Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu Di Hati - 21

Kak Ijah tersenyum lebar sampai ke pipi. Sesekali kepalanya digeleng ke kiri dan kanan. Dari tadi Adibah asyik mencuba pakaiannya. Lepas satu-satu dicubanya namun masih tiada yang berkenan.

"Yang ini macam tak sesuai je kan kak?" Sehelai baju kurung berbunga putih bertanahkan warna biru laut disua ke depan mata Kak Ijah.

"Kenapa pulak tak sesuai? Ok je akak tengok. Warnanya pun lembut"

"Tapi nanti Adi nampak pucat kalau pakai baju colour ni!" Protes Adibah laju. Tangannya asyik membelek-belek baju kurung tersebut.

Kak Ijah tersengeh lagi. "Hummm... Susahlah kalau macam ni! Semua baju pun Adi tak berkenan. Payah sangat, keluar tak payah berbajulah!"

"Hish! Akak ni! Akak nak Adi kena bunuh dengan mak ke?" Ketawa Kak Ijah meletus keluar. Dah tu? Dah susah sangat! Ketawanya makin galak tatkala muncung itik yang mula kelihatan di wajah Adibah.

"Akak ni, gelakkan Adi pulak! Adi dah terdesak sangat ni tau! Dah nak pukul 9 tapi Adi masih tak tahu nak pakai baju mana!" Punggungnya dihenyak dengan kasar ke atas katil. Geram!

"Nah! Cuba yang ini!" Sepasang baju kebaya labuh dicampak ke arah Adibah. Baju kebaya itu direnungnya lama-lama. Pakai baju ni ke? Aku paling tak suka pakai baju yang mempamerkan bentuk susuk tubuh. Rasa semacam bila berjalan.

"Seganlah Adi nak pakai baju ni kak! Macam tak sesuai je dengan Adi!"

"Akak rasa baju ni padan dengan Adi. Warna kuning cair dengan kerawang warna silver. Cantik! Adi pulak bertubuh kecil molek, memang cantik kalau Adi yang pakai!" Adibah terdiam. Betul ke ni? Kang takutnya ditertawakan dek Hazmi pulak!

Adibah berdiri di hadapan cermin. Baju kebaya itu dibawa ke badan. Sekejap dia memusing ke kiri, sekejap memusing ke kanan. Hemmmm..... Oklah tu!

"Akak keluar dulu ye. Adi nak bersiap. Nanti kalau tunang Adi datang, akak jerit panggil Adi tau!" Sebuah kucupan dihadiahkan ke pipi Kak Ijah. Mengekek wanita itu ketawa kegelian.

Adibah tersenyum simpul memandang tubuhnya yang sudah siap berpakaian. Tudung putih bermanik emas itu dipadankan dengan kebaya labuh yang dipakainya. Rasa-rasanya tudung itu yang paling sesuaikan untuk digayakan dengan baju kebayanya itu. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Adibah cepat-cepat mencapai beg tangan sebelum berlari turun menuruni anak tangga.

"Hah! Kan cantik pakai baju tu!" Adibah tersenyum meleret. "Dah pergi cepat! Akak dengar bunyi kereta kat luar sana tu! Mungkin Hazmi dah sampai kot?" Bahu Adibah ditepuk lembut.

"Ye ke? Oklah kak, Adi pergi dulu ye!" Kelam kabut dia menyarungkan kasut tumit tingginya yang berwarna hitam. Kasut yang boleh dikira dengan jari berapa kali sahaja yang dia pakai. Kasut yang dibeli sekadar untuk ke majlis-majlis penting atau urusan rasmi sahaja. Dan berjumpa Hazmi pun macam urusan rasmi juga ke?

Langkah Adibah mati serta merta tatkala melihat kelibat Lutfi yang tersembul dari perut kereta.

"Adi!"

"Apa awak buat kat sini?" Perasaan kurang senang mula menyelubunginya. Buat apa dia ke sini? Buatnya nanti kalau Hazmi nampak, kang dah jadi kes lain!

"Apa awak buat ni? Lepaskan saya! Kalau tak saya menjerit!" Adibah mula kaget bila Lutfi tiba-tiba mengheret lengannya dengan kasar, memaksanya untuk masuk ke dalam kereta.

"Menjeritlah Adi! Saya tak peduli!" Ujar Lutfi selamba. Cengkaman tangannya makin kuat setiap kali Adibah meronta-ronta untuk meloloskan dirinya.

"Lepaskan saya! Awak nak bawa saya ke mana?" Dada Adibah berdegup kencang. Apa kena dengan Lutfi ni? Macam dirasuk syaitan lagaknya. Buta-buta 'mencolek' nya tanpa sebab musabab.

Lutfi tidak menjawab. Tali pinggang keledar Adibah dipasang dengan kasar. Tanpa menghiraukan pertanyaan dan makian Adibah, Honda Accordnya terus berdesup membelah kepekatan malam.

Adibah mengenggam jari jemarinya yang mula terasa dingin. Rasa takut dan bimbang bercampur baur. Ingatannya cuma pada Hazmi. Tentu Hazmi gelisah melihat dia yang tiba-tiba hilang. Tentu Hazmi melenting bila janjinya telah dimungkiri. Adibah menundukkan wajahnya. Mulutnya sudah letih bercakap. Bertanya itu dan ini. Merayu dan meminta belas pun sudah banyak kali dikeluarkan. Bahkan maki hamun pun turut sama berlagu dalam tuturnya, namun Lutfi sekadar membatu bagaikan patung. Terus memandu entah ke mana arah tujuan.



No comments:

Post a Comment