Tuesday, March 16, 2010

Atira - 65

Permukaan Laut Cina Selatan seperti di taburi permata, lantai alam yang berolak itu seakan penuh dengan butir-butir berlian yang menyinar, galak memantulkan duri cahaya kuning yang tembus dari awan di ufuk timur. Panahan cahaya pagi yang membolos taburan kapas di langit itu menyentuh dada lautan menjadikan suasana pagi yang bernafas lembut itu mesra menegur renungan Aiman yang sedari beberapa detik lalu memandang ke arah ufuk. Dua batang jorang tanpa sambungan (One Piece) sepanjang lima dan tujuh kaki serta kecil di hujungnya itu terpacak dengan tali di biarkan jauh ke belakang bot yang di pandu oleh Azman sementara Latif memandang ke dalam bekas yang berisi umpan sotong hidup itu berenang-renang lembut dan bernafas dengan bantuan udara yang pam dari mesin kecil yang mereka gunakan sebelum matanya kembali menatap Aiman geram.

"Woit Aiman, sia-sia la aku cari sotong hidup nih kalau kau asyik guna casting tenggiri aja" suara Latif tidak berpuas hati kerana sejak dari permulaan mereka memancing Aiman hanya membaling umpan besi yang sememangnya khas untuk ikan tenggiri. Bot yang mereka naiki pula sengaja di biarkan bergerak perlahan-lahan ditegah lautan, empat jam perjalanan dari kampung teluk untuk mengumpan ikan tenggiri yang di hajatinya. Jarak bot yang dipandu oleh Azman lebih kurang lima puluh meter dari pinggir pantai. Perbezaan pinggir ombak itu dengan lautan di sempadankan dengan arus laut yang bertembung, sebelah jernih sementara sebelah lagi agak keruh. Sesekali Azman membawa bot tersebut mendekati sempadan air yang seperti lali kecil memanjang di tengah lautan sambil matanya memandang ke arah darat yang nampak jauh dan nipis di sebelah kanan mereka.

"Kejap la.. aku nak pastikan aku dapat ikan tenggiri aja nih ha. Nanti dah dapat, kita mancing la guna sotong pula" kata Aiman sambil memadang dua batang jorannya yang terpacak di belakang bot. Azman dan Latif berpandangan sesama sendiri tidak mengerti.

"Bukan musim tenggiri la nih. Macam mana nak dapat" Azman pula bersuara menyebabkan Aiman menoleh memandang mereka berdua.

"Baru lima minat aku buang. Kau tengok la nanti, lagi beberapa minit. Casting nih, aku beli kat sana tau. Memang menarik tenggiri punya" kata Aiman cuba menyakinkan kawan-kawannya.

"Ikan kat sana memang la boleh kau tarik. Nih! ikan kat laut kita. Mana kenal casting import atau tak. Apa la, harap belajar aja tinggi" Latif bersuara. Giannya untuk memancing terpaksa ditunda gara-gara Aiman yang ingin memancing tenggiri.

"Ceh.. mengutuk aku konon" kata Aiman sambil mengepal kedua-dua tangannya. "Huh.. Wahai ikan tenggiri kelaparan. Makanlah besi aku tu kerana dengan dagingmu yang lazat itu bakal kujadikan hadiah untuk kuhantar pada puteri impian dan akan mendiamkan mereka-mereka yang tidak sabar ini" sambung Aiman lagi seakan melafazkan jampi mentera sambil meniup dua batang pancingnya itu menyebabkan ke dua-dua kawannya ketawa.

"Kau jampi la dalam bahasa otroman pun tak akan makan punya. Bukan musim tenggiri la nih" sahut Latif setelah sambil ketawa.

"Kamu berdua lagi ampeh.. kalau aku jampi dalam bahasa tu, mana ikan tu faham" kata Aiman pula. Matanya tetap menatap dua batang pancing yang masih terpacak penuh sabar dan harapan. Tali benang teradun bersama fiber yang digunakan itu di biarkan jauh hanyut di belakang melepasi ombak bot dengan engine 125 kuasakuda jenis Mercury menolak bot milik ayah Latif itu perlahan-lahan ke depan. Azman menoleh seketika ke arah Aiman.

"Puteri impian mana pula nih, Aiman!" tanyanya ingin tahu menyebabkan Aiman menoleh memandang Azman sambil tersenyum.

"Puteri yang telah mengukir senyumannya untukku, riak wajahnya pula telah menyebabkan aku tersenyum dalam lena. Mimpi yang selama ini menjadi musuh tidurku berubah menjadi sahabat yang menceriakan. Hatiku tidak kosong lagi dalam renungan matanya yang jernih dan mempesona" kata Aiman seakan mengistiharkan suara hatinya pada lautan menyebabkan Latif dan Azman kembali berpandangan tidak menyangka.

"Sejak bila pula kau boleh sebut perkataan yang meloyakan nih Aiman. Kau mabuk laut erk" tanya Latif sambil bangun dan menuju ke arah Aiman. Dahi Aiman yang separuh dilindungi topi putih itu disentuh untuk mengetahui tahap kesihatan Aiman sebelum Aiman melarikan kepalanya.

"Weh.. aku tak mabuk la. Aku sihat dan kuat. Penuh berkrim dan disukai ramai" kata Aiman sambil tersenyum.

"Tapi kau tak macam kau beberapa tahun lalu" komen Azman pula.

"Aku bertambah hensem erk"

"Ceh, makin menyerupai orang hutan ada la" sahut Latif

"Orang hutan pun orang juga kalau nak dibandingkan dengan dua ekor monyet yang bergayut kat dahan jambu rumah Wan Piah dan Mat Ipin" kata Aiman sambil tersenyum menatap perubahan wajah Latif dan Azman. Keningnya diangkat beberapa kali untuk mengusik dua rakannya itu.

"Mana kau tau" tanya Latif kemudian

"Aku tahu tentang Wan Zaleha anak dara Wan Piah dan aku juga tahu tentang Azuraini, bakal ustazah anak Mat Ipin tu" kata Aiman menyebabkan Lafit dan Azman tersenyum malu sebelum kembali menatap teman sekelas mereka dulu.

"Bagaimana kau boleh tahu sedangkan kami tak tahu siapa puteri yang kau nak hantarkan ikan tenggiri tu" tanya Azman pula.

"Aku tahu kerana aku orang hutan. Walaupun hampir sama dengan monyet, tapi aku adalah orang.. di ulangi, orang!. Dan tentu orang tu spesis yang memandang dan mendengar. Melihat ada perasaan yang cambah dalam hati monyet yang sedang melompat-lompat mencari jambu yang sedang ranum" kata Aiman terus mengusik menyebabkan Latif dan Aiman berpandangan sama sendiri. Ternyata rahsia mereka telah dibongkar terlebih dahulu. Latif menatap Aiman penuh minat.

"Kata-kata kau tak macam dulu Aiman. Kata-kata kau semakin menarik dan dalam maksudnya" luah Latif kemudian sambil memandang Aiman penuh minat. Sahabatnya itu bangun perlahan-lahan sambil mendempakan tangannya.

"Kerana aku kini berada di dada lautan, tempat yang sering aku melihat pertemuan dua alam, di sini aku melihat langit dan air bersentuhan dan di sini aku temui apa yang aku cari bila aku menatap ombak yang datang. Riak-riak nakal air yang bermain-main dengan cahaya menyebabkan aku gembira dan jiwaku mengucup sejuta kedamaian dari buih-buih kecil di tengah samudera. Aku ditemani arwah ayah dan senyuman ibu yang sering menjadikan aku kuat walaupun saat aku rebah dilambung gelombang" luah Aiman kepada laut yang membisu, matanya terpejam seakan melafaskan madah yang terpahat kudus menyebabkan Latif dan Azman memandang Aiman kagum. Senyuman yang ada di bibir Aiman menyebabkan mereka berdua turut tersenyum.

"Tapi siapakah puteri itu, yang telah mengubah orang gila sepertimu menjadi seorang pujangga yang meloyakan dan mengelikan bulu hidungku" tanya Azman kemudian menyebabkan Latif dan Aiman tertawa mendengarnya. Renungan daripada Azman ditatap lembut bersama dengan ombak laut yang terbentuk di belah oleh bot yang mereka bertiga naiki. Di bawah wajah laut, sepasang mata bulat memandang kilauan besi yang bergerak seperti anak ikan, mengoda nafsu kelaparan menyebabkan unggas laut itu mula menyeringai, menambakkan gigi-gigi kecil tajam serentak ekornya yang besar melibas, mengejar penuh lahap hidangan pagi yang menari-nari bersama ombak laut yang hampir tenang.

Salah satu dari Bait Casting yang terpacak di belakang bot itu mendengung-dengung menyebabkan Aiman kembali menoleh ke arah batang pancingnya, jeritan aliran keluar tali yang masih berbaki dalam Bait Casting itu juga menjadikan Latif memandang ke arah Aiman dan Azman segera mematikan engine bot yang di pandu perlahan sambil berdiri memadang ke arah Aiman yang telah memegang batang pancing tersebut. Sepenuh tenaga Aiman menyentak pancing, serentak alat pengawal aras untuk tali itu keluar tertutup. Beban daya yang telah di tetapkan itu masih menyebabkan tali tersebut keluar perlahan-lahan. Aiman cepat-cepat mengetatkan alat pengawal aliran tali itu agar mampu menarik beban daya yang di tarik oleh ikan menyebabkan batang pancingnya melengkung. Tangannya mula mengarau Bait Casting menjadikan tubuh lelaki itu tertolak ke depan dan ke belakang. Latif dan Azman menanti penuh debar, tidak menyangka ada tenggiri yang menyentak pancing walaupun bukan dalam musim permainan tubuh makhluk berbintik.

Kepakaran Aiman sebagai anak laut kini teruji. Tenaganya telah lama tidak dimainkan oleh ikan yang kaya di perairan Kampung Teluk mula memanggil segala kepakaran dan pengalamannya itu kembali bersatu. Ketika ikan yang mengena itu ligat melarikan diri, Aiman membuka alat pengawal tali menyebabkan dayanya sedikit longgar bagi membolehkan ikan itu melarikan diri disamping tangannya mengetatkan alat mengawal daya aliran keluar tali itu perlahan-lahan agar ikan tersebut tidak terlalu di paksa kerana bimbang tali yang di gunakan akan putus jika beradu tenaga dengan ikan menyebabkan Bait Casting yang di gunakannya semakin menjerit-jerit, Latif dan Azman berpandangan sesama sendiri, nada jeritan dari Bait Casting itu sememangnya amat merdu di telinga seorang pemancing seperti mereka. Keinginan untuk memancing semakin membuak namun terpaksa di tahan kerana waktu itu batang pancing Aiman semakin melengkung-lengkung.

"Jaga-jaga Aiman, kasar mainnya tu. Bapak tenggiri agaknya" suara Latif sedikit bimbang setelah beberapa minit berlalu namun ikan yang mengena itu tetap tidak ingin menyerah. Kelibat makhluk laut itu tetap menjauh bila di lihat kepada tali pancing sabahatnya itu yang mendatar di atas lautan bukan menjunam menuju ke dalaman.

"Bagi dia tali! bagi dia tali lagi Aiman, ganas benar tu aku tengok" nasihat Azman pula menyebabkan Aiman membuka aras daya bebanan yang terletak pada Bait Casting yang sedang di pegangnya. Jeritan Ball Bearingnya semakin kuat kedengaran bersama dengan tangan Aiman yang mengarau Bait aluminum tersebut sambil matanya tidak lepas memandang ke arah hujung tali pancingnya yang masih tenggelam. Hampir setengah jam berlalu, Aiman terduduk lesu di tengah bot yang berbuai-buai di tegur gelombang. Latif dan Azman pula berdiri di sebelahnya sambil mata mereka menatap unggas laut yang telah di naikkan oleh mereka bertiga terkapar di tengah bot. Susuk tubuh ikan tidak bersisik itu mengelepar sekejap sambil kepaknya kembang tipis untuk mengepan air namun seketika kemudian binatang yang sentiasa berzikir kepada Al-Muhyi, Tuhan Yang Menghidupkan itu berhenti berwirid melengkapi kekuasaan Al-Mumit, Dia Yang Mematikan, menjadi rezeki kepada manusia yang telah ditetapkan sebagai Khalifah di bumi yang diciptakan.

"Besarnya ikan Talang nih" suara Azman tiba-tiba mengalihkan pandangan Latif yang sedang memandang ke arah ikan talang, rasa kagum menjelma di hatinya sambil menatap wajah Aiman yang keletihan.

"Maunya tak. Naik lenguh aku nak letihkan ikan nih. Tapi tak sangka ya, ikan Talang pun rembat Casting khas untuk tenggiri juga" jawab Aiman sambil tersenyum.

"Kan aku dah kata tadi, ikan kat sini mana kenal Casting import" usik Latif kemudian sambil memandang ke arah pancingnya yang masih belum di buang. "Kau nak mancing tenggiri lagi ker Aiman" tanyanya kemudian.

"Kalau aku memancing lagi, tentu korang tak dapat kejar aku. So sekarang aku mendahului korang. Mancinglah dulu, aku nak berehat, nanti kalau korang dapat lagi besar, bagitahu aku ya, aku akan mancing balik..hehhehe" kata Aiman dengan kening yang terangkat menyebabkan Latif dan Azman terasa panas.

"Eleh.. kau tu guna masa awal. Tak adil la woit. Kalau nak berlawan, kena la adil" sahut Azman sambil mengambil pancingnya yang di letakkan di tepi sampan.

"Adil la, sebab aku guna umpan besi. So, korang guna umpan sotong hidup tu, mancing separuh dari masa yang aku gunakan, dapat ikan yang lagi besar dari aku baru la aku akan mancing balik. Amacam.." cabar Aiman ketika Latif telah menurunkan pancingnya yang menggunakan umpan sotong hidup itu ke tengah laut.

"Mentang-mentang dia dah dapat, baru nak bertanding. Memang diktator tahap komunis" sahut Latif sambil ketawa menyebabkan dua rakannya itu juga tersenyum.

Nada kemeriahan usikkan mereka bertiga semakin kedengaran di tengah samudera yang luas. Bayu bertiup lembut menghiasi permukaan air itu turut sama tersenyum mendengar keceriaan mereka bertiga sementara mentari semakin gagah melangkah di langit menandakan perubahan waktu yang sekejap-sekejap tertangguh bila pancing yang mereka gunakan rakus ditarik unggas lautan.

Peluh mula membulat kecil di wajah, angin yang datang dari ufuk, mengambil bau badan Aiman seketika, sebelum terus berlari mengejar gelombang, membentuk buih yang melukis lekuk di pasir, memburu masuk ke jendela rumah yang terbuka, membelai-membelai wajah Atira yang sedang temenung memandang kudup-kudup bunga melor dari jendela biliknya menyebabkan beliau menoleh ke arah ufuk yang menjauh, bersama deruan ombak yang tidak putus-putus tiba.

Kemudian Atira memandang ke atas meja biliknya, sebuah kotak baldu yang terisi sebentuk cincin berkilau menyambut renungan matanya. Cincin yang di tinggalkan oleh keluarga Aishah yang baru menyusur pulang, tanda dari Zamzuri untuk di pakai sekiranya beliau menerima lamaran untuk menjadi suri hidup kepada lelaki itu di tatapnya lama sebelum matanya kembali menjamah kudup bunga melor yang menari-nari lembut di usik irama bayu yang bertiup. Kenangan semalam bersama Aiman kembali menjelma membawa hatinya di lambung gemersik alunan rentak laut.

"Iman"

"Ya"

"Kenapa Iman selalu tengok laut?"

"Erm.. sebab dalam gelombang tertera keinginanku"

"Apakah keinginan Iman itu?"

"Atira nak tahu"

"Erm.. kalau boleh Atira nak tahu?"

"Tanyalah pasir, bayu akan menyampaikan jawapan itu kepadamu"

"Maksud Iman?"

"Tarian gelombang menolak angin ke darat, redup matamu nun menjamah ufuk, tenunglah pada pasir nan putih, ombak telah mengukir rahsia buat pengertianmu" kata Aiman pasrah, matanya menjauh memandang laut dan langit yang bersatu dalam renungan namun hakikatnya ufuk tetap menafikan pertemuan.

Kamudian matanya menoleh ke arah Atira sekejap, menyembut renungan gadis itu yang sinar seketika sebelum pandangan luruh menatap bekas peralatan memancingnya yang masih terbuka. Perlahan-lahan tangannya menutup bekas yang menyimpan peralatan memancing yang ada di sebelahnya.

5 comments:

  1. hohoho...
    napa n3 ni sma ngn n3 63...
    pnulis slh post ke??

    ReplyDelete
  2. bl nk smbung??besh3x
    suka ngan watak aiman huhu..

    ReplyDelete
  3. Plz nk Aiman n Atira jgk.
    Zamzuri n aisyah tu penyebok la.
    berambus jauh2 la. huhuhu... ;p

    ReplyDelete
  4. sy pernah bce novel ni..
    kalo x, silap la..kat teratak anna dulu..
    lame da, cri balik citer ni...huhuhuh
    akhirnya, jumpe jugak..
    plzz smbung cpt2..sgt xcited

    ReplyDelete
  5. plz smbung... suke sgt cite ni.. dah lama sy carik.. :D

    ReplyDelete