Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu Di Hati - 7

Adibah mendengus geram. Sudah hampir sejam dia menanti, namun kelibat orang yang ditunggu masih belum muncul.

“Whoaaaaaa!!!”

“Opocot!” Adibah melompat ke tepi. Mulut ni memang macam tu. Otomatik dia akan mengeluarkan perkataan itu bila terkejut. Dan yang menjadi geramnya bila Si Penyergah itu terkekeh-kekeh ketawa melihat gelagatnya.

“Jahat betul angah ni! Nasib baik along tak ada lemah jantung, kalau tak mesti dah kiok!” Afnan masih ketawa. Kakaknya yang seorang ini, memang seronok diusik. Walaupun brutal tapi gelabah satu badan! Dan Afnan terus ketawa tanpa memperdulikan wajah Adibah yang sudah merah menahan marah.

“Hah! Dah puas ketawa?” Soalnya bila ketawa Afnan mula meninggal sisa.

“Hehehe….Dah! Kalau boleh memang nak ketawa lagi!” Sebuah cubitan hinggap diperutnya.
“Sepit ketam along ni tak boleh duduk diam ke!” Wajah Afnan berkerut-kerut menahan perit di perutnya.

“Tahu pun sakit! Kalau nak lagi boleh je along bagi!” Afnan segera mengangkat tangannya tinggi-tinggi.

“Lekaslah! Tadi dia juga yang sibuk-sibuk nak jumpa along.”

“Oklah! Kelam kabutlah along ni. Semalam mak call. Hand phone along kenapanya? Dah puas mak tu call tapi tak dapat-dapat. Angah pun cuba call tak dapat juga!” Alamak! Baru teringat!

“Sorry lah! Hand phone along dah rosak. Jatuh dalam longkang.. Nantilah along beli yang baru tapi kalau angah nak sponsor boleh je!” Afnan mencebik.

“Mak call along nak apa?” Letih berdiri, Adibah melabuhkan punggungnya pada tembok kecil di tepi jalan.

“Ada orang datang merisik along minggu lepas!”

“Hah?” Bungkusan plastik berisi pisang goreng, terlepas dari tangannya. Adoi! Habis rezeki aku!

“Alah along, buat-buat terkejut pulak! Dah ada boyfriend, senyap-senyap je kat angah dengan mak. Pastu suruh dia pi merisik along ye?”

Dahi Adibah berkerut. “Ish! Mana along ada boyfriend! Bila masa pula along suruh orang pi masuk merisik? Mana ada!” Penafian yang sekeras-kerasnya!

Afnan tergelak kecil

“Siapa orang tu? Lutfi ke?” Alamak! Terlepas pula nama tu! Adibah menampar-nampar mulutnya beberapa kali.

“Lutfi? Hah! Kan dah kata, along ni diam-diam ubi ye? Diam-diam berisi rupanya!” Amboi! Berperibahasa pula dia. Tahulah minat sastera!

“Along tersasul lah! Jangan nak buat kesimpulan yang merapu pulak” Afnan tersengeh. Pipi Adibah ditarik sebelum berlalu meninggalkannya.

Sampai sahaja di rumah, tubuhnya dihenyak keras di atas sofa. Letih! Matanya bulat merenung siling empat segi itu. Kipas yang sedang berpusing laju makin mengkhayalkannya. Siapa ya? Dia mula berteka-teki sendirian. Kenapalah boleh tersasul nama Lutfi di depan Afnan tadi. Adoi! Berhantu sungguh nama tu.

“Dah lama sampai Adi?” Kak Ijah temah serumahnya tiba-tiba terjengul dari dapur. Adibah tersentak. Dia cepat-cepat bangun membetulkan duduknya. Kak Ijah ni paling mementingkan tata susila seorang wanita. Tata susila? Eh? Macam kat sekolah pulak! Paling pantang kalau melihat anak dara yang duduk atau perangainya yang kurang sopan. Janda tanpa anak ini memang menjaga sikapnya. Tetapi sayang bekas suaminya tidak pandai menghargai.

“Baru je kak!” Kak Ijah tersenyum. Punggungnya dilabuh di sisi Adibah. “Nah ni!” Sekotak coklat dihulurkan kepadanya. Mata Adibah bulat terbuntang.

“Kak Ijah bagi hadiah kat Adi ke? Tapi hari jadi Adi dah lepas pun”

“Bukan Kak Ijah yang bagi!” Kali ini, mulutnya pula yang ternganga. “Bukan akak? Habis tu, siapa?”

“Entah? Tadi ada jejaka macho datang sini. Dia lah yang bagi” Kak Ijah tersenyum-senyum.

“Errrr…. Dia tak cakap nama dia ke?” Kotak coklat di tangannya, direnung lama-lama.

“Tak ada pulak tapi dia sebut anak itik tokwi!” Hah? Kotak coklat itu dicampak ke bawah.

“Kenapa ni Adi? Campak-campak pula benda ni. Tak baiklah!” Adibah berganjak ke belakang. Betullah lelaki ni berhantu. Mana dia tahu aku tinggal kat sini.

“Tak ada apa-apalah kak! Adi tak naklah coklat ni, akak sajalah yang makan” Dia segera berlari ke tingkat atas. Selimut berwarna coklat cair itu, dikelubung menutupi seluruh badannya. Terasa bagaikan lelaki itu asyik merenungnya.

No comments:

Post a Comment