Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu di Hati - 24

"Nah! Minum air ni" Segelas air disua ke arah Adibah. Adibah tidak memberi sebarang reaksi. Kedua lutut yang dibawa ke dadanya, dipeluk dengan erat. Matanya masih berkaca biar pun sisa tangisan sudah tidak kedengaran.

"Minum!" Tegas suara Lutfi memaksa.

"Kenapa bawa saya kat sini? Saya nak balik!" Adibah merenung tajam. Dah lah! Dah sudah dia melihat wayang gambar percuma Hazmi dan Sofia, kenapa Lutfi membawanya ke rumah dia pulak? Nak kena tangkap basah ke? Dah terdesak sangat nak kahwin free pun janganlah macam ni!

"Minum dulu! Lepas tu makan! Kemudian baru saya hantar balik!"

"Tak nak! Saya nak balik!" Keras suara Adibah melawan ketegasan bicara Lutfi.

"Hemmm.... Nampaknya, Adi memang berhajat nak tidur rumah saya kot?" Sindir Lutfi sambil tersenyum

Huh! Adibah mendengus geram. Gelas di tangan Lutfi disambar dengan kasar. Berkerut-kerut dahinya memaksa tekak untuk menelan pizza yang di pesan oleh Lutfi sebentar tadi. Biarpun sedap namun sedikit pun tidak menarik selera perutnya.

Lutfi tersenyum-senyum memandang Adibah yang bersusah payah menghabiskan makanannya.

"Dah! Saya dah habis makan. Air ni pun dah habis saya minum. Sekarang tolong tunaikan janji awak nak hantar saya balik" Ujar Adibah seraya bingkas bangun dari sofa empuk bercorak garisan melintang itu.

"Tak baik lepas makan terus berjalan. Duduk lah dulu. Bagi makanan dalam perut tu habis dihadam dulu" Habis dihadam? Dia ni sengaja nak main tarik tali dengan aku kot?
"Saya tak peduli! Saya nak balik! Awak tak nak hantar, tak apa! Saya balik jalan kaki!" Kemarahannya kian memuncak.

"Berani ke? Kat kawasan ni ramai orang jahat. Nanti, jangan salahkan saya kalau apa-apa jadi pada Adi" Lutfi tersengeh. Selamba!

Huh! Apa? Dia ingat aku takut ke hapa? Ini Adibahlah! Brutal! Pintu rumah Lutfi dihempas dengan kuat sebelum melangkah keluar. Pukul 1 pagi! Adibah membulatkan tekad. Kepekatan awal pagi itu diredah tanpa menoleh ke arah rumah Lutfi lagi.

Langkah Adibah agak laju sewaktu menuruni bukit di hujung jalan taman perumahan tersebut. Bunyi desir angin yang berlaga dengan dedaun pokok mula menaikkan bulu romanya. Dia mengatur langkah makin laju. Kakinya yang tidak berkasut, tidak di ambil peduli.

"Hai cik adik! Sorang je! Beraninya jalan malam-malam ni!" Adibah tersentak. Alamak! Hantu ke? Dia menoleh ke bahu jalan. Kelihatan tiga orang pemuda sedang tersengeh memandangnya. Orang rupanya! Nafasnya dilepaskan perlahan.

"Lepaklah dengan kita orang dulu. Malam minggu macam ni takkan nak balik awal pulak!" Lelaki berambut panjang itu bersuara serak.

Adibah cuba menyambung langkahnya semula namun dihalang oleh salah seorang dari mereka.

"Tepi! Saya nak balik!" Jeritan Adibah sekadar menjadi bahan ketawa mereka. Menjeritlah! Siapa yang akan dengar.

"Alah sayang! Releks la! Abang bertiga ni cuma nak berseronok sekejap je dengan cik adik ni! Usik-usik sikit, takkan luak kot!" Tangan Adibah cuba disentuh. Adibah menepis kasar. Dia mengundur perlahan-lahan kebelakang. Ya Allah! Ujian apa lagi untuk aku kali ni! Lindungilah aku! Hatinya mula memanjat doa. Dalam diam dia merasa sesal tidak mendengar nasihat Lutfi tadi.

"Amboi! Garangnya! Ni yang buat abang makin geram ni!" Mereka terbahak-bahak ketawa. Adibah makin kalut melihat sikap berani ketiga-tiga lelaki tersebut. Sekejap pipinya diusik, sekejap bahunya disentuh. Dia cuba berlari, cuba merempuh sekatan yang dibuat oleh mereka, namun gagal. Sudahnya, dia pula yang terjatuh ke dalam pelukkan salah seorang daripada mereka.

Adibah meronta-ronta dengan kuat. Namun lelaki tersebut makin kejap memeluknya. Terasa bibir kasar lelaki tersebut mula mencari-cari lehernya.

"Oii!!! Lepaskan dia!" Ketiga-tiga lelaki tersebut tersentak.
Lutfi! Buat pertama kalinya, dia begitu gembira melihat kehadiran Lutfi di depan matanya.

"Alamak! Hero dah datang nak selamatkan heroin dialah! Ni yang makin syok!" Ketiga-tiga mereka ketawa lagi. Tubuh Adibah ditolaknya ke tepi.

"Aku bukannya nak bergaduh! Aku cuma nak korang lepaskan perempuan tu!" Lutfi bercekak pinggang.

"Eh? Bergaduh best apa! Masa nilah semua orang boleh tunjuk skill masing-masing! Aku pun macam dah lama tak pukul orang" Salah seorang dari mereka yang bertubuh agak gempal, mengepal-ngepal penumbuknya. Mereka berjalan rapat menghampiri Lutfi.
Adibah yang terduduk di atas jalan tar tersebut, menggigil ketakutan. Pergaduhan makin sengit. Meskipun Lutfi gagah berlawan, namun sukar baginya untuk berdepan 3 orang musuh dalam satu masa.

"Lutfi!!!" Jeritan Adibah bergema memecah bening pagi. Dia meluru ke arah Lutfi yang terjelepok ke jalan. Tangan kanannya menekup rusuk kiri yang mula membuak dengan darah. Merah! Pekat!.

Ketiga-tiga lelaki tersebut segera melarikan diri sebaik melihat keadaan Lutfi yang sudah tidak bermaya. Pisau yang menikam rusuk Lutfi, dicampak ke dalam semak berhampiran.

"Ya Allah! Lutfi!" Adibah mula meraung. Kepala Lutfi dipangku ke atas ribanya. Digoyang-goyang tubuh Lutfi yang sudah mula tidak sedarkan diri. Ya Allah!....

No comments:

Post a Comment