Friday, March 5, 2010

Budak 013

Budak 013...


Wajah Asmidar berkerut. Sekejap dia memandangku dan seketika kemudian melihat pada mesej yang tertera di dalam telefon bimbit ku. Asmidar membaca mesej itu. Sudah berkali-kali Asmidar membaca mesej itu.

Menyayangimu merupakan satu anugerah bagi diriku.

Asmidar terdiam seketika dan mengulanginya untuk kali yang kelima. Akhirnya dia tersenyum dan menggeleng.

"Jiwang betul mamat ni," Asmidar menyerahkan semula telefon bimbit kepada ku lalu bersandar di bangku. Aku memandang wajahnya. Tiada komen untuk kata-katanya. Sesungguhnya, mesej-mesej daripada penghantar misteri itu benar-benar mengganggu hidup ku sejak kebelakangan ini. Kata-katanya penuh madah. Tulisan-tulisannya penuh dengan harapan.


"Dah lah tu, Maya. Daripada kau duduk termenung macam ni, lebih baik kau buatkan aku air ke, jamukan aku kuih ke, kan bagus. Penat tau, aku mengayuh basikal ke sini semata-mata nak baca mesej kau ni." Asmidar berceloteh sambil mengambil semula telefon bimbit yang berada di tangan ku. "Ha! sebelum aku terlupa, Abang Amir ada telefon aku malam tadi."

Aku memandang wajahnya. Bercerita pasal Abang Amir memang menyeronokkan.

"Dia sekarang ni kerja dekat... alah dekat mana tu? Dekat ni ha... Ala..." beria-ia Asmidar mengingatinya. "Alamak, lupalah pula mana tempat kerja Abang Amir tu... tapi sekarang ni Abang Amir tengah cuti," terang Asmidar tersenyum.

"Ya ke? Dah lama tak jumpa abang angkat kau tu," kata Maya memberi respons.

--------------------------------------------------------------------------------

Lewat malam ini, aku terima lagi mesej daripada dia, si penghantar mesej misteri itu. Ish! Rimas pula aku dibuatnya. Silap orang mamat ni. Aku mengeluh. Ku lihat jam sudah menunjukkan 12.45 malam. Aku membaca sekali lagi mesej yang tertera di skrin telefon ku. Ingin sahaja aku membalas mesejnya, tapi takut tak dibalas seperti selalu. Kalau aku nak telefon pula, jangan haraplah dia akan jawab. Berkali-kali juga aku cuba menghubungi si penghantar mesej misteri, tapi tak pernah berjawab. Sudahnya, aku membiarkan saja mesej-mesej daripada si penghantar mesej misteri itu memenuhi kotak mesejku.

Mata aku mula berat. Dalam aku berkira-kira hendak masuk tidur, entah kenapa tergerak dalam hatiku
untuk membalas mesej tersebut. Satu persatu huruf ku tekan. Akhirnya siap dan aku membacanya sekali lagi. Setelah puas dengan apa yang ingin aku luahkan, aku terus menghantar mesej itu kepada si penghantar mesej misteri.

Hanya orang yang pengecut sahaja akan bertindak seperti awak.

Puas hati aku. Selimut ku tarik separas dada. Tiba-tiba telefon bimbit ku berbunyi. Mesej ku terima. Betul kah dia yang membalas? Ku tekan telefon bimbit ku dan tertera nombor 013-7310785. Nombor dia lagi! Si budak 013 itu lah! Terkejut rasanya bila si budak 013 sudi membalas mesej ku.

Awak bersabarlah ye.

Maya membulat mata. Perasan!

Saya bukanlah lelaki seperti yang awak sangka kan. Satu hari nanti saya yakin kita pasti akan bertemu juga, harap awak dapat bersabar menanti hari itu.

"Cis! Macamlah aku nak sangat jumpa dia. Perasan betul si budak 013 ni. Kalau tak disebabkan mesej gila awak tu, tak teringin saya nak melayan awak tahu!" Aku berkata-kata sendiri. Cuma, kadangkala geram juga bila asyik kacau saja tapi batang hidung pun tak nampak! Siapa boleh sabar kan?

--------------------------------------------------------------------------------

"Nak duduk kat mana ni? Aku tengok macam dah tak ada tempat je."

"Ha! Kat sana tu ada tempat kosong." Asmidar menuding jari ke satu sudut. Segera dia berlari-lari anak ke tempat yang dimaksudkan. Aku hanya menurut. Kami melabuhkan punggung sebaik saja sampai ke tempat yang dituju. Baru sahaja aku mahu memanggil pelayan untuk memesan makanan tiba-tiba Asmidar bersuara.

"Maya, kau nampak tak apa yang aku nampak." Asmidar bertanya pada ku sambil memandang ke satu sudut.

"Tak," jawab ku sambil memandang sekeliling.

"Abang Amir lah." Asmidar menjerit kecil.

"Abang Amir dengan siapa tu?" Soal ku setelah ternampak Abang Amir bersama seseorang sedang asyik menjamu selera.

"Alah kau ni Maya. Dengan siapa lagi, kan Abang Khairul tu. Rabun la pula kawan aku sorang ni." Asmidar menjawab sambil tersenyum.

"Amboi! Melantak, sampai tak nampak kita langsung," gumam Asmidar lagi.

Aku tersenyum menggeleng. Malas nak komen apa-apa. "As, aku nak ke tandas kejap la. Kau tolong jagakan barang aku ye." Aku minta diri nak ke tandas.

Asmidar mengangguk. "Order? Kau nak pesan apa?"

"Macam biasa la." Tanpa berlengah lagi aku ke tandas yang berdekatan. Sebelum pergi, sempat juga aku menjeling pandang pada Abang Amir. Memang betul kata Asmidar. Melantak sampai tak nampak orang. Lima minit kemudian, aku kembali semula ke meja.

Ku lihat Asmidar sedang berbual menggunakan telefon bimbitku. "Siapa tu?" Tanya ku sebaik saja aku duduk.

"Okaylah, bye." Asmidar tersenyum padaku. Aku memandangnya penuh dengan tanda tanya.

"Macam mimpi. Budak 013 tu call kau la!" Asmidar seakan-akan menjerit pada ku. Aku terkedu. Betul
ke?

"Macam mana pula ni. Hairan aku. Dengan kau, dia bercakap sikit punya baik. Tapi bila time aku, tak pernahlah pulak dia nak bersuara." Aku masih lagi tak percaya dengan apa yang aku dengar. Mana jadi ni. Hot aku dibuatnya. Asmidar hanya mencebik, menandakan yang dia tidak tahu menahu apakah puncanya si budak 013 tidak mahu menghubungi aku. Sudahnya, diamenyambung kembali suapan nasi ke mulutnya dan membiarkan aku terpinga-pinga sendiri.

"Hai, tak sangka pulak jumpa korang kat sini, Apa khabar korang berdua?" Sapaan lelaki tersebut menyentakkan kami berdua yang sedang asyik menjamu selera.

"Eh, Abang Amir. Khabar baik." Asmidar tersenyum. "Come and join us."

"Hemm... no thanks. Baru lepas makan. Well, dah lama tak dengar berita. Korang berdua ni tengah bercuti ke?" Tanya Abang Amir sambil memandang ku.

Peh! Abang Amir ni makin segak dan handsome aku tengok. Boleh buat jantung aku ni gugur dari tangkainya... cewah! Aku mengangguk malu-malu. "A'ah... Cuti tiga bulan," jelas ku pendek.

"Ooo..." Abang Amir mengangguk faham. "Okaylah, Abang kena pergi dulu. Ada masa jangan segan-segan contact abang." Dia berlalu.

--------------------------------------------------------------------------------

Maya menghenyakkan tubuhnya ke tilam. Rasa penat mula menerjah ke seluruh badan. Hari ini, seharian dia tiada di rumah. Dia, As dan Abang Amir merayau-rayau keliling bandar. Dia sendiri tak tahu kenapa Abang Amir beria-ria mengajak dia dan As keluar.

Aku menekan-nekan punat di telefon bimbit. Sebenarnya aku menunggu mesej daripada budak 013 itu. Janggal rasanya bila hari ini aku langsung tak dapat mesej daripada dia. Biasanya pukul 11 pagi dia akan bagi mesej, kalau tak pun pukul 4 petang. Tapi sekarang dah pukul 5 petang. Mungkin, dia terlupa nak hantar mesej hari ini agaknya. Maya termenung sejenak. Tiba-tiba dia teringatkan Asmidar. Ya! Asmidar pernah bercakap dengan dia. Tanpa berlengah, segera dia menekan nombor telefon Asmidar.

Dia menunggu untuk seketika. Kedengaran suara Asmidar di hujung talian. Tanpa membuang masa, Maya terus bertanyakan hal si budak 013 itu. "Aku tak tahu lah." Itulah jawapan daripada Asmidar apabila Maya bertanyakan nama dan tempat tinggal budak 013 itu.

Aku sendiri tak tahu apa yang mereka bualkan tempoh hari. Kata As, mereka hanya berbual-bual kosong dan banyak bercerita tentang diriku. Aku betul-betul tak faham. Namun, lewat malam, budak 013 tu bagi mesej.

Selamat malam. Penat? Siang tadi saya call awak. Mak awak kata awak ke Bandar bersiar-siar dengan teman.

Bertuah. Masa aku tak ada, baru sibuk dia nak call aku. Masa aku telefon dia, tak pernahnya nak jawab. Tapi.. ah! Buat apalah aku nak marah-marah. Buat sakit hati sendiri saja.

--------------------------------------------------------------------------------

Hari itu, Asmidar meminta aku temankan dia keluar. Yang peliknya dia suruh aku tunggu dia di tempat makan dan dia hendak ke suatu tempat. Sudahnya, aku menghabiskan masa seorang diri merayau-rayau. Tiba-tiba aku disapa seorang lelaki. Helmi! Terperanjat juga bila sudah lama tidak berjumpa dengan Helmi. Seingat ku kali terakhir kami berjumpa kira-kira dua tahun yang lepas.

"Lama aku tak jumpa kau. Kau apa khabar sekarang?" Tanya Helmi memulakan bicara. Dia masih seperti dulu, sentiasa mengambil berat tentang diri ku dan yang pasti dia tetap ramah seperti selalu.

"Macam ni lah, Mi..." suara ku mendatar.

Helmi tersenyum. "Rindu pulak aku pada kau."

Giliran ku pula tersenyum. "Kalau rindu, telefonlah. Ini tidak, langsung tak hantar berita. Sepi je. Kau sibuk sangat ke?"

"Telefon? Dah banyak kali aku telefon, tapi kau selalu aje tak ada."

"Alamak, kesiannya dia. Tulah, lain kali nak call buat homework dulu. Tengok masa aku free. Oh ya, kau ada nombor handset aku?" Tanya ku pada Helmi.

Dia tersenyum, angguk.

"Eh! Mana kau dapat. Siapa yang bagi pada kau. Asmidar ye?" Tanya ku kehairanan. Setahu aku baru setahun tiga bulan aku pakai telefon bimbit. Macam mana pula Helmi ada nombor telefon aku sedangkan sudah lama kami tidak berjumpa.

"Semua tentang kau aku tahu," jawab Helmi merenung ku dengan seribu makna.

"Amboi! Dah tu, bukan nak call ke, bagi mesej ke?" Ngomel ku sendirian. "Jangan nak bagi alasan yang kau sibuk dengan awek-awek kau pulak," pintas ku sebelum sempat Helmi berkata apa-apa.

Dia senyum lagi. Seperti selalu. "Aku cuma ingat kat kau seorang je. Tapi tak tahulah kau ingat kat aku ataupun tak," jawab Helmi tak lepas daripada terus merenung ku.

"Yelah tu Encik Helmi. Bertuahnya badan kalau awak ingat kat saya seorang je," jawabku selamba.

Helmi terus tersenyum. Tiba-tiba telefon ku menjerit lagu Winter Sonata. Tertera nombor telefon Asmidar. Asmidar meminta aku mengambilnya di pondok telefon. Maknanya, urusan peribadinya sudah selesai. Aku sendiri tak tahu apa yang peribadinya. "Okaylah Mi. Aku balik dulu."

Helmi menggangguk. "Maya, tadi tu ringtone Winter Sonata kan? Boleh aku mintak ringtone kau?"

Aku tersenyum. "Boleh... apa salahnya. Nombor handset kau?" Tanya ku pada Helmi.

Helmi sedikit gugup. "Errr... tak apalah. Nanti-nantilah dulu. Lagipun tak lama lagi aku nak tukar nombor baru,"

"Pulak... okay lah Mi, aku pergi dulu. Thanks sebab belanja aku hari ini,"

Ku lihat Helmi tesenyum lebar memandang ke arah ku.

--------------------------------------------------------------------------------

Sudah tiga hari aku tidak terima mesej daripada si budak 013. Kadang-kadang dia rindukan kata-kata jiwang daripada budak 013 itu. Dia akui, dia bukanlah perempuan yang mudah untuk jatuh cinta. Tapi budak 013 itu bijak menguasai jiwanya. Entahlah...

Aku harap budak 013 itu benar-benar wujud. Aku rasa bukan Asmidar yang kenakan aku walaupun dia pernah kenakan aku dulu. Tapi yang ini lain. Kata-kata yang ditulis, bukan daripada Asmidar. Setahu aku Asmidar tak pandai nak berjiwang-jiwang. Ya, betul tu. Asmidar tak pandai bermadah-madah. Asmidar geli dengan orang yang berbunga-bunga bahasanya. Dalam diam, nama Asmidar, aku letak jauh-jauh daripada senarai nama orang yang aku syak.

--------------------------------------------------------------------------------

Sejak menerima mesej daripada budak 013, hati ku sering diburu resah. Aku sendiri tidak tahu kenapa penghantar mesej misteri itu benar-benar hendak berjumpa dengan aku. Kalau dulu, waktu aku betul-betul nak berjumpa dengannya, dia suruh aku banyak-banyak bersabar. Tapi nampaknya sekarang dia pula yang tak tahu nak sabar pula.

Dalam menanti hari esok, bukan mudah bagi aku untuk kelihatan tenang. Ada saja yang tak kena. Aku takut apa yang aku lalui selama ini tak semudah apa yang akan aku lalui selepas berjumpa dengan dia. Entahlah, segala-galanya mungkin, selagi aku tak berjumpa dengan budak 013 itu. Lewat malam itu aku terima lagi mesej daripada dia.

Bila dua hati bersatu, kesangsian tak diperlukan lagi.

Aku semakin lemas dengan kata-katanya.

--------------------------------------------------------------------------------

Aku dan Asmidar menanti dengan penuh debar. Menanti kedatangan si budak 013 itu. Macam mana agaknya rupa parasnya. Kalau hendak ditanya perasaanku ketika itu, memang tak dapat untuk digambarkan. Aku dan Asmidar memesan makanan sambil menunggu budak 013 itu. Terasa masa berlalu begitu pantas. Sudah 10 minit dia lambat. Terdetik dalam hati, dia mesti seorang yang tidak menepati janji.

Tiba-tiba, telefon bimbit ku berbunyi. Mesej ku terima. Aku dan Asmidar berpandangan sesama sendiri. Segera aku keluarkan telefon bimbit ku dari dalam beg. Aku dan Asmidar membaca mesej yang tertera di skrin telefon bimbit ku.

Maya Batrisya... Untuk sekian kalinya, persoalan di hati awak akan terjawab juga hari ini.

Aku dan Asmidar saling berpandangan. Hatiku makin berdebar kencang. Asmidar tersenyum lebar, seolah-olah mengerti perasaan ku ketika itu.

"Hai..."

Aku menoleh ke arah suara itu. Serentak itu nafas ku bagai tersekat-sekat. Aku tergamam saat itu. Benarkah apa yang aku lihat ini? Atau adakah aku terlalu memikirkan dia? Aku rasakan yang aku ingin balik saat itu juga. Hati ku meronta-ronta ingin pulang.

Lelaki itu duduk di hadapan ku. Mata kami saling bertentangan. Selalu ku lihat mata itu, mata yang buat aku teringat-ingat selalu tapi tak sangka mata itu juga terpaut pada ku. Asmidar tiba-tiba bangun. Aku terkejut dengan tindakannya.

"As, kau nak ke mana tu?" Soal ku penuh emosi.

"Tugas aku dah selesai. Aku terpaksa pergi. Aku rasa mesti banyak yang korang nak bualkan."

Aku gelisah. "Asmidar, apa maksud kau?"

Asmidar senyum lagi. "Bagilah aku berehat pulak. Aku dah penat berlakon depan kau Maya."

Aku terkejut. Apa makna semua ini? Belum sempat aku menghalang Asmidar dari pergi, dia telah hilang daripada pandangan ku. Sesak nafas ku bila berhadapan dengan lelaki ini. Ku lihat dia tersenyum penuh erti.

"Janganlah Maya hukum As. Abang yang paksa dia buat semua ni. Semua ini semata-mata kerana abang sayangkan Maya. Maafkan abang ye?"

Entah kenapa aku tidak mahu mendengar suara Abang Amir ketika itu. Aku hendak pulang. Hatiku meronta-ronta hendak pulang. Aku malu padanya. Maka terjawablah siapakah lelaki yang bergelar 013 selama ini! Kalaulah aku tahu dari awal!

Asmidar! Pandai dia simpan rahsia selama ini. Tapi... yang pasti aku bahagia. Selama ini memang aku menaruh perasaan padanya... aduh jejaka 013!!!



No comments:

Post a Comment