Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta berlagu Di Hati - 37

"Tidak!!!!" Adibah meronta-ronta. Dia berhempas pulas melawan pegangan erat tangan Afnan dan emaknya. "Bawa mengucap nak. Sabar Adi!" Pipi wanita tua itu sudah lencun dibasahi air mata.

"Adi nak kaki Adi balik mak! Adi nak kaki Adi!!! Jeritan Adibah bergema lagi. Kedua kakinya lumpuh akibat kemalangan ngeri tempoh hari. Kedua-dua belah kakinya tidak dapat digerakkan. Baru tadi doktor mengesahkan yang kakinya telah lumpuh!

"Adi nak kaki Adi balik........" Suara Adibah kian perlahan dan rontaannya yang kuat tadi mula mengendur. Esak tangis gadis itu pula yang memecah di sekitar bilik.

"Sabarlah nak......... Mungkin ada rahmat disebaliknya..." Pujuk emak yang tidak pernah jemu. Afnan yang berdiri di birai katil terdiam tanpa kata. Sebak melihat kakaknya yang lincah menjadi sebegini rupa. Rasa marah melihat kakaknya yang tidak bersalah dihukum begini. Tapi marah itu pada siapa? Pada takdirkah? Bukankah Allah Maha Penyayang? Afnan menarik nafas perlahan. Rasa sesal tatkala perasaan marahnya menyalahi takdir tiba-tiba menghantui benak fikirannya.

Bunyi daun pintu yang tiba-tiba terbuka membuatkan semua mata serentak menoleh. "Adi!" Wajah pucat Hazmi tersembul di muka pintu. Adibah segera menekup muka dengan kedua tangannya.

"Abang Hazmi!" Afnan segera menerpa mendapatkan Hazmi yang berjalan terhencot-hencot.

"Abang kan baru sembuh je, kenapa susah payah datang sini?" Hazmi tidak menjawab. Dia terus bergerak menghampiri Adibah yang kini membenamkan mukanya pula pada bantal bersarung putih itu.

"Macam mana keadaan Hazmi sekarang ni nak?" Hanya senyuman tawar menjadi jawapan bagi pertanyaan ibu Adibah.

"Adi! Sudahlah tu. Tengok ni! Hazmi susah payah datang lawat Adi" Emak masih tidak jemu memujuk. Rambut Adibah diusap penuh kasih. Emak faham perasaan mu nak..... Emak lagi sakit melihat Adi menderita. Andai semua derita itu boleh bertukar tangan, nescaya emak sambut! Ayat ini tidak terluah di mulut namun sentiasa bermain di hati tuanya. Hati ibu mana yang tidak terhiris melihat anak yang dikandung sembilan, anak yang dilahirkan tanpa cacat celanya, tiba-tiba berubah begini pula!

"Adi..."

"Keluar! Adi tak nak jumpa abang!" Esak tangisnya kedengaran semula.

"Jangan macam ni Adi. Abang tahu abang yang salah...." Lirih suara Hazmi menusuk setiap telinga yang mendengarnya.

"Abang tak salah apa-apa dengan Adi sebab tu Adi suruh abang keluar." Suara Adibah juga sayu. Abang tak pernah bersalah pada Adi!

"Adi...."

"Abang long!" Hayati yang tiba-tiba muncul di muka pintu mematikan kata-kata Hazmi.

"Abang long, ada orang nak jumpa" Hazmi memanjangkan lehernya cuba melihat kelibat manusia dibelakang Hayati. Sofia! Wajah Hazmi serta merta berubah.

"Apa kau buat kat sini? Nak bawa orang belasah aku lagi ke?" Hazmi bersuara keras. Peristiwa yang berlaku ke atasnya sudah tentunya rancangan papa Sofia.

"Mi! Sampai hati cakap macam tu pada Sofi!" Wajah gadis itu sudah keruh menahan hiba.

"Engkau pulak sampai hati buat aku macam ni!" Hilang sifat penyabar dan lemah lembutnya terhadap Sofia selama ini. Biar pun tiada rasa cinta terhadap gadis itu namun selama ini dia melayan Sofia sebaik mungkin. Menjaga dan melindunginya bagaik menjaga bayi yang baru lahir. Tapi setelah dia meleraikan segala janji, semua perbuatannya tidak dihargai bahkan dia pula menjadi mangsa.

"Mi..... Bukan salah Sofi. Sofi tak tahu yang papa sanggup buat macam tu. Kalau Mi nak Sofi jadi saksi untuk menghukum papa, Sofi sanggup Mi!" Gadis itu kian sebak.

Hazmi mendengus keras. Memang Sofia tidak bersalah! Tetapi, geram dengan sikap lelaki tua itu maka rasa marahnya dilampiaskan terhadap Sofia.

"Sudahlah tu. Jangan bergaduh. Kat sini hospital, tak baik kalau kita ganggu pesakit yang lain." Ibu Adibah yang dari tadi memandang dan mendengar, cuba menjernihkan keadaan.

"Sofi balik dulu ye nak. Bila keadaan sudah kembali reda, baru Sofi datang ye. Jangan salah sangka, makcik bukannya menghalau tapi cuma nak mententeramkan keadaan" Bahu Sofia di belai perlahan-lahan.

"Makcik...." Sofia mula menangis dan akhirnya memeluk erat ibu Adibah. Tersedu-sedu dia menangis di bahu wanita tua itu. Kalaulah mama dan papa memahaminya seperti ibu Adibah!

"Makcik, boleh biarkan Hazmi dengan Adi sekejap?" Soal Hazmi sebaik kelibat Sofia menghilang dari pandangan mata. "Afnan?" Soal Hazmi kepada Afnan pula. Seketika pandangan Afnan jatuh ke wajah emaknya, seolah-olah bertanya pendapat.

"Baiklah Hazmi, makcik pun belum makan sejak pagi tadi. Berbual lah dengan baik. Jangan terlalu memaksa Adibah, keadaan dia masih belum elok" Hazmi mengangguk perlahan.

Lama dia menghantar pandangan sehingga kelibat Afnan dan emaknya hilang dari matanya.

Hazmi membetulkan duduknya. Adibah masih seperti tadi. Tidak sedikit pun mengangkatkan wajahnya.

"Adi......." Suara lembut Hazmi masih belum berjaya. Adibah tiada sebarang reaksi.

"Adi.... lepas Adi keluar hospital, abang nak kita berdua langsungkan perkahwinan."

"Hah?!!" Ayat tersebut berjaya mencuri perhatian Adibah. Mulutnya hampir ternganga dan matanya lansung tidak berkelip merenung wajah Hazmi.

"Abang dah gila ke? Kita dah putus tunang kan?" Suara Adibah sedikit keras. Perasaannya sedikit terusik mendengar bicara Hazmi sebentar tadi. Terasa diri seolah dipermainkan.

"Tapi tak salahkan kalau kita berdua berkahwin?" Bibir Adibah sedikit mencebik.

"Kenapa? Kenapa abang tiba-tiba nak kahwin dengan Adi? Sebab Adi ni pun macam Sofi juga ke? Sebab Adi ni cacat jadi abang pun berjanji nak ambil Adi sebagai isteri?" Bagaikan bertih jagung, pertanyaan demi pertanyaan bertali arus keluar tanpa putus.

"Bukan macam tu Adi...."

"Habis tu, macam mana?" Adibah cepat-cepat memintas percakapan Hazmi.

"Adi cintakan abang?" Adibah terdiam. Pertanyaan Hazmi ini sukar untuk di jawab. Ya! Kalau di dalam hati itu sudah lama keluar tapi dia bimbang, dia takut kerana tidak tahu perasaan sebenar Hazmi. Aku tidak perlukan simpati!

"Abang menjaga Sofia kerana janji. Tanggung jawab abang terhadapnya telah habis tatkala janji antara abang dan papa Sofia telah dikhianati oleh papa Sofia sendiri..." Bicara Hazmi terhenti. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum kembali menyambung bicara.

"Tapi, abang ingin menjaga Adi kerana cinta, kerana sayang abang terhadap Adi. Bukan kerana janji.!" Adibah terpaku tanpa kata. Benarkah ayat itu yang keluar dari mulut Hazmi? Atau dia sekadar mimpi di siang hari atau mungkin itu sekadar kata-kata manis seorang lelaki?

"Kalau bukan disebabkan Adi lumpuh sekalipun, abang tetap ingin mengahwini Adi. Percayalah perasaan abang telah wujud sejak dulu cuma masa dan keadaan ketika itu menghalang abang untuk meluahkan." Aduh! Adibah makin dibuai perasaan. Kalaulah dia tidak mempunyai perasaan malu, memang sudah lama Hazmi dipeluknya.

"Abang tak mahu kehilangan Adi untuk kali kedua........" Mata Adibah mula berkaca. Bibirnya bergerak-gerak ingin menyatakan sesuatu namun tidak terluah. Benarlah kata emak, ada rahmat disebalik semua ini...............




No comments:

Post a Comment