Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu Di Hati - 18

"Mi betul-betul cintakan Adi?" Soal Sofia serius. Matanya diberikan sepenuh tumpuan ke arah Hazmi. Lama menanti jawapan, hinggakan dia menjadi resah.

"Kenapa diam? Agaknya, Mi masih kurang pasti dengan perasaan Mi sendiri?" Sudu dan garpu yang berada di tangannya, dibaringkan di sisi pinggan. Tisu berwarna merah jambu itu dibawa ke bibir. Dikesat dengan berhati-hati agar warna gincu merah hati itu tidak luntur. Namun matanya masih tercacap ke wajah Hazmi.

Hazmi hanya mendiamkan diri, seolah-olah begitu kusyuk menjamah hidangannya. "Mi........"

"Kita jangan bincangkan pasal ni boleh tak?" Sofia mengeluh perlahan. Pandangannya masih tidak beralih arah, terus merenung Hazmi yang asyik memotong stick daging yang berada di hadapannya.

"Mi....... Mi tak perlu terlalu berpegang pada janji yang Mi buat dengan parent Sofi dulu. Sofi faham jika Mi akan lepaskan Sofi pergi. Sofi tak kisah!" Hazmi terdiam. Tingkahnya terus mati. Lirih bicara Sofia bagaikan memalu hatinya.

"Sofi....... Mi dah berjanji kan? Percayalah! Mi seorang yang berpegang pada janji! Apa pun yang berlaku, Mi takkan lepaskan Sofi!" Kelopak mata Sofia mula digenangi air. Tersenyum dalam sendu.

"Dah! Dah! Jangan menangis lagi. Cepat makan! Nanti bising pula parent Sofi kalau Mi lewat hantar balik." Hujung jarinya mengesat lembut juraian air mata yang mengalir di pipi Sofia. Terukir senyuman indah di bibir gadis itu. Senang sekali diperlakukan begitu oleh Hazmi. Bahagia bila dia masih mendapat tempat di hati Hazmi.

***************************************

Hazmi merebahkan badannya di atas sofa empuk berwarna kuning cair. Kedua tangan dialaskan di bawah kepalanya. Matanya tajam merenung siling putih dan sesekali pandangan beralih pada kipas yang sedang berputar ligat. Dan ligatan putaran kipas itu seakan-akan sama dengan hatinya yang kini ligat, kalut!

"Sofi tak nak! Sofi masih sayangkan Mi, cintakan Mi! Maafkan Sofi, Sofi janji takkan ulangi lagi. Tolonglah Mi, jangan tinggalkan Sofi!" Hazmi memekakkan telinganya. Hatinya sudah sebal mendengar rayuan Sofia. Sudah banyak kali gadis itu mempermainkan cintanya. Sudah banyak kali ucapan maaf dan memaafkan diberi dan diterima, namun ternyata gadis itu bagaikan tidak pernah serik.

"Mi!" Sofia sedikit menjerit bila menyedari rayuannya tidak diendahkan. Hazmi memegang kejap stereng keretanya. Kelajuan kereta sudah melebihi hadnya. Hatinya yang terbakar panas, cuba disejukkan dengan kelajuan kereta yang dibawanya.

Hazmi cuba memintas sebuah kereta wira yang berada di depannya. Kelajuan keretanya di pertambahkan. Minyak ditekan. Keretanya meluncur laju namun gagal memotong kereta wira tersebut, sudahnya keretanya terbabas ke lorong bersebelahan dan bertembung dengan sebuah lori pasir yang datang dari arah bertentangan.

"Astagfirullah!" Hazmi bagaikan tersedar dari khayalannya. Dia bangun, duduk bersandar di sofa. Kedua tangan di raup beberapa kali ke muka. Seketika kemudian, jari jemari tangannya singgah pula ke dahi, memicit kepala yang mula terasa sakit.

"Ini semua salah kau Hazmi! Kalau kau berhati-hati bawa kereta, kemalangan ini takkan berlaku!" Sharifuddin, ayah Sofia menyingga marah. Nafasnya kedengaran turun naik. Hazmi diam membatu. Tangan kanannya yang patah, terasa amat sakit dengan denyutannya yang mengalir ke segenap urat saraf.

"Siapa yang akan memperisterikan gadis cacat seperti Sofia? Atau kau sahaja yang menjadi suaminya!" Hazmi menelan air liurnya. Kelat! Mana mungkin dia memperisterikan Sofia. Cintanya untuk gadis itu sudah berkubur! Tetapi, dia yang bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku terhadap Sofia. Kalaulah dia dapat mengawal rasa marahnya ketika itu........

"Pakcik, saya dan Sofia dah tak ada apa-apa hubungan lagi"

"Habis tu? Kau nak biarkan saja Sofia macam tu!" Tungkas Sarifuddin laju.

"Saya berjanji dengan pakcik, saya akan menjaga Sofia selagi dia masih belum berkahwin dan jika dia tidak berkahwin, saya akan menjaga dan melindunginya seumur hidup saya." Ujar Hazmi seraya mengangkat tangan kanannya.

"Aku pegang janji kau ini Hazmi. Kalau kau mungkir janji, sampai ke lubang cacing pun aku akan cari. Kalau kau tipu, aku takkan biarkan hidup kau aman sampai mati!"

"Hummmm......" Hazmi mengeluh perlahan. Peristiwa 3 tahun lalu, kerap bertamu dimindanya. Dulu, sebenarnya dia tidak kisah dengan janjinya itu. Namun sejak ibu memintanya untuk mendirikan rumahtangga dan sejak dia bertunang dengan Adibah segala-galanya menjadi terlalu berat untuk dipikul.

Dia takut untuk memikirkan tentang hubungan yang baru terbina antaranya dan Adibah. Dia bimbang untuk membicarakan soal hati dan perasaan. Namun dalam diam sukar untuk ditepis, sedikit sebanyak gelagat Adibah mencuit perasaannya.

No comments:

Post a Comment