku mengatur langkah ke arah Maria yang sedang asyik berbedak, nak balik rumah pun sempat lagi tu.

"Maria, mana kau sorok beg Mimie?" Soalku keras.

"Mana aku tau," jawabnya sambil mencebik.

"Baik kau cakap mana kau letak beg dia?" Aku dah menggenggam penumbuk pun.

"Yang kau sibuk ni kenapa. Kau ni khadam dia ke. Berapa dia bayar gaji kau. Dahlah, baik kau blah, takde masa nak layan kau."

"Yang kau sakit hati sangat dengan dia tu kenapa?" aku menahan kesabaranku yang mula tercabar.

"Sapa suruh dia gatal-gatal tulis surat kat Sham?"

"Kenapa, kau jeles?" ake senyum sinis.

"Sham tu pakwe aku, mestilah aku jeles."

"Apa yang kau nak jeleskan dengan Mimie tu. Dia bukannya lawa, gemuk pulak tu. Dahlah Maria, baik kau bagi balik beg dia. Aku dah nak balik ni."

"Tak nak, aku nak dia datang minta sendiri ngan aku."

Budak tepung ni buat hal pulak dah. Aku mendengus perlahan, "Kau nak bagi ke, tak. Aku dah tak boleh nak sabar lagi ni," aku pandang Maria dengan renungan yang tajam.

""Ambiklah, ambiklah. Harap badan aje besar, penakut nak mampus. Beg sendiri pun suruh kawan yang carikan." Maria mencampakkan beg Mimie yang diambil dari bawah mejanya kepadaku. Takutlah tu, hari tu dah kena cepuk sekali.

Aku mencapai beg Mimie, segera melangkah ingin berlalu, sebelum itu, "Dengar sini baik-baik, kalau kau kacau Mimie lagi, aku sorokkan bedak kau pulak, faham?"

Maria mengangguk laju, padan muka dia.

"Aku heran betullah. Apa yang best sangat dengan si Sham tu sampai kau ni tergila-gilakan dia?" aku meluahkan rasa hati tatkala kami sama-sama menunggu bas untuk pulang ke rumah.

"Dia hensem," tutur Mimie perlahan dan seperti biasa, sebaris senyuman yang tak pernah lekang dari seulas bibirnya.

"Harap muka je hensem tapi perangai macam setan, nak buat apa," aku mencebik.

"Tak apalah, kalau aku jadi dia pun, aku lagi teruk dari dia. Diakan orang lawa, mana nak kawan dengan orang gemuk macam aku."

"Habis, aku pun lawa jugak. Tapi aku kawan dengan kau."

"Kau lain, kau perempuan. Dia tu lelaki, kita orang boleh kahwin tau," Mimie tersipu-sipu.

"Miang jugak kau ni Mimie. Kau nak kahwin dengan dia ke?" Aku mula menduga hati Mimie. Rasa nak tergelak pun ada jugak.

Mimie senyum lagi, "Aku suka dia, kalau boleh aku nak kahwin dengan dia tapi bukan sekaranglah."

"Habis tu?"

"Bila aku kurus nanti," tutur Mimie bersungguh-sungguh.

Aku tak mampu menahan tawa lagi, ketawaku pecah berderai.

Mimie tergamam dengan perlakuanku, ada tanda kurang senang pada wajahnya.

Aku memandangnya sekilas, aku tahu dia berkecil hati. "Sorrylah Mimie, aku tak berniat nak ketawakan kau. Aku percaya kau akan kurus jugak suatu hari nanti. Aku nak jadi orang pertama yang tengok kau kurus," aku memujuk.

Mimie sengih. Aku tahu rajuknya takkan lama.

"Kalau aku kurus nanti, kau mesti tak kenal aku lagi."

"Taklah, kau kan kawan baik aku.Kau kurus macamana pun nanti, aku masih boleh cam kau, percayalah."

Mimie senyum lagi.

"Aku sayangkan kau Atie," Mimie mengesat airmata yang membasahi pipinya.

"Aku pun," aku juga dihujani perasaan yang sama.

"Kau janji takkan lupakan aku," pinta Mimie.

"Aku janji, walau apapun terjadi, kaulah kawan aku dunia akhirat," aku rangkul Mimie ke dalam dakapanku. Sesungguhnya aku teramat menyayangi temanku yang satu ini. Dan tika itu hanya air mata yang mampu menceritakan segalanya.

Itulah kali terakhir aku melihat Mimie dan berbicara dengannya. Abah mengambil keputusan untuk menetap di negeri kelahirannya, dan aku antara mahu dan tidak terpaksa bertukar ke sekolah lain yang terlalu asing bagiku. Ku tinggalkan Sekolah Menengah Panji Semerang, ku tinggalkan Mimie dan kenangan indah bersamanya.

Berita yang Sham sampaikan benar-benar mengejutkan aku. Sesuatu yang tidak pernah aku sangkakan. Mengapa berita ini yang aku terima setelah sekian lama aku menunggu perkhabaran darinya.

Ketukan bertalu-talu pada pagi itu mengejutkan aku dari lena yang panjang. Tatkala pintu ku buka, tersembul wajah Sham tanpa secalit senyuman pun. Aku sendiri hampir tidak mengenalinya setelah hampir 5 tahun tidak bertemu.

"Sham?" tuturku perlahan, bagaikan tidak percaya dengan kedatangannya.

"Atie?" soalnya, cuba mengecam aku, mungkin.

Aku mengangguk perlahan.

"Kebetulan aku ada urusan di negeri kau ni, sebab tu aku datang. Lagipun aku menyampaikan amanah isteriku."

"Isterimu?"

"Ya, isteriku."

"Maria?" soalku ingin tahu.

"Mimie," suara itu kedengaran begitu sayu di pendengaranku.

"Mimie isteri kau?" Aku bagaikan tak percaya. Mimie benar-benar mengotakan katanya.

"Mana dia, aku nak jumpa dia," aku menyuarakan rasa rinduku. Aku menjengahkan kepala ke belakang Sham, mencari-cari sahabat lamaku itu.

"Mana dia?" Aku kerut dahi, pelbagai persoalan mula menerpa di benakku.

Sham tunduk tanpa sebarang kata. Aku merasakan kelainan pada suasana itu. Sesuatu yang tak pernah aku bayangkan, sesuatu yang tak aku harapkan akan berlaku.

"Mana Mimie, Sham?"

"Mimie minta aku sampaikan surat ni pada kau," Sham menghulurkan sepucuk surat bersampul biru padaku.

Aku mencapainya perlahan, kukoyak tepi surat itu lalu kukeluarkan isinya. Sekeping gambar kelihatan. Wajah yang sama, wajah yang aku rindui sejak 5 tahun dulu. Tetapi sesuatu yang lain, sesuatu yang Mimie katakan dan dia kotakan. Sesuatu yang berbeza, Mimie tampak ayu dengan kebayanya. Mimie yang tertera ini bukan lagi seperti Mimie gemuk yang dulu, tapi Mimie yang cukup langsing dan ayu, namun sesuatu yang tak pernah hilang, senyumannya.

"Mana Mimie, Sham?" Aku menahan getaran yang mula berkocak di dada.

"Dia dah tak ada," Sham tutur perkataan itu satu persatu, perlahan namun begitu jelas di pendengaranku.

Aku terkulai di muka pintu.

"Kenapa?" Airmataku mengalir deras tanpa dapat ditahan-tahan lagi.

"Dia sakit, sakit yang sengaja di carinya sendiri."

"Sakit apa?"

"Dia nak kurus, nak langsing macam orang lain. Dia berubat sana-sini, telan macam-macam jenis pil, tak makan, tak tidur dan sebulan yang lalu, dia terjatuh di bilik air. Aku bawa dia ke hospital, tapi semuanya dah terlambat," Sham menyeka airmata lelakinya.

Aku terpaku, apakah seharusnya perasaan yang ada dalam hatiku? Marahkan Mimie kerana kebodohannya, ataupun bersedih dengan kehilangannya buat selama-lamanya dari hidupku? Entahlah, yang pasti aku terlalu sayangkannya. Semoga dia di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah

No comments:

Post a Comment