Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu Di Hati - 8

“Adi! Adi! Bukalah pintu ni!” Suara Kak Ijah sayup-sayup kedengaran di luar bilik. Adibah masih membatu di dalam selimutnya. Diam tanpa kata.

“Keluarlah! Lelaki tadi tu datang!” Hah? Badan Adibah makin mengerekot di dalam selimut. Tolonglah! Jangan kacau aku!

“Adi!” Terdengar pula suara nyaring Lutfi yang memekik dari luar rumah. Nafas Adibah turun naik. Sesak!

“Adi!” Laung Lutfi kian kuat. Hish! Maghrib-maghrib macam ni, menjerit-jerit pulak dia. Adibah masih diam. Puas berdoa di dalam hati, mengharap Lutfi segera beredar.

“Adi, keluarlah. Nanti dia menjerit lagi. Malu kat jiran-jiran kita nanti” Kak Ijah memujuk lembut. Adibah mendengus geram. Tudung yang sudah dilucutkan, disarung semula ke kepala. Menyusahkan betul!

“Kenapa datang sini?” Suara Adibah sedikit berbisik. Matanya melilau memandang sekeliling, bimbang jika ada yang mengintip mereka berdua.

“Nak jumpa dengan Adilah” Suara Lutfi juga berbisik. Huh! Mengajuk pulak dia! “Sekarang dah jumpa, cakaplah cepat!” Lutfi tersenyum-senyum. Adibah makin panas hati.

Hish! Kalau setakat nak tayang senyum tu janganlah datang kat sini. Saat ini dia mengharapkan Ultraman Cosmos akan muncul di sini dan memancarkan sinaran cahaya kepada lelaki sewel di depannya. Biar hancur berkecai macam raksasa gorkon! Tapi ini kat Malaysia, ultraman cuma ada kat Jepun!

“Dah makan coklat yang saya bagi?” Laaaaa…… Nak cakap tu je ke? Memang buang masa sungguh!

“Belum! Adi tak makan coklat!”

“Aik? Dulu itulah kesukaan Adi”

“Dulu! Itu je ke yang nak cakap? Dah habis kan? Saya masuk dululah!” Adibah tergesa-gesa melangkah namun terhenti tatkala tangannya sudah diraih oleh Lutfi.

“Apa pegang-pegang ni? Ingat Adi ni anak kucing ke? Ikut sedap je nak pegang!”

“Sorry! Sorry! Tunggulah dulu! Melilau saya cari rumah Adi tau!” Pergelangan tangan Adibah dilepas dengan segera.

“Saya nak ajak Adi keluar makan. Dah lama kita tak jumpa, banyak yang saya nak sembangkan dengan Adi” Adibah terdiam.

“Macam mana?” Soalnya pula bila melihat gadis itu sekadar mendiamkan diri.

“Esoklah! Lepas kerja!” Eh? Betul ke ni aku dah berjanji dengan lelaki ni? Jari jemarinya terasa panas berkuap. Tersilap membuat janji.

“Betul ni? Esok saya tunggu. Saya pegang kata-kata Adi tu!” Adibah terkaku di situ. Memandang Lutfi yang sudah hilang dari pandangan mata. Tiba-tiba dia tersenyum. Dalam diam terasa suka! Aduh! Adibah! Jangan macam ni!


No comments:

Post a Comment