Tuesday, February 9, 2010

Atira - 32

Kesibukan pelajar yang lalu lalang di pesta pada waktu itu tiba-tiba berubah berganti dengan hembusan dingin hujan yang gugur dari kayangan yang pecah di langit, bertaburan membasahi alam seakan telapak yang besar. Berjuta-juta titisan hujan mula menjadikan pasir pantai yang putih itu berubah basah, bersama tempiasnya yang di tarik oleh bayu lembut yang datang dari laut, permukaan lautan yang seperti cermin itu pula melompat-lompat nakal menyambut tawar air yang jatuh dari langit, dari awan berarak sarat.

Aiman memandang gadis di sebelahnya lunak, kemudian kembali ke arah hujan yang mula mencurah-curah. Pertanyaan dari gadis itu di biarkan berlalu bersama air yang mula melimpah di pasir yang telah basah.

"Aku tak tahu pun selama nih kau yang mengaji. Suara kau sedap, selalu kejutkan aku bila kau mengaji kat masjid tu" tanya gadis itu lagi.

"Ala.. biasa aja Atira. Suara aku macam suara katak yang memanggil hujan" kata Aiman kemudian "Tapi teruk tau. Aku kena paksa dengan Ayah Aji. Dia kata nanti dia akan paksa jugak aku kawen dengan kau" sambung Aiman sambil tersenyum nakal menyebabkan gadis di sebelahnya itu mengalihkan pandangan ke arah pepohon ru yang dikaburkan oleh kabus yang terangkat dari lantai alam. Aiman tersenyum sambil mengangkat cawan yang di hidangkan untuknya.

"Kau ker yang buat air nih?" tanyanya setelah air itu di teguk.

"Ha.. nak kenakan aku lagi la tu. Aku yang buat, kenapa?" kata Atira.

"Tak ada apa-apa. Sedap aja" pujinya

"Kau tu semua sedap. Batu ngan kayu pun sedap"

"Kalau dah nama makanan, semuanya pun sedap kan"

"Ada juga makanan yang tak sedap"

"Apa dia?"

"Rumput. Cuba kau makan rumput tu macam lembu. Tentu tak sedap"

"Atira, rumput itu juga sedap bagi lembu. Kalau tak sedap, tentu lembu tu tak makan" kata Aiman sambil matanya memandang ke arah bunga melor yang merendang di halaman rumah Atira. Kudup-kudup kecil bunga itu menari-nari mengikut irama titisan hujan.

"Semalam kau kata nak letak jawatan. Cikgu Omar terima tak?" tanya gadis itu setelah lama terdiam.

"Ha.. tu lagi seorang yang mungkir janji. Dulu dia menaburkan janji-janji manisnya. Katanya aku cuba dulu beberapa minggu. Kalau tak mampu, aku boleh letak jawatan. Tapi bila sampai masa untuk dia menunaikan janji-janji manisnya, dia pula yang tak bagi" kata Aiman.

"Kalau aku pun aku tak akan bagi. Sebab bila kau dilantik, cikgu Omar selalu puji tahap disiplin semua pelajar baik. Mereka semua hormat kepada kau, lagipun aku rasa itu adalah cara yang paling bijak untuk menjadikan kau pelajar yang mengikut peraturan. Aku tengok sejak kau dilantik, kau datang awal ke sekolah. Kasut pun kau dah reti pakai kasut sekolah. Respek la aku kat cikgu Omar yang boleh mengubah kau" senyuman di bibir gadis itu di tatapnya lembut sebelum gadis itu terburu-buru tunduk bila pandangan mereka berdua bertaut.

"Kenapa kau jarang-jarang tersenyum kepada aku Atira?" tanyanya "Selalu kalau aku buat lawak, orang lain bergelak ketawa tapi kau pula sebaliknya" sambungnya lagi ingin tahu.

"Sebab lawak yang kau buat tu tak melucukan aku. Kau tak pandai buat lawak untuk menghiburkan aku. Tapi kau pandai mengaji. Suara kau memang sedap" puji gadis itu lagi menyebabkan Aiman tersenyum.

"Suara aku tak sedap. Biasa aja" katanya sambil cawan yang berisi air di depannya di angkat untuk di minum.

"Tapi kak Atira kata suara Aiman sedap. Lunak di dengar" kata satu suara menyebabkan alam yang merintih kala kayangan pecah itu berubah.

Titisan hujan yang bertaburan pada pertemuan di rumah Atira itu mulai hilang berganti kesibukkan pelajar-pelajar yang lalu lalang. Hembusan dingin petang yang basah dengan titisan yang gugur dari langit itu kembali hangat mengenjutkan Aiman dari terus hanyut dalam kenangan silam yang indah. Tangannya yang telah mengangkat cawan untuk di minun itu jatuh perlahan-lahan, air di dalam cawan kekal separuh belum diminum itu kembali diletakkan ke atas meja.

"Erm suara saya biasa aja. Tak ada orang yang nak mewakili sekolah hari itu. Pihak sekolah paksa saya. Mereka gunakan secret weapon, kalah saya" kata Aiman kemudian kembali tersedar dari dibuai kenangan silam.

"Ruginya sebab tidak berada satu sekolah dengan awak. Kalau tak, tentu saya akan dapat mendengar suara awak" komen Aishah menyebabkan Aiman tersenyum. Kemudian lelaki itu kembali melihat jam di tangan kanannya.

"Saya perlu pergi dulu. Ada kerja yang perlu diselesaikan" katanya kemudian sambil memandang ke arah Atira yang kembali mengangkat wajahnya.

"Aiman nak balik dah. Nantilah dulu" pinta Atira.

"Erm aku perlu pergi Atira, aku hanya datang untuk melihat kembali kenangan lama. Mencari-cari sesuatu untuk aku jadikan kekuatan semangatku dalam meneruskan pengajian di tahun akhir nanti" kata Aiman perlahan namun jelas dengan nada yang agak pasrah kepada Atira.

"Okaylah. Pergi dulu encik Zamzuri, Aishah, Atira" sambungan lagi. Tangannya dihulurkan kepada Zamzuri yang telah sedia berdiri. Mereka bersalaman menandakan silaturrahim yang terjalin sesama Islam. Kemudian Aiman menoleh ke arah Atira lagi.

"Pergi dulu Atira. Belajar elok-elok" katanya kemudian sambil berpaling. Langkahnya diaturkan semakin jauh, bersama kepiluan yang tidak ingin hilang walaupun berkali-kali dia memaksa kesedihan itu untuk pergi. Tubuh Aiman mula menghilang dalam kegelapan malam yang melatari pesta kegembiraan yang di adakan untuk meraikan kejayaan pelajar, namun lelaki itu telah kehilangan sinar keceriaan yang menerangi hatinya.

"Kejap ya Zamzuri, Aishah" kata Atira seketika kemudian sebelum bangun. Langkah Aiman yang kian menjauh diikutnya dengan cepat. Aishah dan abangnya saling berpandangan sesama sendiri kemudian memandang ke arah tubuh Atira yang telah hilang.


No comments:

Post a Comment