Wednesday, March 31, 2010

Badai Pasti Berlalu - 8

Minggu ini Iman bekerja di sebelah pagi jadi pada sebelah petang dia sudah berada di rumah dan mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti lain ataupun menyelesaikan urusan yang tertangguh. Dari tempat kerja dia terus menuju ke bandar untuk membeli sedikit barang keperluan sekalian melunaskan bil elektrik dan telepon rumahnya. Iman pergi bersama Mira yang kebetulan juga ingin ke klinik ibubapanya yang terletak di Bandar Baru Uda. Iman ingin meminta bantuan Mira untuk memilihkan sepasang kain potong untuk ibunya. Dia bercadang untuk ke Plaza Angsana kerana di situ terdapat beberapa buah kedai menjual fabrik kain dengan pelbagai pilihan. Iman ingin menghadiahkan kepada ibunya sempena sambutan hari ibu minggu depan.



“Kak Aina, kalau yang ini bagaimana? Warna dia nampak menarik ajer.”

“Erm, tak sesuai kot Mira, terang sangat warnanya, untuk orang muda bolehlah.” Sepontan Iman menjawab sebaik melihat kain yang ditunjukkan oleh Mira.

“Lor, yang ini ok apa kak. Orang kulit putih sesuai jer pakai color apa pun.” Mira masih lagi memegang kain tadi. Iman menggeleng. Warna jingga terang, manalah sesuai untuk wanita sebaya ibu.

“Ok, biar Mira tengok dekat sebelah sana.” Iman membiarkan Mira berlalu sambil mata masih lagi membelek-belek gulungan-gulungan kain yang terdapat di kedai itu.



“Bagaimana dengan yang ini cik?” Tiba-tiba seorang pekerja kedai itu menyuakan kain berwarna krim berbunga coklat halus ke arah Iman.

“Erm, nice color. Saya ambil yang ini, 4 meter ok.” Tanpa memandang Iman pantas memberi persetujuan, sekali melihat dia sudah berkenan dengan warna dan corak kain itu.

“Mana awak boleh ambil, saya jual jer.” Iman pantas mendongak sebaik mendengar nada suara itu.

“Awak? Awak buat apa kat sini?” Laju dia bertanya.

“Buat apa? Saya kerjalah kat sini. Takkan jadi bodyguard awak pulak!” Selamba lelaki itu menjawab seraya menuju ke arah salah seorang pekerja di situ. Iman hanya mengekorinya dari belakang.

“Dik, potong kain ni 4 meter ok. Akak ni punya.”

“Ada apa-apa lagi?” Iman hanya menggeleng, matanya meninjau mencari kelibat Mira. Sebaik kain bertukar tangan dia segera pergi ke kaunter untuk membuat bayaran.



“Berapa dik?”

“RM 75.00 kak tapi, suami akak dah bayarkan.”

“What? Suami?” Suara Iman tinggi menahan getar. Bila masa pulak dia berkahwin.

“Er…abang tu bukan suami akak ke? Tapi, dia cakap tadi dia….” Pantas dia menggeleng menafikan telahan juruwang itu.

“Bukannya dia kerja dekat sini ke?” Iman menduga juruwang itu. Ada baur curiga dalam kata-katanya.

“Tidaklah kak. Saya pun tak kenal abang tu.” Iman menghela nafas geram. Hidup-hidup dirinya di tipu oleh lelaki itu.

“Mira jom kita pergi makan, akak lapar.” Pantas tangan Mira di tarik keluar. Gadis tomboy itu terpinga-pinga melihat gelagat Iman itu.



Iman tidak menceritakan apa yang berlaku kepada Mira. Dia tidak mahu mulut gadis itu kecoh bercerita di café nanti. Mira sedikit kecewa kerana dia sudah menemui kain yang sesuai untuk ibunya sebentar tadi. Tapi, sebaik melihat kain yang dia beli gadis itu tersenyum kecil, lenyap riak kecewa yang terukir di wajahnya seketika tadi. Kami melangkah masuk ke restoran KFC di tingkat bawah Plaza Angsana untuk mengisi perut. Iman mencari tempat duduk sementara Mira beratur untuk membeli hidangan untuk mereka berdua. Pelanggan agak ramai walaupun hari sudah hampir menginjak senja. Iman mengambil tempat di satu sudut restoran itu. Sambil menunggu Mira dia leka memerhatikan gelagat pelbagai ragam manusia di sekelilingnya. Tiba-tiba pandangan matanya tertancap kepada lelaki yang duduk bertentangan dengan mejanya. Entah bila lelaki itu berada di situ kerana sebentar tadi dia pasti yang tempat itu masih kosong. Tanpa berfikir panjang Iman lantas mengeluarkan duit dan berlalu ke meja itu.



“Nah ambil balik duit awak ni. Saya masih mampu untuk membayarnya.” Ujar Iman sebaik menghulurkan sejumlah wang kepada lelaki itu.

“Tapi saya belikan untuk awak.” Balas lelaki tanpa menyambut huluran duit dari tangan Iman.

“Tapi saya belikan untuk ibu saya. So, terima kasih ajelah!” Tingkah Iman.

“Ibu awak pun akan jadi ibu saya jugak nanti.” Iman memandang geram tepat ke wajah selamba milik lelaki itu.

“Jangan nak perasan!” Sindirnya, meletakkan duit di depan lelaki itu dan berlalu duduk di mejanya. Mira masih lagi sedang beratur di kaunter. Seminit kemudian Mira sudah duduk di depan Iman.



“Ramai sangat orang. Naik lenguh kepala lutut Mira nak beratur.” Iman tersenyum gelihati mendengar keluhan Mira itu. Pandangan lelaki di depan itu langsung tidak di pedulikan.

“Erm, apalagi kak makanlah, tadi mengadu lapar sangat.”

“Banyaknya Mira beli, larat ke kita berdua nak habiskan ni.”

“Alah, sure habis punya kak. Mira ni nampak aje kecik tapi kuat makan tau. Lagipun Mira yang belanja akak, rileklah.” Iman tersenyum, memang gadis itu yang beriya-iya mahu belanjanya makan hari ini.

“Erm, banyak duit Mira eh?”

“Alah kak ada orang sponsor…”

“Oh iya ke? Bertuahnya badan.”



Iman mencapai bekas whipped potato, menyuap perlahan. Mira di depan rancak bercerita. Iman sekadar menjadi pendengar yang baik dan sesekali mencelah. Dia sedikit gelisah kerana terasa diri diperhatikan. Sesekali apabila dia memandang ke depan, lelaki itu tanpa segan memainkan matanya, memerhati ke arahnya dengan riak selamba.



“Apa?” Tiba-tiba Iman berbisik perlahan, memandang kepada lelaki yang sedang menunjukkan jari telunjuknya di bibirnya sendiri. Sepontan dia meraba tepi bibir, mukanya merona sebaik mendapati terdapat sisa-sisa sos cili di tepi bibirnya. Gelojohnya dia! Lelaki itu tersenyum mengejek, Iman menjengilkan mata tanda tidak senang.

“Kenapa kak?” Mira bertanya, hairan barangkali dengan pertanyaan dan reaksi yang sebenarnya Iman tujukan kepada lelaki yang duduk di belakangnya.

“Er…tak ada apa-apalah Mira. Erm, hari tu Mira kata nak tahu sebab akak berubah kan. Nak akak ceritakan sekarang ke?” Pantas Iman mengubah topik perbualan supaya gadis itu tidak mengesyaki apa-apa.

“Yup. Ceritalah, tak sabar Mira nak tahu ni.” Suara ceria Mira mendorong Iman membuka lipatan sejarah hidup dirinya.

“Ok, tapi Mira kena janji takkan ceritakan pada orang lain, boleh?” Gadis itu pantas menerima janji.



Satu persatu kisah dirinya Iman bentangkan untuk pengetahuan gadis di depannya itu. Iman hanyut di bawa kisah lalu, tenggelam di dalam dunia silam, mengimbau suka dan duka sepanjang hidupnya. Apa jua pandangan orang sekeliling mahupun renungan tajam lelaki di depan tidak dia hiraukan. Pertama kali membuka lipatan sejarah hidup menjadikan dirinya sedikit emosi. Kesedihan terukir di wajah namun tiada setitis pun airmata yang merembes keluar. Mira hanya diam mendengar sesekali riak di wajahnya berubah mengikut jalan cerita Iman. Nampaknya sendu di wajah Iman mengundang kesedihan di hati gadis tomboy itu. Airmata Mira laju mengalir ke pipi mulusnya membuatkan Iman kematian kata-kata yang seterusnya. Mujur juga cerita dia sudah sampai ke penghujungnya.



“Hei, kenapa menangis ni Mira? Sepatutnya akak yang sedih tau.” Iman menegur dalam nada bergurau. Airmata Mira yang masih mengalir di kesat perlahan dengan tisu.

“Mira sedihlah akak. Kenapa akak tak pernah cerita dengan Mira?”

“Mira tak pernah tanya macam mana akak nak cerita.”

“Iman….erm…sedap jugak kalau Mira panggil akak, Kak Iman. Lain dari yang lain sikit, boleh ke kak?” Ujar Mira dengan riak nakal.

“Tak mahulah akak, janggal pulak rasanya.” Iman pantas menolak.

“Akak nak tahu? Dulu member sekolah Mira panggil Mira, Amir tau. Pakcik Mira pun sama.”

“Ya ke? Kirim salam kat pakcik Mira tu ya, cakap dengan dia jangan panggil Mira Amir lagi tau.” Pesan Iman selamba.

“Betul ni? Kirim salam kat my uncle. Dia handsome tau kak.”
“No lah, akak main-main aje. Ok, jom kita balik, hari dah nak maghrib ni. Nanti mama Mira bimbang pulak.” Iman segera mengorak langkah keluar dari restoran segera itu. Sekilas matanya memandang ke depan mencari kelibat lelaki tadi tetapi ternyata tempat itu sudah pun kosong.

No comments:

Post a Comment