Thursday, March 18, 2010

Bila Cinta Berlagu Di hati - 39

Afnan menggenggam erat tangan emaknya. Wanita tua itu masih terhinggut-hinggut menangis. "Sabarlah mak…" Ayat itu entah berapa kali keluar dari mulutnya namun emak masih sama. Menangis dan terus menangis. Afnan mengalihkan pandangannya ke arah lain, Mak Ucu juga lebih kurang seperti emak cuma wanita itu tidak lagi menangis, mungkin air matanya sudah kering. Seminggu Hazmi koma ditambah pula dengan kakaknya yang masih dirawat di ICU. Nafas berat dilepaskan.
"Afnan!" Kepalanya cepat-cepat di dongak ke atas. Lutfi sudah tercegat di depan matanya. "Macam mana boleh jadi macam ni?"
"Entahlah abang Lut! Bas yang along naik kemalangan petang semalam. Tapi kecederaan along yang paling teruk." Lutfi mengetap bibir menahan nafas.
"Apa doktor cakap?" Wajah Afnan yang sugul itu ditatap dalam-dalam. Namun anak muda itu sekadar menggelengkan kepalanya. Lutfi meraup kedua tangan ke mukanya. Inikah yang di namakan takdir? Hazmi dan Adibah sama-sama berada dalam keadaan tenat. Atau keduanya tak sepatut dipisahkan?

Matanya yang baru terbuka dipejamkannya kembali. Pedih! Hazmi menggosok matanya perlahan-lahan. Cahaya matahari yang menyilau masuk melalui celah-celah langsir agak memeritkan pandangannya. Dia cuba pula untuk bangun namun terbaring kembali. Lemah! Segala pergerakkan dirasakan tidak bermaya.
"Abang long!" Suara lembut Hayati memukul cuping telinganya. Mata Hayati kelihatan merah membengkak. Menangis? Kenapa adik kesayangannya itu menangis? Apa yang sebenar telah terjadi padanya? Hazmi mengerutkan keningnya beberapa kali. Bingung memikirkan perkara lepas yang dia tidak ingat.
Bersusah payah Hazmi menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Sesekali dia menyeringai menahan rasa sakit yang masih bersisa.
"Kenapa Yati menangis? Mana ibu?" Soal Hazmi satu persatu. Gadis manis berambut ikal itu menguntum senyum. Syukur! "Abang long koma hampir 2 minggu lamanya. Ibu ada kat rumah. Yati suruh ibu balik. Setiap hari, seharian ibu menjaga abang long." Jari jemari Hazmi digenggamnya penuh erat.
"Macam mana abang long boleh ada kat sini?"
"Abang long tak ingat?" Hazmi menggeleng kepala beberapa kali.
"Ada orang pukul abang long 2 minggu yang lepas. Nasib ada orang yang nampak dan cepat di bawa ke hospital, kalau tidak........." Ayat Hayati tergantung tiba-tiba. Takut untuk membayangkan segala kemungkinan.
Hazmi menundukkan kepalanya. Matanya merenung lama selimut putih yang menutupi sebahagian dari tubuhnya. Ya! Baru dia teringat pada lelaki bergigi rongak itu. Lelaki itu yang banyak menghentam tiap inci tubuhnya. Tiba-tiba rasa marah mula menguap di jiwanya.
"Eh? Abang long nak ke mana ni?" Hayati terpinga-pinga melihat tingkah Hazmi yang kelam kabut bangun cuba menuruni katilnya.
"Abang long nak cari orang yang pukul tu. Dia mesti rasa balik apa yang abang long rasa!" Keras suara Hazmi. Hayati menarik nafasnya. Sesak melihat Hazmi yang berdegil dengan keputusannya. "Tak payahlah abang long. Yati dengan ibu dah buat report polis. Lagi pun abang long pun belum sembuh. Tengok! Abang long nak bangun pun payah, inikan pulak nak pukul orang!" Hazmi yang baru bergerak ke muka pintu terhenti langkahnya.
"Abang long tak peduli! Lelaki tu dah belasah abang long dengan teruk. Mujur umur abang long masih panjang!"
"Sudahlah tu abang long. Jangan diseksa diri tu lagi! Lebih baik abang long pergi jenguk Kak Adi!" Suara Hayati hampir menjerit. Geram melihat Hazmi yang keras kepala. Lelaki, semua macam tu ke? Masing-masing nak tunjuk hero?
Langkah Hazmi terhenti lagi. "Kenapa dengan Adi?" Wajah Hayati direnung tanpa berkelip. "Kak Adi kemalangan masa perjalanan ke sini. Dia datang sebab nak jenguk abang long tapi bas yang dia naik terbabas ke dalam gaung." Nafas Hazmi tiba-tiba sesak. Dia tiba-tiba terduduk ke lantai. Tangannya mengurut dada berkali-kali.
"Abang long!" Hayati segera menerpa ke arah Hazmi yang masih terduduk di lantai. "Abang long!" Jeritnya lagi tatkala melihat Hazmi yang terdiam tanpa sebarang reaksi.
Adibah! Aku bertahan terus hidup kerana dia! Aku mampu bangun kerana dia! Jangan dia hilang dari aku untuk kedua kalinya! Hazmi memejamkan matanya rapat-rapat. Rasa perit tatkala matanya dipejamkan dan suara Hayati yang bertalu-talu memanggil namanya, sengaja dibiarkan sepi.
*************************************************
"Tidak!!!!" Adibah meronta-ronta. Dia berhempas pulas melawan pegangan erat tangan Afnan dan emaknya. "Bawa mengucap nak. Sabar Adi!" Pipi wanita tua itu sudah lencun dibasahi air mata.
"Adi nak kaki Adi balik mak! Adi nak kaki Adi!!! Jeritan Adibah bergema lagi. Kedua kakinya lumpuh akibat kemalangan ngeri tempoh hari. Kedua-dua belah kakinya tidak dapat digerakkan. Baru tadi doktor mengesahkan yang kakinya telah lumpuh!
"Adi nak kaki Adi balik........" Suara Adibah kian perlahan dan rontaannya yang kuat tadi mula mengendur. Esak tangis gadis itu pula yang memecah di sekitar bilik.
"Sabarlah nak......... Mungkin ada rahmat disebaliknya..." Pujuk emak yang tidak pernah jemu. Afnan yang berdiri di birai katil terdiam tanpa kata. Sebak melihat kakaknya yang lincah menjadi sebegini rupa. Rasa marah melihat kakaknya yang tidak bersalah dihukum begini. Tapi marah itu pada siapa? Pada takdirkah? Bukankah Allah Maha Penyayang? Afnan menarik nafas perlahan. Rasa sesal tatkala perasaan marahnya menyalahi takdir tiba-tiba menghantui benak fikirannya.
Bunyi daun pintu yang tiba-tiba terbuka membuatkan semua mata serentak menoleh. "Adi!" Wajah pucat Hazmi tersembul di muka pintu. Adibah segera menekup muka dengan kedua tangannya.
"Abang Hazmi!" Afnan segera menerpa mendapatkan Hazmi yang berjalan terhencot-hencot.
"Abang kan baru sembuh je, kenapa susah payah datang sini?" Hazmi tidak menjawab. Dia terus bergerak menghampiri Adibah yang kini membenamkan mukanya pula pada bantal bersarung putih itu.
"Macam mana keadaan Hazmi sekarang ni nak?" Hanya senyuman tawar menjadi jawapan bagi pertanyaan ibu Adibah.
"Adi! Sudahlah tu. Tengok ni! Hazmi susah payah datang lawat Adi" Emak masih tidak jemu memujuk. Rambut Adibah diusap penuh kasih. Emak faham perasaan mu nak..... Emak lagi sakit melihat Adi menderita. Andai semua derita itu boleh bertukar tangan, nescaya emak sambut! Ayat ini tidak terluah di mulut namun sentiasa bermain di hati tuanya. Hati ibu mana yang tidak terhiris melihat anak yang dikandung sembilan, anak yang dilahirkan tanpa cacat celanya, tiba-tiba berubah begini pula!
"Adi..."
"Keluar! Adi tak nak jumpa abang!" Esak tangisnya kedengaran semula.
"Jangan macam ni Adi. Abang tahu abang yang salah...." Lirih suara Hazmi menusuk setiap telinga yang mendengarnya.
"Abang tak salah apa-apa dengan Adi sebab tu Adi suruh abang keluar." Suara Adibah juga sayu. Abang tak pernah bersalah pada Adi!
"Adi...."
"Abang long!" Hayati yang tiba-tiba muncul di muka pintu mematikan kata-kata Hazmi.
"Abang long, ada orang nak jumpa" Hazmi memanjangkan lehernya cuba melihat kelibat manusia dibelakang Hayati. Sofia! Wajah Hazmi serta merta berubah.
"Apa kau buat kat sini? Nak bawa orang belasah aku lagi ke?" Hazmi bersuara keras. Peristiwa yang berlaku ke atasnya sudah tentunya rancangan papa Sofia.
"Mi! Sampai hati cakap macam tu pada Sofi!" Wajah gadis itu sudah keruh menahan hiba.
"Engkau pulak sampai hati buat aku macam ni!" Hilang sifat penyabar dan lemah lembutnya terhadap Sofia selama ini. Biar pun tiada rasa cinta terhadap gadis itu namun selama ini dia melayan Sofia sebaik mungkin. Menjaga dan melindunginya bagaik menjaga bayi yang baru lahir. Tapi setelah dia meleraikan segala janji, semua perbuatannya tidak dihargai bahkan dia pula menjadi mangsa.
"Mi..... Bukan salah Sofi. Sofi tak tahu yang papa sanggup buat macam tu. Kalau Mi nak Sofi jadi saksi untuk menghukum papa, Sofi sanggup Mi!" Gadis itu kian sebak.
Hazmi mendengus keras. Memang Sofia tidak bersalah! Tetapi, geram dengan sikap lelaki tua itu maka rasa marahnya dilampiaskan terhadap Sofia.
"Sudahlah tu. Jangan bergaduh. Kat sini hospital, tak baik kalau kita ganggu pesakit yang lain." Ibu Adibah yang dari tadi memandang dan mendengar, cuba menjernihkan keadaan.
"Sofi balik dulu ye nak. Bila keadaan sudah kembali reda, baru Sofi datang ye. Jangan salah sangka, makcik bukannya menghalau tapi cuma nak mententeramkan keadaan" Bahu Sofia di belai perlahan-lahan.
"Makcik...." Sofia mula menangis dan akhirnya memeluk erat ibu Adibah. Tersedu-sedu dia menangis di bahu wanita tua itu. Kalaulah mama dan papa memahaminya seperti ibu Adibah!
"Makcik, boleh biarkan Hazmi dengan Adi sekejap?" Soal Hazmi sebaik kelibat Sofia menghilang dari pandangan mata. "Afnan?" Soal Hazmi kepada Afnan pula. Seketika pandangan Afnan jatuh ke wajah emaknya, seolah-olah bertanya pendapat.
"Baiklah Hazmi, makcik pun belum makan sejak pagi tadi. Berbual lah dengan baik. Jangan terlalu memaksa Adibah, keadaan dia masih belum elok" Hazmi mengangguk perlahan.
Lama dia menghantar pandangan sehingga kelibat Afnan dan emaknya hilang dari matanya.
Hazmi membetulkan duduknya. Adibah masih seperti tadi. Tidak sedikit pun mengangkatkan wajahnya.
"Adi......." Suara lembut Hazmi masih belum berjaya. Adibah tiada sebarang reaksi.
"Adi.... lepas Adi keluar hospital, abang nak kita berdua langsungkan perkahwinan."
"Hah?!!" Ayat tersebut berjaya mencuri perhatian Adibah. Mulutnya hampir ternganga dan matanya lansung tidak berkelip merenung wajah Hazmi.
"Abang dah gila ke? Kita dah putus tunang kan?" Suara Adibah sedikit keras. Perasaannya sedikit terusik mendengar bicara Hazmi sebentar tadi. Terasa diri seolah dipermainkan.
"Tapi tak salahkan kalau kita berdua berkahwin?" Bibir Adibah sedikit mencebik.
"Kenapa? Kenapa abang tiba-tiba nak kahwin dengan Adi? Sebab Adi ni pun macam Sofi juga ke? Sebab Adi ni cacat jadi abang pun berjanji nak ambil Adi sebagai isteri?" Bagaikan bertih jagung, pertanyaan demi pertanyaan bertali arus keluar tanpa putus.
"Bukan macam tu Adi...."
"Habis tu, macam mana?" Adibah cepat-cepat memintas percakapan Hazmi.
"Adi cintakan abang?" Adibah terdiam. Pertanyaan Hazmi ini sukar untuk di jawab. Ya! Kalau di dalam hati itu sudah lama keluar tapi dia bimbang, dia takut kerana tidak tahu perasaan sebenar Hazmi. Aku tidak perlukan simpati!
"Abang menjaga Sofia kerana janji. Tanggung jawab abang terhadapnya telah habis tatkala janji antara abang dan papa Sofia telah dikhianati oleh papa Sofia sendiri..." Bicara Hazmi terhenti. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum kembali menyambung bicara.
"Tapi, abang ingin menjaga Adi kerana cinta, kerana sayang abang terhadap Adi. Bukan kerana janji.!" Adibah terpaku tanpa kata. Benarkah ayat itu yang keluar dari mulut Hazmi? Atau dia sekadar mimpi di siang hari atau mungkin itu sekadar kata-kata manis seorang lelaki?
"Kalau bukan disebabkan Adi lumpuh sekalipun, abang tetap ingin mengahwini Adi. Percayalah perasaan abang telah wujud sejak dulu cuma masa dan keadaan ketika itu menghalang abang untuk meluahkan." Aduh! Adibah makin dibuai perasaan. Kalaulah dia tidak mempunyai perasaan malu, memang sudah lama Hazmi dipeluknya.
"Abang tak mahu kehilangan Adi untuk kali kedua........" Mata Adibah mula berkaca. Bibirnya bergerak-gerak ingin menyatakan sesuatu namun tidak terluah. Benarlah kata emak, ada rahmat disebalik semua ini...............
**********************************
Adibah menarik nafasnya dalam-dalam. Menyedut udara segar di pantai yang putih bersih ini. Dari jauh, sayup-sayup pandangannya menyapa sekumpulan burung putih berterbangan sekawan di langit.
"Adi!" Dia segera menoleh dan tatkala empunya suara itu dikenalinya, senyuman manis segara terukir. Hazmi berlari-lari anak mendapatkannya. Dibelakangnya kelihatan anak comel yang terkedek-kedek mengejar Hazmi.
"Alah......... Kesian anak umi! Abi lari tak tunggu Kimi ye?" Anak comel yang termengah-mengah kepenatan itu mengangguk laju. Hazmi yang berdiri di sebelahnya sekadar ketawa kecil. "Jahat abang ni! Kesian Kimi!" Sebuah cubitan singgah di perut Hazmi.
"Aduh! Sakitlah Adi! Abang saja nak latih Kimi berlari. Manalah tahu, esok-esok anak kita yang sorang ni jadi jaguh lumba lari" Meledak ketawa di bibir Adibah. Hakimi yang berusia tiga tahun itu turut ketawa meskipun tidak faham apa yang dimaksudkan oleh abinya. Umi ketawa, jadi, dia pun ikut ketawa!
"Dah empat tahun berlalu, tapi Adi masih juga macam ni..." Lirih suara Adibah bertukar rentak. Pandangan dilarikan ke arah Hakimi yang sudah berkubang di dalam pasir. Sibuk betul anak kecil itu mengutip cengkerang yang berteraburan di gigi pantai.
"Kenapa cakap macam tu? Bukan ke Adi dah makin baik sekarang ni? Kalau dulu berkerusi roda tapi sekarang Adi mampu bergerak sendiri biarpun sekadar bertongkat." Tangan Adibah dibelainya dengan lembut.
"Tapi....Adi masih tak mampu menjadi isteri yang sempurna buat abang..."
"Siapa cakap Adi bukan isteri yang sempurna buat abang. Tu! Tengok kat sana tu! Hakimi dah tiga tahun takkan itu masih tidak dianggap sempurna!"
"Abang ni! Ke situ pulak!" Adibah tersipu malu.
"Hehehe....Abang bergurau je. Adibah adalah wanita yang terbaik dalam hidup abang. Kita cuma manusia sayang, kesempurnaan itu memang tidak pernah ada!" Tubuh Adibah ditarik rapat ke sisinya.
"Umi! Abi! Tengok tu!" Hakimi menjerit girang tatkala terlihat kelibat sepasang tubuh yang mula datang menghampiri mereka.
Lutfi dan Yana beriringan tangan sambil tersenyum. Pasangan yang baru setahun mendirikan rumah tangga itu masih dengan mood "bulan madu" mereka.
"Dah petang baru nampak batang hidung korang ye!" Ujar Hazmi sambil ketawa kecil. Lutfi sekadar tersengeh.
"Kami ada berita baik yang nak diumumkan!" Yana sudah tersipu-sipu di sisi Lutfi. Adibah dan Hazmi berpandangan sesam sendiri. Berita baik? Berita baik apa lagi yang Si Lutfi ni ada?
"Apa?" Soal Hazmi tidak sabar.
"Kami pun akan jadi parent tak lama lagi!"
"It's?!" Mata Hazmi bulat meminta kepastian. Yana mengangguk perlahan-lahan. Wajahnya mula merona merah.
"Nampaknya Kimi akan dapat adik tak lama lagi!" Mereka berempat serentak ketawa.
"Korang berdua ni macam berjanji dengan Sofi je" Kening Lutfi mula berkerut.
"Sofi?"
"Tengok ni! MMS yang dia hantar dari London pagi tadi pada hand phone Adi" Hand phone Samsung kepunyaan Adibah bertukar tangan.
"Alamak! Sofia pun sama ke?" Lutfi hampir menjerit melihat gambar Sofia yang sudah sarat 8 bulan. Ketawa keempat-empat mereka pecah lagi.
Itulah lagu cinta kedua pasangan itu. Lagu cinta yang bermain dalam setiap insan berbeza rentak dan melodinya namun tatkala keduanya bersatu, rentak & melodi itu menjadi senada, sekata dan susunan liriknya juga menjadi lebih merdu!

No comments:

Post a Comment